JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Sunday, July 31, 2011

GAYA TERBARU RIZ...2011





Foto FariQue Salman @ Facebook, Ejam (PA Riz)


Lama tak dengar cerita Riz tup-tup muncul dengan imej botak. Anda sukakan gaya terbaru RIz? Atau sebaliknya?

To me...ok je..tetap i cam tu Riz...kan...hehe..

Untuk Riz...moga-moga sukses dengan apa jua hala tuju yang dicari itu...All The Best..ok!





Saturday, July 30, 2011

BAB 23 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



MEREKA memanjat tangga dengan berhati-hati dan cuba mengenalpasti di manakah kedudukan Sam dan Insyirah dengan penuh debar sebaik mendengar jeritan tadi. Irfan mencuit bahu Zuhairi sambil menunjukkan isyarat tangan ke arah hadapan. Sam sedang mengilai dengan pisau lipat masih utuh di tangannya. Insyirah pula sudah kelihatan longlai di kerusi dengan lelehan darah pada kesan torehan di pipi kanannya. Mata Irfan membuntang.


“Sam!” Jerit Zuhairi sambil menghampiri lelaki itu.

Sebaik terpandang kelibat Zuhairi, Sam terus duduk di sisi tubuh lemah Insyirah di kerusi. Ikatan tali pada tangan Insyirah dibuka. Pergelangan tangan gadis itu pula digenggam sambil mengacukan pisau lipat. Bila-bila masa saja satu torehan akan singgah di situ. Zuhairi kaget.

“Jangan Sam! Jangan! Aku dah datang ni. Apa yang kau nak sebenarnya?! Kenapa kau cederakan Ira haah? Apa salah dia pada kau?!” Bentak Zuhairi. Kakinya menapak perlahan dan penuh berhati-hati ke arah Sam dan Insyirah.

“Dia memang bersalah dengan aku. Sebab dia tak sukakan aku tapi sukakan kau. Biar dia mati saja. Baru aku puas hati. Sesiapapun takkan dapat dia!!” Kata Sam sambil ketawa panjang. Pergelangan tangan Insyirah masih dipegangnya.

Irfan yang bersembunyi tidak jauh di belakang menggenggam penumbuk. Diikutkan hati ingin saja dia menumbuk muka lelaki itu. Tetapi demi keselamatan Insyirah, dia cuba memikirkan jalan lain.

Dia menapak perlahan ke arah belakang Sam sambil memberi isyarat pada Zuhairi di hadapan untuk bersedia bertindak.

“Sam! Kau lepaskan Ira jika mahu selamat!” Sergahan di belakangnya membuatkan Sam berpaling. Dia kembali berdiri sambil merenung ke arah Irfan.

“Siapa kau?!” Soalnya sambil berkerut dahi. Tidak mengenali lelaki itu.

“Aku polis!” Bentak Irfan.

Matanya menjeling sekilas ke arah Insyirah. Darah tidak henti mengalir dari kesan luka torehan di pipinya itu. Wajah itu kelihatan pucat. Gadis itu sudah tidak bermaya. Hampir pengsan.

“Haah polis! Kau tipu aku! Aku bunuh dia! Aku bunuh dia!!” Jerit Sam sambil memandang silih berganti ke arah Zuhairi dan Irfan. Emosinya semakin tidak terkawal.

Dalam kekalutan itu, Irfan menerpa dan cuba mencapai tangan Sam. Namun Sam lebih pantas. Satu torehan hinggap di lengan Irfan.

“Aaaaaargghhh….!!” Jerit Irfan sambil memegang lengannya yang luka. Lengan kemejanya mula dibasahi darah.

Zuhairi yang terkejut dengan tindakan Sam terus menolak tubuh lelaki itu. Sam rebah. Pisau lipat terlepas dari tangannya. Dia kembali bangun dan meluru ke arah Zuhairi. Berlakulah pula pergelutan antara Sam dan Zuhairi. Akhirnya Zuhairi berjaya merebahkan badan lelaki itu dengan mengunci pergerakan tangannya. Sam meronta-ronta.

“Kau dah tak boleh lari Sam! Sekejap lagi polis sampai!” Ujar Zuhairi sambil mengejapkan pegangan ke atas tangan Sam.

Irfan pula terus menerpa ke arah Insyirah. Lengannya yang cedera tidak diendahkan. Kerisauannya terhadap gadis itu mengatasi segalanya.

“Ira….! Ira…!!” Sambil memeluk tubuh Insyirah. Irfan menepuk-nepuk perlahan pipi gadis itu.

“Aaaaaaaaaaaaaa…….” Sangat lemah kedengaran suara Insyirah. Namun dia sangat mengenali suara dan wajah yang memeluk tubuhnya saat itu. Pandangan matanya kian kabur.

“Ira…bangun Ira!! Iraaaaa…….!!” Tangannya masih utuh memeluk tubuh Insyirah. Helaan nafas perlahan Insyirah semakin merisaukan Irfan.

“Ira….awak kena bertahan! Awak jangan tinggalkan saya Ira! Saya cintakan awak! Bertahan Ira!”

Tanpa sedar Irfan mengungkapkan kata-kata itu. Dalam kekalutan itu dia tidak sanggup membayangkan akan kehilangan gadis itu buat selamanya. Dia juga sudah lupa akan kewujudan Zuhairi di situ. Akhirnya air mata jernih mengalir di pipinya.

Zuhairi yang sejak tadi memerhatikan tingkah Irfan tidak terkejut mendengarkan kata-kata itu. Memang benar telahannya. Irfan masih mencintai Insyirah sepenuh hatinya. Walau Irfan enggan mengakui namun tingkah nanarnya jelas membuktikan segalanya. Zuhairi pasrah.

Polis dan ambulans akhirnya tiba. Beberapa saat kemudian kelihatan kelibat polis dan petugas hospital memasuki rumah itu. Sam telah digari dan dibawa masuk ke dalam kereta peronda. Kereta itu akhirnya bergerak ke balai polis berhampiran. Insyirah dan Irfan yang cedera telah dibawa ke hospital. Kereta Zuhairi turut mengikuti ambulans menuju laju ke arah hospital.


HARI sudah pun menginjak malam. Irfan melabuhkan punggung di sisi katil. Gadis itu masih belum sedar lagi. Mungkin kesan ubat bius ketika menerima rawatan tadi. Pandangan matanya tidak lepas dari merenung wajah itu. Pipinya yang luka telah pun dirawat. Insyirah selamat meskipun banyak kehilangan darah akibat luka torehan yang agak dalam. Irfan memanjatkan kesyukuran pada ILLAHI.

Zuhairi pula baru saja menghantar Along pulang. Meskipun pada awalnya Along berkeras ingin menemani Insyirah, namun dihalang. Zuhairi bersungguh-sungguh meminta agar Irfan saja yang menemani Insyirah di hospital pada malam itu. Dia tidak dapat berbuat demikian. Alasan Zuhairi dia terpaksa bergegas pulang untuk menghadiri satu janji temu bagi satu kes penting. Tidak boleh membatalkannya pada saat-saat akhir.

Irfan hanya menurut. Dia sendiri turut merasakan kebimbangan yang sama. Jam di tangannya ditilik. Sudah hampir jam 8.30 malam. Dia bangun dari duduk mengatur langkah ke arah surau di hospital tersebut untuk menunaikan solat Isyak.


INSYIRAH memisat-misatkan mata sambil memandang sekeliling. Pandangan mata redup itu hanya dibayangi warna putih. Aku kat mana sekarang ni? Benaknya ligat mencari jawapan. Dia cuba untuk bangun dari baringannya. Tangannya perlahan meraba pipi kanannya bila tiba-tiba ia terasa ngilu. Benjolan bandage dan aroma ubat yang menusuk hidungnya semakin memberikan gambaran yang jelas padanya. Ingatannya menerawang pada kejadian di rumah terbengkalai siang tadi. Sam! Kat mana dia sekarang? Detik hati kecilnya. Anak matanya melilau di setiap sudut ruang bilik itu. Bimbang dengan kemunculan lelaki itu di situ. Perasaan takut mula menguasainya saat itu.

Mata Insyirah membutang tatkala pandangannya berlabuh ke muka pintu bilik itu. Kelihatan bayang seseorang sedang berdiri di luar pintu. Beberapa ketika kemudian tombol pintu itu dipulas. Bayang seseorang mula memasuki ruang bilik itu. Insyirah kian takut. Badannya mula menggeletar. Matanya terpejam rapat sambil memeluk lutut. Air mata mula mengalir di pipinya. Dia mendengar derapan kaki kian menghampiri katil. Dia tersentak bila ada tangan yang menyentuh bahunya.

“Aaaaaaaaaarggh…. Tolong jangan ganggu saya! Pergi! Pergi dari sini!” Jeritnya sambil menepis kuat tangan itu.

“Ira! Ira! Kenapa ni?!” Kedengaran suara seseorang.

“Sam…tolong Sam! Jangan Sam! Jangan buat saya macam ni!” Rayunya. Matanya masih terpejam rapat. Esak tangisnya mula kedengaran.

“Ira! Irfan ni…!” Kata suara itu lagi.

Haah! Irfan! Betul ke? Entah-entah Sam hanya menipunya. Telah Insyirah dalam hati.

“Sam! Awak jangan cuba tipu saya!” Masih tidak percaya.

“Ira…betul. Saya Irfan. Cuba bukak mata awak. Tengok betul-betul…!” Suara itu kedengaran lagi. Benak Insyirah mula berfikir. Suara itu amat dikenalinya. Memang bukan suara Sam.

Irfan memandang wajah ketakutan gadis itu. Pipi itu sudah basah dengan juraian air mata. Memang jelas emosi Insyirah masih terganggu.

“Betul Ira. Saya Irfan…percayalah…!” Ulangnya lagi. Cuba meyakinkan gadis itu.

Insyirah masih dibuai rasa takut. Namun pujukan suara itu kian mempengaruhinya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Jelas wajah Irfan singgah pada sorotan matanya. Dengan tidak semena-mena dia memeluk erat tubuh lelaki itu.

“Irfan! Tolong saya. Saya takut. Sam ada kat sini tadi!” Tangisnya kembali berlagu di dada bidang itu. Irfan tergamam.

“Ira…..” Pujuk Irfan sambil cuba meleraikan pelukan Insyirah.

“Ira…pandang saya!” Pintanya sambil memaut lembut dagu gadis itu.

“Hanya saya dan awak saja ada kat sini. Sam tak ada!” Pujuknya lembut. Sekali lagi cuba meyakinkan Insyirah.

Mata Insyirah beralih di sekeliling bilik itu. Mencari kelibat Sam.

“Betul Sam tak ada?!” Soal Insyirah sambil merenungnya.

“Betul!”

“Awak tak tipu saya?!”

“Betul. Saya tak tipu!” Tutur Irfan.

Insyirah akhirnya percaya kata-kata lelaki itu. Dia mengesat sisa air mata di pipinya dan cuba kembali bertenang. Irfan menarik nafas lega.

“Nah..minum air ni.” Irfan menghulurkan segelas air pada Insyirah. Air itu diteguk dengan sekelip mata setelah membaca Bismillah.

“Terima kasih..” Huluran gelas kosong disambut oleh Irfan. Dia mula rasa lega dan tenang.

“Sama-sama..”

“Irfan..tadi awak cakap Sam tak ada kat sini?” Soal Insyirah kembali.

