JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Friday, July 8, 2011

BAB 14 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



YAYASAN Anak Yatim An Nur tersergam megah di atas sebidang tanah yang luas di kawasan yang agak jauh dari Bandar. Ia diilhamkan oleh arwah Puan Suraya, anak kepada Tan Sri Shahril sebagai tempat untuk memberi perlindungan, bimbingan dan pendidikan kepada anak-anak yatim. Dilengkapi dengan kemudahan bilik-bilik asrama, ruang dapur, Dewan Makan, Dewan Serbaguna, bilik tuisyen, surau, perpustakaan, tempat rehat, laundry dan pengangkutan bas. Yayasan ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Operasi dan Bahagian Catering. Terdapat lapan orang pekerja tetap yang ditempatkan di bahagian-bahagian tersebut. Mereka telah berkhidmat di situ sejak ia beroperasi 12 tahun yang lalu.



LIMA tahun bukan satu tempoh yang singkat. Banyak perubahan yang boleh berlaku dengan izin ALLAH. Insyirah bersyukur dapat menghabiskan pengajian peringkat Diplomanya selama 3 tahun di UiTM cawangan Pahang dalam bidang Sains Komputer. Meskipun saat itu agak sukar dengan keadaan Along yang tidak mampu berjalan dan terpaksa berkerusi roda, namun dia bersyukur kerana Mak Tun, pekerja di bahagian laundry Yayasan itu sanggup menjaga Along. Mak Tun telah mereka anggap bagai keluarga sendiri. Malahan setiap minggu Insyirah pulang menjenguk Along. Kini, berkat kesabaran itu dia kembali menabur bakti di An Nur sebagai antara tenaga pengajar.

“Assalamualaikum Kak Ira…”

“Waalaikumussalam….” Sambil tersenyum manis pada beberapa orang anak perempuan An Nur yang menegurnya tadi.

Kelihatan yang lain juga mengikuti langkah rakan mereka menuju ke asrama masing-masing setelah tamat kelas tuisyen untuk petang itu.

“Kak Ira…Kak Ira..!.”

Dia berpaling ke arah suara itu. Aina sedang berlari menuju ke arahnya.

“Haah...ada apa Aina? Kenapa ni?.”

“Anak-anak kat Asrama Dorm 3 nak mintak Kak Ira ajarkan buat kek. Boleh tak?.” Ujar Aina.

“Oh…nak belajar buat kek. Ok…kita jumpa kat rumah Kak Ira ya. Akak tunggu..”

“Ok …Kak Ira.” Sambil berlalu.

Insyirah melewati pintu pagar utama Yayasan dan mula melangkah untuk pulang ke rumah. Dia tinggal di sebuah rumah banglo satu tingkat yang dibina bersebelahan kawasan Yayasan An Nur bersama abangnya, Aiman.

“Hai Ira!” Ucap seorang lelaki sambil menghampiri Insyirah.

“Oh..Hai Sam!” Balasnya walaupun sedikit terkejut dengan kemunculan lelaki itu. Dia terus menapak.

“Awak baru habis kelas tuisyen ya?” Soal Sam sambil turut sama berjalan beriringan.

“Aa ar…” Jawab Insyirah pendek. Dia kemudiannya hanya mendiamkan diri.

Sebenarnya dia tidak begitu mengenali lelaki itu. Tapi Sam selalu menegurnya setiap kali dia melalui jalan itu. Jadi, rasa bimbang tetap bertamu di hatinya setiap kali ditegur Sam.

“Kenapa awak diam?” Tanya Sam sambil merenung Insyirah.

“Tak ada apa nak cakap…” Insyirah makin melajukan langkahnya.

“Ira..awak nampak cantiklah hari ni..” Puji Sam tiba-tiba. Matanya merenung Insyirah lagi.

Insyirah hanya tersenyum kecil sambil memandangnya sekilas.

“Dah sampai dah. Saya masuk dulu ya.” Tak ingin lama di situ.

“Ok…bye. Jumpa lagi.” Balas Sam sambil tersengih. Insyirah tidak memandang ke arahnya. Langkahnya terus menuju ke rumah.

Sebaik memasuki rumah, dengan pantas dia menutup pintu. Dari balik langsir dia mengintai ke luar. Kelibat Sam sudah tidak kelihatan. Dia menarik nafas lega sambil berlalu ke dalam.

Beberapa ketika, kedengaran suara orang memberi salam dari luar rumah. Insyirah menyelak langsir. Kelihatan lima orang anak-anak perempuan Asrama Dorm 3 berdiri di luar rumah.

“Waalaikumussalam…” Jawabnya sambil membuka pintu. Insyirah mempersilakan mereka masuk.

“Kak Ira…tak menyusahkan akak ke?.” Kata Seri sebaik saja melabuhkan punggung di sofa di ruang tamu rumah itu.

