JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Saturday, June 11, 2011

BAB 1 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU


MALAM kian dinihari. Namun mata Insyirah masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk tidur. Mungkin disebabkan keresahan yang menguasai diri saat itu. Ingatannya menerawang pada pertemuan dengan Liyana siang tadi. Teman baiknya itu telah pun bekerja di Bandar di sebuah syarikat penerbitan.

Setelah tamat SPM tahun lepas, bukan dia tidak pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran atau bekerja. Tapi abangnya berkeras meminta agar hanya duduk di rumah menemani ibu mereka, Mak Wan setelah bapa mereka, Pak Zaman meninggal dunia.

“Ibu tu kan sakit. Kalau apa-apa terjadi, siapa yang susah nanti. Lupakan dulu niat Ira tu. Along nak Ira cuba faham keadaan ibu sekarang.” Kata-kata itu muktamad.

Insyirah akur. Meskipun terdetik rasa kecewa, namun dia tidak mahu dikatakan mementingkan diri. Namun kebosanan yang mulai melanda diri sejak akhir-akhir ini membuatkan dia berfikir panjang. Akhirnya dia nekad. Nekad untuk menyuarakan hasratnya kali ini. Tidak boleh tidak. Sama ada diterima atau sebaliknya dia tidak peduli. Begitu tinggi harapannya kini. Akhirnya Insyirah terlelap dengan tekad membulat di hati.

 


INSYIRAH menguak jendela kamar sambil menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Mentari sudah menampakkan diri. Terlewat bangun pulak dia pagi ini. Insyirah sendiri tidak sedar waktu bila dia terlelap semalam. Berjaga hingga lewat malam memikirkan masalah sendiri. Bagai memikirkan masalah negara. Mengalahkan seorang Menteri. Namun apa yang kukuh terpahat dalam ingatan adalah hasratnya yang satu itu perlu dinyatakan pada Along segera.

“Ira! O Ira!. Belum bangun lagi ke?.” Suara Mak Wan mematikan lamunannya.

“Hari dah meninggi ni. Tak baik anak dara bangun lambat. Cepat bangun.” Bebel Mak Wan.

“Ira!”

“Ya, bu. Dah bangun dah ni!.” Sahut Ira lalu terus menuju ke kamar mandi.

Setelah selesai mandi dan bersiap, Insyirah ke dapur untuk membantu Mak Wan menyediakan sarapan.



USAI bersarapan, Insyirah telah terlebih dahulu menyuarakan hasratnya kepada Mak Wan. ALHAMDULILLAH... ibu tidak membantah. Masalah sekarang adalah Along….

“Ibu tak menghalang..tapi Ira kena beritahu Along sendiri.” Kata-kata ibu bagai satu peringatan.

Ah, macamana nak cakap ni? Semalam bersemangat sangat. Adoi…payah pulak rasa nak bukak mulut ni. Kuatkan semangat Insyirah. Bisik hatinya. Payah benar nak berterus-terang dengan abangnya itu.

“Along.” Diam membisu. Aiman masih tekun membelek surat khabar di ruang tamu.

“Along! Tak dengar ke Ira panggil ni?.” Soal Insyirah sambil merapati abangnya.

“Ya, apa dia?.” Balas Aiman. Matanya masih tertumpu pada helaian surat khabar. Sedikit pun tidak menoleh. Khusyuk sungguh dia.

“Along! Ada perkara yang Ira nak cakapkan ni.” Terang Insyirah. Cuba mengalih perhatian abangnya.

“Nanti-nantilah Ira. Kan Along tengah baca surat khabar ni. Janganlah kacau.” Ujar Aiman tegas.

Insyirah rasa kecil hati bercampur geram bila Aiman tidak mengendahkannya. Dia berlari ke halaman rumah dengan muka masam. Langkahnya terhenti pada pangkin di bawah sepohon sena. Air matanya bertakung. Rasa tersinggung semakin menguasainya. Pipi mulusnya basah jua akhirnya dengan air mata.

Bila menyedari ketiadaan Insyirah, Aiman mencari-cari kelibat adiknya. Dia terpandang Insyirah di pangkin dan ternampak adiknya mengesat air mata yang mengalir di pipi.

Alamak. Apa yang aku dah buat tadi? Bisik hati Aiman. Mesti Insyirah menangis kerana hal tadi. Bukan dia tidak tahu. Adiknya itu sangat sensitif. Dia boleh menangis walau hanya kerana perkara kecil. Aiman menuruni tangga lalu menghampiri Insyirah di halaman rumah.

“Ira.” Suara lembut Aiman memecah kesunyian.

Aiman duduk di sisi adiknya. Insyirah diam membatu. Malas dilayan. Biar abangnya rasa apa yang dia rasa sebentar tadi. Rasa sakit hati jika tidak diendahkan. Aiman menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Ira. Kenapa ni? Marahkan Along ek?.”

Soalan Aiman dibiarkan sepi tanpa jawapan. Buat-buat tanya pulak. Eee… geramnya. Bentak hati Insyirah. Dia pura-pura tidak mendengar sambil mata redupnya terus memandang ke hadapan.

“Ira, Along mintak maaf pasal tadi ya.” Diam lagi.

“Along tahu salah Along. Along jahat kan? Tolong maafkan Along! Please……” Kata Aiman yang tiba-tiba melutut di depan adiknya itu. Kedua-dua tapak tangannya dirapatkan sambil membuat mimik muka meraih simpati.

Insyirah rasa nak tergelak melihat wajah kelakar abangnya itu. Buruk sungguh pada pandangan matanya. Tanpa sedar bibir Insyirah mengukir sedikit senyuman.

“Haa… dah senyum pun. Tak payahlah merajuk lagi. Dah tua pun nak merajuk. Penat tau Along nak pujuk”. Usik Aiman lagi.

Adiknya itu memang kuat merajuk tapi rajuknya tak lama. Sikap manja Insyirah itulah yang selalu menceriakan Aiman.

Spontan Insyirah melayangkan cubitan pada lengan Aiman sambil mengetap bibir.

“Adoiiiiii….sakitlah Ira.” Aiman mengaduh kesakitan.

“Padan muka. Siapa suruh cakap Ira tua. Along tu yang tua. Ira muda lagilah. Baru 19 tahun”.

“Oh… pandai-pandai cakap Along pulak yang tua ya. Ambik ni.” Ucap Aiman sambil mencubit geram pipi adiknya.

“Sakitlah Along…..” Kali ini Insyirah pula yang mengaduh sakit. Dia menggosok perlahan pipinya sambil menjeling geram abangnya.

“Maafkan Along ya.” Pinta Aiman sambil tersengih-sengih.

“Hmm….Ira boleh maafkan. Tapi dengan satu syarat.” Balas Insyirah sambil memandang abangnya.

“Amboi! Dahlah merajuk. Nak bagi syarat pulak nak maafkan orang.”

“Mestilah. Kalau tak, Ira mogok tak nak bercakap dengan Along.” Ugut Insyirah sambil memalingkan muka.

Aiman menggeleng kepala. Mogok pulak! Adoi! Nakal sungguh adik aku ni. Tak betah rasa kalau sehari tak mengusik Ira. Apa lagi jika tidak bertekak dengannya. Bisik hatinya.

“Oklah, apa syaratnya?.” Aiman menurut. Insyirah kembali mengadap abangnya.

“ Along janji takkan marah dengan apa yang akan Ira cakapkan nanti. Boleh?.” Laju patah kata yang keluar dari mulut adiknya itu. Riak muka penuh harapan.

“Along belum tahu lagi perkara apa yang Ira nak cakap. Macamana Along nak tahu Along akan marah ke tak?.” Soal Aiman kembali.

“Alah.. Along ni. Janji jelah bukan susah pun nak buat.” Insyirah mula memuncungkan mulut. Aiman tersenyum. Suka benar dia melihat telatah adiknya. Comel sungguh.

“Yelah yelah Along janji.” Senyuman manis mula terukir di bibir Insyirah.

Untuk seketika suasana jadi sepi. Berat pulak mulut Insyirah untuk memulakan bicara. Riak resah mula terpancar di wajahnya. Aiman mengerutkan dahi sambil memandang. Perkara apa yang hendak disampaikan Ira hingga menjadikannya resah begitu.

“Kenapa ni Ira? Perkara apa yang Ira nak beritahu Along? Ira ada masalah ke? Cakaplah dik. Along takkan marah. Along janji. Ira cakaplah.” Lembut suara Aiman memujuk. Insyirah akhirnya memulakan bicara.

“Along. Boleh tak izinkan Ira bekerja?.”

“Bukan maksud Ira nak melawan cakap Along. Tapi Ira bosanlah Along duk memerap kat rumah ni. Ira nak menimba pengalaman bekerja. Kawan Ira, Liyana…abang kenal dia kan… dia janji nak bantu Ira dapatkan kerja. Boleh ya Along?.” Ujar Insyirah. Beria-ia benar dia.

Aiman terkesima dengan tutur adiknya. Tak menyangka adiknya itu akan menyatakan tentang hal ini kembali. Zalimkah tindakannya dulu?. Dia telah menguburkan hasrat murni adiknya untuk menyambung pelajaran demi ibu tercinta, Mak Wan. Kematian bapanya, Pak Zaman menyebabkan Aiman tak betah membiarkan Mak Wan sendiri. Dia merasai kesunyian yang menghimpit sanubari Mak Wan setelah kehilangan suami yang dikasihi. Sejak itu Mak Wan selalu sakit. Mungkin kerana terlalu melayan perasaan sedihnya. Aiman terharu bila Ira sanggup menemani Mak Wan atas permintaannya ketika itu. Alhamdulillah, ibunya kembali bersemangat untuk meneruskan hidup. Keletah manja Insyirah sedikit sebanyak menjadi pengubat Mak Wan. Betapa besar pengorbanan yang dihulurkan adiknya. Namun Ira tak pernah sekalipun merungut. Kini adiknya kembali menyatakan hasratnya itu. Wajarkah dia menolak lagi untuk kali ini? Aiman diam membatu.

Insyirah memandang wajah abangnya. Marahkah dia? Atau tersinggungkah dia dengan kata-kata aku tadi? Walaupun dia sering mengusik abangnya, namun rasa sayang dan hormat pada abangnya itu sangat menebal. Aiman persis arwah bapanya. Bertanggungjawab, amat penyayang dan tegas. Insyirah jadi serba-salah.

“Along, Ira mintak maaf kalau kata-kata Ira membuatkan Along terasa. Along…. Maafkan Ira, Ira tak bermaksud pun…. .” Perlahan Insyirah bersuara. Matanya memandang ke wajah Aiman. Rasa sebak mula menguasainya.

Aiman mengangkat muka memandang adiknya. Air mata mula mengalir membasahi pipi Insyirah. Aiman bersuara sambil mengesat lembut air mata di pipi adiknya.

“ Kenapa nangis lagi ni?. Along tak marahkan Ira pun. Ira tak buat salah apa pun. Cuma….. .”

Ayat Aiman terhenti di situ.

Insyirah menyapu sisa-sisa air mata di wajahnya. “Cuma apa Along…?.”

“Cuma Along rasa bersalah pada Ira. Paksa Ira temankan ibu dulu. Along tak fikirkan langsung perasaan Ira waktu tu. Maafkan Along.” Aiman kembali menyambung kata.

“Buat apa Along nak mintak maaf. Along tak bersalah pun. Ira dengan rela hati nak jaga ibu kan. Lagipun Ira sendiri tak sanggup tengok ibu bersedih.”

“Malah Ira hormat dan sayangkan Along. Along kan abang Ira. Ira tak ada orang lain lagi selain ibu dan Along. Ira tahu itu keputusan tepat yang harus Along ambil demi keluarga kita.” Ujar Insyirah panjang lebar sambil melemparkan senyuman manis.

