JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Saturday, July 30, 2011

BAB 23 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



MEREKA memanjat tangga dengan berhati-hati dan cuba mengenalpasti di manakah kedudukan Sam dan Insyirah dengan penuh debar sebaik mendengar jeritan tadi. Irfan mencuit bahu Zuhairi sambil menunjukkan isyarat tangan ke arah hadapan. Sam sedang mengilai dengan pisau lipat masih utuh di tangannya. Insyirah pula sudah kelihatan longlai di kerusi dengan lelehan darah pada kesan torehan di pipi kanannya. Mata Irfan membuntang.


“Sam!” Jerit Zuhairi sambil menghampiri lelaki itu.

Sebaik terpandang kelibat Zuhairi, Sam terus duduk di sisi tubuh lemah Insyirah di kerusi. Ikatan tali pada tangan Insyirah dibuka. Pergelangan tangan gadis itu pula digenggam sambil mengacukan pisau lipat. Bila-bila masa saja satu torehan akan singgah di situ. Zuhairi kaget.

“Jangan Sam! Jangan! Aku dah datang ni. Apa yang kau nak sebenarnya?! Kenapa kau cederakan Ira haah? Apa salah dia pada kau?!” Bentak Zuhairi. Kakinya menapak perlahan dan penuh berhati-hati ke arah Sam dan Insyirah.

“Dia memang bersalah dengan aku. Sebab dia tak sukakan aku tapi sukakan kau. Biar dia mati saja. Baru aku puas hati. Sesiapapun takkan dapat dia!!” Kata Sam sambil ketawa panjang. Pergelangan tangan Insyirah masih dipegangnya.

Irfan yang bersembunyi tidak jauh di belakang menggenggam penumbuk. Diikutkan hati ingin saja dia menumbuk muka lelaki itu. Tetapi demi keselamatan Insyirah, dia cuba memikirkan jalan lain.

Dia menapak perlahan ke arah belakang Sam sambil memberi isyarat pada Zuhairi di hadapan untuk bersedia bertindak.

“Sam! Kau lepaskan Ira jika mahu selamat!” Sergahan di belakangnya membuatkan Sam berpaling. Dia kembali berdiri sambil merenung ke arah Irfan.

“Siapa kau?!” Soalnya sambil berkerut dahi. Tidak mengenali lelaki itu.

“Aku polis!” Bentak Irfan.

Matanya menjeling sekilas ke arah Insyirah. Darah tidak henti mengalir dari kesan luka torehan di pipinya itu. Wajah itu kelihatan pucat. Gadis itu sudah tidak bermaya. Hampir pengsan.

“Haah polis! Kau tipu aku! Aku bunuh dia! Aku bunuh dia!!” Jerit Sam sambil memandang silih berganti ke arah Zuhairi dan Irfan. Emosinya semakin tidak terkawal.

Dalam kekalutan itu, Irfan menerpa dan cuba mencapai tangan Sam. Namun Sam lebih pantas. Satu torehan hinggap di lengan Irfan.

“Aaaaaargghhh….!!” Jerit Irfan sambil memegang lengannya yang luka. Lengan kemejanya mula dibasahi darah.

Zuhairi yang terkejut dengan tindakan Sam terus menolak tubuh lelaki itu. Sam rebah. Pisau lipat terlepas dari tangannya. Dia kembali bangun dan meluru ke arah Zuhairi. Berlakulah pula pergelutan antara Sam dan Zuhairi. Akhirnya Zuhairi berjaya merebahkan badan lelaki itu dengan mengunci pergerakan tangannya. Sam meronta-ronta.

“Kau dah tak boleh lari Sam! Sekejap lagi polis sampai!” Ujar Zuhairi sambil mengejapkan pegangan ke atas tangan Sam.

Irfan pula terus menerpa ke arah Insyirah. Lengannya yang cedera tidak diendahkan. Kerisauannya terhadap gadis itu mengatasi segalanya.

“Ira….! Ira…!!” Sambil memeluk tubuh Insyirah. Irfan menepuk-nepuk perlahan pipi gadis itu.

“Aaaaaaaaaaaaaa…….” Sangat lemah kedengaran suara Insyirah. Namun dia sangat mengenali suara dan wajah yang memeluk tubuhnya saat itu. Pandangan matanya kian kabur.

“Ira…bangun Ira!! Iraaaaa…….!!” Tangannya masih utuh memeluk tubuh Insyirah. Helaan nafas perlahan Insyirah semakin merisaukan Irfan.

