INSYIRAH tersenyum menatap penampilannya melalui cermin. Bergaya ringkas dengan blaus purple lembut dan berseluar jeans. Dipadankan dengan tudung warna senada. Tiba-tiba kedengaran bunyi dari telefon bimbitnya menandakan ada mesej yang baru masuk. Matanya tertancap pada skrin telefon. Dia tersenyum. Mesej dari Irfan rupanya.
“Selamat Hari Lahir Ira. Awak sangat istimewa di hati saya. Tiada yang lain. Terima kasih kerana sudi mencintai saya seadanya. Terima kasih juga sebab sudi keluar dengan saya hari ni..walaupun dipaksa.. hahaha. Tak payahlah lama-lama pandang cermin tu, dah cantik dah. Saya dah sampai ni, cepat sikit..”
Haah! Dah sampai? Sempat lagi hantar SMS. Sabar ajelah dia ni. Bisik hati Insyirah sambil tersenyum.
“Ira….!”
Kedengaran suara Aiman dari halaman rumah.
“Irfan dah sampai ni..!”
“Ok…sekejap..” Insyirah mencapai beg tangan lalu berlalu ke luar rumah. Dia mencapai sandal bertumit di atas rak lalu menyarungkan ke kaki.
“Amboi…cantiknya adik Along ni..” Ucap Aiman sebaik saja Insyirah muncul di situ. Matanya tertancap pada adiknya itu.
Irfan pula memandangnya sambil melemparkan senyuman. Memang benar kata Along. Biarpun ringkas, penampilan Insyirah sangat manis dan menarik hatinya. Sedap mata memandang.
“Selamat hari ulang tahun Ira. Semoga terus dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Dah bertambah lagi umur ya. Dah makin tua dah adik Along ni…” Usik Aiman sambil tersengih.
“Terima kasih Along. Apalah Along ni. Siapa yang tua sebenarnya ni? Ira ke Along?.”
“Yelah..yelah.. Alonglah yang tua kat sini…” Insyirah ketawa kecil sambil memandang abangnya itu. Irfan turut tersenyum melihat dua beradik itu.
“Ira pergi dululah Along..” Ucapnya sambil menyalami dan mencium tangan Aiman. Dituruti oleh Irfan.
“Pergi dulu ya Along..”
“Ok…hati-hati memandu Irfan. Jaga Ira tu elok-elok ya.” Irfan tersenyum.
Mereka kemudiannya memasuki kereta dan terus berlalu ke arah Bandar. Beberapa minit perjalanan, Irfan menjeling sekilas ke arah Insyirah.
“Cantik awak hari ni..” Pujian Irfan membuatkan Insyirah terkedu.
“Biasa ajelah awak. Selalu pun Ira berpakaian macam ni kan.”
“Betul, Ira. Memang awak cantik hari ni. Agaknya seri hari lahir kot…” Usik Irfan sambil tersengih.
“Isshh…ada-ada ajelah awak ni.. Kita nak ke mana ni?” Saja menukar topik.
“Saya nak bawak awak ke satu tempat yang istimewa..” Ujar Irfan sambil meneruskan pemanduan.
“Yelah..tapi kat mana?” Seakan tidak sabar.
“Surprise….!” Ucapnya sambil tersenyum lebar memandang gadis itu. Tak habis-habis dengan surprise. Detik hati Insyirah.
IRFAN memarkir kereta Toyota Viosnya berhampiran sepohon pokok. Mereka keluar dari kereta sambil menghayun langkah beriringan ke tempat duduk di hujung pantai tersebut.
“Jom kita duduk kat sini, Ira.” Mereka melabuhkan punggung di kerusi.
“Ira masih ingat tempat ni?” Soal Irfan.
“Ingat…mana saya boleh lupa tempat cantik macam ni.” Ucapnya. Nyaman terasa bila bayu laut menyapa pipi putih mulusnya itu.
“Selain tu..apa lagi yang awak ingat tentang tempat ni?” Soal Irfan lagi. Matanya merenung ke arah Insyirah.
“Selain tempat ni cantik? Apa lagi?…”Insyirah mengerut kening. Saja buat-buat tidak faham dengan maksud lelaki itu.