“Ishh…tak adalah Seri. Akak lagi suka kalau korang datang. Riuh-rendah jadinya rumah ni…” Katanya sambil tersenyum lebar.

“Hmm..Along mana Kak Ira?.” Tanya Murni sambil matanya melilau.

“Along tengah berehat kat bilik dia.” Jelas Insyirah.

“Oklah..hari ni nak belajar buat kek apa?” Soal Insyirah. Matanya memandang ke arah lima gadis sunti itu yang dianggap seperti adik-adiknya sendiri.

“Hmm…hari ni boleh tak ajar kami buat Kek Coklat? Kek Coklat yang Kak Ira buat hari tu sedap sangat. Kami nak belajar buat. Boleh ajar kami..?.” Ucap Aina dengan penuh harapan.

“Tak boleh…kena bayar pengeras dulu, baru boleh ajar..”

“Haaah….” Ternganga mulut mereka berlima.

“Pengeras? Hmm…kami mana ada duit Kak Ira. Kami bukannya kerja lagi…Kami..…” Balas Murni sambil mengaru-garu kepala.

Insyirah ketawa terbahak-bahak. Gelihatinya melihat reaksi gadis-gadis itu.

“Hei…tak adalah..akak gurau ajelah..” Sambil menyambung tawanya. Akhirnya mereka sama-sama ketawa.

“Jom kita ke dapur.” Mereka menuruti langkah Insyirah menuju ke dapur.

Suka benar Insyirah melayan kerenah mereka yang dianggap seperti adik-adik sendiri. Kehadiran mereka amat menceriakan hari-harinya.


Lima tahun lepas…..di teratak keluarga Insyirah…..


“Wasiat ibu kandung saya? Maksud Encik Zuhairi..Puan Suraya?” Soal Insyirah sambil mengerutkan dahi. Matanya menjeling sekilas pada abangnya, Aiman di sebelahnya.

Zuhairi menganggukkan kepalanya. Dia menjelaskan semuanya kepada kedua beradik itu.

Bapa kepada Zuhairi, Azman yang merupakan peguam peribadi Puan Suraya telah diamanahkan supaya membina sebuah Yayasan yang lengkap dengan segala kemudahan untuk anak-anak yatim di sebuah kawasan yang luas milik wanita itu. Sejumlah wang yang besar telah dilaburkan untuk Yayasan tersebut. Puan Suraya juga turut meminta dibina sebuah rumah banglo sederhana besar di sebelah kawasan Yayasan tersebut. Sebelum meninggal dunia, arwah bapanya berpesan agar dia mencari satu-satunya zuriat Puan Suraya itu. Apabila Auni Insyirah berusia 18 tahun, amanah itu akan diserahkan kepada anak tunggalnya itu. Dia akan menjadi pemilik tunggal Yayasan itu sepenuhnya.

Setahun lamanya Zuhairi berusaha menjejaki Insyirah. Pertama kali menjejakkan kaki ke teratak milik keluarga Insyirah dia sedikit terkedu melihatnya. Cukup sederhana. Jauh sekali bezanya dengan kemewahan yang dimiliki oleh keluarga ibunya, arwah Puan Suraya.

Matanya merenung gadis muda di hadapannya itu. Wajah itu seperti kebingungan. Begitu juga dengan Abang Aiman. Mungkin terkejut dengan berita yang tidak disangka itu.

“Er…betul ke semuanya ni Encik Zuhairi?” Tanya Aiman lagi inginkan kepastian.

“Ya, betul Encik Aiman. Saya sendiri akan bawak Encik Aiman dan Cik Insyirah ke sana.” Kata Zuhairi sungguh-sungguh.

Insyirah memanjatkan kesyukuran pada ILAHI. An Nur memberikan sinar baru pada kehidupannya dan Along. Lima tahun di An Nur banyak memberikan pengajaran dan pengalaman padanya dalam mendidik anak-anak yang senasib menjadi insan yang cemerlang dalam akademik, agama dan juga akhlak. Baginya, setiap insan punyai peluang sama untuk berjaya dalam hidup tanpa mengira latar belakang keluarga mereka. Insyirah bersyukur dapat merealisasikan impian ibu kandungnya dan menjadi sebahagian penting daripada usaha murni itu.



SETAHUN selepas Insyirah meninggalkan Irfan….di banglo Puan Khadijah

Irfan terpana mendengar kata-kata adik sepupunya itu. Sungguh dia tidak menyangka Izzati menyimpan perasaan terhadapnya selama ini. Sejak dulu dia hanya menganggap Izzati tidak lebih daripada seorang adik. Dia menyayangi Izzati sama seperti dia menyayangi Qaleesha.

Izzati memeluk tubuh Irfan dari belakang. Tangannya melingkari pinggang lelaki itu.

