INSYIRAH hanya diam di sepanjang perjalanan pulang. Dirasakan hilang terus moodnya bila teringatkan aksi Dania tatkala bersama Irfan tadi. Cemburukah aku? Soal hatinya.
“Ira…kenapa diam ni? Penat ek?” Katanya sambil menjeling sekilas Insyirah di sebelah.
“Hmmm….” Jawab Insyirah acuh tak acuh.
Irfan memusing stering kereta ke bahu jalan dan memarkirkan kereta di situ seketika. Insyirah kehairanan.
“Kenapa awak berhenti? Kalau macam ni, pukul berapa saya nak sampai rumah ni?!” Omelnya sambil menjeling Irfan di sebelah.
Lelaki itu hanya diam dan mula merapatkan wajah ke arahnya. Insyirah tergamam. Alamak apa yang dia nak buat ni? Bisik hatinya. Dia memejam rapat matanya saat itu. Irfan menahan tawa melihat muka cuak Insyirah. Tangannya mencapai kuntuman bunga ros yang diletakkan di tempat duduk belakang tadi.
“Ira…” Ucapnya lembut.
Insyirah kembali membuka mata. Irfan memandangnya sambil tersenyum. Dia malu sendiri. Macamanalah dia boleh terfikir yang bukan-bukan tadi. Pipinya merona merah saat itu.
Insyirah sedikit kaget bila lelaki itu tiba-tiba menghulurkan kuntuman bunga ros yang dibeli tadi padanya.
“Nah, untuk awak.” Katanya.
“Haah....untuk saya?!” Insyirah kehairanan. Dia tidak menyambut huluran itu.
“Bukan ke bunga ni untuk Dania?” Soalnya.
Fikirnya, bunga itu sudah bertukar tangan. Bukankah bunga itu untuk Dania? Kenapa masih ada di tangan Irfan? Dia tidak mengerti.
“Dania?!”
“Yelah..Dania. Bukan ke dia tu kekasih awak? Awak beli bunga ni untuk dia kan?” Irfan ketawa.
“Kenapa pulak awak ketawa? Betul kan? Perempuan tu kekasih awak….”
“Kekasih saya?”
“Yelah. Saya tengok bukan main lagi manjanya dia bila nampak awak. Matanya tu asyik merenung awak aje…” Ada baur cemburu dalam kata-kata itu. Irfan tersengih.
“Dia renung saya? Awak nampak? Saya sendiri pun tak sedar..” Dia tersengih lagi. Muka Insyirah masam. Memang sah cemburu.
“Awak cemburu ya?” Irfan semakin yakin tentang cinta Insyirah untuknya. Walau tidak diucapkan di bibir, namun tingkah Insyirah telah membuktikannya.
“Mana ada….”
“Ye ke tak ada? Yang awak nampak semua tindak-tanduk si Dania tu? Awak cemburu kan? Tu sebabnya awak duk perhatikan kami tadi kan?” Insyirah terdiam. Memang benar ada rasa cemburu singgah di hatinya saat itu.
“Awak rasa dia kekasih saya ke?” Soal Irfan lagi. Saja menguji hati Insyirah.
“Manalah saya tahu. Siapa saya nak ambik tahu siapa kekasih awak…!” Ada getar pada suara itu.
“Ira…awak rasa saya suka Dania ke?”
“Mana saya tahu. Saya nampak si Dania tu memang sukakan awak…” Balas Insyirah. Matanya memandang ke sisi kirinya. Tak ingin memandang wajah lelaki itu. Irfan tersenyum lagi melihat tingkah gadis itu.
“Dia sukakan saya. Tapi masalahnya saya tak suka dia. Saya sukakan awak…” Insyirah terpana dengan kata-kata Irfan. Matanya dihalakan kembali ke arah lelaki itu.
”Apa maksud awak ni? Awak tak suka dia?” Dia keliru.
“Yelah..saya tak pernah sukakan dia. Saya hanya sukakan awak sejak dulu.” Ucapnya sambil merenung Insyirah. Tangannya menghulurkan kembali kuntuman bunga itu.
“Apa ni?”
“Bungalah…apa lagi..!” Jawab Irfan selamba. Pura-pura tidak mengerti.
“Yelah saya tahulah bunga. Tadi awak cakap nak bagi kat seseorang yang istimewa kan. Kenapa pulak bagi kat saya?” Soalnya lagi sambil memandang Irfan. Keningnya berkerut.
“Sebab awaklah orang yang sangat istimewa tu… bukan Dania. Jadi bunga ni memang untuk awak.” Balas Irfan sambil menganggukkan kepalanya bila melihat gadis itu seakan tergamam.
“Maksudnya.. Dania tu bukan kekasih saya. Saya tak pernah ada perasaan dekat dia. Saya cuma cintakan awak seorang saja. Dulu, kini dan selamanya. Jadi, tolonglah terima bunga ni. Penat dah saya duk hulur dari tadi…please….” Jelasnya sambil mengelip-ngelipkan matanya pada Insyirah.
Akhirnya Insyirah menyambut huluran bunga itu. Lelaki itu melemparkan senyuman manis padanya sambil mengenyit mata. Dia sedikit tersentak dengan aksi spontan Irfan. Tingkah lelaki itu semakin mengetuk dinding hatinya. Dia memalingkan muka ke arah cermin sisinya. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.
IRFAN fokus pada pemanduannya. Jam sudah menunjukkan jam 8 malam. Insyirah di sebelah sudah lena. Kepenatan. Beberapa minit kemudian kereta itu tiba di hadapan banglo satu tingkat bersebelahan Yayasan An Nur itu. Lampu di bahagian luar rumah terang benderang. Enjin kereta tidak dimatikan. Irfan merenung Insyirah yang masih lena.
Leka memandang wajah mulus itu. Cantik sungguh dia walau dalam tidur. Kesian pulak saat memandang gadis itu. Insyirah sabar menuruti kemahuannya petang tadi. Sedangkan dia sendiri maklum gadis itu keletihan setelah Seminar berakhir. Bukan hanya letih badan, bahkan minda gadis itu sendiri pasti letih terpaksa berdepan dengan berbagai insiden sejak pagi tadi. Puncanya dari aku sendiri. Keluh Irfan dalam hati. Rasa bersalah mula menguasainya.
“Ira…..”
Tidak bergerak. Tetap lena.
“Ira…” Panggilnya lagi sambil menggoyangkan sedikit bahu Insyirah. Gadis itu mula menggeliat kecil.
“Dah sampai dah. Bangunlah…”
Insyirah menggosok-gosokkan mata. Irfan memandang sambil tersengih.
“Terima kasih ya Irfan.” Ucapnya selepas beberapa ketika.
“Sama-sama kasih… Kereta awak tu esok kita hantar bengkel ya. Tak apa biar saya yang bayar segala kos tu nanti.” Katanya sambil tersenyum memandang gadis manis itu. Insyirah mengangguk.
Dia meloloskan diri dari kereta bersama kuntuman bunga pemberian Irfan. Lelaki itu turut keluar menyuakan briefcase yang berada di tangan padanya.
“Hati-hati ya. Jangan pandu laju sangat…” Pesan Insyirah sebaik saja Irfan kembali memasuki kereta.
“Ok. Selamat malam.” Usiknya sambil tersengih. Gembira dengan keprihatinan Insyirah.
“Selamat malam…”
Kereta itu mula mengundur dan meluncur ke arah Bandar. Sebaik saja Irfan berlalu, Insyirah menapak masuk ke dalam rumah. Badannya terasa sangat letih. Matlamatnya hanya satu..menyambung tidurnya.
SENYUMAN terukir lagi di bibirnya tatkala merenung kuntuman bunga ros itu. Ingatannya menerawang pada peristiwa semalam.
“Sebab awaklah orang yang sangat istimewa tu… Jadi bunga ni memang untuk awak.”
Terngiang-ngiang kata-kata Irfan di cuping telinganya. Ketika mereka bercinta dahulu, Irfan tak pernah sekalipun memberinya bunga. Kenapa tiba-tiba berubah jadi Mat Bunga pulak dia ni? Bisik hatinya. Memang benar bagai dikata. Masa memang mampu mengubah segalanya.
Dia akui ketulusan hati lelaki itu dalam setiap tingkah yang dipamerkan. Tanpa jemu berusaha untuk menawan kembali hatinya. Taman hatinya kini kian kembali menyubur dengan rasa yang berbunga-bunga terhadap lelaki itu. Namun bibir masih enggan melafazkannya.
SETELAH menjalani banyak sesi terapi, kaki Aiman sudah semakin pulih. Kini dia sudah mampu berjalan walau pun sedikit terhencut. Insyirah bersyukur dengan perubahan yang berlaku.
“Abang…Ira rindu kat rumah peninggalan arwah ayah dan ibu kita tu. Hujung minggu nanti kita balik sana, nak tak?” Usul Insyirah pada Aiman.
“Aa ar kan…sejak duduk kat Yayasan ni, jarang kita balik sana. Apa kata kita buat kenduri kesyukuran dan tahlil kat sana?” Cadang Aiman pula.
“Ira setuju Along. Kita kemaskan dulu apa yang patut bila balik nanti.” Aiman mengangguk setuju.
TERATAK itu masih kukuh berdiri di atas tanah milik arwah Pak Zaman dan Mak Wan. Insyirah menguak jendela yang tertutup. Along turut mengajak Irfan dan Qaleesha datang bersama untuk membantu mereka.
Lantai yang agak berhabuk kerana lama tidak diusik disapu oleh Qaleesha. Kerusi dan perabot masih tidak terusik. Tetap berada di kedudukan asalnya. Irfan tersenyum sendiri mengenangkan banyak memori yang tertinggal di teratak ini. Indah untuk dikenang.
Dia membantu Insyirah membentangkan tikar yang lama tersandar di dinding. Baharu saja beberapa saat tikar itu dibentangkan ke lantai, tiba-tiba kedengaran jeritan Insyirah sambil melompat ke belakangnya.
“Aaaaaaaaaaaa…….!”
Terkejut Irfan mendengar suara nyaring gadis itu.
“Kenapa Ira?” Soal Irfan sambil berpaling ke belakang. Memandang wajah gadis itu.
“Li…lipas… Eeeeeeeeii…….!” Katanya sambil menggeli. Hingga bergoyang sedikit bahunya menahan geli. Irfan rasa gelihati melihat reaksi spontan Insyirah itu.
“La….lipas pun takut….ingatkan apalah tadi.” Ejeknya.
“Bukan takutlah…..geli!” Bentak Insyirah. Masih menafikan.
“Bukan sama je ke maksudnya tu…?!” Balas Irfan. Saja ingin mengundang kejelekan gadis itu. Insyirah menjeling tajam. Irfan tersengih.
Segala pinggan mangkuk dibasuh bersih dan disusun rapi. Setelah selesai semua urusan di dalam rumah, mereka beralih ke halaman rumah. Aiman menyapu halaman yang dipenuhi daun-daun kering dan mengumpulkannya di satu sudut lalu dibakar.
Insyirah dan Qaleesha turun ke halaman bersama dulang berisi makanan dan minuman. Mereka melabuhkan punggung di pangkin. Aiman dan Irfan kemudiannya menyertai mereka.
“Wah….ada karipap.” Ucap Irfan sambil tersenyum. Tangannya pantas mencapai sebiji karipap lalu menyuapkan ke mulut.
“Abang ni memang pantang nampak karipap. Hantu karipap!” Usik Qaleesha. Irfan hanya tersenyum sambil mengunyah.
“Beli kat mana karipap ni? Sedaplah…!” Soal Irfan. Tangannya mencapai sebiji lagi.
“Mana ada beli, Irfan. Karipap tu Ira yang buat sendiri.” Balas Aiman. Irfan mengangkat kening.
“Oh ye ke? Patutlah sedap. Ira yang buat rupanya.” Usiknya sambil menjeling Insyirah di hadapannya. Bibirnya menguntum senyuman pada gadis itu.
Baki karipap di tangan disuapkan ke mulutnya. Insyirah hanya tersenyum memandang tingkah lelaki itu.
“Along….bila nak buat kenduri kesyukuran dan doa tahlil tu?” Soal Irfan.
“Kalau buat minggu depan, ok tak?” Soal Aiman kembali.
