JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Saturday, July 23, 2011

BAB 20 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



“PULAU Perhentian?.”


Irfan memandang adiknya. Inginkan kepastian.

“Ya. Esha pun tak sangka boleh dapat Tempat Pertama. Hadiahnya penginapan 3 hari 2 malam untuk 5 orang dekat Perhentian Island. Wah…best tu. Bukan senang nak dapat peluang ni…!” Ucap Qaleesha sambil tersenyum lebar. Tak sangka. Dia sertai Pertandingan Fotografi tu hanya untuk kepuasan hati sendiri.

“Adik pergi jelah sorang….” Usul Irfan.

“Apa abang ni? Sampai hati abang suruh Esha pergi sorang-sorang..!” Bibirnya muncung. Merajuk.

“Abang kerjalah dik..macamana nak pergi?” Dalih Irfan.

“Esha tahu…abang mesti nak pergi.” Qaleesha kembali menguntum senyum.

“Pandai-pandai je…bila masa abang cakap nak pergi?!” Sambil mengerut kening.

“Abang mesti nak perginya lah…sebab.. Kak Ira pergi….!” Qaleesha menjeling abangnya.

“Haah..Kak Ira pergi?!” Irfan sedikit terkejut dengan kata-kata adiknya. Terangkat kedua keningnya.

“Haah..kenapa? Tak percaya?!” Usik Qaleesha sambil tersengih. Gelihati melihat reaksi abangnya saat nama itu disebut.

“Ya..Esha ajak Kak Ira pergi. Kak Izzati dengan abang Hairi pun!” Irfan terdiam. Hatinya mula berbelah bahagi.

“Abang..jomlah!” Pujuk Qaleesha.

“Haa..Abang boleh ambik peluang ni untuk tackle Kak Ira semula…!” Cadang Qaleesha. Amboi..dia pulak yang merancang. Bisik hati Irfan sambil tersengih.

“Abang nak pergi ke tak ni? Kalau tak nak, Esha ajak Mak Munah aje. Biar abang duduk rumah sorang-sorang. Nak?!” Bentaknya. Mula bosan memujuk.

“Amboi…ugut nampak..! ” Irfan menjeling adiknya itu.

“Habis tu…susah sangat. Nak pergi ke tak ni abangku sayang..?!” Soalnya kembali.

“Ok..ok..abang pergi. Puas hati?!” Sambil memandang adiknya.

Qaleesha hanya membalas dengan senyuman lebar. Satu percutian yang pastinya meninggalkan kenangan terindah untuk semua. Terutamanya abang kesayangannya itu. Kak Ira? Harap-harap Tuhan melembutkan hati Kak Ira untuk terima abang semula. Doanya dalam hati.


SESAMPAI di Jeti Kuala Besut mereka menaiki bot untuk ke Pulau Perhentian Besar. Lebih kurang 40 minit kemudian mereka tiba dan check in di Arwana Perhentian Eco Resort. Mereka menginap di dua bilik berasingan.

Tangan Insyirah menyelak tirai di bilik suite itu. Dia keluar ke balkoni sambil menikmati suasana damai dan santai di situ.

“Amboi..cantiknya…!” Puji hatinya.

“Akak…!” Qaleesha menghampirinya.

“Ya…” Sahut Insyirah sambil memalingkan muka ke arah gadis itu.

“Akak pernah datang sini?” Soal Qaleesha.

“Tak pernah…ini kali pertama. Cantik kan tempat ni Esha?” Balas Insyirah. Qaleesha mengangguk sambil menghalakan kamera merakamkan keindahan suasana itu. Gembira dapat ke sini bersama-sama.

Izzati pula hanya memerhatikan mereka berdua. Peluang percutian ini akan digunakan sebaik mungkin untuk terus berusaha memohon kemaafan dari Insyirah.

“Akak bersiaplah. Kejap lagi kita pergi lunch..” Ujar Qaleesha sambil memandang Izzati yang sedang berbaring di katil.

“Ok Esha…” Jawab Izzati ringkas.

Dia bingkas bangun lalu menyiapkan diri ala kadar. Mereka kemudiannya keluar beriringan menuju ke restoran.


ZUHAIRI yang berbaring di katil sambil menonton TV bingkas bangun sebaik melihat Irfan yang baru keluar dari tandas.