“Ira….awak kena bertahan! Awak jangan tinggalkan saya Ira! Saya cintakan awak! Bertahan Ira!”

Tanpa sedar Irfan mengungkapkan kata-kata itu. Dalam kekalutan itu dia tidak sanggup membayangkan akan kehilangan gadis itu buat selamanya. Dia juga sudah lupa akan kewujudan Zuhairi di situ. Akhirnya air mata jernih mengalir di pipinya.

Zuhairi yang sejak tadi memerhatikan tingkah Irfan tidak terkejut mendengarkan kata-kata itu. Memang benar telahannya. Irfan masih mencintai Insyirah sepenuh hatinya. Walau Irfan enggan mengakui namun tingkah nanarnya jelas membuktikan segalanya. Zuhairi pasrah.

Polis dan ambulans akhirnya tiba. Beberapa saat kemudian kelihatan kelibat polis dan petugas hospital memasuki rumah itu. Sam telah digari dan dibawa masuk ke dalam kereta peronda. Kereta itu akhirnya bergerak ke balai polis berhampiran. Insyirah dan Irfan yang cedera telah dibawa ke hospital. Kereta Zuhairi turut mengikuti ambulans menuju laju ke arah hospital.


HARI sudah pun menginjak malam. Irfan melabuhkan punggung di sisi katil. Gadis itu masih belum sedar lagi. Mungkin kesan ubat bius ketika menerima rawatan tadi. Pandangan matanya tidak lepas dari merenung wajah itu. Pipinya yang luka telah pun dirawat. Insyirah selamat meskipun banyak kehilangan darah akibat luka torehan yang agak dalam. Irfan memanjatkan kesyukuran pada ILLAHI.

Zuhairi pula baru saja menghantar Along pulang. Meskipun pada awalnya Along berkeras ingin menemani Insyirah, namun dihalang. Zuhairi bersungguh-sungguh meminta agar Irfan saja yang menemani Insyirah di hospital pada malam itu. Dia tidak dapat berbuat demikian. Alasan Zuhairi dia terpaksa bergegas pulang untuk menghadiri satu janji temu bagi satu kes penting. Tidak boleh membatalkannya pada saat-saat akhir.

Irfan hanya menurut. Dia sendiri turut merasakan kebimbangan yang sama. Jam di tangannya ditilik. Sudah hampir jam 8.30 malam. Dia bangun dari duduk mengatur langkah ke arah surau di hospital tersebut untuk menunaikan solat Isyak.


INSYIRAH memisat-misatkan mata sambil memandang sekeliling. Pandangan mata redup itu hanya dibayangi warna putih. Aku kat mana sekarang ni? Benaknya ligat mencari jawapan. Dia cuba untuk bangun dari baringannya. Tangannya perlahan meraba pipi kanannya bila tiba-tiba ia terasa ngilu. Benjolan bandage dan aroma ubat yang menusuk hidungnya semakin memberikan gambaran yang jelas padanya. Ingatannya menerawang pada kejadian di rumah terbengkalai siang tadi. Sam! Kat mana dia sekarang? Detik hati kecilnya. Anak matanya melilau di setiap sudut ruang bilik itu. Bimbang dengan kemunculan lelaki itu di situ. Perasaan takut mula menguasainya saat itu.

Mata Insyirah membutang tatkala pandangannya berlabuh ke muka pintu bilik itu. Kelihatan bayang seseorang sedang berdiri di luar pintu. Beberapa ketika kemudian tombol pintu itu dipulas. Bayang seseorang mula memasuki ruang bilik itu. Insyirah kian takut. Badannya mula menggeletar. Matanya terpejam rapat sambil memeluk lutut. Air mata mula mengalir di pipinya. Dia mendengar derapan kaki kian menghampiri katil. Dia tersentak bila ada tangan yang menyentuh bahunya.

“Aaaaaaaaaarggh…. Tolong jangan ganggu saya! Pergi! Pergi dari sini!” Jeritnya sambil menepis kuat tangan itu.

“Ira! Ira! Kenapa ni?!” Kedengaran suara seseorang.

“Sam…tolong Sam! Jangan Sam! Jangan buat saya macam ni!” Rayunya. Matanya masih terpejam rapat. Esak tangisnya mula kedengaran.

“Ira! Irfan ni…!” Kata suara itu lagi.

Haah! Irfan! Betul ke? Entah-entah Sam hanya menipunya. Telah Insyirah dalam hati.

“Sam! Awak jangan cuba tipu saya!” Masih tidak percaya.