“Ya…betul.”

“Macamana awak tahu?”

“Sebab dia dah kena tangkap polis. Dia tak akan ganggu awak lagi Ira. Percayalah cakap saya!” Jelas Irfan.

“Betul ke?”

“Betul!”

“Jadi, awak tak perlu rasa takut lagi…ok?” Balas Irfan. Insyirah mengangguk.

“Tadi Along dengan Zuhairi pun datang. Tapi mereka dah balik.” Ujar Irfan lagi.

“Dah balik? Habis tu kenapa awak pun tak balik jugak?”

“Sebab saya akan temankan awak kat sini malam ni…”

“Tak payahlah..saya ok!” Cuba menafi realiti ketakutan sendiri.

“Tak apalah. Biar saya temankan awak. Awak tidurlah Ira…”

“Awak nak tidur kat mana?”

“Tu.. kat sofa tu!” Jawab Irfan sambil menunjuk ke arah satu sudut di hadapan mereka. Mata Insyirah turut memandang ke arah tersebut. Terdapat sebuah sofa di situ rupanya.

“Tidurlah Ira. Kalau awak nak apa-apa, kejutkan saya ok?” Pesan Irfan sambil membaringkan tubuhnya di sofa itu. Insyirah hanya mengangguk.

Mata Insyirah merenung Irfan yang sudah berbaring. Dia turut kembali membaringkan badannya ke katil. Terasa sangat selamat dengan kehadiran Irfan saat itu. Akhirnya dia kembali terlena.


ZUHAIRI membelokkan kereta ke Medan Selera Tanjung. Aiman mula merasa hairan.

“Hairi nak ke mana ni? Kata tadi nak jumpa client? Nak jumpa kat sini ke?” Soal Aiman sambil merenung Zuhairi di sebelah.

“Taklah. Kita berhenti minum kat sini sekejap ya Along.” Balas Zuhairi sambil memarkir kereta.

Aiman hanya menurut walaupun sedikit kebingungan. Baru sebentar tadi mereka singgah untuk solat Isyak di sebuah masjid. Sekarang singgah ke sini pula. Apa hal pulak si Hairi ni? Soal hati Aiman.

Mereka melangkah ke arah deretan gerai makan yang terdapat di situ. Akhirnya mereka memasuki salah sebuah gerai tersebut. Zuhairi menarik kerusi di satu sudut lalu mula melabuhkan punggungnya. Aiman turut sama duduk di kerusi sebelahnya.

Seorang pelayan lelaki menghampiri mereka. Setelah mengambil pesanan makanan dan minuman, dia terus berlalu ke dalam.

“Hairi…tadi cakap nak balik cepat. Kenapa pulak berhenti makan kat sini?” Tanya Aiman. Tadi lelaki itu beria-ia nak balik cepat. Katanya ada janji temu. Hinggakan Irfan diminta olehnya untuk menemani Insyirah di hospital.

“Taklah Along. Saya tak ada apa-apa janji temu pun.” Aiman mula mengerut kening. Hairan dengan tutur Zuhairi.

“Habis tu..kenapa suruh Irfan tunggu Ira kat hospital?”

“Saja…..”

“Haah…saja?”

“Aa ar…saja..”

“Apa maksud Hairi ni? Along tak faham.”

“Saya saja bagi peluang kat Irfan, Along.”

“Peluang?”

“Ya…peluang untuk pikat Ira semula..” Pasti Irfan tidak menduga rancangannya itu.

“Kenapa pulak? Kan Hairi sukakan Ira kan?”

“Memang saya sukakan Ira Along. Tapi Ira hanya anggap saya sebagai kawan aje. Tak pernah lebih dari tu.”

“Saya tahu Along, Ira masih cintakan Irfan. Sebab tu dia tak boleh terima saya.”

“Hairi betul-betul yakin ke? Entah-entah tu cuma tekaan Hairi…”

“Saya yakin seratus peratus Along. Sebab Irfan sendiri pun masih cintakan Ira.”

“Haah…macamana Hairi tahu?”

“Masa insiden Ira kena culik hari tu, Irfan macam orang hilang akal bila lihat keadaan Ira yang berlumuran darah dan hampir pengsan. Saya sendiri dengar pengakuan Irfan ketika tu.”

“Pengakuan apa?” Soal Aiman ingin tahu.

“Yang dia masih cintakan Ira..”

“Air mata yang mengalir di pipi Irfan hari tu jelas sangat-sangat menggambarkan rasa cintanya yang sangat mendalam buat Ira. Pasti dia amat takut kehilangan Ira masa tu, Along..” Aiman tergamam mendengar cerita Zuhairi. Ternyata cinta Irfan masih utuh buat Ira. Sama seperti pengakuan yang pernah didengari dari mulut Irfan enam tahun dulu.

“Berbaloi ke Hairi buat semua ni?” Soal Aiman kembali.

“Irfan sahabat saya, Along. Saya kenal dia. Dia bukan jenis lelaki yang mudah jatuh cinta. Sekali dia jatuh cinta, tentulah selamanya wanita itu di hatinya. Saya akan turut bahagia jika dia berjaya mendapat kembali cinta yang dia hilang dulu.”

“Lagipun cinta tak boleh dipaksa. Saya bukan zalim nak memaksa Ira untuk terima cinta saya, Along. Saya redha dengan ketentuan ALLAH. Jodoh pertemuan semua di tanganNya. Ira memang bukan jodoh saya tapi Irfan.” Jelasnya. Dia redha.

Kau sungguh bertuah Ira. Dicintai oleh dua lelaki yang cukup baik pada pandangan matanya. Bisik hati Aiman.


HAMPIR seminggu Insyirah dirawat di hospital. Sepanjang tempoh itu Along, Irfan dan Zuhairi tidak pernah jemu datang melawat. Insyirah bersyukur dan sangat terhutang budi pada kedua lelaki itu.

Sam pula telah dimasukkan ke hospital sakit mental lagi. Dan difahamkan dia akan ditahan untuk jangka masa yang agak lama lantaran emosinya yang semakin tidak stabil.


INSYIRAH mendengar salam dari luar rumah banglo satu tingkat itu. Dia menyelak sedikit langsir tingkap untuk meninjau siapa berada di luar sebelum membuka pintu.

“Waalaikumussalam. Jemput masuk Irfan..Esha..” Katanya sebaik saja pintu dikuak.

Insyirah membalas senyuman yang dilemparkan oleh keduanya. Qaleesha memaut lengannya sambil menapak ke ruang tamu.

“Kak Ira macamana? Dah sihat ke?” Soal Qaleesha sambil diperhatikan oleh abangnya.

“Alhamdulillah Esha. Akak sihat cuma kesan parut di pipi ni masih belum pulih sepenuhnya.” Sambil menyentuh pipinya.

“Bagaimana pulak dengan luka di lengan awak tu Irfan?”

“Saya dah pulih. Lagipun sikit aje.” Jawab Irfan.

“Esha..Irfan duduk sekejap ya. Ira buatkan air.”

“Eh tak payahlah Ira. Kami datang ni nak jenguk Ira. Bukannya nak suruh Ira buatkan air. Lagipun Ira kan belum sihat lagi kan.” Ucap Irfan sambil memandang Insyirah yang sudah berdiri dan bersedia untuk melangkah ke dapur.

“Eh mana boleh macam tu. Tetamu mesti dilayan..” Balas Insyirah.

“Tak apalah akak. Tak payah susah-susah. Kalau nak, nanti biar Esha sendiri yang ambik kat dapur tu.” Tutur Qaleesha. Insyirah akhirnya akur.

“Nah ini untuk Kak Ira.”

“Apa pulak ni Esha?”

“Ubat sapu untuk hilangkan kesan parut di pipi akak tu. Dan ni pulak ada sedikit buah-buahan.” Ujar Qaleesha sambil menghulurkan dua plastik kepada Insyirah.

“Ala..selalu macam ni. Buat apa susah-susah belikan semua ni.” Ucap Insyirah. Dia terharu dengan sikap prihatin mereka terhadap dirinya.

“Isshh…mana ada susah akak. Tak menyusahkan langsung. Ambik ajelah.” Kata Qaleesha sungguh-sungguh.

“Terima kasih banyak Irfan, Esha.”

“Kak Ira, Esha mintak maaf sebab tak dapat jenguk akak kat hospital hari tu…”

“Tak apalah. Kan Esha ada kat kampus. Akak faham. Lagipun akak dah ok dah. Terima kasih sebab datang jenguk akak hari ni..” Ucap Insyirah sambil menggenggam lembut jemari Qaleesha.

Qaleesha melemparkan senyuman pada Insyirah.

“Sama-sama akak. Lagipun Esha rindu sangat kat akak.” Ujar gadis itu lagi sambil memeluk Insyirah. Insyirah yang sedikit terkejut dengan tingkah Qaleesha itu turut membalas pelukan itu.

“Akak pun rindukan Esha jugak.” Tuturnya dengan lembut. Matanya beralih ke arah Irfan yang diam memerhati.

“Irfan…saya nak ucapkan terima kasih jugak kat awak sebab selamatkan saya tempohari..hinggakan awak sendiri turut cedera. Kalau awak dengan Hairi tak ada hari tu, tak tahulah apa jadi pada saya.” Ujarnya sambil memandang wajah tampan lelaki itu.

“Ira..syukurlah semuanya selamat. Tak usah diingat-ingat lagi. Pasti ada hikmah atas apa yang berlaku.” Balas Irfan sambil turut merenung wajah manis Insyirah.

Degupan jantungnya kencang saat melihat gadis itu longlai di pelukannya. Berbagai perasaan berbaur menjadi satu. Dia sendiri enggan mengingati detik mencemaskan itu.

“Abang Hairi tak datang jenguk akak ke?” Soalan Qaleesha membuatkan Irfan sedikit terpana.

Dia terkenangkan kembali hasrat Zuhairi ketika meminta bantuannya untuk mencarikan hadiah buat teman wanitanya. Pencarian mereka saat itu terbantut oleh insiden yang telah menimpa Insyirah. Hati Irfan kembali menjadi sebu. Betapa dia dapat merasakan akan kehilangan gadis yang dicintainya itu buat selama-lamanya. Demikianlah telahannya.

“Abang Hairi selalu datang jenguk akak, Esha. Hari ni dia ada hal sebab tu tak dapat datang.”

Irfan terdiam mendengar kata-kata Insyirah. Ternyata Zuhairi sangat mengambil berat tentang diri gadis itu. Entah kenapa Irfan merasa dirinya kian jauh dari Insyirah. Bagai tiada ruang lagi di hati gadis itu buat dirinya.

Qaleesha terus rancak berbual dengan Insyirah. Namun, Insyirah dapat merasakan perubahan pada diri Irfan. Tingkahnya tidak seperti selalu. Suka bergurau dan mengusik. Sejak tadi lelaki itu banyak berdiam diri. Cuma sesekali menyampuk. Itupun jika Qaleesha sibuk bertanyakan sesuatu. Selebihnya dia hanya melemparkan senyuman. Insyirah tertanya-tanya sendiri. Apakah sebenarnya yang bermain di benak lelaki itu?




Wednesday, July 27, 2011

BAB 22 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU


INSYIRAH tidak menyangka akan berhadapan dengan lelaki itu di situ. Lelaki itu merenungnya sambil tersengih. Insyirah cuba bertenang.


