JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Sunday, June 19, 2011

BAB 5 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



INSYIRAH leka menatap kebiruan air laut dan panorama langit yang sungguh indah di persisir pantai itu. Beria-ia benar Qaleesha mengajaknya ke sini tadi. Untuk release tension katanya. Hendak ditolak rasa serba salah pulak. Akhirnya dia akur. Dan kini Insyirah sendiri seakan jatuh cinta dengan keindahan tempat itu. Sungguh damai. Seakan tidak mahu meninggalkan ia.

“Hai… termenung jauh nampak?.” Suara itu mematikan lamunannya.

Dia menoleh ke sisi. Irfan sedang memandangnya sambil tersenyum.

“Asyik memandang keindahan ciptaan Tuhan.” Balasnya sambil turut tersenyum. Dia cuba bertenang walau ada debar yang mencuit dinding hatinya saat itu.

Irfan pula sedang mencari kata-kata untuk meluahkan isi hatinya. Suasana jadi sepi seketika.

“Esha mana?.” Soal Insyirah bila tidak melihat kelibat gadis itu.

“Esha ke tandas tadi.”

“Oh….” Suasana kembali sepi. Hanya terdengar deruan ombak memukul pantai.

“Er… Ira. Sebenarnya ada perkara yang nak saya cakapkan pada awak?.” Akhirnya Irfan kembali bersuara.

Perkara apa pulak ni? Insyirah semakin berdebar-debar.

“Saya…. err….saya cintakan awak Ira.” Irfan mula meluah perasaan sambil merenung gadis itu. Insyirah tergamam. Bermimpikah aku? Benarkah apa yang aku dengar ini?

“Saya dah mula sukakan awak pada waktu kali pertama kita bertemu dulu. Semakin mengenali awak, rasa suka itu sudah bertukar menjadi cinta.” Irfan sendiri tergamam dengan lancar bait kata yang keluar dari mulutnya sendiri. Dia menghela nafas lega.

Luahan hati Irfan walaupun mengejutkan tapi begitu membahagiakan Insyirah. Haruskah dia nyatakan pada lelaki itu bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan?.

Kebisuan Insyirah menjadikan Irfan resah.

“Ira.” Ucap Irfan lagi bila Insyirah tidak memberikan sebarang respon.

“Saya tak akan memaksa awak untuk menerima cinta saya, Ira. Awak juga berhak untuk menolak. Saya cuma nak awak tahu, walau apapun yang terjadi saya tetap akan sayang dan cintakan awak hingga ke akhir hayat saya.” Ujar Irfan sambil memandangnya lagi.

Insyirah memberanikan diri memandang mata itu. Mencari kebenaran kata-kata Irfan. Dia temui kejujuran di sebalik mata yang bercahaya itu. Namun hanya hati Insyirah yang berlagu cinta tapi bibirnya malu untuk mengakuinya. Pandangan mata mereka bersatu lagi. Degupan jantung masing-masing hanya membisikkan satu nama kini. Hanyalah satu. Kerana kaulah yang ku pilih.

“Abang! Kak Ira!.”

Suara Esha mematikan lamunan mereka. Kelihatan Qaleesha berlari-lari anak menghampiri mereka.

“Jom kita pergi minum air kelapa. Hauslah…” Ajak Qaleesha sambil menarik tangan keduanya. Mereka hanya menurut.

Mereka menikmati air kelapa dan pisang goreng di warung berhampiran. Sesekali mata Irfan dan Insyirah bertemu. Ada debar yang kencang menyinggah di dinding hati mereka saat itu.

Qaleesha pula mengekek dalam hati. Rancangan untuk ke pantai hanya satu helah untuk memberi ruang pada abangnya meluahkan perasaan pada Kak Ira. YA ALLAH, Kau bukakanlah pintu hati Kak Ira untuk menerima abang Irfan. Doa Qaleesha dalam hati.


KATA-kata lelaki itu masih terngiang-ngiang di telinga Insyirah.

“Saya cuma nak awak tahu, walau apapun yang terjadi saya tetap akan sayang dan cintakan awak hingga ke akhir hayat saya.”

Luahan hati yang memang dia harapkan. Betapa wajah dan senyuman itulah dari hari ke hari yang kian menyulami ruang hatinya. Haruskah dia juga menyatakan rasa yang sama?

Pintu kedai dikuak oleh seseorang. Kelihatan seorang gadis muda berkaca mata hitam masuk. Penampilan yang begitu bergaya dan seksi. Dari pakaian yang tersarung di badan hingga ke tas tangan dan kasut tumitnya. Semuanya berjenama. Lagaknya seperti anak orang kaya.