“Ira…betul. Saya Irfan. Cuba bukak mata awak. Tengok betul-betul…!” Suara itu kedengaran lagi. Benak Insyirah mula berfikir. Suara itu amat dikenalinya. Memang bukan suara Sam.

Irfan memandang wajah ketakutan gadis itu. Pipi itu sudah basah dengan juraian air mata. Memang jelas emosi Insyirah masih terganggu.

“Betul Ira. Saya Irfan…percayalah…!” Ulangnya lagi. Cuba meyakinkan gadis itu.

Insyirah masih dibuai rasa takut. Namun pujukan suara itu kian mempengaruhinya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Jelas wajah Irfan singgah pada sorotan matanya. Dengan tidak semena-mena dia memeluk erat tubuh lelaki itu.

“Irfan! Tolong saya. Saya takut. Sam ada kat sini tadi!” Tangisnya kembali berlagu di dada bidang itu. Irfan tergamam.

“Ira…..” Pujuk Irfan sambil cuba meleraikan pelukan Insyirah.

“Ira…pandang saya!” Pintanya sambil memaut lembut dagu gadis itu.

“Hanya saya dan awak saja ada kat sini. Sam tak ada!” Pujuknya lembut. Sekali lagi cuba meyakinkan Insyirah.

Mata Insyirah beralih di sekeliling bilik itu. Mencari kelibat Sam.

“Betul Sam tak ada?!” Soal Insyirah sambil merenungnya.

“Betul!”

“Awak tak tipu saya?!”

“Betul. Saya tak tipu!” Tutur Irfan.

Insyirah akhirnya percaya kata-kata lelaki itu. Dia mengesat sisa air mata di pipinya dan cuba kembali bertenang. Irfan menarik nafas lega.

“Nah..minum air ni.” Irfan menghulurkan segelas air pada Insyirah. Air itu diteguk dengan sekelip mata setelah membaca Bismillah.

“Terima kasih..” Huluran gelas kosong disambut oleh Irfan. Dia mula rasa lega dan tenang.

“Sama-sama..”

“Irfan..tadi awak cakap Sam tak ada kat sini?” Soal Insyirah kembali.

“Ya…betul.”

“Macamana awak tahu?”

“Sebab dia dah kena tangkap polis. Dia tak akan ganggu awak lagi Ira. Percayalah cakap saya!” Jelas Irfan.

“Betul ke?”

“Betul!”

“Jadi, awak tak perlu rasa takut lagi…ok?” Balas Irfan. Insyirah mengangguk.

“Tadi Along dengan Zuhairi pun datang. Tapi mereka dah balik.” Ujar Irfan lagi.

“Dah balik? Habis tu kenapa awak pun tak balik jugak?”

“Sebab saya akan temankan awak kat sini malam ni…”

“Tak payahlah..saya ok!” Cuba menafi realiti ketakutan sendiri.

“Tak apalah. Biar saya temankan awak. Awak tidurlah Ira…”

“Awak nak tidur kat mana?”

“Tu.. kat sofa tu!” Jawab Irfan sambil menunjuk ke arah satu sudut di hadapan mereka. Mata Insyirah turut memandang ke arah tersebut. Terdapat sebuah sofa di situ rupanya.

“Tidurlah Ira. Kalau awak nak apa-apa, kejutkan saya ok?” Pesan Irfan sambil membaringkan tubuhnya di sofa itu. Insyirah hanya mengangguk.

Mata Insyirah merenung Irfan yang sudah berbaring. Dia turut kembali membaringkan badannya ke katil. Terasa sangat selamat dengan kehadiran Irfan saat itu. Akhirnya dia kembali terlena.


ZUHAIRI membelokkan kereta ke Medan Selera Tanjung. Aiman mula merasa hairan.

“Hairi nak ke mana ni? Kata tadi nak jumpa client? Nak jumpa kat sini ke?” Soal Aiman sambil merenung Zuhairi di sebelah.

“Taklah. Kita berhenti minum kat sini sekejap ya Along.” Balas Zuhairi sambil memarkir kereta.

Aiman hanya menurut walaupun sedikit kebingungan. Baru sebentar tadi mereka singgah untuk solat Isyak di sebuah masjid. Sekarang singgah ke sini pula. Apa hal pulak si Hairi ni? Soal hati Aiman.

Mereka melangkah ke arah deretan gerai makan yang terdapat di situ. Akhirnya mereka memasuki salah sebuah gerai tersebut. Zuhairi menarik kerusi di satu sudut lalu mula melabuhkan punggungnya. Aiman turut sama duduk di kerusi sebelahnya.