“Ira..awak apa khabar?” Soal Sam dengan tenang.

“Baik..”

“Kenapa malam tu awak lari bila saya panggil?” Tanya Sam lagi.

“Oh..awak ke? Saya ingat orang lain. Maafkan saya. Lagipun malam..gelap..saya tak nampak jelas wajah awak masa tu…” Balas Insyirah. Terpaksa membohongi lelaki itu.

“Hmm…tak apa. Ya, betul cakap awak Ira. Gelap kan. Mesti awak rasa takut kan…” Ujar Sam lagi. Insyirah cuba tersenyum.

“Ira, saya nak ajak awak keluar?” Soalan Sam mula menakutkan Insyirah.

“Er…keluar? Bila?”

“Sekarang..!”

“Haah..sekarang?!” Terkejut.

“Kenapa? Awak tak nak ke?!” Air muka Sam mula berubah.

“Bukan…. Saya tak boleh keluar sekarang….” Cuba berdalih. Hatinya mula berdebar.

“Kenapa tak boleh?!” Wajah Sam mulai kelihatan tegang.

“Er…dah lewat petang ni..”

“Kalau tak boleh hari ni, bila?!” Suara Sam mula meninggi.

“Sa…saya tak tahu…” Ujar Insyirah.

“Awak sebenarnya memang tak mahu keluar dengan saya kan?!” Bentak Sam.

“Bukan macam tu Sam. Sa…saya…” Tubuh Insyirah mula menggeletar.

“Saya tak kira. Awak kena keluar dengan saya hari ni jugak!” Sambil memegang kejap pergelangan tangan Insyirah.

Insyirah mulai ketakutan memandang wajah Sam yang kian tegang. Pergelangan tangannya terasa sakit. Lelaki itu mula memaksa supaya dituruti kemahuannya.

“Sam, tolonglah jangan paksa saya. Lepaskan tangan saya. Tolonglah!” Rayunya sambil cuba menarik tangannya. Tapi gagal.

“Saya takkan lepaskan. Selagi awak tak bersetuju untuk keluar dengan saya. Faham!!” Tegasnya.

Mata Insyirah mula rasa panas. Bila-bila masa akan mengalir air jernih dari kolam matanya itu. Dia berasa sangat takut dengan kegilaan yang melanda Sam saat ini. YA ALLAH…bantulah hambaMu ini. Doanya dalam hati.

“Ira, baik awak setuju saja!!” Desak Sam. Air mata mula bercucuran di pipi Insyirah.

“Tolong jangan buat saya macam ni Sam! Tolonglah! Saya rayu pada awak. Tolonglah…lepaskan tangan saya!!” Rayu Insyirah bersama esak tangisnya yang kian berlagu.

Sam ketawa sambil merenung tajam gadis itu. Rayuan dan tangisan Insyirah tidak dipedulikannya.

“Tolooooong!!” Jerit Insyirah.

“Heii…apa yang kau buat ni haah?!” Suara sergahan lelaki mengejutkan Sam.

Insyirah berpaling ke arah suara itu. YA ALLAH.

“Hairi…tolong saya Hairi!!” Jerit Insyirah sebaik terpandang wajah itu. Zuhairi menghampiri mereka.

“Heii…kau lepaskan tangan dia sekarang!” Jerit Zuhairi. Risau melihat Insyirah yang menangis ketakutan.

“Aku takkan lepaskan. Sebab dia dah janji nak keluar dengan aku!!” Bentak Sam lagi. Pergelangan tangan Insyirah masih digenggamnya.

“Heii…bila masa pulak dia janji nak keluar dengan kau. Lainlah kalau dengan aku!” Sengaja mengalih perhatian lelaki kurang siuman itu.

“Kenapa? Dia janji nak keluar dengan kau?!” Dahi Sam berkerut.

“Yelah. Memang dia selalu keluar dengan aku!”

“Haah…selalu keluar dengan kau? Kenapa dia selalu keluar dengan kau?!” Soal Sam. Matanya tajam merenung Zuhairi.

“Dia girlfriend aku. Mestilah kami selalu keluar!” Tegas Zuhairi.

“Haah…girlfriend kau? Betul ke Ira?” Sambil merenung Insyirah.

“Hmm…aa haa..saya girlfriend dia. Kami memang selalu keluar…!” Dalih Insyirah dalam gugup.

“Sam..baik kau pergi dari sini sebelum aku panggil polis!” Ugutan Zuhairi membuatkan Sam mula tidak keruan. Dia melepaskan tangan Insyirah lalu melarikan diri.

Zuhairi menarik Insyirah ke sisinya. “Awak ok Ira?!”

“Saya ok. Terima kasih Hairi. Nasib baik awak ada kat sini. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan jadi kat saya!” Ucap Insyirah sambil mengesat air mata di pipi. Dia kemudiannya memegang pergelangan tangannya yang sakit.

“Tangan awak tu tak apa-apa ke? Dah lebam tu.” Kata Zuhairi sambil turut meneliti tangan gadis itu yang kelihatan kebiruan.

“Jom saya hantar awak balik. Nanti sampai rumah urutkan sikit. Biar surut lebam tu.” Insyirah mengangguk sambil menuruti langkah Zuhairi. Bersyukur dengan kemunculan lelaki itu sebentar tadi.

AIMAN meneliti lebam di pergelangan tangan adiknya itu. Dia menyapukan minyak urut dan mula mengurut perlahan. Sesekali muka Insyirah menyeringai menahan sakit.

“ Along… saya rasa kita kena laporkan pada pihak polis. Sam tu dah semakin berani hingga sanggup mencederakan Ira, Along!” Cadang Zuhairi sambil memandang ke arah Aiman.

“Aa ar…Along setuju!” Ujar Aiman.

“Along…Ira tertanya-tanya kenapa Sam tu suka sangat ganggu Ira?” Soal Insyirah sambil mengerut kening.

“Sebenarnya Ira, dulu Sam pernah melakukan perkara sama terhadap seorang tenaga pengajar wanita di Yayasan An Nur. Ketika tu, isterinya baru saja meninggal dunia akibat kanser hati. Dia tidak dapat menerima kenyataan kehilangan itu. Wanita itu mempunyai ciri-ciri sama seperti arwah isterinya. Lemah-lembut, bertudung dan bertubuh kecil molek.” Zuhairi mula bercerita.

“Bila tidak dilayan, Sam mula bertindak agresif. Dia telah mencederakan wanita tersebut.”

“Di mana wanita tu sekarang?” Soal Insyirah ingin tahu.

“Selepas kejadian tu, wanita tersebut telah berhenti kerja dan berhijrah ke Singapura bersama keluarganya.”

“Macamana awak boleh tahu semua ni Hairi?” Soal Insyirah lagi kehairanan.

“Sebab arwah ayah saya yang mengendalikan kes wanita tersebut. Dia telah mendakwa Sam kerana sering mengganggunya. Apabila disahkan mengalami gangguan mental, Sam telah dimasukkan ke hospital sakit jiwa. Beberapa tahun kemudian setelah pulih, dia keluar dan menjalani hidup dengan baik.”

“Dia membuka sebuah bengkel membaiki motosikal. Orang-orang kampung benar-benar percaya dia telah pulih. Tak sangka pula setelah tujuh tahun berlalu, jiwanya kembali terganggu. Mungkin setelah melihat Ira ingatannya pada arwah isterinya kembali menyegar. Dan sebab itulah dia sering mengganggu Ira.” Terang Zuhairi dengan panjang lebar.

Insyirah tergamam. Sungguh tidak menyangka begitu rupanya kisah hidup Sam. Wajah Sam tadi begitu menakutkannya. Masih bersarang kebimbangan di hatinya. Entah apa lagi yang bakal berlaku nanti. Atas nasihat Along dan Zuhairi, satu laporan polis telah pun dibuat.

IRFAN mencapai telefon bimbitnya yang berdering. Dia sedikit terkejut bila melihat nama Zuhairi terpapar di skrin.

“Assalamualaikum..” Ucapnya sebaik menjawab panggilan itu.

“Waalaikumussalam…” Jawab Zuhairi di hujung talian.

“Apa hal kau telefon aku malam-malam ni?” Soal Irfan.

“Aku rindu kat kaulah. Tu yang aku telefon!”

“Heii..kau jangan main-mainlah. Aku letak telefon ni karang. Baik kau cakap elok-elok!” Meledak ketawa Zuhairi.

“Hei..rilekslah. Kau ni, aku nak bergurau sikit pun tak boleh!”

“Nak bergurau tengok time ler brader. Aku penat ni. Tak ada mood nak bergurau dengan kau!” Geram. Sudahlah badan letih. Kena pulak melayan loyar buruk teman baiknya itu. Bertambahlah letih dirasakannya.Walaupun dia sudah mengambil dua orang pekerja baru untuk membantunya di kedai, namun masih banyak perkara yang mereka belum tahu dan perlu diberi tunjuk ajar.

“Ok..ok..ok.. Rileks rileks!”

“Baik kau cakap cepat apa yang kau nak. Sebelum aku matikan panggilan ni. Cepat!” Ugut Irfan.

“Huissh..sabarlah. Aku nak cakaplah ni.”

“Esok kau free tak? Aku nak ajak kau keluar.”

“Nak pergi mana pulak?!”

“Nak cari barang untuk seseorang. Boleh kau temankan aku carikan? Aku tak retilah bab-bab macam ni. Boleh?”

“Untuk makwe ke?”

“Lebih kurang macam tulah. Aku datang jemput kau pukul 10 pagi esok, ok?”

“Ok...”

Sebaik menamatkan perbualan, Irfan kembali meletakkan telefon bimbitnya di atas meja lampu bilik tidur.

Hairi Hairi! Nak cari barang untuk teman wanita pun nak mintak tolong aku. Siapakah gerangan teman wanita Zuhairi? Insyirah? Atau gadis lain? Omel Irfan dalam hati. Dia melepaskan satu keluhan berat. Ada beban berat yang bersarang di hatinya tatkala menyebut nama itu.

INSYIRAH bagai ingin meraung saat itu. Namun mulutnya yang ditutupi pita pelekat menghalangnya untuk berbuat demikian. Tangannya turut diikat. Matanya melilau melihat sekeliling. Kelihatan seperti di dalam sebuah bangunan yang terbengkalai pembinaannya. YA ALLAH. Aku kat mana ni? Bisik hatinya. Dia ketakutan.

Kelibat Sam yang muncul tiba-tiba membuatkan Insyirah kian takut. Sewaktu melewati pintu pagar utama Yayasan, lelaki itu telah menarik dan memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta. Sam mengugutnya dengan mengacukan sebilah pisau lipat. Insyirah tiada pilihan lain selain menuruti kemahuan lelaki itu.

Sam menghampirinya sambil tersengih. Dia menarik kasar pita pelekat di mulut Insyirah.

“Aaaaaaarghhh….!!” Insyirah menjerit. Menahan sakit saat pita pelekat itu ditarik.

“Hai Ira…!”

“Apa yang awak nak dari saya Sam?!” Sambil cuba menahan keperitan di mulutnya.

“Kau tahukan aku sukakan kau. Tapi kenapa kau selalu lari dari aku? Kenapa?!” Nada keras keluar dari mulut lelaki itu. Dia menarik belakang tudung gadis itu.

“Aaaaaaarrghh!! Sam, kan saya dah cakap saya dah ada boyfriend. Sebab tu saya tak boleh terima awak.” Masih cuba berlembut.