“Kak Ira!.”

Panggilan Qaleesha mematikan terus lamunan Insyirah. Sejak tadi dia ralit memerhatikan pelanggan yang baru masuk ke ruang kedai itu.

“Ada apa Esha?.” Insyirah memandang ke arah Qaleesha.

“Esha nak ke sekolah ni. Ada aktiviti ko-kurikulum kat sekolah. Kak Ira tolong beritahu abang Irfan ya. Esha dah lambat ni.” Jelas Qaleesha sambil bersalam dan mencium tangan Insyirah. Dia tergesa-gesa berlalu pergi.

“Ok Esha. Hati-hati ya.”

Insyirah kembali mencari kelibat gadis muda tadi. Gadis itu ralit menilik beberapa buah novel di satu sudut sambil matanya melilau mencari sesuatu. Insyirah menghampirinya.

“Cik, boleh saya bantu?.” Soal Insyirah ramah. Bimbang jika pelanggan sukar mencari bahan bacaan yang diinginkan mereka. Dia perlu membantu.

“Kau ni siapa?.” Keras nadanya. Gadis itu membuka kaca mata hitamnya. Dahinya berkerut. Matanya menilik Insyirah dari atas ke bawah.

“Er…saya Insyirah, pembantu kat sini. Apa bahan bacaan yang cik cari? Boleh saya bantu carikan.”

“Tak payah….aku boleh cari sendiri!.” Bentak gadis itu. Aduhai, sombongnya! Bisik hati Insyirah. Dia membiarkan lalu kembali menyambung kerjanya.

Apabila melihat kelibat Irfan yang baru keluar dari bilik solat, Insyirah menghampirinya.

“Er…Irfan.” Ucapnya.

Selalu ada debar setiap kali harus berhadapan dengan lelaki itu. Irfan berpaling mengadapnya.

“Ya, Ira. Ada apa?.” Lembut suara itu menjawab. Dia melemparkan senyuman pada gadis itu.

“Esha dah ke sekolah. Katanya ada aktiviti ko-kurikulum petang ni. Dia tak sempat beritahu awak tadi.” Jelas Insyirah sambil membalas senyuman itu.

Irfan mengangguk. Dia masih memandang wajah manis Insyirah. Hatinya meronta-ronta inginkan kepastian. Sama ada gadis itu mencintainya atau tidak. Kebisuan Insyirah begitu menyeksakan hatinya. Tapi, biarlah dia memberi ruang untuk gadis itu berfikir. Diterima atau sebaliknya dia tetap pasrah.

“Abang…...” Kedengaran suara manja seseorang memanggilnya.

Insyirah sedikit kaget melihat gadis seksi tadi meluru ke arah Irfan.

“Eh… Izzati?.” Terkejut Irfan dengan kehadiran gadis itu di situ. Aduhai, seksinya pakaian! Detik hati Irfan. Dia nampak mata Insyirah yang tertumpu pada mereka sekarang.

Izzati tersenyum lebar sambil memaut mesra lengannya. Irfan merasa kurang selesa dengan tindakan Izzati. Tapi sengaja dibiarkannya. Dia ingin menduga hati Insyirah saat itu.

Irfan mengenali gadis seksi itu? Siapa dia sebenarnya? Berkerut dahi Insyirah cuba mencari jawapan.

“Bila Zati balik Malaysia ni? Tak bagitahu pun nak balik.” Ucap Irfan.

“Dah dua hari Zati balik. Saja nak bagi surprise. Ni Zati datang sini nak jumpa abanglah. Zati rindu sangat kat abang. Abang tak rindukan Zati ke?.” Lagaknya makin manja. Tangannya masih tak lepas dari memaut lengan lelaki itu.

“Abang pun rindukan Zati.” Ujar Irfan sambil menjeling Insyirah. Wajah itu kelihatan kelat. Irfan menyengih.

“Abang, jom makan. Zati laparlah, belum lunch lagi ni.”

“Oh ye ke? Kesiannya dia. Ok.. ok.. jom abang belanja makan.”

“Ira. Saya keluar sekejap ya.” Tanpa menunggu jawapan Insyirah, Irfan terus berlalu bersama Izzati.

Insyirah memandang mereka dengan geram. Berapi rasa hatinya melihat aksi mesra Irfan bersama Izzati tadi. Semalam bukan main lagi meluah rasa cinta kat aku. Tup-tup hari ni layan perempuan lain pulak. Dasar lelaki. Pantang nampak perempuan dahi licin. Bentak hatinya.