“Kan pantai ni jugak yang menjadi saksi luahan perasaan saya pada awak. Takkan awak dah lupa?.” Ujar Irfan. Nada suaranya serius. Wajah kacak itu kelihatan kelat.
“Awak…mana boleh saya lupa. Semuanya saya masih ingat. Masih terpahat kukuh dalam ruang ingatan saya ni tau...” Balas Insyirah sambil melemparkan senyuman manis pada Irfan.
“Oh ye ke? Ingatkan dah lupa. Yelah siapalah kita ni kan..” Usiknya seakan merajuk. Insyirah mencebik. Nak merajuklah pulak kononnya cik abang ni. Omel hatinya.
“Mana boleh lupa. Setiap patah perkataan yang awak luahkan tu saya masih ingat lagi. Nak saya sebutkan satu persatu ke?.” Kata Insyirah sambil memandang Irfan. Ingin mengusik lelaki itu.
“Tak payahlah…ingatkan awak lupa atau buat-buat lupa..” Ucapnya sambil tersenyum. Enggan mendengar kembali luahan hatinya menerusi bibir gadis itu. Malu pulak rasanya bila mengingatkan saat itu. Bisik hatinya.
“Kenapa? Malu ke nak dengar balik?” Usik Insyirah lagi sambil tersengih.
Irfan menjegilkan mata ke arahnya sambil mengetap bibir. Tawa Insyirah meledak. Hingga mengekek-ngekek bunyinya. Gelihati benar melihat reaksi Irfan.
“Kelakar sangat ke? Hmm…” Balas Irfan sambil menepuk manja bahu gadis itu. Walaupun sedikit tersentak, Insyirah tetap menyambung tawa. Akhirnya Irfan pun turut sama ketawa.
“Ira…awak tunggu kejap ya..” Ucapnya sebaik saja tawa mereka mereda.
“Awak nak pergi mana ni?”
“Kejap aje…” Balas Irfan sambil berlalu pergi.
Langkahnya laju. Dahi Insyirah berkerut. Nak ke tandas kot. Kata hatinya. Matanya beralih ke arah ombak yang sedang memukul pantai. Damainya berada di sini. Dia ralit menikmati keindahan alam ciptaan ALLAH itu.
“Ira…” Lembut suara kedengaran di belakangnya. Insyirah berpaling. Irfan sedang menghulurkan satu kotak merah yang berbalut cantik kepadanya.
“Untuk awak..” Senyuman manis terukir di bibir Irfan. Insyirah sedikit terkejut.
“Apa ni?” Sambil menyambut huluran kotak itu.
“Selamat hari lahir. Hadiah ni saya beli khas untuk awak.” Insyirah menjeling Irfan. Kotak merah yang dihiasi dengan reben warna senada itu berisi coklat yang berukiran huruf namanya. Hatinya berlagu riang dengan pemberian itu. Terasa diri amat disayangi.
“Saya tahu awak suka coklat. Awak suka tak?” Dia tahu Insyirah memang penggemar coklat.
“Suka sangat…terima kasih awak.” Tuturnya sambil memberikan senyuman manis pada Irfan.
“Sama-sama..” Sambil membalas senyuman itu.
“Tapi…sayanglah nak makan coklat ni awak.”
“Kalau sayang nak makan..nah Ira makan yang ni…” Ujarnya sambil meletakkan sebuah kotak berisi kek di atas meja batu itu. Sekali lagi Insyirah terpana.
“Haa…kek kegemaran awak..” Kata Irfan sambil mengeluarkan sebiji kek coklat dari kotak tadi dan diletakkan di hadapan Insyirah.
“Wah…Kek Coklat Moist….bestnya..” Irfan tersengih melihat aksi spontan Insyirah. Sampai membulat matanya memandang kek itu. Memang hantu coklat. Detik hatinya.
“Terima kasih awak…”
“Sama-sama. Biar saya potongkan kek ni untuk awak…”
“Meh saya suapkan..” Ucapnya sambil menyuakan sepotong kek ke mulut Insyirah.