“Hei..kau jangan nak tipu aku. Aku tahu itu bukan boyfriend kau. Kau saja reka cerita supaya dapat lepas dari aku kan?!”

“Sam..saya tak tipu awak. Betul…dia memang boyfriend saya!”

“Kau penipu!!” Tempiknya. Insyirah semakin takut.

“Mana telefon kau? Mana? Biar aku sendiri tanya dia. Cepat! Mana dia?!” Sam semakin menggila.

“Da..dalam handbag saya. Kat situ…!!” Jawabnya gugup. Mulutnya sedikit muncung menunjuk ke arah beg tangannya yang terjatuh di atas lantai.

Sam mencapai beg tangan itu lalu mencari telefon bimbit Insyirah dengan gopoh. Akhirnya dia menjumpainya lalu menghampiri gadis itu.

“Siapa nama ‘boyfriend’ kau tu?!”

“Zu…Zuhairi…!!”

Sam mula menekan punat telefon dan mencari nama tersebut. Setelah memperolehi maklumat yang dicari, dia mula menekan punat ‘Call’.

“KAU ada cadangan tak.. nak belikan barang apa?” Soal Zuhairi sebaik saja mereka melangkahkan kaki ke dalam shopping complex itu.

“Kau nak cari barang mahal atau sederhana harganya?” Soal Irfan pula.

“Aku tak kisah. Janji barang tu nampak special untuk seseorang yang istimewa…” Ujar Zuhairi sambil tersenyum memandang sahabatnya itu.

“Belikan rantai tangan atau rantai leher pun ok…tapi mahal sikitlah…” Saran Irfan. Zuhairi mengangguk.

“Aa ar kan. Ok jugak. Boleh simpan lama kan. Jom kita masuk kedai emas kat hujung tu.” Ajak Zuhairi. Irfan hanya menuruti langkahnya.

Baru beberapa tapak langkah mereka menuju ke arah kedai tersebut, kedengaran deringan telefon bimbit Zuhairi. Langkah kaki mereka terhenti. Zuhairi segera menjawab panggilan tersebut bila nama Insyirah terpapar pada skrin.

“Hello, Ira!” Jawabnya sambil tersenyum. Irfan hanya memerhati.

“Hei! Ni boyfriend Ira yang bercakap!” Kedengaran suara lelaki di hujung talian. Zuhairi kaget. Kenapa pulak telefon Insyirah ada pada tangan orang lain? Siapakah lelaki itu?

“Hei…kau siapa?! Mana kau dapat telefon ni haah?! Kau curi ya?!” Bentak Zuhairi. Irfan yang mendengar di sisinya mula mengerut kening.

“Hei..brader! Aku nak buat perhitungan dengan kau!” Keras kedengaran suara lelaki itu.

“Kau ni siapa?!” Benak Zuhairi mula menduga.

“Sam ke?!” Mula pantas terfikirkan kemungkinan itu. Soalan Zuhairi membuatkan Irfan tersentak.

“Tak kisahlah aku siapa. Kau datang sini cepat kalau nak Ira selamat!!”

“Apa yang kau nak haah? Kau jangan buat kerja gila! Kalau apa-apa terjadi kat Ira, aku tak teragak-agak laporkan pada pihak polis!” Ugut Zuhairi dengan keras. Mata Irfan mula membutang. Sam? Ira? Apa yang telah berlaku? Dia mula rasa tidak sedap hati.

“Hei! Kalau kau nak Ira selamat, jangan laporkan pada polis! Datang ke Perumahan Budiman di Jalan Impian sekarang jugak!!” Bentak Sam sambil memutuskan talian.

“Hello! Hello! Hello!!” Suara Zuhairi sedikit menjerit.


SAM memasukkan telefon bimbit itu ke dalam saku bajunya. Dia merenung ke arah Insyirah.

“Sekejap lagi ‘boyfriend’ kau datang!” Kata Sam sambil ketawa. Dia mengeluarkan pisau lipat dari poket seluar.

“Aaaaaaaaa…!! Apa yang awak nak buat Sam?!!” Jerit Insyirah bila jemari Sam mula mengacuh-acuhkan pisau tu pada wajahnya.

“Kau ni memang cantik Ira! Sebab tu lelaki tu suka kat kau! Bagaimana kalau kau ni hodoh? Dia masih sukakan kau ke.. haah?!!” Bentak Sam sambil mengacukan hujung pisau lipat itu pada pipi mulus Insyirah. Dia ketawa lagi.

“Aaaaaaaaaaaaaarghhh……. !! “ Jerit Insyirah lagi.

“Tolong Sam jangan buat saya macam ni. Tolonglah!!” Rayunya.

“Aaaaaaaaaaaaarrrghh……!!!”

“KENAPA Hairi? Apa yang berlaku?!” Bertubi-tubi soalan Irfan pada sahabatnya itu. Zuhairi memandang wajah risau Irfan.

“Sam dah culik Ira. Katanya dia nak jumpa aku kat Perumahan Budiman dekat Jalan Impian.!!”

“Haah! Sam culik Ira!!” Terkejut besar Irfan mendengar kata-kata Zuhairi. Dia meraup wajah risaunya sambil melepaskan keluhan berat.

“Jangan berlengah lagi. Jom kita pergi sekarang Hairi!!” Ucap Irfan lagi sambil menarik lengan Zuhairi. Mereka berlari ke arah kereta dan berlalu menuju ke tempat tersebut.

Zuhairi memandu kereta dengan laju. Dalam kekalutan itu, sesekali dia merenung Irfan di sebelah. Kerisauan jelas terpancar di wajah temannya itu. Sama seperti yang dia rasakan. Banyak kali dia melihat Irfan meraup muka. Duduknya juga penuh gelisah sambil sesekali menilik jam tangan.

“Jauh lagi ke Hairi?!” Soalnya sambil menjeling Zuhairi yang fokus pada pemanduannya.

“Dah dekat dah. Kat simpang depan tu aje!” Jawabnya.

Sebaik memasuki simpang, mereka melewati sebuah perumahan yang terbengkalai pembinaannya. Kelihatan sebuah kereta Proton Iswara terparkir di hadapan.

“Itu mungkin kereta Sam..!” Kata Irfan sambil menunjuk ke arah tersebut. Zuhairi memperlahankan kereta dan menekan brek. Enjin kereta dimatikan.

Tempat itu sangat sunyi. Dan boleh dikatakan tiada kelibat manusia yang melalui kawasan itu. YA ALLAH, Kau lindungilah Ira! Doa Irfan dalam hati.

Setelah keluar dari kereta, mereka terus menapak ke arah rumah dua tingkat berhampiran. Zuhairi cuba menelefon Sam semula. Sebaik sahaja panggilan diangkat, dia memulakan bicara.

“Aku dah sampai. Kau ada kat mana?!” Soal Zuhairi.

“Kau naik tangga sekarang!” Arah Sam di hujung talian.

“Jom kita naik!” Ajak Zuhairi sebaik tamat perbualan dengan Sam tadi.

“Hairi! Kita kena laporkan pada polis!” Saran Irfan sambil menghalang langkah sahabatnya itu.

“Tapi…Sam dah larang tadi….!!” Kurang bersetuju. Dia risaukan keselamatan Insyirah jika Sam mengetahui dia telah menghubungi pihak polis.

“Hairi! Lelaki tak siuman tu boleh lakukan apa saja. Kau nak ke sesuatu jadi kat Ira? Kita laporkan saja pada polis. Lagipun kita dah sampai kat sini kan. Biar kita tangani lelaki itu bersama sementara menunggu polis datang!” Bentak Irfan. Zuhairi akhirnya akur. Segera dia menghubungi pihak polis memaklumkan lokasi mereka.


“AAAAAAAAAARRGHHH……..!! Jeritan sayu Insyirah bergema di segenap bangunan itu. Irfan dan Zuhairi saling berpandangan.






Sunday, July 24, 2011

BAB 21 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



ZUHAIRI terkejut melihat Insyirah yang berjalan terhencut-hencut ke arahnya. Segera dia berlari mendapatkannya sambil memapahnya ke kerusi. Irfan dan Izzati memerhatikan tingkah mereka. Irfan memandang dengan ekor mata yang penuh rasa cemburu.


“Ira…kenapa dengan kaki awak?” Soalnya ingin tahu sambil memandang pergelangan kaki Insyirah yang berbalut.

“Tak ada apa-apa..saya terjatuh. Sikit aje…” Jawab Insyirah sambil menjeling sekilas pada Irfan yang duduk di kerusi berhadapannya.

Tak ada apa-apa? Berjalan pun dah tak betul. Sikit konon. Bentak hati Irfan.

“Laa..lain kali hati-hatilah...” Nasihat Zuhairi.

“Kaki awak sakit tak boleh minum ais ya. Minum teh panas ok..” Ujar Zuhairi lagi.

“Ok…” Jawab Insyirah pendek sambil tersenyum memandang Zuhairi. Lelaki itu mengangkat punggung untuk mengambil minuman. Izzati pun turut sama bangun.

Irfan masih menjeling ke arah Insyirah. Sepatutnya dia yang berada di tempat Zuhairi. Menjaga dan mengambil berat tentang keadaan Insyirah. Hatinya panas melihat cara layanan Zuhairi terhadap gadis itu. Insyirah pula dilihatnya seakan suka dengan segala tindakan lelaki itu.

“Dah tahu kaki tu sakit, kenapa nak keluar jugak? Jalan terhencut-hencut…buruk rupanya tahu tak?!” Irfan melempiaskan amarahnya pada gadis itu.

“Suka hati sayalah..kaki saya. Apa yang awak susah? Tak ada hubung kait pun dengan awak kan?!” Giliran Insyirah pula melepaskan panas hatinya.

“Degil betul..!” Bentak Irfan. Mata mereka saling menjeling tajam.

Mereka mendiamkan diri bila Zuhairi dan Izzati mula menghampiri meja.

“Nah Teh O untuk awak. Minum perlahan-lahan ya..panas tu.” Pesan Zuhairi sambil meletakkan cawan teh di hadapan Insyirah.

“Terima kasih…” Manja kedengaran suara gadis itu sambil melemparkan senyuman manis pada Zuhairi.

Irfan menghirup kopi sambil menjeling mereka.

“Abang..tak nak makan ke? Sedap Mee Sup ni…” Tanya Izzati sambil memandang abang sepupunya itu.

“Tak nak…” Ucap Irfan. Insyirah menjeling sekilas ke arah lelaki itu.

“Amboi..sejak bila kau ni menolak makanan..tak payahlah nak diet Irfan. Kau tu bukannya gemuk pun..!” Usik Zuhairi tidak mengerti apa yang terbuku di hati temannya itu.

“Bukan diet…Cuma tak ada selera. Yelah banyak faktor yang boleh menyebabkan hilang selera ..kan?” Balasnya sambil menjeling Insyirah yang sedang menghirup Teh O panas. Hampir tersedak gadis itu dibuatnya. Dia tahu Irfan menyindirnya sebentar tadi.

“Ira…kan tadi saya dah cakap Teh O tu panas..!” Kata Zuhairi bila melihat Insyirah seakan tersedak bila menghirup teh panas itu. Insyirah hanya tersenyum kecil memandang Zuhairi.

“Abang..lepas ni jom kita pergi Bilik Karaoke nak tak?” Cadang Izzati pada Irfan.

