JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Saturday, August 27, 2011

BAB 34 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



USAI menyiapkan sarapan, Insyirah kembali menapak ke tingkat atas dengan senyuman manis terukir di bibirnya. Tanpa pengetahuan Irfan, dia telah menjalani pemeriksaan kehamilan di sebuah klinik swasta milik bekas rakan sekolahnya, Dr Nur Salwani tempohari. Alhamdulillah, rakannya itu baru sahaja memaklumkan satu berita gembira untuknya dan Irfan. Tidak sabar untuk berkongsi kegembiraan itu bersama suaminya.

Sebaik sahaja pintu bilik tidur dikuak, dahinya sedikit berkerut melihat tubuh suaminya yang masih terbaring di katil. Kenapa tak bangun lagi? Tak kerja ke hari ni? Bisik hatinya. Dia menghampiri katil.

“Abang…” Sambil menggerakkan sedikit tubuh Irfan yang masih berselimut.

Usai solat Subuh tadi dia terus turun ke dapur untuk menyediakan sarapan. Kebiasaannya suaminya akan terus bersiap untuk ke tempat kerja. Tapi tidak dilakukan hari itu. Insyirah kehairanan.

“Abang…kenapa tidur lagi ni? Abang tak kerja ke hari ni?” Ucap Insyirah.

“Ermmm…….” Kedengaran rengekan kecil dari mulut Irfan. Tubuh itu bergerak sedikit. Namun matanya masih tertutup rapat.

“Abang…kenapa ni?” Soal Insyirah mula risau melihat respon Irfan. Spontan tangannya menyentuh dahi suaminya itu.

“Ya ALLAH. Panasnya!” Pantas tangannya turut menarik selimut yang membaluti tubuh Irfan. Matanya membulat. Baju tidur yang dipakai Irfan basah dek peluh akibat suhu panas badannya itu.

“Abang demam ni. Kita pergi klinik ya?!” Usul Insyirah sambil menyentuh lembut lengan suaminya.

Baru sahaja dia ingin mengangkat punggung untuk bersiap, jemarinya dicapai lembut oleh tangan Irfan. Insyirah kembali melabuhkan punggung di sisi katil.

“Sayang....……..” Perlahan kedengaran suara itu. Matanya yang terasa panas cuba dicelikkan sedikit.

“Ira bawak abang pergi klinik ya?” Ucap Insyirah lembut.

“Tak payah………” Rengek Irfan. Suaranya kedengaran sedikit serak.

“Badan abang panas sangat ni. Kita pergi klinik ok?” Pujuk Insyirah lagi.

“Demam sikit aje……..” Irfan masih berdegil. Bukan Insyirah tidak tahu sikap Irfan yang agak culas untuk ke klinik. Keengganan Irfan mula merisaukan Insyirah.

“Kita pergi kliniklah bang. Badan abang panas sangat ni. Risau Ira tengok abang macam ni!” Pujuknya lagi.

“Kita pergi klinik ya?!” Usulnya lagi. Masih cuba memujuk. Irfan mengelengkan kepala tanpa bersuara.

Kedegilan Irfan membuatkan dada Insyirah mula terasa sebak. Mula membayangkan kemungkinan yang bukan-bukan. Kalau sesuatu berlaku pada Irfan, bagaimana dengan anak yang bakal lahir ni? Detik hatinya. Air mata mula bergenang di bibir matanya.

“Sayang jaga abang ... abang oklah…….” Kedengaran lagi rengekan lemah dari bibir Irfan. Masih enggan menuruti kata isterinya itu. Matanya masih tidak mampu dibuka luas.

Insyirah mengesat air mata. Geram dengan kedegilan lelaki itu. Dia akur dalam paksa.

Tanpa berlengah kakinya melangkah ke almari pakaian. Dicapainya sehelai tuala kecil lalu menuju ke bilik air. Dibasahkan tuala itu lalu diletakkan ke dahi Irfan. Beberapa kali dia mengulanginya. Dek kerana suhu panas badan Irfan tuala basah itu cepat mengering. Sambil itu sempat lagi Insyirah ke dapur memasakkan bubur nasi untuk suaminya itu. Dia turut merebus bijiran barli untuk diminum. Itulah petua dari arwah ibunya, Mak Wan untuk meredakan panas badan. Setelah selesai, dia kembali semula ke tingkat atas bersama dulang berisi bubur dan air rebusan barli.

Insyirah meletakkan dulang di atas meja di sisi katil. Dia menghenyakkan punggung di sisi suaminya yang masih terbaring.