IZZATI menikmati nasi ayam dengan berselera. Irfan memerhati sambil tersenyum. Adik sepupunya itu bukan budak hingusan lagi. Sudah dewasa dan pandai bergaya. Gayanya mengalahkan model. Bertahun-tahun berada di luar negara telah merubahnya sedemikian rupa. Terkedu Irfan melihat cara berpakaiannya kini.

“Zati, dah dapat kerja?”

“Belum lagi bang. Zati ingat nak rehat dululah. Nanti-nanti boleh cari kerja tu.”

“Mana boleh macam tu Zati. Sekarang ni kita kena cepat cari peluang. Kerja sekarang susah nak dapat. Belajar penat-penat takkan nak duduk goyang kaki je.”

“Alah tak apalah bang. Lagipun lama sangat Zati duduk kat luar negara tu. Bagilah peluang Zati lepaskan rindu dulu. Enjoy puas-puas.”

Irfan menggelengkan kepala. Perangai adik sepupunya itu tetap tak berubah. Suka memandang remeh setiap perkara. Kesenangan yang dimiliki oleh keluarganya mungkin telah menjadikannya sebegitu. Tidak pernah merasai erti kesusahan hidup.

Leka Irfan mendengar cerita Izzati tentang kehidupannya di luar negara itu. Sesekali derai tawa mereka kedengaran. Bagi Izzati pula, dapat berdamping kembali dengan abang sepupunya itu adalah saat yang amat dia nantikan. Kerinduan mendalam di lubuk hati buat Irfan terubat dengan kepulangannya kini. Dan dia tidak akan sesekali melepaskannya.


KEPALANYA rasa berdenyut tiba-tiba. Berkerut-kerut dahi Insyirah sambil memicit kepalanya. Fikirannya menerawang pada kejadian petang tadi. Siapa sebenarnya gadis itu? Apa hubungannya dengan Irfan? Kenapa hati aku sakit bila melihat aksi mesra mereka? Cemburukah aku? Tapi layakkah aku untuk rasa cemburu?

“Ira.”

Diam.

“Ira!.”

“ Haah…er…ya Along.” Jawab Insyirah bila mendengar suara dan ketukan di pintu biliknya. Dia bingkas bangun dari katil.

“Ira ni kenapa? Ada masalah ke?.” Tanya Aiman. Risau bila adiknya hanya mengurung diri di bilik selepas pulang dari kerja tadi.

“Er…tak ada apa-apalah Along.”

“Ira, kalau ada masalah bagitahu. Jangan pendam. Kalau Along boleh tolong, Along tolong.”

“Tak ada apalah Along. Cuma Ira rasa pening kepala sikit.” Katanya sambil memicit-micit kepala.

“Tak sihat makan ubat. Jangan culas. Kalau apa-apa jadi, siapa susah? Along jugak….” Omel Aiman.

“Yelah, Along. Kejap lagi Ira makan ubat ya.” Balas Insyirah sambil tersengih.

Aiman melangkah keluar dan kembali dengan dua biji Panadol dan segelas air kosong.

“Nah, makan ubat ni.” Kata Aiman sambil menyuakan ubat pada Insyirah. Insyirah akur.

“Ira rehatlah.” Aiman menapak keluar dari bilik adiknya itu.

“Ok Along..” Balas Insyirah pendek.

Namun persoalan demi persoalan terus bersarang dalam kotak fikirannya. Akhirnya dia terlelap tanpa menemui jawapannya.


IZZATI tersenyum sendirian. Dia masih sama seperti dulu. Cuma sekarang semakin kacak dan kelihatan matang. Rasa cintanya pada lelaki itu masih membugar. Lima tahun berada di luar negara bukanlah suatu masa yang singkat. Betapa sepanjang tempoh itu, dia merindui suara dan wajah tenang lelaki itu. Abang sepupunya itu tidak pernah tahu akan perasaannya. Pemergiannya dulu bukan atas kemahuannya. Ibunya yang beria-ia benar mahukan dia belajar di sana.

Hatinya turut tertanya-tanya tentang gadis yang memperkenalkan diri sebagai pembantu di kedai Irfan itu. Orangnya kecil molek dan bertudung. Dia mengakui gadis itu sangat manis dan comel. Entah kenapa dia merasa tergugat dengan kehadiran gadis itu.



No comments:

Related Posts with Thumbnails