Insyirah menjeling gadis itu. Kalau diikutkan hati tidak ingin dia menghadap wajah itu. Namun, desakan Qaleesha agar dia turut serta ke situ tidak mampu ditolak. Dia terpaksa akur demi menjaga hati Qaleesha.

“Aa ar..best jugak kan. Sumbangkan suara kita yang sedia ada sumbang ni kan?” Sokong Zuhairi.

“Malaslah Zati. Abang nak ambik angin kat luar ni aje. Zati pergi jelah.” Balas Irfan. Menolak. Dia tiada mood langsung tika itu.

“Ira nak ikut?” Soal Zuhairi pula sambil memandang Insyirah.

“Tak naklah..Ira nak balik bilik. Nak rehat.” Balas Insyirah.

“Kalau macam tu..jom Zati kita pergi berdua aje..untung-untung lepas praktis nyanyi ni boleh masuk Mentor…!” Gurau Zuhairi sambil disambut tawa Izzati.


SEBAIK saja Zuhairi dan Izzati berlalu ke Bilik Karaoke, Insyirah bangun dari kerusi dan mula mengatur langkah ke bilik penginapannya. Tidak betah berhadapan dengan Irfan lagi saat itu. Irfan hanya memandang ke arahnya.

“Ira…!” Insyirah tidak pedulikan panggilan itu. Dia terus menapak perlahan-lahan. Dalam kepayahan.

“Ira….! Awak tak dengar ke saya panggil?!” Irfan sudah berdiri di hadapannya. Langkahnya terhenti.

Apa lagilah lelaki ni nak dari aku? Keluh hatinya.

“Awak nak apa?!” Suaranya sedikit meninggi.

“Boleh saya tanya sesuatu?” Soal Irfan.

“Apa dia? Saya nak balik bilik ni…!” Balas Insyirah acuh tak acuh.

“Apa hubungan awak dengan Hairi?!” Sedikit tergamam Insyirah dengan soalan Irfan.

“Kenapa awak nak tahu sangat?!”

“Sebab saya perlu tahu….!”

“Awak tu siapa? Kekasih saya? Suami saya? Apa sekalipun hubungan saya dengan Hairi atau sesiapapun, tak ada kena-mengena dengan awak ..ok?!” Bentak Insyirah. Matanya tajam merenung Irfan.

“Memang ada kena-mengena. Sebab saya cintakan awak…!”

“Encik Irfan…tak payahlah nak tipu saya. Saya bukan bodoh..ingat mata saya ni buta. Tak nampak apa yang Encik Irfan buat..cinta konon…!” Insyirah mencebik.

“Ira…awak salah faham. Apa yang awak nampak tu tak menggambarkan cerita sebenar…!” Cuba menjelaskan perkara sebenar.

“Tak payahlah nak berpura-pura dengan saya. Saya tak nak dengar tipu muslihat awak lagi..!!” Insyirah mula melangkahkan kaki. Dia terbuai dengan ucapan cinta Irfan tempohari. Tapi aksi mesra lelaki itu bersama Izzati membuatkan dia merasa tertipu. Dia tidak ingin dipermainkan lagi.

“Ira…!!”

Irfan memaut dan memegang erat pergelangan tangan kanan Insyirah. Menghalangnya dari berlalu.

“Heii…apa ni? Sakitlah…..lepaskan tangan saya…!.” Ucap Insyirah. Tangannya terasa sakit. Dia meronta. Genggaman tangan Irfan begitu kejap.

“Awak kena dengar dulu penjelasan saya…!” Pinta Irfan. Geram dengan kedegilan Insyirah.

“Saya tak nak dengar apa-apa… Lepaskan saya…!!” Bentak Insyirah lagi.

Semakin Insyirah meronta semakin kejap genggaman tangan lelaki itu. Tubuh Irfan semakin merapatinya. Insyirah mula berdebar-debar. Bahunya sudah menyentuh dada bidang lelaki itu. Wajah Irfan begitu hampir dengan telinganya.

“Saya tak pernah tipu awak Ira. Saya dan Izzati memang tak ada apa-apa. Apa yang saya luahkan pada awak malam tu adalah benar. Dan saya nak awak tahu saya memang maksudkannya. Saya benar-benar nak kembali bersama awak. Menyambung semula hubungan cinta kita yang putus dulu. Berilah saya peluang kedua Ira…please….” Bisik Irfan lembut di telinganya. Insyirah hanya membatu. Untuk beberapa ketika mereka berkeadaan begitu.

Irfan mula meleraikan genggamannya bila Insyirah terus diam seribu bahasa. Dia mula dipagut rasa bersalah. Adakah dia terlalu mendesak?

Insyirah terus berlalu meninggalkan Irfan yang termangu. Hati kecilnya masih meragui kata-kata lelaki itu.


MALAM terakhir di Pulau Perhentian. Mereka menikmati BBQ Makanan Laut sambil berbual. Hati Irfan berlagu cemburu melihat kemesraan Insyirah bersama Zuhairi. Adakah dia sudah terlambat untuk kembali menagih cinta Insyirah? Atau gadis itu sekadar ingin menduga hatinya? Teringat kejadian semalam saat Insyirah melempiaskan amarahnya. Saat itu dia benar-benar yakin cintanya masih berbalas. Namun dia keliru dengan apa yang dipamerkan di matanya tika ini. Jika benar sudah berputik cinta di hati Insyirah bersama teman baiknya itu, wajarkah dia terus mementingkan diri untuk merebut cinta itu? Dia tidak mahu menjadi zalim semata-mata kerana cinta.

“Abang…”

“Abang masih marahkan Zati pasal dulu? Sebab Zatilah abang berpisah dengan Ira…” Ucap Izzati perlahan.

“Zati…kisah lama tak payahlah diingat-ingat balik. Abang tak marahkan Zati. Abang bersyukur sangat bila Zati dah berubah dan menyesali kesilapan Zati dulu.” Balas Irfan. Izzati memanjatkan kesyukuran pada ILLAHI.

“Abang tak cemburu ke tengok Hairi dengan Ira tu..?” Soal Izzati kembali sambil memandang Irfan. Matanya kemudian tertancap pada Zuhairi dan Insyirah yang mesra duduk berbual.

“Buat apa abang nak cemburu?” Tanyanya cuba sembunyikan resah di hati.

“Bukan ke abang masih cintakan Ira?”

“Mana ada…pandai-pandai je Zati ni…!” Cuba berdalih.

“Abang tak payahlah nak tipu Zati. Zati tahu…abang masih cintakan Ira. Zati dapat rasa dari setiap tindak-tanduk abang tu..” Izzati merenung wajah abang sepupunya.

“Kalau ya sekalipun abang cintakan Ira…tak semestinya cinta abang masih berbalas. Abang akan bahagia jika Ira bahagia. Walau siapapun pilihan Ira, abang tetap akan doakan kebahagiaannya…” Akui Irfan dengan jujur. Namun hatinya tetap rasa tersayat saat melafazkan kata-kata itu. Tiba-tiba kolam matanya terasa panas.

Dia mengangkat punggung lantas berlalu dari situ. Dia telah mendapat jawapan dari kebisuan Insyirah. Telahnya. Entah kenapa hatinya jadi sayu saat membayangkan dia akan kehilangan Insyirah buat kali kedua.

Izzati memandang dengan sorot matanya. Dia bertambah yakin cinta Irfan buat Insyirah terlalu utuh. Takkan ada sesuatu pun yang mampu meruntuhkan ia selain takdir ALLAH.


ZUHAIRI merenung Insyirah di sisinya. Gadis itu sudah berhenti mengunyah dan kelihatan mengelamun jauh.

“Ira…”

“Ira….!” Sambil menepuk bahunya. Tersentak Insyirah.

“Er…haah..apa?!” Bagai tersedar dari mimpi.

“Kenapa tak habiskan ayam tu?” Soal Zuhairi.

“Er…dah kenyang…” Balasnya pendek.

“Ira…boleh saya tanya sesuatu?” Insyirah mengangguk. Matanya memandang Zuhairi.

“Ira masih cintakan Irfan?”

“Er…apa maksud Hairi ni? Kenapa pulak tanya Ira soalan tu?” Agak terkejut dengan soalan lelaki itu. Adakah Zuhairi sudah tahu semua cerita antaranya dan Irfan?

“Ira…saya tahu apa yang pernah terjadi antara Ira dan Irfan.”

“Dan saya juga tahu Ira masih cintakan dia…..”

“Hairi..itu semua dah jadi sejarah. Cinta kami tak mungkin bertaut kembali….” Hanya di bibir. Tidak di hatinya.

“Kenapa tidak? Sejarah mungkin berulang. Saya tahu Ira tak pernah lupakan Irfan.” Tutur Zuhairi lagi.

“Isshh..mana ada..pandai-pandai aje awak ni Hairi. Jangan main serkap jarang je..!”Masih menafi realiti yang terbuku di hati.

“Mana ada saya serkap jarang. Memang betul kan? Sebab tu Ira tak boleh terima saya. Tak ada ruang untuk saya di hati Ira.” Insyirah terpana. Tanpa sedar dia telah melukakan hati lelaki sebaik Zuhairi.

“Hairi…maafkan Ira.…” Rasa bersalah mula memagut hatinya.

“Ira tak perlu mintak maaf. Cinta memang tak boleh dipaksa. Saya tetap bersyukur sebab Ira masih anggap saya sebagai kawan.” Balas Zuhairi sambil merenung Insyirah. Gadis itu tergamam.

“Ya…kawan. Saya dapat rasakan kita hanya mampu menjadi kawan baik, bukan kekasih.” Zuhairi yakin dengan apa yang diluahkannya itu. Dia tersenyum memandang Insyirah.

“Kawan…hingga ke akhir hayat?” Soal Insyirah.

“Ya…Kawan hingga ke akhir hayat...” Balas Zuhairi.

Insyirah tersenyum manis memandang lelaki itu. Dia sendiri tidak mampu membohongi diri agar menerima Zuhairi lebih dari seorang kawan. Itulah yang terbaik buat mereka.

Kedua tangan itu saling berjabat. Erat. Termeterai janji antara mereka. Mereka akan hanya menjadi kawan baik selamanya. Keduanya ketawa kecil.

Izzati dan Qaleesha hanya memandang dari jauh. Kemesraan itu mampu merungkaikan berbagai andaian. Ada cintakah antara mereka?




STAY-C PREVIEW TRACK



KASANOVA



LALAI








Saturday, July 23, 2011

BAB 20 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



“PULAU Perhentian?.”


Irfan memandang adiknya. Inginkan kepastian.

“Ya. Esha pun tak sangka boleh dapat Tempat Pertama. Hadiahnya penginapan 3 hari 2 malam untuk 5 orang dekat Perhentian Island. Wah…best tu. Bukan senang nak dapat peluang ni…!” Ucap Qaleesha sambil tersenyum lebar. Tak sangka. Dia sertai Pertandingan Fotografi tu hanya untuk kepuasan hati sendiri.

“Adik pergi jelah sorang….” Usul Irfan.

“Apa abang ni? Sampai hati abang suruh Esha pergi sorang-sorang..!” Bibirnya muncung. Merajuk.

“Abang kerjalah dik..macamana nak pergi?” Dalih Irfan.

“Esha tahu…abang mesti nak pergi.” Qaleesha kembali menguntum senyum.

