JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Monday, July 4, 2011

BAB 13 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



“PERATUSAN pesakit untuk hidup amat tipis. Jika hidup sekalipun, pesakit mungkin akan lumpuh.” Kata-kata Doktor Firdaus bagai satu ledakan bom atom menghentam dinding hati Insyirah.


Juraian air mata Insyirah bagai tiada kesudahan. Hatinya amat pilu melihat kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh abangnya kini. Bahunya tiba-tiba disentuh oleh seseorang.

“Ira….” Lembut suara itu.

Dia memalingkan mukanya memandang wajah di sisinya. Sebaik saja melihat wajah yang amat dikenalinya itu, tanpa sedar Insyirah memeluk erat tubuh itu. Dia menangis semahunya di dada bidang lelaki itu. Seakan melepaskan apa yang terbungkam di hatinya saat itu. Irfan tergamam dengan tindakan Insyirah. Namun dia cuba memahami kesedihan yang dirasai Insyirah. Dia membiarkan sahaja tingkah gadis itu buat beberapa ketika.

Mendengarkan esak tangis Insyirah begitu meruntun jiwa lelakinya. Tiada hati yang tidak tersentuh saat menatap orang tersayang terbujur kaku dalam keadaan yang begitu memilukan. Begitu hebat Along dizalimi. Apakah dosa Along hingga diperlakukan begitu?

“Sabar Ira…sabar..Ingatkan ALLAH.” Pujuk Irfan.

Insyirah yang mula menyedari lakunya sebentar tadi, mula meleraikan pelukan dan menjarakkan dirinya. Dia sendiri tidak sedar saat memeluk tubuh lelaki itu tadi. Rasa sedih dan bingung dengan apa yang menimpa Along menyebabkan dia menjadi nanar.

“Maafkan saya…” Ucap Insyirah. Dia malu sendiri. Pipinya masih basah dengan air mata.

“Tak apa…” Balas Irfan pendek.

“Awak…siapa yang sanggup buat Along macam ni?….apa salah Along?....” Dia kembali menyambung kata. Sedu tangisannya masih berbaki. Dia memandang Irfan di sisi.

“Entahlah Ira…apa yang penting sekarang..sama-sama kita doakan agar Along selamat..” Pujuk Irfan. Tiada jawapan bagi soalan gadis itu. Insyirah mengangguk perlahan.

Minda Insyirah sendiri tidak mampu untuk berfikir apa-apa sekarang. Dia hanya fikirkan tentang abang kesayangannya itu. Menurut doktor, Along mengalami kecederaan di kepala dan tulang belakang. Kedua kakinya juga cedera akibat dipukul bertubi-tubi selain kecederaan dalaman.

Kepedihan yang bersarang dalam dirinya tidak akan mampu menampung kesakitan yang lebih ditanggung oleh abangnya kini. Ingin rasanya dia turut berkongsi kesakitan itu. Dia sanggup andai dirinya boleh digalang ganti demi rasa kasihnya pada Along. Satu-satunya keluarganya yang ada di bumi ALLAH ini. YA ALLAH… Aku masih belum bersedia untuk menerima kehilangan ini. Aku tidak mampu YA ALLAH. Rintihnya.



YA ALLAH Ya Tuhanku…apakah erti semuanya ini? Jiwanya jadi sebu bila mendengar kata-kata yang keluar dari hujung talian itu.

“Kau jangan ingat aku tak berani buat semua tu. Aku akan lakukan apa saja untuk mendapatkan hak aku. Kau faham!.”

“Sampai hati kau Izzati…daripada kau seksa Along..lebih baik kau bunuh aku saja!.”

“Hei perempuan..kan aku dah cakap dulu..aku akan buat kau menyesal seumur hidup. Sekarang.. padan muka kau…! Disebabkan kedegilan kau tu, abang kau yang jadi mangsa….Hahahahahah….puas hati aku!.” Hilai tawa gadis itu kian menggila.

Talian diputuskan. Sungguh Insyirah tidak menyangka Izzati begitu kejam. Tegar melakukan perbuatan sezalim itu. Lagaknya bagai seorang penjenayah.


