MARAH. Geram. Malu. Benci diperlakukan begitu. Terasa diri dipermainkan lagi. Irfan yang mencari kelibat Insyirah lega sebaik terpandang gadis itu duduk di buaian kayu di satu sudut halaman depan banglo mewah itu. Dia menghampiri Insyirah.
“Ira….”
Tiada reaksi dari Insyirah. Irfan melabuhkan punggung di sisi. Insyirah memalingkan muka ke arahnya.
“Awak sengaja nak malukan saya tadi kan?!” Soalan Insyirah membuatkan Irfan agak terkejut.
“Ira….apa yang awak cakap ni? Saya tak bermaksud macam tu. Niat saya cuma nak usik awak aje. Saya mintak maaf kalau awak tersinggung…” Ucap Irfan dengan lembut.
“Usik? Depan orang ramai? Saya memang selalu jadi bahan tawa awak kan?!”
“Ira…saya sayangkan awak. Apa salahnya saya tunjukkan rasa sayang tu. Biar semua orang tahu…!” Balasnya lagi sambil merenung Insyirah. Tidak faham punca kemarahan gadis itu.
“Irfan…awak beri saya harapan, lepas tu senang-senang awak cakap kisah cinta kita dah jadi sejarah dan sekarang awak ucap sayang. Awak memang sengaja nak mainkan perasaan saya, kan?!” Telah Insyirah. Matanya menjeling tajam Irfan di sisi.
Irfan menundukkan wajahnya. Sesekali tidak bermaksud untuk membohongi Insyirah. Semua itu hanya salah faham. Dia mengakui kesilapannya dulu.
“Ira…saya mengaku salah faham saya ..tapi percayalah saya tak berniat sikit pun nak mainkan perasaan awak…” Ucap Irfan sambil merenung Insyirah.
“Saya sangat sedih dan kecewa bila ingatkan Hairi nak kahwin dengan awak. Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa awak di sisi. Tapi jika sudah takdir jodoh awak dengan Hairi, apa yang mampu saya buat?” Sambung Irfan.
“Andai benar saya kahwin dengan Hairi masa tu, saya memang sangat-sangat kecewa sebab awak tak berterus-terang dan menceritakan hal sebenar pada Hairi…!” Balas Insyirah. Irfan terpana. Benar kata-kata itu. Dia akui lemah saat itu. Hanya mampu berpasrah. Menerima semua seadanya.
“Saya tak mahu dikatakan mementingkan diri Ira. Memang saya rasa kesal sebab lepaskan awak. Tapi saya pasrah. Namun takdir menentukan segalanya. Hairi menikahi Izzati bukan awak. Saat itu saya yakin ALLAH telah memberi peluang kedua pada saya. Saya sangat bersyukur, Ira.” Matanya memandang seraut wajah itu.
“Ira…sudikah awak terima saya semula? Jalinkan semula hubungan cinta kita. Saya janji tidak akan menyakiti hati awak lagi, Ira…. Boleh beri saya peluang sekali lagi?” Irfan menabur janji lagi. Haruskah dia percaya setelah perasaannya dipermainkan?
Insyirah merenung tajam lelaki itu. Benci. Memang itulah rasa yang bergumpal di hatinya saat itu. Dia mengangkat kaki dan terus berlalu dari situ. Irfan memandang dengan rasa bersalah. Ternyata hati gadis itu terluka lagi tanpa dia sedari.
CERIA wajah Zuhairi dan Izzati yang baru pulang dari bulan madu menyapa mata Irfan, Mak Ngah Deejah dan Qaleesha. Sinar kebahagiaan terpancar melalui kemesraan yang dipamerkan mereka.
“Amboi pengantin baru ni…berseri-seri muka lepas balik dari bulan madu. Best tak percutian kat Pulau Pangkor tu?” Tanya Irfan sambil memandang mereka.
“Mestilah best…dapat bersama isteri tercintalah katakan. Tapi tempat tu memang cantiklah..rasa macam nak pergi lagi…kan Zati?” Ujar Zuhairi sambil menjeling isterinya di sebelah.
“Aa ar…kat Malaysia ni pun banyak tempat menarik. Tak payah nak buang duit pergi luar negara.” Balas Izzati.
Izzati kemudiannya berlalu ke dapur membantu Mamanya menyediakan makan tengahari. Irfan dan Zuhairi masih leka berbual di ruang tamu.
“Irfan, kau dengan Ira macamana?” Soal Zuhairi tiba-tiba.
“Macamana apa?” Buat-buat tidak faham.
“Eeeeiii….dia ni. Maksud aku..Ira dah terima kau semula ke belum?” Sedikit geram.