“Pandai-pandai je…bila masa abang cakap nak pergi?!” Sambil mengerut kening.

“Abang mesti nak perginya lah…sebab.. Kak Ira pergi….!” Qaleesha menjeling abangnya.

“Haah..Kak Ira pergi?!” Irfan sedikit terkejut dengan kata-kata adiknya. Terangkat kedua keningnya.

“Haah..kenapa? Tak percaya?!” Usik Qaleesha sambil tersengih. Gelihati melihat reaksi abangnya saat nama itu disebut.

“Ya..Esha ajak Kak Ira pergi. Kak Izzati dengan abang Hairi pun!” Irfan terdiam. Hatinya mula berbelah bahagi.

“Abang..jomlah!” Pujuk Qaleesha.

“Haa..Abang boleh ambik peluang ni untuk tackle Kak Ira semula…!” Cadang Qaleesha. Amboi..dia pulak yang merancang. Bisik hati Irfan sambil tersengih.

“Abang nak pergi ke tak ni? Kalau tak nak, Esha ajak Mak Munah aje. Biar abang duduk rumah sorang-sorang. Nak?!” Bentaknya. Mula bosan memujuk.

“Amboi…ugut nampak..! ” Irfan menjeling adiknya itu.

“Habis tu…susah sangat. Nak pergi ke tak ni abangku sayang..?!” Soalnya kembali.

“Ok..ok..abang pergi. Puas hati?!” Sambil memandang adiknya.

Qaleesha hanya membalas dengan senyuman lebar. Satu percutian yang pastinya meninggalkan kenangan terindah untuk semua. Terutamanya abang kesayangannya itu. Kak Ira? Harap-harap Tuhan melembutkan hati Kak Ira untuk terima abang semula. Doanya dalam hati.


SESAMPAI di Jeti Kuala Besut mereka menaiki bot untuk ke Pulau Perhentian Besar. Lebih kurang 40 minit kemudian mereka tiba dan check in di Arwana Perhentian Eco Resort. Mereka menginap di dua bilik berasingan.

Tangan Insyirah menyelak tirai di bilik suite itu. Dia keluar ke balkoni sambil menikmati suasana damai dan santai di situ.

“Amboi..cantiknya…!” Puji hatinya.

“Akak…!” Qaleesha menghampirinya.

“Ya…” Sahut Insyirah sambil memalingkan muka ke arah gadis itu.

“Akak pernah datang sini?” Soal Qaleesha.

“Tak pernah…ini kali pertama. Cantik kan tempat ni Esha?” Balas Insyirah. Qaleesha mengangguk sambil menghalakan kamera merakamkan keindahan suasana itu. Gembira dapat ke sini bersama-sama.

Izzati pula hanya memerhatikan mereka berdua. Peluang percutian ini akan digunakan sebaik mungkin untuk terus berusaha memohon kemaafan dari Insyirah.

“Akak bersiaplah. Kejap lagi kita pergi lunch..” Ujar Qaleesha sambil memandang Izzati yang sedang berbaring di katil.

“Ok Esha…” Jawab Izzati ringkas.

Dia bingkas bangun lalu menyiapkan diri ala kadar. Mereka kemudiannya keluar beriringan menuju ke restoran.


ZUHAIRI yang berbaring di katil sambil menonton TV bingkas bangun sebaik melihat Irfan yang baru keluar dari tandas.

“Irfan…”

“Hmm…” Matanya memandang sekilas ke arah sahabat lamanya itu.

“Kau memang dah takde apa-apa dengan Ira ek?”

“Kau ni kenapa asyik tanya soalan tu..?!” Soal Irfan.

“Tak adalah…kalau betul tak ada apa-apa, aku masih ada peluang nak tackle dia…!” Sambil merenung Irfan.

Mata Irfan tertancap pada skrin TV. Benarlah telahannya. Zuhairi memang ada hati pada Insyirah.

“Tak ada…..” Jawabnya ringkas.

Siapalah dia untuk menghalang Zuhairi. Kisah cintanya bersama Insyirah sudah jadi sejarah. Walau hatinya ingin benar kembali menyemai kasih itu.


KETIKA di Restoran, Zuhairi melayan Insyirah dengan mesra. Tolong ambilkan air dan makanan untuknya. Sebentar kemudian tolong ambilkan desert pula. Insyirah sedikit terkejut. Zuhairi melayannya bagai seorang Puteri. Irfan pula memandang dengan rasa cemburu. Hatinya panas. Tapi layakkah dia untuk rasa begitu?

“Ira…” Izzati merapati Insyirah yang duduk di bangku kayu selepas usai lunch tadi.

Zuhairi dan Irfan pula telah menapak ke Bilik Snooker. Untuk mempertajamkan skill kata mereka. Ternyata kedua sahabat baik itu berkongsi minat yang sama.

Insyirah berpaling ke arah suara itu. Dia sedikit cuak tatkala melihat kehadiran Izzati di situ.

“Boleh saya cakap sikit?” Soal gadis itu sambil turut duduk di bangku di hadapan Insyirah.

“Awak nak cakap apa?” Soalnya acuh tak acuh. Dia andaikan Izzati akan menyatakan hal yang sama.

“Saya nak mintak maaf pada awak. Saya tetap akan terus mintak maaf dengan awak. Hingga awak sudi maafkan saya, Ira.” Benar telahannya.

“Saya akan sabar menunggu…” Sambung Izzati lagi.

Insyirah merenung gadis itu. Entahlah. Insyirah tidak tahu kenapa bibirnya payah untuk menerima maaf gadis itu. Dia masih meragui keikhlasan Izzati. Insyirah bingkas bangun berlalu dari situ.

Izzati pasrah. Hati Insyirah masih membeku untuk menerima maafnya. Dia akan terus bersabar.


IRFAN nekad suarakan rasa hatinya kembali. Meskipun dia sendiri tidak pasti dengan penerimaan Insyirah. Dia berserah saja. Irfan merenung wajah polos Insyirah.

“Cantik tempat ni kan?” Tutur Irfan memulakan bicara. Dia menjeling Insyirah yang duduk di hadapannya.

“Aa ar…memang cantik…” Balas Insyirah pendek. Sambil tersenyum memandang Irfan sekilas. Mereka kembali membisu.

“Ira…Sam masih ganggu awak lagi ke?” Soal Irfan bila tiba-tiba teringat akan lelaki itu.

“Tak ada…dah lama saya tak nampak kelibat dia…” Ujar Insyirah. Lelaki itu tidak lagi muncul kebelakangan ini.

“Oh ye ke? Tapi awak tetap kena berhati-hati ya Ira.” Pesan Irfan. Entah kenapa hatinya risau setiap kali mengingatkan lelaki kurang siuman itu. Dia sedikit pelik bila mendengar kata-kata Insyirah tadi. Ke mana pulak si Sam tu pergi? Bisik hatinya.

“Irfan...ada apa hal awak nak jumpa saya? Nak tanya pasal Sam aje ke?” Soal Insyirah bila melihat Irfan mendiamkan diri.

“Oh…tak. Sebenarnya ada perkara yang nak saya cakapkan kat awak.” Tutur Irfan. Dia mengetap bibir.

“Apa dia?” Irfan cuba mengumpul kekuatan untuk memulakan bicara.

“Ira..sebenarnya saya masih cintakan awak…!” Pengucapan Irfan membuatkan Insyirah tergamam.

“Perasaan saya pada awak tak pernah berubah. Saya ingin bersama awak semula. Cukuplah dengan perpisahan dulu. Saya tak sanggup kehilangan awak lagi Ira...”

Insyirah terpana dengan kata-kata Irfan. Begitu luhur dan menyentuh hatinya. Perpisahan dulu bukan salah sesiapa. Cuma keadaan yang memaksa. Wajarkah dia untuk terus rasa bimbang? Bimbang ikatan cinta mereka akan diganggu gugat lagi.

“Ira…adakah awak juga masih cintakan saya?”

Soalan Irfan membuatkan Insyirah terus membatu. Mata lelaki itu menyorot seraut wajah kerinduannya itu. Seraut wajah manis itu tidak pernah padam dari ruang ingatan. Terpahat utuh di lubuk hati lelakinya.

“Ira…” Lembut suara itu memanggil Insyirah. Suara yang menggetarkan hatinya.

Insyirah mengangkat muka merenung wajah Irfan. Wajah tenang yang pernah menyentuh hatinya dengan kata-kata sayang dan cinta. Begitu membahagiakan. Kini ia terucap kembali. Hati rapuhnya tetap terusik dengan lafaz indah itu. Ingin dilempiaskan rasa yang sama yang membalut hatinya. Namun, bibirnya bagai membeku. Adakah dia masih meragui ketulusan cinta Irfan?

Pandangan mata mereka bertaut lagi. Sinar mata itu masih memancarkan cinta dan rindu yang sama. Irfan akan terus menunggu lafaz kata yang sama dari bibir gadis itu. Walau seribu tahun lagi. Dia akan terus menunggu. Kebisuan itu akhirnya terus menemani mereka bersama deruan ombak yang memukul pantai.


SETELAH menikmati makan malam di Restoran Desa Nelayan, masing-masing melakukan aktiviti sendiri. Qaleesha leka merakamkan keindahan resort pada waktu malam. Ralit mencari sudut terbaik. Insyirah pula makin jauh langkahan kakinya menyisir pantai. Sungguh damai suasana di sini. Langkahan itu terhenti bila matanya melihat kelibat dua orang yang dikenalinya sedang berbual di satu sudut yang agak terang. Amat jelas pada pandangan mata Insyirah. Irfan dan Izzati.

Perbualan mereka nampak sedikit tegang. Tidak jelas butir-butir kata itu ke cuping telinga Insyirah. Sesekali tangan Irfan menyentuh lembut bahu gadis itu. Seperti memujuk. Apakah hubungan mereka? Bercintakah mereka? Matanya membuntang bila melihat Izzati menangis sambil memeluk Irfan. Hati Insyirah pedih tiba-tiba. Api cemburu mula menguasainya. Penipu! Irfan telah menemui pengganti tetapi masih cuba menawan kembali hatinya. Terasa diri dipermainkan.

Insyirah memusingkan badan. Ingin segera berlalu dari situ. Tidak sanggup lagi menonton adegan mesra mereka. Izzati akhirnya berjaya meraih cinta Irfan. Telah hatinya. Dengan kemarahan yang meluap-luap dia mula mengangkat kaki. Baru beberapa tapak mengatur langkah, dia tersadung. Berdebuk. Kakinya telah melanggar satu objek keras.

“Aduuuuuh……sakitnya…!!”

Irfan dan Izzati tersentak mendengar suara seseorang mengaduh kesakitan. Mereka melihat kelibat seseorang di satu sudut yang membelakangkan mereka. Mereka meluru ke arah tersebut.

Insyirah cuba untuk kembali bangun. Tapi kakinya rasa teramat sakit.

“Ira…! Kenapa ni?” Irfan tiba-tiba menghampirinya. Matanya terpaku pada gadis itu yang terduduk di pasir. Riak risau terpamer di wajahnya.

Alamak macamana dia boleh perasan aku kat sini ni? Kaki ni pulak time-time nilah buat hal. Yang pergi langgar kerusi tu kenapa? Adoii…masak aku kali ni. Bebel Insyirah dalam hati.

“Awak ok ke?!” Soal Irfan risau sambil membongkokkan sedikit badannya ke sisi Insyirah.