“Irfan…”

“Hmm…” Matanya memandang sekilas ke arah sahabat lamanya itu.

“Kau memang dah takde apa-apa dengan Ira ek?”

“Kau ni kenapa asyik tanya soalan tu..?!” Soal Irfan.

“Tak adalah…kalau betul tak ada apa-apa, aku masih ada peluang nak tackle dia…!” Sambil merenung Irfan.

Mata Irfan tertancap pada skrin TV. Benarlah telahannya. Zuhairi memang ada hati pada Insyirah.

“Tak ada…..” Jawabnya ringkas.

Siapalah dia untuk menghalang Zuhairi. Kisah cintanya bersama Insyirah sudah jadi sejarah. Walau hatinya ingin benar kembali menyemai kasih itu.


KETIKA di Restoran, Zuhairi melayan Insyirah dengan mesra. Tolong ambilkan air dan makanan untuknya. Sebentar kemudian tolong ambilkan desert pula. Insyirah sedikit terkejut. Zuhairi melayannya bagai seorang Puteri. Irfan pula memandang dengan rasa cemburu. Hatinya panas. Tapi layakkah dia untuk rasa begitu?

“Ira…” Izzati merapati Insyirah yang duduk di bangku kayu selepas usai lunch tadi.

Zuhairi dan Irfan pula telah menapak ke Bilik Snooker. Untuk mempertajamkan skill kata mereka. Ternyata kedua sahabat baik itu berkongsi minat yang sama.

Insyirah berpaling ke arah suara itu. Dia sedikit cuak tatkala melihat kehadiran Izzati di situ.

“Boleh saya cakap sikit?” Soal gadis itu sambil turut duduk di bangku di hadapan Insyirah.

“Awak nak cakap apa?” Soalnya acuh tak acuh. Dia andaikan Izzati akan menyatakan hal yang sama.

“Saya nak mintak maaf pada awak. Saya tetap akan terus mintak maaf dengan awak. Hingga awak sudi maafkan saya, Ira.” Benar telahannya.

“Saya akan sabar menunggu…” Sambung Izzati lagi.

Insyirah merenung gadis itu. Entahlah. Insyirah tidak tahu kenapa bibirnya payah untuk menerima maaf gadis itu. Dia masih meragui keikhlasan Izzati. Insyirah bingkas bangun berlalu dari situ.

Izzati pasrah. Hati Insyirah masih membeku untuk menerima maafnya. Dia akan terus bersabar.


IRFAN nekad suarakan rasa hatinya kembali. Meskipun dia sendiri tidak pasti dengan penerimaan Insyirah. Dia berserah saja. Irfan merenung wajah polos Insyirah.

“Cantik tempat ni kan?” Tutur Irfan memulakan bicara. Dia menjeling Insyirah yang duduk di hadapannya.

“Aa ar…memang cantik…” Balas Insyirah pendek. Sambil tersenyum memandang Irfan sekilas. Mereka kembali membisu.

“Ira…Sam masih ganggu awak lagi ke?” Soal Irfan bila tiba-tiba teringat akan lelaki itu.

“Tak ada…dah lama saya tak nampak kelibat dia…” Ujar Insyirah. Lelaki itu tidak lagi muncul kebelakangan ini.

“Oh ye ke? Tapi awak tetap kena berhati-hati ya Ira.” Pesan Irfan. Entah kenapa hatinya risau setiap kali mengingatkan lelaki kurang siuman itu. Dia sedikit pelik bila mendengar kata-kata Insyirah tadi. Ke mana pulak si Sam tu pergi? Bisik hatinya.

“Irfan...ada apa hal awak nak jumpa saya? Nak tanya pasal Sam aje ke?” Soal Insyirah bila melihat Irfan mendiamkan diri.

“Oh…tak. Sebenarnya ada perkara yang nak saya cakapkan kat awak.” Tutur Irfan. Dia mengetap bibir.

“Apa dia?” Irfan cuba mengumpul kekuatan untuk memulakan bicara.

“Ira..sebenarnya saya masih cintakan awak…!” Pengucapan Irfan membuatkan Insyirah tergamam.