INSYIRAH merapati katil di bilik ICU itu. Digagahi kakinya untuk menatap sekujur tubuh yang terbaring itu. Tersayat hatinya melihat keadaan abangnya itu. Tubuh itu penuh berselirat dengan wayar. Hembusan nafas di dada itu begitu perlahan dengan sokongan alat bantuan pernafasan. Dadanya kembali sebak. Air matanya bercucuran lagi untuk kesekian kalinya.

Dia menyesali diri atas apa yang menimpa abangnya. Ekoran kedegilannya untuk mempertahankan cinta dan juga kegilaan yang menguasai diri Izzati, akhirnya lelaki itu yang menjadi mangsa keegoan mereka. Maafkan Ira, Along! Maafkan Ira! Dia berlari keluar. Tubuhnya disandarkan pada dinding wad. Akhirnya tubuh itu menyorot ke bawah bersama esak tangis yang tidak berkesudahan. Sambil mulutnya terkumat-kamit menyebut kata-kata maaf buat abangnya. Tidak dihiraukan pandangan mata mereka yang lalu-lalang di situ.


IRFAN merapati Insyirah yang sedang ralit mengelap wajah Along dengan tuala basah. Itulah rutin gadis itu selepas insiden yang menimpa Along sebulan lalu. Along selamat tetapi masih koma. Sepanjang tempoh itu Irfan membantu Insyirah menjaga Along di hospital.

“Ira…”

Insyirah berpaling ke arahnya. Wajah Irfan ditatap sekilas.

“Awak dah sarapan?” Soal Irfan. Insyirah hanya menggelengkan kepala.

“Saya ada bawakkan nasi lemak. Jom kita sarapan dulu.” Ajak Irfan. Matanya menyoroti wajah gadis itu. Tubuh kecilnya kelihatan sedikit kurus.

“Saya tak ada seleralah awak. Awak ajelah makan…” Balas Insyirah perlahan.

“Ira…tak bolehlah macam ni. Kalau awak tak makan, nanti awak sakit. Kalau awak sakit, siapa nak jaga Along. Awak sendiri cakap kat saya, awak nak jaga Along sampai dia sedar kan…” Lembut kedengaran suara Irfan. Cuba memujuk gadis itu.

“Yelah…itu saya tahu. Tapi tekak saya ni macam tak boleh nak terima makanan..” Ucapnya. Masih menolak. Irfan menjeling ke arahnya. Dia tahu sejak menjaga Along, Insyirah kian tidak ambil peduli tentang kesihatannya sendiri. Lebih-lebih lagi pasal makan dan minumnya.

“Jom kita makan…!” Paksa Irfan sambil menarik tangan Insyirah keluar dari bilik itu.

“Saya tak naklah awak…!” Bentak Insyirah sambil cuba menarik tangannya yang digenggam Irfan. Namun tidak berjaya. Genggaman tangan Irfan begitu kejap.

“Ira…awak jangan degil macam ni. Saya tetap akan paksa awak makan jugak walaupun awak tak nak. Jom!” Tegas Irfan. Insyirah merenung wajah tegang lelaki itu. Wajah tampan itu merenung tajam ke arahnya. Dia akhirnya akur dan menuruti langkah Irfan menuju ke kantin hospital.

Sebaik saja mereka duduk di ruang kantin hospital, Irfan menyuakan bungkusan nasi lemak kepada Insyirah. Insyirah memandang kosong ke arah makanan di hadapannya. Irfan merenungnya.

“Ira, awak nak makan ke tak ni? Ke nak tengok aje nasi lemak tu? Ataupun nak saya suapkan awak?” Katanya sambil membuka bungkusan nasi lemak itu. Dia mencapai sudu dan mula mengaup nasi lalu disuakan pada mulut Insyirah.

Insyirah mula malu sendiri bila ada mata yang menjeling ke arah mereka.

“Tak apalah. Saya makan sendiri..” Ujarnya sambil mencapai sudu di tangan Irfan. Dengan teragak-agak dia mula menyuap nasi lemak ke mulut. Meskipun payah tetap cuba ditelannya jua. Irfan pasti akan terus-terusan mendesaknya untuk makan.

Irfan tersenyum. Memang nak kena paksa jugak dia ni. Bisik hatinya.