“Er….ok..saya ok..” Dalih Insyirah. Menundukkan wajah. Tidak ingin memandang wajah itu. Izzati di belakang hanya diam.

“Boleh bangun tak? Nak saya tolong?!” Ucap Irfan sambil memegang lengan Insyirah.

“Tak payah…saya boleh bangun sendiri..!” Menepis tangan lelaki itu. Masih marah. Tak usah nak tunjuk baiklah! Bentak hatinya. Di cubanya untuk bangun. Irfan hanya memerhati.

“Ouuuuchhh…….!” Insyirah menyeringai menahan kesakitan. Terduduk lagi dia di situ.

Di cubanya lagi untuk bangun. Tapi akhirnya Insyirah tetap kembali terduduk sambil menahan kesakitan. Padan muka aku. Berlagak sangat. Dia menyumpah dalam hati. Irfan yang asyik memerhatikan tingkahnya mula naik geram dengan kedegilan gadis itu.

“Kalau tak boleh bangun cakap jelah…degil betul..!!” Omel Irfan dengan suara yang sedikit meninggi. Insyirah menjeling tajam.

Tanpa menunggu persetujuan Insyirah, Irfan tunduk lalu mencempung tubuh kecil molek itu. Insyirah terkejut besar. Dia diam membatu sambil merenung wajah tampan itu. Irfan turut merenung sekilas ke arahnya. Insyirah menundukkan wajahnya. Terasa sangat malu. Tambah-tambah lagi pada Izzati yang sejak tadi asyik memerhati. Pasti gadis itu cemburu melihat aksi spontan Irfan itu. Bisik hatinya.

Tubuh Insyirah diletakkan dengan hati-hati di kerusi kayu berhampiran. Sejurus itu Irfan duduk di hadapannya. Tangan kasar lelaki itu mula memegang buku lalinya.

“Macamana awak berjalan ni? Kerusi sikit punya besar tu pun tak nampak?!” Leter lelaki itu sambil memandang muka masam Insyirah.

“Dah memang tak nampak, nak buat macamana…!” Masih ingin menjawab kata-kata Irfan. Meski telah terbukti salah sendiri. Amarahnya belum reda.

Irfan memulas sedikit buku lali gadis itu. Geram.

“Adoooiii….sakitlah…!!” Jerit Insyirah sambil memukul kuat lengan lelaki itu.

Irfan menyengih walaupun terasa sakit dipukul. Mata itu menjeling tajam padanya.

“Eh…Kak Ira. Kenapa ni?!” Qaleesha yang tiba-tiba muncul menerpa ke arah Insyirah. Irfan masih memegang kaki mulus Insyirah.

“Ada orang tu tadi…tak nampak ada gajah kat depan..dah rabun ..kena pergi check mata lepas ni…!” Usikan Irfan dibalas dengan jelingan Insyirah. Dahlah kaki sakit. Ditambah lagi dengan sakit hati disindir begitu.

“Gajah? Mana ada gajah kat sini bang…mengarutlah…!” Balas Qaleesha sambil berkerut kening. Tidak mengerti. Izzati menahan tawa.

“Boleh jalan sendiri ke tak ni? Ataupun nak saya dukungkan ke bilik…?” Soal lelaki itu.

Insyirah kembali merenung tajam Irfan. Tiada senyuman terukir di wajahnya. Menahan geram.

“Zati dengan Esha tolong papah Ira ke bilik...” Pinta Irfan seakan mengerti pandangan mata Insyirah. Banyak kali mata itu menjeling tajam padanya.

“Nanti balut kaki yang terseliuh tu dengan bandage ya…” Pesannya lagi. Qaleesha dan Izzati mengangguk tanda faham. Mereka memapah Insyirah menuju ke bilik penginapan.

Irfan memandang langkah Insyirah yang terhencut-hencut. Ikutkan hati mahu saja dia mendukung gadis itu ke bilik. Tapi tidak ingin dia menambah amarah di hati Insyirah. Dia sedar ada riak cemburu di hati itu. Pasti gadis itu terpandang aksinya bersama Izzati sebentar tadi. Tingkah Insyirah telah mengiakan semuanya. Hatinya berbunga dan yakin cinta itu masih ada di hati Insyirah. Saat itu juga senyuman terukir di bibir Irfan.



Wednesday, July 20, 2011

BAB 19 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU


QALEESHA amat menantikan saat-saat ini. Kerinduan pada insan yang dianggap bagai kakak sendiri. Dadanya sebak tiba-tiba. Kolam matanya bila-bila masa saja akan merembeskan air mata. Dihampirinya Insyirah yang sedang duduk di balkoni rumah itu.


“Assalamualaikum Kak Ira…” Perlahan tapi jelas kedengaran.

“Waalaikumussalam..” Jawab Insyirah sambil berpaling ke sisi. Bulat matanya sebaik terpandang wajah itu.

Saat itu juga tubuh kecil molek itu dipeluk Qaleesha. Seakan tidak mahu dilepaskan. Dia menangis gembira.

“Kak Ira….Esha rindukan akak. Esha sayang akak…!” Insyirah membalas pelukan itu. Air jernih turut mengalir di pipi putihnya.

“Akak pun rindukan Esha..!” Sambil meleraikan pelukan Qaleesha. Dikucupnya dahi dan kedua pipi gadis itu. Qaleesha sudah menginjak dewasa. Penampilannya juga berubah kini. Gaya seorang mahasiswi.

“Janganlah nangis…!” Sambil mengesat air mata Qaleesha.

“Akak pun janganlah nangis…!” Sambil turut mengusap pipi Insyirah yang basah dengan air mata. Semakin cantik Insyirah pada pandangan matanya.

Keduanya tertawa dan kembali memeluk antara satu sama lain lagi.

Irfan yang memerhatikan tingkah keduanya sejak tadi hanya mampu tersenyum. Macam jejak kasih pulak. Bisiknya.

Keduanya berbual sampai tak ingat dunia. Mereka berhenti apabila bergema suara Along dari ruang tamu.

“Ira…takkan kenyang dengan berborak aje. Kita ada tetamu ni. Pergilah buatkan air…!” Bebel Aiman. Irfan di sebelah hanya tersengih.

“Oopss..sorry Along. Jom masuk Esha!” Katanya sambil menarik tangan Qaleesha.

“Jemput duduk dulu ya Irfan..Esha... Ira buatkan air!”

“Esha ikut…!”

Kedua mereka berlalu ke dapur. Seketika kemudian mereka masuk bersama dulang berisi cawan dan sepiring Kek Coklat serta seteko air. Irfan memerhatikan Insyirah yang sedang menuang air Nescafe O ke dalam cawan.

“Jemput minum Irfan..” Dia menyambut huluran cawan dari gadis itu. Jari mereka bersentuhan tanpa sengaja.

“Terima kasih..” Ujar Irfan. Cuba mengawal debar di hati. Insyirah pula berlagak biasa walaupun jantungnya berdegup kencang.

“Esha..cuba rasa Kek Coklat yang akak buat ni…” Sambil menyuapkan secubit ke mulut Qaleesha. Aiman tersenyum memerhati.

“Hmmm…sedapnya Kak Ira. Abang, cuba abang rasa…” Irfan mencapai kek dalam piring yang dihulurkan. Disuapkan ke mulut.

“Sedap kan…?” Soal Qaleesha.

“Memang sedap. Boleh bukak kedai bakery ni…” Balas Irfan sambil tersenyum memandang Insyirah. Masih dia ingat kegemaran gadis itu. Coklat.

“Isshh…ada ada jelah. Biasa-biasa aje tu…” Ujarnya sambil turut tersenyum.

“Terima kasih Irfan sebab bawak Esha ke sini. Terubat rindu saya kat dia…” Sambungnya sambil memandang Qaleesha. Tersenyum mengingatkan kejadian sebentar tadi. Malu sendiri.

“Esha tu pun rindu sangat dekat awak Ira. Kalau saya tak bawak jumpa awak, panjanglah muncungnya nanti. Kalah muncung itik…!” Usik Irfan.

“Issh…abang ni..jahat tau.!” Ucap Qaleesha. Disambut tawa semua.

Mereka berempat berbual rancak. Bagai satu keluarga. Dari satu topik ke satu topik. Diselangi hilai tawa. Dua pasang mata itu mencari kesempatan menjeling antara satu sama lain. Sesekali mata itu bertemu. Hanya senyuman terukir di bibir masing-masing. Hati pun turut berlagu riang.


INSYIRAH memandang wajah abangnya. Kata-kata Along membuatkannya kembali berfikir.

“Along akui Izzati memang bersalah. Tapi jika dia benar-benar sudah insaf, kenapa tidak beri dia peluang dan memaafkan kesilapannya tu.”

“Tapi Ira tak yakin dia benar-benar insaf…Ira bimbang dia ulangi kesilapan lalu...”

“Tak salah Ira rasa bimbang..tapi jangan sampai melampau-lampau hingga tidak percaya kepada Qada’ dan Qadar ALLAH. ALLAH sudah beri petunjuk pada dia dan apa salahnya kita bimbing dia untuk terus berada di landasan yang benar.”

“Ira…sedangkan Nabi ampunkan umat, apatah lagi kita ..hanya hamba ALLAH yang lemah. Siapa kita untuk menghukum orang lain.”

Ada benarnya. Kenapa tidak diberi peluang pada gadis itu? Along sendiri ternyata tidak berdendam pada Izzati. Bukankah zalim jika dia masih menyimpan rasa dendam?


SEBAIK sahaja tamat kelas tuisyen bersama anak-anak An Nur, Insyirah melangkahkan kaki ke pintu pagar utama Yayasan tersebut. Begitulah rutinnya pada setiap petang. Dia hanya berjalan kaki sahaja kerana jarak antara Yayasan ke rumahnya hanya 500 meter. Dek kerana menghadiri kursus pada siang tadi, mahu tidak mahu Insyirah terpaksa menggantikan kelas pada sebelah malam. Kelihatan kelibat pengawal keselamatan yang dipanggil Pak Abu, suami kepada Mak Tun berdiri di luar pondok pengawal.

“Ira, hati-hati jalan tu ya!” Pesan Pak Abu sebaik terpandang Insyirah.

“Baik Pak Abu. Selamat malam!” Ucapnya.

“Selamat malam!” Balas Pak Abu. Matanya menyoroti langkah Insyirah yang dianggap seperti anak sendiri.

Insyirah melewati pintu pagar utama itu. Kedinginan mula terasa saat bayu malam menyapa lembut wajahnya. Sejuk semacam pulak malam ni. Nak hujan ke? Detik hatinya. Dia menggosok-gosok perlahan kedua-dua belah lengannya sambil memandang ke langit. Bulan bersinar terang.

Derapan kakinya terhenti tatkala mendengar bunyi seperti ranting patah dipijak sesuatu. Dia memasang telinga. Suasana senyap dan sunyi.

Beberapa ketika kemudian, dia kembali menyambung langkah.

“Ira…!” Tiba-tiba kedengaran satu suara memanggil.

Insyirah terkejut. Dia mengenali suara itu sambil memalingkan muka ke belakang. Benar telahannya. Kelihatan sesusuk tubuh lelaki di bawah suram lampu jalan sedang memandangnya dengan senyuman lebar.