“Abang bangun bang. Ira masakkan bubur untuk abang ni. Perut abang tu kosong. Nanti masuk angin susah.” Pujuk Insyirah. Irfan hanya akur. Insyirah membantu Irfan bangun dan bersandar di kepala katil. Sebiji bantal diletakkan di belakang untuk lebih selesa.

“Abang makan ya. Ira suapkan.” Irfan akur.

Setelah beberapa suapan, tangan Irfan menolak tangan Insyirah.

“Abang minum air ni.” Sambil menyuakan air rebusan barli kepada Irfan.

“Apa ni ..…..?” Soal Irfan perlahan. Agak pelik dengan bau yang singgah ke hidungnya itu.

“Air barli. Abang minum jelah.” Pinta Insyirah. Irfan hanya menurut.

“Nah sekarang abang makan panadol ni. Lepas tu abang rehat ya.” Balas Insyirah sambil menyuakan dua biji panadol dan segelas air putih kepadanya. Lagaknya bagai seorang jururawat yang begitu tekun menjaga pesakit. Dan Irfan pula hanya akur menurut.

Irfan kembali berbaring dan Insyirah kembali menapak ke ruang dapur di tingkat bawah bersama dulang tadi. Tangannya ligat menyiapkan bahan untuk hidangan tengahari. Memandangkan keadaan suaminya yang kurang sihat itu, Insyirah hanya bercadang untuk memasak Sup Ayam dan nasi putih sahaja.

Hampir satu jam di dapur, Insyirah kembali ke tingkat atas untuk memantau keadaan Irfan. Tangannya pantas menyentuh dahi dan tubuh suaminya itu.

“Alhamdulillah, dah kurang panasnya…” Bisik Insyirah. Dia mencapai tuala di dahi Irfan yang telah mengering lalu dibasahkan lagi dengan air. Tuala itu kemudiannya diletakkan kembali ke dahi suaminya itu. Irfan pula tidak menyedari langsung. Begitu lena tidurnya.

“Biarlah dia tidur lagi. Nanti makin oklah tu.” Ucap Insyirah dalam hati sambil tersenyum sendiri.

Insyirah kembali ke tingkat bawah untuk melakukan rutin hariannya. Selesai membasuh pakaian dan menjemurnya di ampaian, dia menuju ke ruang tamu pula. Mengemas apa yang patut di ruang yang sedia ada kemas itu. Buku-buku dan majalah disusun rapi di bahagian bawah rak TV. Permaidani di ruang itu turut di vakum bersih.

Usai segala tugasnya, Insyirah melabuhkan punggung di sofa. Sambil menepuk-nepuk perlahan bantal kecil yang terdapat di situ, dia teringatkan keinginan sebenarnya untuk menyampaikan berita gembira pada Irfan pagi tadi. Tetapi segalanya hilang terus dari pemikirannya saat terpandang keadaan suaminya itu. Nasib baik demamnya sudah makin kebah. Tak sabar rasa hatinya untuk berkongsi kegembiraan itu. Nantilah aku bagitahu dia. Bisik hatinya.


IRFAN membuka mata. Dia merenung jam di dinding. Sudah pukul satu tengahari rupanya. Begitu lama dia tidur setelah menelan ubat tadi. Tuala kecil yang berada di dahi dicapai. Dia menyedari setiap perilaku Insyirah sebentar tadi. Begitu sabar menjaganya. Alhamdulillah demamnya sudah semakin kebah.

Irfan bangkit dari katil. Niat di hati ingin mencari kelibat isteri kesayangannya itu. Namun rasa tidak selesa pada badannya membuatkan dia menukar fikiran. Dia mencapai tuala di dalam almari pakaian lalu menuju ke bilik air untuk menyegarkan badan. Setelah hampir 15 minit membersihkan diri dia keluar dari bilik air. Selesai memakai T-Shirt biru lembut dan berseluar track, dia mula menapak ke tingkat bawah.

“Sayang…..!” Panggil Irfan sambil kakinya menuju ke arah dapur. Senyap aje. Ke mana pulak dia pergi? Bisik hatinya bila tidak melihat kelibat Insyirah di ruang itu.

Mata Irfan sedikit melilau sebaik sahaja kakinya menjejak halaman rumah mereka melalui pintu belakang. Pada fikirannya mungkin juga isterinya ralit menilik pokok-pokok bunga di situ. Dia sedikit kehairanan bila tiada kelibat Insyirah di situ. Ke mana pulak dia pergi? Omel hati Irfan. Dia kembali menapak ke dalam rumah.