“Belum lagi…”
“Entahlah Hairi, kadang-kadang aku rasa macam Ira tu dah tak sukakan aku. Ada ketika pulak aku rasa aku tak bertepuk sebelah tangan…” Jelas Irfan sambil memandang sahabatnya itu. Zuhairi tersengih.
“Irfan…aku yakin dia masih sayang dan cintakan kau. Cuma dia jadi lebih berhati-hati setelah apa yang dia lalui. Kau tunjukkanlah ketulusan hati kau tu. Dia cuma merajuk aje tu. Pandai-pandailah kau pujuk dia. Hati perempuan ni keras-keras kerak nasi aje. Lama-lama lembut jugak nanti. Kau percayalah cakap aku…” Kata Zuhairi panjang lebar.
“Wah pandai kau sekarang ya…memahami naluri wanita.”
“Maklumlah dah jadi suami. Kenalah belajar memahami hati wanita lebih-lebih lagi isteri sendiri, kan?” Dia tersenyum memandang sahabatnya itu.
“Aku dengan Izzati boleh bantu kau untuk tawan semula hati Ira. Itupun kalau kau setuju…” Ucap Zuhairi. Matanya merenung tepat ke arah Irfan.
“Bantu aku? Tak payahlah. Kau jangan cuba buat yang bukan-bukan Hairi. Nanti makin payah pulak si Ira tu nak terima aku!” Kata Irfan sambil turut memandang ke arah sahabatnya itu. Dahinya berkerut.
“Hei rilekslah. Aku bagi cadangan aje. Janganlah marah kawan!”
“Kau jangan nak memandai Hairi. Biar aku sendiri yang cari jalan untuk pujuk dia.” Tegas Irfan.
Bimbang tindakan Zuhairi akan merumitkan lagi keadaan.
“Ok…ok.” Zuhairi cukup yakin bahawa cinta Insyirah hanya untuk Irfan.
BENCI memandang wajah Irfan saat itu. Bagai tak bersalah langsung.
“Apa yang awak buat ni?” Jeling Insyirah.
“Buat apa?” Soal Irfan. Buat-buat tidak faham.
“Ni….pancitkan tayar kereta saya ni….!” Ucap Insyirah. Jari telunjuknya menuding ke arah tayar kereta yang pancit.
“Mana ada!” Cuba menafikan.
“Mana ada? Mesti semua ni kerja awak kan? Kalau tak siapa lagi?!” Dia menahan marah. Tak menyangka Irfan sanggup melakukan kerja gila itu.
“Salah awak… Kan awak dah janji dengan saya tempohari. Saya akan hantar awak ke tempat Seminar tu. Awak tu yang mungkir janji!” Balas lelaki itu selamba.
Memang benar. Dia bersetuju bila Irfan beria-ia ingin menghantar dan menjemputnya ke tempat Seminar yang bakal dihadirinya di Kuantan hari itu. Dia terpaksa akur kerana rimas dengan tingkah lelaki itu. Menghantar SMS dan menelefonnya berulangkali sehingga akhirnya dia bersetuju.
Rasa menyesal pulak. Dirinya sendiri seakan memberi peluang pada lelaki itu untuk melaksanakan rancangannya. Untuk kembali padanya. Amarah dan rajuk pada Irfan masih bersarang di hati. Bukan mudah baginya menerima keadaan bagai tiada apa yang pernah berlaku. Namun lelaki itu bagai tidak pernah berputus asa.
Irfan mencapai briefcase di tangan Insyirah lalu diletakkan di tempat duduk belakang. Dia membukakan pintu di sebelah pemandu untuk Insyirah. Nampaknya dia sudah tiada pilihan lain. Insyirah menjelingnya geram sambil meloloskan badan ke dalam perut kereta. Irfan tersengih bagai kerang busuk. Kereta itu kemudiannya terus meluncur ke Kuantan.
“Awak sedar tak apa yang awak buat tadi?!” Soal Insyirah semula sambil menjeling Irfan yang sedang memandu. Masih tidak puas hati.
“Saya memang boleh jadi tak sedar kalau hal-hal melibatkan awak. Semuanya saya sanggup demi awak.” Balas Irfan sambil tersenyum lebar. Memang kerja gila. Namun dia puas kerana mendapat ruang untuk mendampingi Insyirah.
Insyirah merenung sekilas wajah Irfan sambil melepaskan keluhan kecil. Dia akan tidak betah jika lelaki itu berterusan melakukan kerja gila seumpama itu. Dia pasti Irfan tidak akan berhenti selagi tidak mendapat apa yang diinginkan.