Seorang pelayan lelaki menghampiri mereka. Setelah mengambil pesanan makanan dan minuman, dia terus berlalu ke dalam.

“Hairi…tadi cakap nak balik cepat. Kenapa pulak berhenti makan kat sini?” Tanya Aiman. Tadi lelaki itu beria-ia nak balik cepat. Katanya ada janji temu. Hinggakan Irfan diminta olehnya untuk menemani Insyirah di hospital.

“Taklah Along. Saya tak ada apa-apa janji temu pun.” Aiman mula mengerut kening. Hairan dengan tutur Zuhairi.

“Habis tu..kenapa suruh Irfan tunggu Ira kat hospital?”

“Saja…..”

“Haah…saja?”

“Aa ar…saja..”

“Apa maksud Hairi ni? Along tak faham.”

“Saya saja bagi peluang kat Irfan, Along.”

“Peluang?”

“Ya…peluang untuk pikat Ira semula..” Pasti Irfan tidak menduga rancangannya itu.

“Kenapa pulak? Kan Hairi sukakan Ira kan?”

“Memang saya sukakan Ira Along. Tapi Ira hanya anggap saya sebagai kawan aje. Tak pernah lebih dari tu.”

“Saya tahu Along, Ira masih cintakan Irfan. Sebab tu dia tak boleh terima saya.”

“Hairi betul-betul yakin ke? Entah-entah tu cuma tekaan Hairi…”

“Saya yakin seratus peratus Along. Sebab Irfan sendiri pun masih cintakan Ira.”

“Haah…macamana Hairi tahu?”

“Masa insiden Ira kena culik hari tu, Irfan macam orang hilang akal bila lihat keadaan Ira yang berlumuran darah dan hampir pengsan. Saya sendiri dengar pengakuan Irfan ketika tu.”

“Pengakuan apa?” Soal Aiman ingin tahu.

“Yang dia masih cintakan Ira..”

“Air mata yang mengalir di pipi Irfan hari tu jelas sangat-sangat menggambarkan rasa cintanya yang sangat mendalam buat Ira. Pasti dia amat takut kehilangan Ira masa tu, Along..” Aiman tergamam mendengar cerita Zuhairi. Ternyata cinta Irfan masih utuh buat Ira. Sama seperti pengakuan yang pernah didengari dari mulut Irfan enam tahun dulu.

“Berbaloi ke Hairi buat semua ni?” Soal Aiman kembali.

“Irfan sahabat saya, Along. Saya kenal dia. Dia bukan jenis lelaki yang mudah jatuh cinta. Sekali dia jatuh cinta, tentulah selamanya wanita itu di hatinya. Saya akan turut bahagia jika dia berjaya mendapat kembali cinta yang dia hilang dulu.”

“Lagipun cinta tak boleh dipaksa. Saya bukan zalim nak memaksa Ira untuk terima cinta saya, Along. Saya redha dengan ketentuan ALLAH. Jodoh pertemuan semua di tanganNya. Ira memang bukan jodoh saya tapi Irfan.” Jelasnya. Dia redha.

Kau sungguh bertuah Ira. Dicintai oleh dua lelaki yang cukup baik pada pandangan matanya. Bisik hati Aiman.


HAMPIR seminggu Insyirah dirawat di hospital. Sepanjang tempoh itu Along, Irfan dan Zuhairi tidak pernah jemu datang melawat. Insyirah bersyukur dan sangat terhutang budi pada kedua lelaki itu.

Sam pula telah dimasukkan ke hospital sakit mental lagi. Dan difahamkan dia akan ditahan untuk jangka masa yang agak lama lantaran emosinya yang semakin tidak stabil.


INSYIRAH mendengar salam dari luar rumah banglo satu tingkat itu. Dia menyelak sedikit langsir tingkap untuk meninjau siapa berada di luar sebelum membuka pintu.

“Waalaikumussalam. Jemput masuk Irfan..Esha..” Katanya sebaik saja pintu dikuak.

Insyirah membalas senyuman yang dilemparkan oleh keduanya. Qaleesha memaut lengannya sambil menapak ke ruang tamu.

“Kak Ira macamana? Dah sihat ke?” Soal Qaleesha sambil diperhatikan oleh abangnya.

“Alhamdulillah Esha. Akak sihat cuma kesan parut di pipi ni masih belum pulih sepenuhnya.” Sambil menyentuh pipinya.

“Bagaimana pulak dengan luka di lengan awak tu Irfan?”