“Tak payahlah…biar saya makan sendiri…”
“Hari ni kan hari lahir awak. Cepat bukak mulut tu. Nak saya paksa ke?” Sambil menjeling Insyirah di hadapannya. Isshh.. dia ni. Suka sangat memaksa orang. Omel hati Insyirah.
Dengan teragak-agak akhirnya Insyirah membuka mulut. Irfan menyuapkan kek ke mulutnya.
“Sedap tak?”
“Sedap sangat. Awak tak nak rasa ke?”
“Tak payahlah, Ira. Saya belikan kek ni untuk awak.”
“Amboi..takkan nak suruh saya habiskan semua. Tak kira, awak pun kena makan jugak.” Desak Insyirah.
“Meh saya suapkan awak…” Giliran Irfan pula membuka mulut menerima suapan kek dari Insyirah. Lagak mereka sebentar tadi bagai pasangan pengantin yang sedang menikmati makan beradab.
“Sedap kan. Kat mana awak beli ni?”
“Eh..mana boleh bagitahu. Rahsia…”
“Amboi..boleh pulak nak berahsia..Macamlah dia yang buat kek tu..” Irfan ketawa kecil mendengar kata Insyirah. Terasa lucu.
Matanya ralit memandang Insyirah yang penuh berselera menjamah kek coklat itu. Dia sendiri turut dipaksa makan oleh gadis itu. Nasib baiklah kek itu sedap. Kalau tak jenuh jugak nak menghabiskan semuanya. Omel Irfan dalam hati.
USAI menunaikan solat Zohor mereka bergerak pulang. Ketika melalui kawasan Bandar, Irfan tiba-tiba memperlahankan kereta dan berhenti di bahu jalan.
“Ira…awak tunggu sekejap ya.” Ujar Irfan sambil membuka pintu kereta dan berlalu keluar.
Nak ke mana pulak dia ni? Bisik hati Insyirah. Irfan sedang menyeberang jalan menuju ke arah deretan kedai di situ. Kelibat lelaki itu kemudiannya hilang dari pandangan matanya. Insyirah melepaskan pandangan kosong ke cermin sebelah kirinya.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Insyirah memandang ke arah skrin telefon. Tertera nama Qaleesha. Ada mesej dari gadis itu.
“Happy Birthday Kak Ira. Sorry lambat wish. Esha tak nak kacau akak dengan abang. Esha doakan akak dipanjangkan umur dan kahwin cepat-cepat. Suruh abang masuk meminang akak cepat sikit ya. Kalau abang lamar akak, akak setuju aje tau. Kalau tak, akak akan menyesal nanti. Abang Esha tu kan handsome. Ramai peminat akak.. Sorry jugak Esha tak ada hadiah untuk akak. Jangan marah tau. Oklah..selamat hari lahir sekali lagi. Sayang akak sangat-sangat…muaaaaahhh.”
Insyirah tersenyum sendirian membaca mesej panjang lebar dari Qaleesha. Nakal sungguh. Jarinya ligat menekan punat keypad. Membalas mesej gadis itu.
“Terima kasih dik. Tak apa. Tak payah hadiah-hadiah tu Esha. Bukan main lagi usik akak ya. Akak tak marah cuma geram aje. Sayang Esha jugak…muaaahhh.”
Jarinya menekan punat send. Bibirnya mengukir senyum. Insyirah sedikit terkejut bila pintu kereta dibuka. Irfan memasuki kereta dengan tangan kosong.
“Sorry lambat sikit..” Katanya sambil memakai tali pinggang keledar.
“Awak pergi mana? Nak kata beli barang tak nampak apa pun kat tangan..” Soal Insyirah sebaik saja Irfan kembali memandu.
“Memang saya tak beli barang apa pun. Saya pergi jumpa kawan sekejap tadi.” Balasnya sambil menjeling sekilas ke arah Insyirah. Kereta itu terus meluncur laju.
Sepuluh minit kemudian kereta itu memasuki halaman Teratak Pak Zaman. Irfan memberhentikan kereta. Insyirah yang ingin melangkah keluar ditahan oleh Irfan.
“Ira…sekejap.” Insyirah memandang ke arahnya. Irfan mengeluarkan satu kotak baldu kecil dari poket bajunya. Kotak itu dihulurkan pada Insyirah.
“Apa pulak ni awak?” Soal Insyirah terpinga-pinga. Terkejut dengan pemberian banyak hadiah dari lelaki itu sepanjang hari itu.
“Untuk awaklah.” Ujar Irfan sambil tersenyum.Oh rupa-rupanya dalam diam tadi Irfan singgah ke kedai untuk membeli hadiah tersebut. Telah Insyirah dalam hati. Namun dia masih tidak menyambut huluran lelaki itu.
“Ambik…” Irfan menarik tangan Insyirah lalu meletakkan kotak baldu itu di telapak tangan gadis itu. Insyirah terpana.
“Bukaklah kotak tu…” Pinta Irfan. Insyirah menuruti kemahuan Irfan lalu membuka kotak baldu berwarna maroon lembut itu.
Sebaik saja membuka penutup kotak tersebut terpampanglah di ruang matanya satu set gelang dan brooch dengan batu cat's eye yang sangat cantik. Mulutnya sedikit ternganga. Matanya membulat. Terpesona. Insyirah memandang ke arah Irfan yang leka merenungnya saat itu. Wajah tampan itu dihiasi dengan senyuman manis. Hati Insyirah tersentuh lagi.
“Untuk saya lagi? Dah macam-macam awak beli untuk saya hari ni. Tak payahlah berhabis duit sampai macam ni Irfan.” Ucap Insyirah. Terharu dengan setiap pemberian lelaki itu.
“Awak tu kan teman wanita saya. Apa salahnya saya bagi hadiah kat awak. Lagipun hari ni kan hari lahir awak. Berapa sangatlah nilai semua benda tu, kalau nak dibandingkan dengan kasih sayang dan cinta yang awak berikan pada saya.”
“Irfan…dah banyak kali saya ucap terima kasih kat awak hari ni. Terima kasih sangat-sangat sebab awak raikan hari lahir saya hari ni. Saya betul-betul terharu. Terima kasih awak…terima kasih sangat-sangat.” Kolam matanya kian bertakung.
“Kalau ikutkan .. saya tak nak apa-apa hadiah dari awak. Cukuplah dengan rasa cinta, kasih sayang, perhatian dan kepercayaan awak buat saya. Saya dah rasa cukup dihargai. Terima kasih awak…” Air jernih mula mengalir di pipi mulusnya.
“Kasih awak saya terima.. Sejak dulu lagi saya dah terima. Tak payahlah nangis macam ni. Ingat cantik sangat ke nangis? Buruk tahu tak..” Usiknya sambil mengesat air mata di pipi Insyirah.
“Habis tu kalau buruk kenapa awak suka jugak?” Sambil menjeling Irfan di sisi.
“Buruk pada mata orang. Tapi pada mata saya awaklah yang paling manis, cantik dan ayu. Sungguh! Saya tak tipu. Kalau saya tipu, saya sanggup potong kuku saya…” Katanya dengan selamba sambil tersengih-sengih memandang Insyirah.
Potong kuku? Adoii…dah mula dah dia ni. Bisik hati Insyirah.
“Dahlah..malas nak layan awak. Saya masuk dululah.” Sambil membuka pintu kereta.
“Saya balik dulu sayang. Kirim salam kat Along ya.”
“Ok..hati-hati memandu ya.” Pesan Insyirah.
“Sayang jugak awak kat saya ya..” Irfan tersengih memandangnya. Masih ingin mengusik lagi. Insyirah cuma mendiamkan diri. Tak kuasa nak melayan kenakalan lelaki itu lagi.
“Oklah…Assalamualaikum..”
“Waalaikumussalam..”
“Sampaikan salam saya pada Esha ya..” Sambil melambaikan tangan pada Irfan.
Kereta lelaki itu mula meninggalkan perkarangan rumah. Insyirah berdiri di situ hinggalah bayang kereta itu hilang dari pandangan mata.
Insyirah begitu terharu dengan apa yang telah dilakukan oleh Irfan. Terasa dirinya benar-benar disayangi. Sambutan hari lahir kali ini menjadi kenangan yang cukup bermakna untuk dirinya.
No comments:
Post a Comment