SETELAH menjemput Insyirah dari Seminar IT tadi, Irfan meminta supaya menemaninya ke kedai bunga.
“Ira, tolong saya pilihkan bunga boleh? Saya nak bagi kat seseorang yang sangat istimewa.” Ujar Irfan. Insyirah hanya menurut walau hatinya tertanya-tanya siapa gerangan gadis itu.
“Dia suka bunga apa?” Tanya Insyirah.
“Biasa…perempuan suka bunga apa ya? Saya tak retilah bab-bab ni.” Kata Irfan sambil mengerut kening.
“Minat seseorang tak sama. Takkan awak tak tahu dia suka bunga apa.” Jelas Insyirah. Pelik betul. Tak tahu kesukaan teman wanita sendiri. Telahnya.
“Awak suka bunga apa?” Soal Irfan tiba-tiba.
“Kenapa tanya saya pulak?” Insyirah mengerut dahi.
“Dia pasti akan suka bunga yang awak suka.” Insyirah terdiam. Makin pelik dengan kata-kata Irfan.
“Saya suka bunga ros.” Jawab Insyirah pendek.
“Oh ok..jadi saya beli bunga ros.” Balasnya sambil menuju ke arah wanita yang sedang sibuk menyusun pasu berisi bunga di situ.
Insyirah ralit melihat bunga-bunga yang terdapat di kedai tersebut. Hidungnya mencium harum sekuntum bunga ros merah sambil tersenyum.
Seketika kemudian, Irfan menuju ke arahnya bersama kuntuman ros merah dan putih yang telah siap berbalut cantik.
“Jom kita pergi sekarang!” Ucap Irfan sambil menuju ke kereta.
Sebaik saja memasuki kereta, Irfan meletakkan kuntuman bunga tadi di tempat duduk belakang.
“Sebelum balik, kita singgah kedai buku kejap ya. Nak jenguk keadaan kat situ.” Kata Irfan sambil menjeling Insyirah di sebelah.
“Alah…saya penatlah. Nak kena pergi jugak ke?”
“Alah kejap je. Awak pun tak pernah pergi lagi kan.”
“Saya tunggu kat dalam kereta dahlah.”
“Alah sekejap aje. Lepas tu saya terus hantar awak balik…ok?”
Insyirah cuma menganggukkan kepala. Hanya menurut. Malas nak bertekak lagi. Sejak membuka cawangan kedai buku baru di Kuantan, Irfan memang selalu memantau keadaan di situ. Itulah yang diberitahu oleh Qaleesha. Mungkin itu antara sebab kenapa Irfan beria-ia benar ingin menghantarnya ke tempat seminar tadi. Sambil menyelam sambil minum air.
Beberapa minit kemudian kereta Toyota Vios itu membelok ke tempat parkir kereta berhadapan sebuah shopping complex terkenal di Bandar Kuantan. Setelah memarkir kereta, mereka beriringan menuju ke arah shopping complex tersebut. Insyirah hanya membuntuti langkah Irfan. Langkah Irfan semakin perlahan sebaik sampai di hadapan sebuah kedai di tingkat satu shopping complex itu.
“Kita dah sampai. Selamat datang ke Saujana Book Store!” Katanya kepada Insyirah sambil tersenyum.
Mata Insyirah mula menyoroti setiap ruang sebaik melangkah ke dalam kedai yang agak luas itu. Ramai pelanggan yang sedang leka memilih bahan bacaan atau stationary di situ. Insyirah ralit memerhati dekorasi dalam kedai tersebut. Sama seperti di kedai utama, tempat dia pernah bekerja dahulu. Pemilihan warna yang mendamaikan mata memandang. Bezanya tempat ini lebih luas.
“Ira…!”
Insyirah menoleh ke arah Irfan yang berdiri di hadapannya.
“Jom kita masuk office kejap.” Insyirah menuruti langkah Irfan menuju ke office di bahagian belakang kedai tersebut.
Pintu office dikuak. Kelihatan seorang gadis muda berpaling ke arah mereka.
“Eh Encik Irfan…Assalamualaikum.” Ucapnya sambil tersenyum memandang Boss muda itu. Kacak sungguh dengan baju kemeja biru lembut dan berjeans hitam. Gadis bertudung di belakang hanya dipandang sekilas.
“Waalaikumussalam Dania.” Balas Irfan sambil turut tersenyum. Insyirah hanya diam memerhati.
“Encik Irfan apa khabar? Sihat? Lama Encik Irfan tak jenguk saya…eh maksud saya..kami kat sini..” Kata Dania.