“Saya dah pulih. Lagipun sikit aje.” Jawab Irfan.

“Esha..Irfan duduk sekejap ya. Ira buatkan air.”

“Eh tak payahlah Ira. Kami datang ni nak jenguk Ira. Bukannya nak suruh Ira buatkan air. Lagipun Ira kan belum sihat lagi kan.” Ucap Irfan sambil memandang Insyirah yang sudah berdiri dan bersedia untuk melangkah ke dapur.

“Eh mana boleh macam tu. Tetamu mesti dilayan..” Balas Insyirah.

“Tak apalah akak. Tak payah susah-susah. Kalau nak, nanti biar Esha sendiri yang ambik kat dapur tu.” Tutur Qaleesha. Insyirah akhirnya akur.

“Nah ini untuk Kak Ira.”

“Apa pulak ni Esha?”

“Ubat sapu untuk hilangkan kesan parut di pipi akak tu. Dan ni pulak ada sedikit buah-buahan.” Ujar Qaleesha sambil menghulurkan dua plastik kepada Insyirah.

“Ala..selalu macam ni. Buat apa susah-susah belikan semua ni.” Ucap Insyirah. Dia terharu dengan sikap prihatin mereka terhadap dirinya.

“Isshh…mana ada susah akak. Tak menyusahkan langsung. Ambik ajelah.” Kata Qaleesha sungguh-sungguh.

“Terima kasih banyak Irfan, Esha.”

“Kak Ira, Esha mintak maaf sebab tak dapat jenguk akak kat hospital hari tu…”

“Tak apalah. Kan Esha ada kat kampus. Akak faham. Lagipun akak dah ok dah. Terima kasih sebab datang jenguk akak hari ni..” Ucap Insyirah sambil menggenggam lembut jemari Qaleesha.

Qaleesha melemparkan senyuman pada Insyirah.

“Sama-sama akak. Lagipun Esha rindu sangat kat akak.” Ujar gadis itu lagi sambil memeluk Insyirah. Insyirah yang sedikit terkejut dengan tingkah Qaleesha itu turut membalas pelukan itu.

“Akak pun rindukan Esha jugak.” Tuturnya dengan lembut. Matanya beralih ke arah Irfan yang diam memerhati.

“Irfan…saya nak ucapkan terima kasih jugak kat awak sebab selamatkan saya tempohari..hinggakan awak sendiri turut cedera. Kalau awak dengan Hairi tak ada hari tu, tak tahulah apa jadi pada saya.” Ujarnya sambil memandang wajah tampan lelaki itu.

“Ira..syukurlah semuanya selamat. Tak usah diingat-ingat lagi. Pasti ada hikmah atas apa yang berlaku.” Balas Irfan sambil turut merenung wajah manis Insyirah.

Degupan jantungnya kencang saat melihat gadis itu longlai di pelukannya. Berbagai perasaan berbaur menjadi satu. Dia sendiri enggan mengingati detik mencemaskan itu.

“Abang Hairi tak datang jenguk akak ke?” Soalan Qaleesha membuatkan Irfan sedikit terpana.

Dia terkenangkan kembali hasrat Zuhairi ketika meminta bantuannya untuk mencarikan hadiah buat teman wanitanya. Pencarian mereka saat itu terbantut oleh insiden yang telah menimpa Insyirah. Hati Irfan kembali menjadi sebu. Betapa dia dapat merasakan akan kehilangan gadis yang dicintainya itu buat selama-lamanya. Demikianlah telahannya.

“Abang Hairi selalu datang jenguk akak, Esha. Hari ni dia ada hal sebab tu tak dapat datang.”

Irfan terdiam mendengar kata-kata Insyirah. Ternyata Zuhairi sangat mengambil berat tentang diri gadis itu. Entah kenapa Irfan merasa dirinya kian jauh dari Insyirah. Bagai tiada ruang lagi di hati gadis itu buat dirinya.

Qaleesha terus rancak berbual dengan Insyirah. Namun, Insyirah dapat merasakan perubahan pada diri Irfan. Tingkahnya tidak seperti selalu. Suka bergurau dan mengusik. Sejak tadi lelaki itu banyak berdiam diri. Cuma sesekali menyampuk. Itupun jika Qaleesha sibuk bertanyakan sesuatu. Selebihnya dia hanya melemparkan senyuman. Insyirah tertanya-tanya sendiri. Apakah sebenarnya yang bermain di benak lelaki itu?




No comments:

Related Posts with Thumbnails