“Haah…boleh pun makan. Ingatkan nak kena suapkan tadi.” Usiknya. Insyirah menjeling sekilas ke arahnya.

“Awak ni tak kerja ke? Pagi-pagi dah tercongok kat sini..” Soal Insyirah. Lelaki itu sering menemaninya di hospital tanpa mengira waktu. Walaupun sekejap, dia tetap akan datang.

“Kerja. Saja saya singgah kat sini dulu.”

“Awak tak payahlah selalu datang sini. Kan awak tu sibuk. Lagipun saya sorang pun dah boleh jaga Along tu.” Ulas Insyirah. Enggan menyusahkan lelaki itu sebenarnya.

“Yelah..memang awak yang jaga Along tapi awak tu siapa nak jaga?”

“Saya boleh jaga diri saya sendiri….” Ucapnya perlahan sambil meneguk Teh O Panas.

“Ye ke? Tapi saya tak rasa awak boleh jaga diri awak sendiri. Sarapan ni pun saya yang paksa awak makan. Kalau tak, awak sanggup tak makan sampai ke petang kan…” Insyirah terdiam.

“Ira..awak kena jaga kesihatan awak jugak. Jangan ikutkan sangat perasaan awak tu.” Pujuk Irfan.

“Habis tu awak nak suruh saya senyum melihat keadaan Along macam tu? Buat-buat seperti tak ada apa yang berlaku? Macam tu maksud awak?!” Bentak Insyirah sambil menjeling Irfan.

“Bukan macam tu maksud saya…”

“Maksud saya..awak kena berfikiran positif. Awak kena percaya bahawa Along akan sedar dari koma dan sihat seperti sediakala. Saya percaya Along pun tentu tak nak awak bersedih. Dia tentu mahu awak terus menjalani hidup dengan baik walau berhadapan dengan apa jua dugaan.” Ujar Irfan panjang lebar.

“Jadi awak kena kuat dan tabahkan hati. Selalulah berdoa pada ALLAH semoga Along cepat sembuh.”

Kata-kata Irfan menyentuh hati Insyirah. Memang benar. Dia terlalu mengikut perasaan. Saat melihat tubuh Along yang kaku di katil tanpa tindakbalas dengan setiap tingkah dan tutur katanya saban hari, Insyirah menjadi terlalu sedih. Tersayat hatinya. Rasa sayangnya yang begitu melimpah-ruah pada abangnya itu membuatkan dia menjadi nanar. Seolah hilang punca hidup.

Seharusnya dia bersyukur dengan kehadiran Irfan. Lelaki itu banyak membantunya selama ini. Tanpa jemu mencintai dan menyayanginya setiap detik. Sikap mengambil berat Irfan bukan hanya buat dirinya tetapi juga pada Along membuatkan Insyirah rasa sangat terharu. Lelaki itu terlalu baik. Tidak mungkin dia mampu menemui lelaki lain sebaik Irfan. Namun, kebimbangan kian menghantui Insyirah kebelakangan ini. Setelah apa yang telah menimpa Along, Insyirah yakin Izzati tidak akan pernah berhenti dari terus-terusan mengganggu hidup mereka. Apakah mereka mampu untuk terus bertahan?



“KAU jangan bermimpi nak hidup bahagia bersama Irfan. Kau tak akan berjaya..Faham!” Kedengaran suara di hujung talian.

“Hei…apa lagi yang kau nak haah?!” Jerit Insyirah. Dia benci mendengar suara gadis itu. Ingin rasa dia memutuskan panggilan itu.

“Kau tahu apa yang aku nak. Kalau tak kau akan menyesal dan terus menyesal seumur hidup kau!”

“Apa lagi yang kau nak buat haah?!”

“Hei perempuan! Kalau aku tak dapat si Irfan tu, aku akan pastikan kau jugak tak akan dapat dia. Kau faham!”

“Apa kau nak buat? Kau nak bunuh aku?!” Tanya Insyirah.

“Hmmm…kalau aku bunuh kau dulu, tak bestlah.. Apa kata aku bunuh kekasih hati kau tu dulu? Aku nak tengok macamana merananya hidup kau bila insan-insan yang kau sayang pergi jauh dari hidup kau. Hahahahah….!!!!”