“Saya sihat. Eh awak ni, kan minggu lepas saya ada datang. Awak tu yang tak ada…” Balas Irfan.
“Oh ye ke? Alah saya cuti hari tu. Kenapa Encik Irfan tak bagitahu dulu nak datang? Boleh saya tunggu…” Ujar Dania dengan manja sambil tersengih-sengih memandang Irfan. Rindu untuk menatap wajah kacak lelaki itu. Wajah yang sering menjadi igauannya. Semua staf mengetahui hal itu. Namun semua tahu Dania hanya bertepuk sebelah tangan. Boss mereka tidak pernah melayan.
“Dania, Encik Faizul mana?” Soalnya kembali. Matanya sedikit melilau mencari kelibat lelaki itu. Malas sangat nak melayan gadis itu.
“Oh..Encik Faizul. Ada. Sekejap saya panggilkan ya Encik Irfan.” Kata Dania sambil berlalu.
“Ok..terima kasih..” Balas Irfan pendek.
“Ira..jom duduk..” Ajak Irfan. Insyirah menurut.
Sebentar kemudian muncul Dania bersama Faizul. Mereka menghampiri Irfan dan Insyirah yang duduk di sofa.
“Maaf Encik Irfan. Saya tak perasan encik datang tadi.” Sapanya sambil bersalam dengan Irfan.
“Tak apa…Faizul, saya ada hal sikit nak bincang dengan awak.” Ujarnya.
“Ira duduk sini sekejap ya…” Ucapnya lagi sambil memandang Insyirah.
“Ok…”
Faizul menuruti langkah Irfan ke dalam kedai.
Dania pula sejak tadi memerhatikan Insyirah. Hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan gadis kecil molek itu. Kulitnya putih mulus. Kekasih Encik Irfan ke? Kalau betullah, melepaslah dia nampaknya. Dia mencebik.
Insyirah semakin cuak berada di situ. Dia sedar mata gadis itu sejak tadi memerhatikannya. Dia ni ke kekasih Irfan? Bisik hatinya. Kalau betullah, dia berasa sedikit pelik dengan pilihan lelaki itu. Tapi nak buat macamana, manusia boleh berubah. Detik hati Insyirah.
Sikap kurang mesra Dania membuatkan Insyirah berasa kekok. Tiada langsung perbualan antara mereka. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Ok…Faizul kalau ada apa-apa hal awak terus call saya ya.” Pinta Irfan sebaik saja kembali memasuki ruang pejabat itu bersama Faizul.
“Baik Encik Irfan. Saya keluar dulu ya.” Balas Faizul sambil menyalami Irfan. Dania merapati keduanya.
“Ok…”
“Dania, ada sesuatu saya nak cakap kat awak…” Matanya tertancap pada gadis muda berambut pendek di sebelahnya sebaik saja Faizul berlalu.
“Apa dia Encik Irfan? Encik Irfan nak ajak saya keluar ke? Saya sudi aje…bila ya?” Ucapnya sambil menyentuh manja lengan Boss muda itu.
Irfan sedikit terkejut dengan tindakan Dania lalu menjarakkan dirinya. Insyirah menjeling tajam di belakang. Eeeiii…gatalnya minah ni? Kenapa hati aku sakit? Cemburukah aku? Detik hatinya.
“Issh…awak ni. Ke situ pulak. Saya nak pesan kat awak, jangan selalu sangat ambik cuti. Kalau awak nak kerja, kerja betul-betul. Kalau tak nak, ramai lagi yang nak kerja. Faham!” Tegas kedengaran kata-kata dari mulut Irfan.
Dania terpana. Pasti Faizul telah bercerita pada Encik Irfan tadi. Eeeiii…menyibuk jelah mamat tu. Tak pasal-pasal aku kena marah. Bentaknya.
“Er…saya nak kerja Encik Irfan. Ok…saya janji takkan ambik cuti sebarangan lagi…” Ujarnya. Berhenti kerja? Tak dapatlah dia menatap wajah kacak itu lagi. Oh mungkin tidak! Wajah itulah yang menemani lenanya bersama mimpi yang indah-indah.
“Dania, saya dah nak balik ni. Kalau ada apa-apa masalah maklumkan saja pada Faizul. Kalau saya tak ada, dia adalah Boss kat sini. Faham tu!” Jelas Irfan lagi. Insyirah yang berdiri di sebelahnya hanya memandang.
“Baik Encik Irfan. Saya faham. Encik Irfan, hati-hati memandu ya…Bye!” Ucapnya sambil melambai Irfan. Namun tidak diendahkan oleh lelaki itu. Insyirah membuntuti langkah Irfan ke kereta.
No comments:
Post a Comment