“Zati…! ” Sambil meleraikan pelukan gadis itu. Terkejut Irfan dengan tindakan Izzati.

“Abang….Zati cintakan abang….” Ucapnya sambil cuba menggenggam tangan lelaki itu.

“Zati…maafkan abang. Abang cuma anggap Zati macam adik abang sendiri…setakat itu saja..” Jelasnya.

“Kenapa tak boleh lebih dari seorang adik..? Kenapa bang?! ” Soal gadis itu. Wajahnya tampak tegang.

“Sebab abang cintakan orang lain…” Jawapan Irfan cukup memanaskan hatinya.

“Ira kan…? Sebab dia kan? Tapi sekarang dia dah tak ada kat sini…buat apa abang nak cintakan dia lagi?! Entah-entah dia dah jumpa pengganti yang lebih baik dari abang…!” Bentak Izzati.

Irfan tergamam. Pengganti? Begitu cepatkah gadis itu mendapat pengganti? Bisik hati kecilnya. Kalau benar sekalipun, siapalah dia untuk menahan Insyirah. Dia hanya akan mendoakan kebahagiaannya.

“Walau dia dah ada orang lain sekalipun, abang tetap tak akan terima Zati…sebab Ira adalah cinta pertama abang dan cinta itu tak akan padam dengan mudah.”

Kata-kata Irfan sangat menyakitkan hatinya yang sedia sakit selama ini. Nama itu tak pernah lekang dari bibir lelaki itu. Matanya terasa panas. Kolam matanya akan menjuraikan air jernih bila-bila masa sahaja.

“Sampai hati abang buat Zati macam ni…..” Tangisnya mula kedengaran.

“Zati…maafkan abang…abang tak boleh anggap Zati lebih dari adik..tak boleh..” Izzati tidak mahu mendengar kata-kata itu. Tetap sama. Adik…

“Adik..adik…adik!! Sepatutnya Zati bunuh saja perempuan tu…lenyapkan dia terus dari hidup abang!” Gema tangisnya telah bertukar menjadi hilai tawa. Dia mengenggam penumbuk. Bersarang kemarahan di situ.

“Zati….!!”

“Sebab perempuan tu asyik menyusahkan hidup Zati....di mana ada abang, di situ jugak Zati akan nampak Ira…Ira.. Ira ..Ira…tak ada orang lain. Zati benci…Zati benci dia sangat-sangat…. Sebab dia rampas abang dari Zati!” Gadis itu makin menggila.

“Apa yang Zati cakap ni?!”

“Ya..Zati benci dia dan Zati memang nak dia mati. Zati pernah cuba bunuh dia masa kat parkir kereta.. tapi abang selamatkan dia. Dendam Zati makin membara setiap kali Zati pandang muka dia!”

“Ya ALLAH..Zati. Kenapa Zati sanggup buat macam tu? Kenapa?!”

“Sebab Zati cintakan abang…Zati akan buat apa saja untuk dapatkan hak Zati!” Sambil cuba menggenggam tangan lelaki itu.

“Apa lagi yang dah Zati buat pada Ira, haah?!” Tanya Irfan. Tangan gadis itu ditepisnya. Izzati rasa sakit hati dilayan begitu.

“Banyak yang Zati dah buat. Zati upah penyiasat persendirian siasat latar belakang keluarga dia…dan Zati jugak yang upah orang pukul abang dia. Zati puas hati bila dia akhirnya tinggalkan abang…..!” Jawab gadis itu lagi sambil ketawa.

Irfan tergamam dengan kata-kata akhir Izzati. Dia meraup wajahnya perlahan. Ya ALLAH. Dia seakan tidak percaya Izzati sanggup bertindak sejauh itu. Saat itu barulah dia mengerti keputusan Insyirah untuk berpisah dulu. Insyirah memendam segala apa yang dilakukan oleh Izzati terhadapnya. Dia ingin menjaga perasaan semua orang yang berada di sekelilingnya. Sehingga sanggup mengetepikan perasaannya sendiri. Sungguh mulia hatimu Insyirah. Detik hati kecil Irfan. Semakin tebal rasa cintanya pada gadis itu setelah mengetahui kebenarannya.

“Abang….kenapa abang tak boleh terima Zati? Perempuan tu dah pergi jauh dari hidup kita. Kita mulakan hidup baru…ya bang?” Ucap Izzati seakan memujuk. Irfan tersentak lagi bila Izzati tiba-tiba memeluknya.

“Zati…tolong jangan macam ni!” Cuba menepis tangan Izzati yang melingkari lehernya. Risau juga melihat kelakuan Izzati saat itu.

“Zati…!!!.” Kedengaran lantang suara seseorang. Serentak dengan itu Izzati dan Irfan berpaling.

No comments:

Related Posts with Thumbnails