Itulah dia Sam. Lelaki yang sering mendekatinya setiap kali terpandang kelibatnya di jalan itu. Dia tidak pernah berprasangka buruk pada lelaki itu. Dia melayannya berbual dengan baik. Namun, semakin hari tingkah Sam mula menakutkannya. Muncul tidak kira tempat dan masa. Insyirah tidak pernah bercerita pada sesiapapun tentang hal itu. Sekalipun pada Along. Apa yang dia buat kat sini malam-malam ni? Takkan tunggu aku kot? Bisik hati Insyirah. Dia menelan air liur. Perasaan takut mula menguasainya.

“Ira…!”

Lamunan Insyirah terhenti. Sam semakin menghampirinya. Tubuh Insyirah mula menggigil ketakutan. Dia melajukan langkahan kaki.

“Ira….tunggu dulu!” Laung Sam.

“Aaaaaaaaaaaaaa……!!” Jeritnya sambil berlari. Sam mula mengejarnya. Dia berlari laju sambil membelok ke arah pintu pagar rumahnya.

Saat itu tidak semena-mena dia telah melanggar tubuh seseorang di depan pintu pagar rumahnya. Terjahan kuat Insyirah telah menyebabkan mereka terjatuh.

“Aduuuuh!!” Masing-masing mengaduh kesakitan. Tubuh Insyirah telah menghempap tubuh sasa itu. Namun rasa takut lebih menguasai Insyirah saat itu.

“Aaaaaaaaaaaaaa……!!” Jeritnya lagi sambil kedua tangannya memukul kuat tubuh itu.

“Pergi! Pergiiiiiiiii…!!” Rayunya. Tangannya masih memukul tubuh itu bertubi-tubi.

“Aduuuh….!!” Kedengaran lagi suara mengaduh. Namun tidak diendahkan Insyirah. Air mata mula mengalir di pipinya.

“Ira….kenapa ni?!” Tiba-tiba kedengaran suara pemilik tubuh itu sambil memegang lengannya. Insyirah tergamam. Suara itu seperti dikenalinya. Tapi itu bukan suara Sam. Itu suara….

Dia mendongakkan wajah. Irfan? Apa yang dia buat kat sini? Sam? Bisik hati Insyirah. Dia berpaling ke belakang. Mencari-cari kelibat Sam. Matanya melilau ke sekeliling arah.

“Ira..Kenapa ni? Apa yang berlaku?!” Soal Irfan lagi sambil turut memandang ke arah tersebut. Risau melihat tingkah gadis itu.

Insyirah memandang Irfan. Dia sedikit kebingungan. Tubuhnya masih menggigil. Irfan memaut bahu Insyirah dan membantunya untuk bangun.

“Ira….awak ok?!” Irfan memandang wajah Insyirah yang kelihatan pucat. Pipinya basah dengan air mata. Dia seperti dalam ketakutan.

“A…ada orang ikut saya tadi….. Dia ..dia..ke..kejar saya. Sa..saya takut.. Sa..saya……” Ucapnya penuh gugup. Bibirnya menggeletar. Insyirah semakin merapatkan diri ke arah Irfan. Air matanya masih bercucuran sambil melilau-lilau ke arah belakang.

Irfan tergamam. Orang? Siapa yang Insyirah maksudkan? Mungkinkah ada yang cuba menakutkan gadis itu?

“Isshh…dah…dah. Tak ada sesiapapun kat sini. Jom kita masuk.!” Pujuk Irfan sambil menggosok-gosok perlahan bahu Insyirah. Dia memeluk bahu gadis itu dan menariknya masuk. Insyirah hanya menurut.

Sebaik pintu dibuka, Aiman terkejut melihat wajah pucat adiknya itu. Insyirah memeluknya sambil menangis.

“Ira, kenapa ni haah?” Soal Aiman sambil memandang ke arah Irfan. Bila dimaklumkan Insyirah ada kelas malam tadi, Irfan menawarkan diri untuk menjemputnya. Tapi Aiman hairan bila melihat keadaan adiknya itu. Apa yang telah berlaku? Bisik hatinya.

“Along, saya nampak dia balik sambil berlari ketakutan tadi…!”

“Katanya ada orang kejar dia. Tapi saya tak pulak nampak sesiapa tadi!” Jelas Irfan.

“Ira… Siapa yang kejar Ira? Ira nampak siapa?!” Soal Aiman sambil merenung Insyirah. Insyirah mengumpul kekuatan untuk berbicara.

“Ira…Ira kenal Along. Lelaki itu namanya Sam…” Sam? Siapa Sam? Bisik hati Irfan. Berkerut keningnya saat itu.

“Sam? Bukan ke lelaki itu sakit mental?!” Soalan Aiman mengejutkan Irfan. Sakit mental? YA ALLAH. Dia mula memikirkan keselamatan Insyirah.

“Haah..sakit mental?!” Insyirah terkejut dengan kata-kata abangnya.

“Ya, Ira. Along dengar Sam tu sakit mental sejak kematian isterinya tujuh tahun lepas!” Jelas Aiman.

“Mana Along tahu?!” Soal Insyirah kembali.

“Hairi pernah beritahu Along. Along juga pernah dengar cerita dari kakitangan Yayasan.” Terang Aiman.

“Dia selalu ganggu Ira ke?!” Soal Irfan pula. Insyirah mengangguk.

“Setiap petang lepas Ira habis kelas tuisyen, dia selalu tunggu Ira kat jalan yang selalu Ira lalu tu.” Sambungnya lagi.

“Habis tu kenapa Ira tak cakap kat Along?Kan bahaya tu!” Omel Irfan sambil merenung tajam Insyirah.

“Ira tak fikir dia jahat. Dia cuma ingin berbual. Lagipun awal-awal dulu dia nampak ok aje…!” Balas Insyirah sambil turut memandang wajah lelaki itu.

“Ira....jangan cepat percayakan orang. Walaupun nampak baik, kadang kala kita tak tahu apa niat sebenar dia. Kalau dibiarkan, Ira yang akan dapat susah. Tengok saja apa yang terjadi tadi. Ira nak ke terus rasa takut macam tu?!” Bentak Irfan. Insyirah terdiam.

“Kalau dia terus ganggu Ira, kita kena laporkan pada polis Along.” Cadangan Irfan dipersetujui Aiman.

“Ini semua demi keselamatan Ira!” Kata Along sambil memandang adik kesayangannya itu. Insyirah hanya mampu mendiamkan diri. Memang benar kata mereka. Sudah terang lagi bersuluh. Sah-sah semua itu silapnya sendiri.

Beberapa ketika kemudian, Irfan mula bangun dari duduknya.

“Along, dah lewat ni. Saya mintak diri dululah ya.” Ucap Irfan sambil menyalami tangan Aiman.

“Yelah. Terima kasih sebab temankan Along tadi ya.” Balasnya sambil tersenyum.

“Sama-sama. Kalau ada apa-apa hal nanti, Along bagitahu saya ya?”

“Ok..” Sambil mengiringi langkah Irfan ke muka pintu. Insyirah turut mengekori langkah abangnya.

Ring! Ring!

Deringan telefon mematikan langkah Aiman.

“Biar Along jawab. Ira temankan Irfan ke kereta ya.” Sambil kakinya melangkah semula ke ruang tamu. Insyirah mengangguk.

Irfan menyarungkan kasut sambil memandang ke arah Insyirah.

“Ira, awak dah ok?” Soal Irfan. Lega melihat keadaan gadis itu berbanding saat Insyirah melanggar tubuhnya tadi.

“Saya dah ok…” Sambil memandang ke arah lelaki itu. Irfan tersenyum. Insyirah menuruti langkahnya menghampiri kereta.

“Irfan…saya mintak maaf ya..”

“Nak mintak maaf pasal apa pulak?” Dahinya berkerut sambil merenung Insyirah. Tidak mengerti.

“Sebab saya langgar awak tadi. Lepas tu pukul awak pulak. Maaf ya?” Ucapnya lembut. Rasa bersalah kerana telah menyakiti lelaki itu saat ketakutan tadi.

“Oh..pasal tadi. Tak ada apalah….” Ujarnya sambil tersenyum lagi. Insyirah kembali merenungnya.

“Kenapa awak pandang saya macam tu pulak?” Soal Irfan. Sedikit hairan direnung begitu.

“Macamana awak boleh ada kat sini malam ni?” Insyirah menyoal Irfan pula dengan dahi berkerut. Dia sedikit hairan dengan kemunculan lelaki itu di rumahnya.

“Oh pasal tu ke? Sampai dahi awak berkerut seribu…” Usiknya sambil tersengih. Insyirah terus merenungnya. Serius.

“Ok..ok. Sebenarnya saya dah berjanji nak kenalkan Along dengan kawan saya. Dia seorang penasihat perniagaan.” Jelas Irfan.

“Penasihat perniagaan? Nak buat apa?!” Soal Insyirah.

“La.. awak tak tahu ke? Kan Along nak bukak bisnes. Jadi, dia perlu mengetahui banyak perkara tentang selok-belok perniagaan. Saya bawak dia jumpa kawan sayalah tadi.” Jelas Irfan lagi.

“Along nak bukak bisnes? Bisnes apa?” Soal Insyirah kembali. Keningnya berkerut. Along tidak pernah pula bercerita tentang hal itu.

“Bisnes berkaitan keretalah. Along kan minat sangat dengan kereta. Insya-ALLAH Along akan berjaya bergelar seorang usahawan automotif!” Jawab Irfan. Insyirah menganggukkan kepala. Harapannya juga agar Along berjaya.

Irfan memasuki kereta dan menghidupkan enjin.

“Ira, awak kena lebih berhati-hati lepas ni ya..” Pesan Irfan sambil matanya tertancap pada gadis manis itu.

“Kalau lelaki tu ganggu awak lagi, awak cepat-cepat bagitahu Along ya?” Kembali mengingatkan Insyirah.

“Ok…” Balas Insyirah ringkas.

“Hati-hati memandu ya..” Pesan Insyirah pula.

“Ok…Assalamualaikum….” Ucap Irfan sambil tersenyum. Sikap ambil berat Insyirah masih seperti dulu. Itulah yang dia rindukan.

“Waalaikumussalam….”

Sebaik saja kereta Irfan mula bergerak keluar dari kawasan banglo itu, Insyirah menapak ke dalam rumah dan mengunci pintu. Kelibat Along sudah tidak kelihatan di ruang tamu. Dah masuk tidur agaknya. Detik hatinya. Dia menutup lampu lalu menuju ke bilik tidur.

Insyirah membaringkan tubuhnya di katil sambil menarik selimut. Ingatannya menerawang pada kejadian tadi.

Sam. Lelaki misteri yang mula merimaskannya. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk menangani lelaki itu. Dia sendiri hairan mengapa dirinya menjadi sasaran Sam. Walau ada kebimbangan menguasai diri, namun dia akan terus berhadapan dengan Sam saban hari. Namun dia tekad, jika keselamatannya terancam dia pasti akan membuat laporan polis seperti cadangan Irfan.

Irfan. Kasihan lelaki itu menjadi mangsa ketakutannya. Dia tersenyum sendiri mengenangkan saat dia melanggar dan memukul kuat tubuh lelaki itu tadi. Dia sendiri tidak mengerti. Kenapa setiap kali dirinya ditimpa masalah seumpama itu, Irfan pasti akan muncul? Bagai melindunginya. Adakah ini suratan atau suatu kebetulan? Entahlah. Hanya ALLAH yang lebih mengetahui.





Related Posts with Thumbnails