Langkah kakinya menghala ke arah ruang tamu. Dia menarik nafas lega sebaik terpandang tubuh kecil isterinya yang sedang lena di sofa. Bagai nak rak aku cari, rupanya ada kat sini. Bisik hatinya. Senyuman terukir di bibirnya.

Irfan menghampiri Insyirah. Kasihan melihat isterinya itu. Tentunya kepenatan. Bukan setakat membereskan kerja-kerja rumah bahkan terpaksa menjaganya pula yang tiba-tiba diserang demam panas. Mungkin disebabkan rutin kerjanya yang agak padat sejak kebelakangan ini.

Dania, stafnya di Kuantan telah memberi notis berhenti kerja dalam masa 24 jam. Faizul pulak bercuti selama sebulan untuk menjaga ibunya yang sedang sakit. Kelam kabut juga jadinya. Peranan keduanya di kedai buku itu sangat penting. Ketiadaan mereka agak menyukarkan kerja Irfan. Mahu tidak mahu terpaksalah dia berulang-alik ke Kuantan untuk membereskan segalanya.

Dia kembali merenung Insyirah di sofa. Terserlah riak kepenatan di wajah itu. Tidak berniat untuk mengejutkan isterinya itu. Perutnya yang berbunyi minta diisi membuatkan Irfan menghayun langkah kembali ke dapur. Tudung periuk yang berisi Sup Ayam dibuka oleh Irfan. Aroma itu kian membangkitkan rasa laparnya. Dia mencapai pinggan lalu menceduk nasi dan turut mengaup semangkuk sup. Perutnya yang kosong sejak pagi tadi akhirnya terisi. Dia menikmati hidangan tengahari itu dengan penuh berselera.

Usai makan dan membersihkan pinggan mangkuk, Irfan kembali ke ruang tamu bersama dulang berisi semangkuk Sup Ayam, sepinggan nasi putih dan segelas Jus Oren. Dia meletakkan dulang tersebut di atas meja kaca. Insyirah yang masih dilena dihampiri.

“Sayang…” Sambil menggerakkan sedikit bahu isterinya itu.

“Hmmm……” Insyirah sedikit menggeliat.

“Bangun sayang. Dah nak masuk waktu zohor ni.” Ucapnya lembut. Insyirah membuka mata dan mula bangun dari baringannya.

“Eh abang. Kenapa pulak abang ada kat sini? Abang dah ok ke? Hmmm…?” Soalnya sambil menggosok matanya yang mamai. Spontan tangannya hinggap ke dahi suaminya. Dah sejuk.

“Sayang yang jaga abang tentulah abang dah ok.” Balasnya sambil tersenyum memandang isterinya. Insyirah sedikit tergamam melihat dulang berisi sup dan nasi di atas meja di hadapannya itu.

“Sayang mesti lapar kan? Sayang makan dulu ya. Meh abang suapkan..” Insyirah sedikit kebingungan. Siapa yang sakit sebenarnya ni? Bisik hatinya. Irfan telah bersedia untuk menyuap nasi ke mulutnya.

“Abang…bukan Ira yang sakit. Kan abang yang demam. Meh sini biar Ira suapkan abang..” Katanya sambil cuba mencapai sudu dari tangan Irfan.

“Abang dah makan tadi sebab rasa lapar sangat. Sayang tu mesti lapar sebab dari tadi duk jaga abang dan buat semua kerja-kerja rumah, kan? Jadi biar abang yang suapkan sayang sekarang. Ok...” Terang Irfan.

“Bukak mulut….” Pinta Irfan. Insyirah akhirnya akur. Memang perutnya terasa lapar. Terasa bahagia dilayan sebegitu oleh suami tercinta. Suapan demi suapan akhirnya habis nasi sepinggan dijamah oleh Insyirah.

“Sayang lapar ya…” Usik Irfan sebaik habis suapan terakhir. Insyirah tersipu malu. Irfan hanya tersengih.

Insyirah kemudiannya meneguk Jus Oren yang dihulurkan Irfan.

“Sayang…terima kasih sebab sanggup jaga abang tadi. Kalau tak ada sayang tak tahulah apa yang akan jadi kat abang…” Kening Insyirah berkerut sambil merenung Irfan.

“Kenapa abang cakap macam tu? Ira kan isteri abang. Tentulah Ira akan jaga abang seumur hidup Ira. Takkan Ira sanggup nak biar abang sorang-sorang menanggung sakit.” Katanya tulus.