“Saya ikut je Along. Kita buat tahlil untuk arwah kedua orang tua kita. Pasal belanja, Along serah je pada saya. Cuma apa barang yang perlu dibeli tu, Along kena tolong saya.”
Aiman mengangguk tanda setuju dengan cadangan Irfan. Irfan dan Qaleesha bagai sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya. Dia juga tahu Irfan sedang berusaha memujuk Insyirah kembali. Dia yakin lelaki itu akan berjaya. Dia lebih kenal siapa Insyirah. Sensitif dan kuat merajuk. Tapi cintanya pada Irfan tak pernah berubah walaupun mereka pernah berpisah. Pandai-pandailah kau pujuk dia Irfan. Bisik hati Aiman.
HARI itu persiapan untuk mengadakan kenduri kesyukuran dan tahlil berjalan lancar. Ramai orang kampung datang membantu. Anak-anak Yayasan An Nur pun ada bersama. Kemeriahannya bagai meraikan sebuah majlis perkahwinan.
Irfan sedang membantu Insyirah dan Qaleesha memotong daging. Sambil menghiris daging, sempat lagi mata Irfan menjeling Insyirah di hadapannya. Tidak pernah rasa jemu memandang seraut wajah manis itu. Bertudung ala Nur Kasih berwarna purple lembut. Leka matanya meratah wajah itu dengan ekor matanya.
“Aduh……!!” Tiba-tiba dia mengaduh. Berkerut sedikit dahinya menahan sakit. Pisau sudah terlepas dari genggaman tangannya.
“Kenapa Irfan?!” Tanya Insyirah sedikit terkejut. Qaleesha turut memandang risau ke arah abangnya.
“Kena pisau….” Jawabnya sambil memegang jarinya yang berdarah.
“Meh sini saya tengok…” Kata Insyirah sambil menghampiri Irfan. Dia memegang jari Irfan yang luka. Begitu khusyuk dia merenung luka itu.
“Dalam jugak luka ni. Sebab tu banyak keluar darah. Jom naik atas, saya sapukan ubat.” Irfan menuruti langkah Insyirah.
Qaleesha tersengih-sengih memandang mereka. Memang sah, masih ada cinta. Detik hatinya. Dia cuma membiarkan lalu kembali menyambung kerjanya.
Insyirah sedikit kalut mencari kotak first aid di dalam almari. Dia lega setelah menemuinya. Irfan yang duduk di kerusi hanya memerhati sambil tersenyum. Gembira dengan keprihatinan Insyirah pada dirinya saat itu.
“Bak sini tangan tu…” Irfan menghulurkan jarinya yang luka.
Insyirah mengesat darah yang meleleh di jari lelaki itu. Kedudukan mereka yang agak rapat itu memberikan peluang untuk Irfan merenung gadis itu. Kau sungguh manis Insyirah. Detik hati kecilnya. Dadanya berdebar kencang saat itu.
“Dah tahu duk pegang pisau, yang mata tu nak melilau ke lain tu kenapa? Orang potong daging, awak potong jari. Macam budak-budaklah…!” Bebel Insyirah sambil menyapu ubat luka. Menyeringai sedikit mulut Irfan menahan pedih.
“Dah tu ada pemandangan yang cantik kat depan mata. Takkan tak nak tengok…!” Usiknya sambil menyengih. Insyirah buat-buat tidak dengar. Handy plus telah siap dilekatkan olehnya ke jari Irfan.
“Ok..dah siap…”
“Sayang jugak awak kat saya ya…” Irfan menjeling Insyirah. Gadis itu tidak mengendahkan kata-katanya.
Tangannya sibuk mengemaskan kembali kotak first aid dan menyimpannya semula ke dalam almari.
“Dahlah.. malas nak layan awak. Banyak lagi kerja nak buat kat bawah tu. Awak jangan cari alasan tak nak tolong pulak. Sikit je luka tu…!” Omel Insyirah.
Insyirah meninggalkan Irfan yang masih duduk di kerusi. Lelaki itu masih menyengih sambil memegang jarinya yang sudah berbalut. Dia semakin yakin Insyirah sudah menerimanya kembali. Dia akan meneruskan niatnya yang satu itu. Senyumannya kian melebar.
No comments:
Post a Comment