Kata-kata yang cukup matang di pendengaran Aiman.

“Terima kasih dik. Along pun sayangkan Ira. Iralah satu-satunya adik Along yang paling comel.” Kata Aiman.

“Comel je?.”

“Comel, manja, kuat merajuk, suka nangis… macam-macamlah ada.” Usik Aiman sambil mencubit pipi Insyirah.

“Sakitlah Along!” Jerit Insyirah sambil menggosok pipinya yang pedih.

Aiman ketawa. Insyirah pun turut sama ketawa mendengar kata-kata abangnya. Hissh…macam tu rupanya perangai aku selama ni. Adoi…Insyirah, Insyirah. Sabar ajelah! Ibu dan Alonglah yang banyak bersabar dengan kerenah kau. Macam budak-budak!

“Ira…. Along izinkan Ira bekerja.” Ujar Aiman tiba-tiba.

Insyirah terkejut sambil membulatkan mata. Terangkat keningnya saat itu. Betul ke apa yang aku dengar ni? Bisik hatinya.

Matanya masih terpaku memandang abangnya. Aiman tersengih melihat reaksi spontan adiknya.

“Aa..a..apa Along cakap tadi?.” Soalnya kembali.

“Along cakap… Along benarkan Ira kerja.”

“Betul ke ni Along?.” Tanya Insyirah lagi. Inginkan kepastian.

“Betullah. Kenapa? Tak percaya?.” Usik Aiman.

“Terima kasih Along. Saaaaayang Along!.” Spontan Insyirah melonjak keriangan sambil memeluk abangnya. Aiman ketawa.

“Oh.. sayang Along sebab ni jelah ya. Kalau tak, tak sayanglah?.” Kata Aiman. Mengusik.

“Taklah. Ira sayang Along dan ibu setiap hembusan nafas Ira. Selama hayat dikandung badan. Insya-ALLAH Along.” Ujar Insyirah. Kata penuh tulus yang lahir dari hati.

“Tapi Along ada syarat.” Ujar abangnya tiba-tiba.

“Syarat? Syarat apa pun Ira sanggup Along. Apa syaratnya?.” Tanya Insyirah bersungguh.

“Syaratnya…kalau dah berjaya dapatkan kerja nanti, Along akan hantar dan jemput Ira kat tempat kerja setiap hari. Setuju?.” Ujar Aiman panjang lebar.

“Hmm…tak menyusahkan Along ke? Setiap hari nak kena hantar dan jemput Ira?.” Soal adiknya.

“Mana ada menyusahkan. Itukan tanggungjawab Along.” Tegas Aiman.

“Ok..kalau itu permintaan Along, Ira ikut aje. Janji, Along izinkan Ira kerja.” Balas Ira sambil tersenyum.

“Bila Ira nak pergi?.” Tanya Aiman.

“Nanti Ira tanya Liyana dulu. Along jangan bimbang. Dia sendiri akan bantu carikan kerja untuk Ira kat sana. Insya-Allah kalau ada rezeki Ira, dapatlah kerja nanti.” Terang adiknya. Aiman mengangguk tanda faham.

Persetujuan Along sudah cukup menggembirakan hati Insyirah. Tak sabar rasanya nak menyampaikan berita gembira itu pada Liyana.


IRFAN Naufal membaringkan tubuhnya yang lesu di sofa. Lenguh benar segala urat sarafnya. Penat setelah seharian di kedai tadi. Selalunya, adiknya Qaleesha yang membantunya. Tapi hari itu Qaleesha ada kelas tambahan. Jadi, terpaksalah semua kerja dilakukannya sendiri. Pembantu yang dicari pun belum muncul-muncul lagi. Iklan jawatan kosong yang telah diedarkan sejak sebulan yang lalu seakan dipandang sepi. Entahlah mungkin tak berminat bekerja di ‘gedung ilmu’ itu. Tapi bila fikirkan beban kerja yang digalasnya, dia terus bersabar. “Ah..adalah tu nanti.” Bisik hatinya.



No comments:

Related Posts with Thumbnails