“Hei perempuan gila! Kau ugut aku ya. Aku akan laporkan pada pihak polis!” Bentak Insyirah.

“Apa yang kau nak beritahu polis? Hmmm… Kau ada bukti ke?” Insyirah terpana. Memang benar. Dia tiada bukti untuk mendakwa gadis itu.

“Kalau kau sayangkan nyawa kau sendiri dan nyawa kekasih hati kau tu, kau tahu apa yang harus kau buat!!” Hilai tawa Izzati mula kedengaran di hujung talian.

Lenguh lumpuh segala urat sarafnya saat itu. Insyirah dapat merasakan inilah pengakhiran yang harus dia terima. Meskipun begitu berat, dia terpaksa pasrah menerima segalanya. YA ALLAH Kau berilah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.


SETELAH sebulan Along keluar dari hospital, Irfan mula menyedari perubahan sikap Insyirah terhadapnya. Jarang melayani kiriman-kiriman SMS darinya. Apatah lagi menjawab panggilan telefonnya. Dia mengerti akan tekanan yang dihadapi oleh Insyirah. Bermula dengan hubungan cinta mereka yang mendapat tentangan hebat keluarganya. Dan juga insiden-insiden yang berlaku sepanjang hubungan itu terjalin. Walau sekuat mana dia cuba pertahankan, dia dapat rasakan semakin jauh Insyirah darinya. Dia tidak menyalahkan gadis itu. Bebanan yang ditanggung oleh gadis itu lebih hebat berbanding dirinya.

Irfan sendiri tidak pernah percayakan cerita-cerita yang disampaikan oleh Mak Ngah Deejah dan adik sepupunya, Izzati tentang Insyirah. Dia lebih percayakan Insyirah. Malahan pertemuannya dengan Along dulu telah menjelaskan semuanya.

“Irfan…Along nak kau tahu dan yakin bahawa Insyirah gadis yang baik. Bukan seperti apa yang sampai ke pengetahuan kau selama ni….”

Begitu mulia hati seorang abang mempertahankan maruah adik kesayangannya. Sungguh bertuah Insyirah mempunyai seorang abang yang menyayanginya sepenuh hati. Irfan juga ingin menjadi sebahagian penting dalam hidup gadis itu. Namun kadang kala, dia sendiri tidak mengerti apa yang melingkari pemikiran gadis itu. Meski dicuba, kadang kala sukar jua dimengertikan.


IRFAN merenung gadis di hadapannya itu. Tubuh kecil itu kelihatan sedikit kurus. Mungkin kepenatan menjaga Along yang lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda setelah sedar dari koma.

“Ira…awak tak apa-apa?...” Irfan memulakan bicara.

“Saya mintak maaf kalau kedatangan saya ni…..”

“Saya tak apa-apa…terima kasih kerana datang jenguk Along…” Kata-katanya dipintas oleh Insyirah. Dia cuma melemparkan senyuman kecil pada lelaki itu.

Senyuman itu dirasakan sangat hambar oleh Irfan.

“Ira…saya nak mintak maaf…atas apa yang berlaku selama ni…”

“Irfan….”

“Saya tak pernah menyalahkan awak…saya redha dengan takdir Tuhan. Saya yang patut mintak maaf sebab tidak menjawab panggilan telefon dan SMS awak…saya cuma penat...”

“Awak bencikan saya..?” Soal Irfan perlahan. Matanya terus merenung gadis itu.

“Irfan…saya tak pernah bencikan awak. Cuma saya tak mampu nak kawal perasaan saya. Setiap kali rasa cinta saya pada awak datang, semakin hati saya jadi sakit. Disebabkan nak pertahankan cinta saya pada awak, Along yang menjadi mangsa…” Ucap Insyirah.

“Ira…ada sesuatu yang awak rahsiakan dari saya ke…?.” Dahi Irfan berkerut. Dia rasa tidak sedap hati dengan kata-kata yang baru didengarinya tadi.

“Er…tak ada apa-apa Irfan…biarlah saya saja yang telan semua tu..saya redha Irfan…” Ujarnya. Tidak akan sesekali dia ceritakan kisah sebenar pada lelaki itu. Ditambah lagi, dia tidak ada bukti untuk menuduh sesiapapun.