“Yelah. Maksud abang.. abang sangat hargai kehadiran sayang sebagai peneman di sepanjang hidup abang. Abang tak pernah rasa hilang perhatian dan kasih sayang dari sayang. Abang bersyukur sangat-sangat.” Ucap Irfan sambil mencapai jemari isterinya lalu dikucup mesra. Insyirah tersenyum. Saatnya sudah tiba untuk menyampaikan berita gembira itu.

“Tak lama lagi abang akan ada peneman yang baru.” Tutur Insyirah tersenyum manis.

“Peneman yang baru?” Irfan mengerut dahi.

“Hmmm….”

“Apa maksud sayang ni? Takkan nak suruh abang kahwin lain kot? Biar betul!” Telahnya sambil memandang tepat wajah isterinya.

“Siapa pulak suruh abang kahwin lain? Jangan berangan pun nak kahwin lain ya!” Ujar Insyirah sambil mengetap bibir. Irfan ketawa kecil.

“Habis tu? Cuba cakap dengan jelas sikit. Abang tak fahamlah apa maksud sayang!” Matanya tertancap pada wajah Insyirah.

“Sebenarnya… abang akan jadi seorang ayah tak lama lagi….” Jelas Insyirah sambil tersenyum memandang suaminya. Mata Irfan membulat.

“Betul ke ni sayang? Sayang jangan nak main-mainkan abang…!” Seakan tidak percaya.

“Betullah ni. Ira tak main-main. Kita akan jadi ibu dan ayah tak lama lagi…”

“Alhamdulillah.” Senyuman lebar terpamer di bibir suaminya itu.

“Macamana sayang tahu? Bila masa pulak sayang pergi klinik?!” Soal Irfan bertalu-talu.

“Minggu lepas Ira pergi buat pemeriksaan kehamilan dekat sebuah klinik kat Bandar tu. Doktor dah sahkan Ira telah hamil dua bulan. Saja Ira tak ajak abang pergi. Nak bagi surprise!” Jelasnya sambil tersenyum manis.

“Oh pandai sayang ni ya. Memang abang terkejut sangat ni. Tak tahu nak cakap apa. Hanya bersyukur pada ALLAH dengan anugerah ni.” Tuturnya sambil mencuit mesra hidung isterinya itu.

“Sebenarnya Ira nak bagitahu abang pagi tadi. Tapi bila tiba-tiba abang demam, terus Ira lupa.” Mereka saling berbalas senyuman.

Irfan mencium mesra pipi isterinya dan merangkul tubuh kecil itu lebih erat. Insyirah membalas pelukan itu.

“Tapi…….”

“Tapi apa sayang? Hmmm….?” Soal Irfan sambil merenung wajah muram Insyirah. Sekelip mata riak wajah itu berubah.

“Ira bimbang impian kita tak kesampaian lagi. Ira…….” Tutur Insyirah perlahan.

“Sayang…tak elok cakap macam tu. Semuanya kuasa ALLAH. Insya-ALLAH kalau dah memang rezeki kita tak perlu sayang nak risau. Apa yang penting sekarang, sayang kena jaga kandungan sayang baik-baik.” Pujuk Irfan. Insyirah mengangguk perlahan.

Dia faham kebimbangan isterinya itu. Tidak ingin pisang berbuah dua kali. Namun semua itu hanya ALLAH yang akan menentukan. Sebagai hambaNya hanya doa yang mampu dipanjatkan agar semuanya berakhir dengan baik.

“Sayang tak boleh buat kerja berat lagi lepas ni tau. Biar abang buat semua.” Sambung Irfan lagi.

“Amboi…abang nak buat semua kerja? Larat ke abang? Kalau abang sakit lagi siapa yang susah? Ira jugak kan…”

“Tak apalah. Kalau abang sakit sayang jaga abang. Kalau sayang pulak yang sakit abanglah jaga sayang. Kita saling sayang menyayanglah. Eh silap… kita saling jaga menjaga antara kitalah. Haah macam tu. Adil kan?!” Insyirah ketawa kecil mendengar kata-kata suaminya itu.

“Aa ar…adil dan saksama…!” Kata Insyirah pula. Irfan turut sama ketawa.

Bersyukur dengan kurniaan Ilahi. Dengan izin-Nya, mereka akan lengkap sebagai sebuah keluarga bahagia bersama kehadiran zuriat penyambung warisan keturunan mereka tidak lama lagi. Bahagia itu kian menyaluti ruang kehidupan mereka. Semoga ianya akan berkekalan hingga ke akhir hayat.


No comments:

Related Posts with Thumbnails