“Perasaan saya pada awak tak pernah berubah. Saya ingin bersama awak semula. Cukuplah dengan perpisahan dulu. Saya tak sanggup kehilangan awak lagi Ira...”

Insyirah terpana dengan kata-kata Irfan. Begitu luhur dan menyentuh hatinya. Perpisahan dulu bukan salah sesiapa. Cuma keadaan yang memaksa. Wajarkah dia untuk terus rasa bimbang? Bimbang ikatan cinta mereka akan diganggu gugat lagi.

“Ira…adakah awak juga masih cintakan saya?”

Soalan Irfan membuatkan Insyirah terus membatu. Mata lelaki itu menyorot seraut wajah kerinduannya itu. Seraut wajah manis itu tidak pernah padam dari ruang ingatan. Terpahat utuh di lubuk hati lelakinya.

“Ira…” Lembut suara itu memanggil Insyirah. Suara yang menggetarkan hatinya.

Insyirah mengangkat muka merenung wajah Irfan. Wajah tenang yang pernah menyentuh hatinya dengan kata-kata sayang dan cinta. Begitu membahagiakan. Kini ia terucap kembali. Hati rapuhnya tetap terusik dengan lafaz indah itu. Ingin dilempiaskan rasa yang sama yang membalut hatinya. Namun, bibirnya bagai membeku. Adakah dia masih meragui ketulusan cinta Irfan?

Pandangan mata mereka bertaut lagi. Sinar mata itu masih memancarkan cinta dan rindu yang sama. Irfan akan terus menunggu lafaz kata yang sama dari bibir gadis itu. Walau seribu tahun lagi. Dia akan terus menunggu. Kebisuan itu akhirnya terus menemani mereka bersama deruan ombak yang memukul pantai.


SETELAH menikmati makan malam di Restoran Desa Nelayan, masing-masing melakukan aktiviti sendiri. Qaleesha leka merakamkan keindahan resort pada waktu malam. Ralit mencari sudut terbaik. Insyirah pula makin jauh langkahan kakinya menyisir pantai. Sungguh damai suasana di sini. Langkahan itu terhenti bila matanya melihat kelibat dua orang yang dikenalinya sedang berbual di satu sudut yang agak terang. Amat jelas pada pandangan mata Insyirah. Irfan dan Izzati.

Perbualan mereka nampak sedikit tegang. Tidak jelas butir-butir kata itu ke cuping telinga Insyirah. Sesekali tangan Irfan menyentuh lembut bahu gadis itu. Seperti memujuk. Apakah hubungan mereka? Bercintakah mereka? Matanya membuntang bila melihat Izzati menangis sambil memeluk Irfan. Hati Insyirah pedih tiba-tiba. Api cemburu mula menguasainya. Penipu! Irfan telah menemui pengganti tetapi masih cuba menawan kembali hatinya. Terasa diri dipermainkan.

Insyirah memusingkan badan. Ingin segera berlalu dari situ. Tidak sanggup lagi menonton adegan mesra mereka. Izzati akhirnya berjaya meraih cinta Irfan. Telah hatinya. Dengan kemarahan yang meluap-luap dia mula mengangkat kaki. Baru beberapa tapak mengatur langkah, dia tersadung. Berdebuk. Kakinya telah melanggar satu objek keras.

“Aduuuuuh……sakitnya…!!”

Irfan dan Izzati tersentak mendengar suara seseorang mengaduh kesakitan. Mereka melihat kelibat seseorang di satu sudut yang membelakangkan mereka. Mereka meluru ke arah tersebut.

Insyirah cuba untuk kembali bangun. Tapi kakinya rasa teramat sakit.

“Ira…! Kenapa ni?” Irfan tiba-tiba menghampirinya. Matanya terpaku pada gadis itu yang terduduk di pasir. Riak risau terpamer di wajahnya.

Alamak macamana dia boleh perasan aku kat sini ni? Kaki ni pulak time-time nilah buat hal. Yang pergi langgar kerusi tu kenapa? Adoii…masak aku kali ni. Bebel Insyirah dalam hati.

“Awak ok ke?!” Soal Irfan risau sambil membongkokkan sedikit badannya ke sisi Insyirah.

“Er….ok..saya ok..” Dalih Insyirah. Menundukkan wajah. Tidak ingin memandang wajah itu. Izzati di belakang hanya diam.

“Boleh bangun tak? Nak saya tolong?!” Ucap Irfan sambil memegang lengan Insyirah.

“Tak payah…saya boleh bangun sendiri..!” Menepis tangan lelaki itu. Masih marah. Tak usah nak tunjuk baiklah! Bentak hatinya. Di cubanya untuk bangun. Irfan hanya memerhati.

“Ouuuuchhh…….!” Insyirah menyeringai menahan kesakitan. Terduduk lagi dia di situ.

Di cubanya lagi untuk bangun. Tapi akhirnya Insyirah tetap kembali terduduk sambil menahan kesakitan. Padan muka aku. Berlagak sangat. Dia menyumpah dalam hati. Irfan yang asyik memerhatikan tingkahnya mula naik geram dengan kedegilan gadis itu.

“Kalau tak boleh bangun cakap jelah…degil betul..!!” Omel Irfan dengan suara yang sedikit meninggi. Insyirah menjeling tajam.

Tanpa menunggu persetujuan Insyirah, Irfan tunduk lalu mencempung tubuh kecil molek itu. Insyirah terkejut besar. Dia diam membatu sambil merenung wajah tampan itu. Irfan turut merenung sekilas ke arahnya. Insyirah menundukkan wajahnya. Terasa sangat malu. Tambah-tambah lagi pada Izzati yang sejak tadi asyik memerhati. Pasti gadis itu cemburu melihat aksi spontan Irfan itu. Bisik hatinya.

Tubuh Insyirah diletakkan dengan hati-hati di kerusi kayu berhampiran. Sejurus itu Irfan duduk di hadapannya. Tangan kasar lelaki itu mula memegang buku lalinya.

“Macamana awak berjalan ni? Kerusi sikit punya besar tu pun tak nampak?!” Leter lelaki itu sambil memandang muka masam Insyirah.

“Dah memang tak nampak, nak buat macamana…!” Masih ingin menjawab kata-kata Irfan. Meski telah terbukti salah sendiri. Amarahnya belum reda.

Irfan memulas sedikit buku lali gadis itu. Geram.

“Adoooiii….sakitlah…!!” Jerit Insyirah sambil memukul kuat lengan lelaki itu.

Irfan menyengih walaupun terasa sakit dipukul. Mata itu menjeling tajam padanya.

“Eh…Kak Ira. Kenapa ni?!” Qaleesha yang tiba-tiba muncul menerpa ke arah Insyirah. Irfan masih memegang kaki mulus Insyirah.

“Ada orang tu tadi…tak nampak ada gajah kat depan..dah rabun ..kena pergi check mata lepas ni…!” Usikan Irfan dibalas dengan jelingan Insyirah. Dahlah kaki sakit. Ditambah lagi dengan sakit hati disindir begitu.

“Gajah? Mana ada gajah kat sini bang…mengarutlah…!” Balas Qaleesha sambil berkerut kening. Tidak mengerti. Izzati menahan tawa.

“Boleh jalan sendiri ke tak ni? Ataupun nak saya dukungkan ke bilik…?” Soal lelaki itu.

Insyirah kembali merenung tajam Irfan. Tiada senyuman terukir di wajahnya. Menahan geram.

“Zati dengan Esha tolong papah Ira ke bilik...” Pinta Irfan seakan mengerti pandangan mata Insyirah. Banyak kali mata itu menjeling tajam padanya.

“Nanti balut kaki yang terseliuh tu dengan bandage ya…” Pesannya lagi. Qaleesha dan Izzati mengangguk tanda faham. Mereka memapah Insyirah menuju ke bilik penginapan.

Irfan memandang langkah Insyirah yang terhencut-hencut. Ikutkan hati mahu saja dia mendukung gadis itu ke bilik. Tapi tidak ingin dia menambah amarah di hati Insyirah. Dia sedar ada riak cemburu di hati itu. Pasti gadis itu terpandang aksinya bersama Izzati sebentar tadi. Tingkah Insyirah telah mengiakan semuanya. Hatinya berbunga dan yakin cinta itu masih ada di hati Insyirah. Saat itu juga senyuman terukir di bibir Irfan.



No comments:

Related Posts with Thumbnails