“Ira…”

“Irfan…saya sangat cintakan awak tapi…saya dah buat keputusan. Saya takkan teruskan hubungan kita ni…” Perlahan kata itu keluar dari mulut Insyirah sambil memejamkan matanya. Ada air jernih yang mengalir di pipinya.

Irfan tergamam sambil merenung tepat ke arah Insyirah. Seakan tidak percaya dengan kata-kata itu tadi.

“Apa maksud awak Ira? Awak kata awak cintakan saya…dan saya juga cintakan awak sepenuh hati saya…apa masalahnya?..” Ujarnya sambil memandang Insyirah.

“Irfan…kita tak boleh teruskan hubungan ni hanya atas dasar cinta. Keluarga awak takkan merestui hubungan kita. Tak ada gunanya kita teruskan lagi….” Air mata terus mengalir di pipinya.

“Kita masih boleh mencuba Ira….” Pujuk Irfan sambil menggenggam jemari gadis itu.

“Sampai bila Irfan? Awak nak saya terus bertahan sampai nyawa awak atau saya sendiri melayang!? Macam tu…?.”

“Ira…apa yang awak cakapkan ni..?. Saya tak faham…!” Soal Irfan. Hairan.

“Irfan..saya tak nak burukkan sesiapa. Suatu hari nanti, awak akan tahu kebenarannya…”

“Kenapa tidak berterus-terang sekarang?!” Bentak lelaki itu.

“Sebab…saya tak nak ada hati yang terluka…” Ucap Insyirah perlahan.

“Apa bezanya dengan sekarang? Perpisahan yang awak pinta ni sangat-sangat melukakan hati saya. Awak tahu tak..?” Tegas kedengaran suara itu. Ada riak kesedihan di situ.

“Saya tahu Irfan…saya pun terluka…tapi saya tak nak.. saya atau awak sendiri yang akan lebih terluka jika kita teruskan hubungan ni…” Ucap Insyirah. Dia memang mengharapkan pengertian lelaki itu. Tapi apa kan daya dia tidak mampu untuk berterus-terang agar lelaki itu mengerti.

“Saya cuma nak awak tahu inilah jalan terbaik bagi kita…” Sambungnya lagi. Sedunya kian kedengaran.

Irfan menggelengkan kepalanya perlahan. Tidak pernah dia membayangkan akan berpisah dengan gadis itu buat selama-lamanya. Mana mungkin dia mampu untuk membuang wajah itu jauh-jauh dari hidupnya. Namun, dia harus percaya pada keputusan yang telah diambil oleh Insyirah. Dia cuba mengerti meskipun payah.

“Baiklah…kalau itu yang awak nak..saya akur….” Perlahan suara itu. Namun jelas di pendengaran Insyirah.
“Tapi Ira…sama seperti yang pernah saya katakan pada awak dulu. Walau apa yang terjadi, saya tetap akan cintakan awak sehingga ke akhir hayat saya. Tak akan ada perempuan lain yang bertakhta di hati saya selain awak…”

Begitu pedih hatinya tatkala mengucapkan kata-kata itu. Dia pasti dia takkan mampu untuk melupakan Insyirah walau sesaat pun. Saat itu juga air mata lelaki itu menitis.

Kata-kata Irfan begitu menyentuh tangkai hati Insyirah. Dulu hatinya akan berbunga-bunga mendengar pengucapan itu. Namun kini, perasaan itu berbeza. Umpama sembilu mencucuk hulu hatinya. Dirasakan begitu pedih. Air mata kian deras membasahi pipinya.

Irfan mencapai kedua-dua tangan gadis itu lalu dikucupnya. Dia menyapu air mata yang membasahi pipi Insyirah. Irfan yakin bukan mudah untuk gadis itu membuat keputusan setekad itu. Dia juga yakin ada rasa cinta yang menebal dalam diri Insyirah buat dirinya. Sebagaimana yang dia rasa selama ini. Apakah masih ada kesempatan untuk mereka melayari cinta kembali? Hanya ALLAH jua Yang Maha Mengetahui akan segalanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails