BERKERUT kening gadis manis itu saat mendengar cadangan Irfan. Alah..biar betul. Nak tengok filem seram. Aku ni dahlah penakut gila. Aduh..macamana ni? Takkan nak bagitahu hal sebenar. Ee..malulah pulak! Saja-saja nanti kena gelak. Bisik hati Insyirah.
“Kenapa Ira?” Soal Irfan bila melihat Insyirah macam tak keruan.
“Er…tak ada apa-apa... Er…kita nak tengok filem seram apa yek?.” Soal gadis itu kembali. Cuba bertenang.
“Haa…kita tengok filem Karak. Ramai yang cakap best. Ira tunggu sini, biar saya pergi beli tiket kejap ya.” Balas Irfan sambil melangkah ke kaunter. Insyirah terkedu.
Haah…nak tengok filem Karak! Walaupun hero filem tu aku minat tapi sebab cerita seram.. sepuluh kali fikir pun aku tak nak tengok. Masak aku kali ni. Memang tak dapat lari dah…adoii.. Omel Insyirah dalam hati.
Dia menunggu dalam keresahan. Debaran hati makin kencang. Selang beberapa minit kemudian, Irfan kembali bersama dua keping tiket.
“Sorry lambat sikit. Ramai pulak orang hari ni. Nasib baik ada tiket. Jom kita masuk…” Ujarnya sebaik menghampiri Insyirah yang menunggu di satu sudut.
Insyirah membuntuti langkah Irfan masuk ke dalam dengan hati berbelah bahagi. Mereka melabuhkan punggung di kerusi di bahagian tengah panggung yang dipenuhi penonton. Debaran hati Insyirah makin kuat sebaik tayangan bermula. Permulaan filem itu sudah mula menaikkan bulu romanya. Irfan di sebelah menonton dengan tenang.
Sebaik terpamer rupa hantu di layar, sepantas kilat Insyirah menutup mata. YA ALLAH, ternampak pulak rupa hantu tu. Adooii! Detak hatinya.
Dia kerap kali tersentak dengan suspen yang ditunjukkan dalam filem itu. Sepantas kilat badannya menyenget rapat ke arah Irfan. Dia menyorokkan sedikit wajahnya di belakang bahu Irfan sambil memaut kuat lengan lelaki itu tanpa sedar. Matanya terpejam rapat.
Irfan sedikit terkejut. Dia berpaling ke arah Insyirah. Dia menahan tawa bila melihat reaksi gadis itu. Takut rupanya. Tadi tak nak cakap. Bisik hatinya. Insyirah memaut lengannya hampir sepanjang tayangan filem itu. Irfan hanya membiarkan. Lampu dinyalakan semula selepas tamat tayangan. Lega. Habis jugak akhirnya. Ucap Insyirah dalam hati.
“Ira…awak takut tadi ek?.” Soal Irfan setelah mereka berada di ruang legar shopping complex tersebut.
“Er…mana ada...” Masih cuba berdalih.
“Ye ke? Habis tu yang awak duk paut lengan saya sampai sudah tu, apa cerita?.” Duga Irfan sambil mengangkat kedua keningnya. Matanya menjeling ke arah Insyirah. Bibirnya mengukir senyuman. Menyindir.
Alamak. Aa ar ya..macamana aku boleh lupa tu. Nak coverline konon. Ambik kau..kantoi.. Bisik hati Insyirah.
“Kalau takut, kenapa tak cakap tadi? Boleh kita tengok cerita lain…” Ujar Irfan.
“Sebenarnya…tak adalah takut sangat…er…” Sambil memandang lelaki itu. Dia mengetap bibir. Malu sendiri. Irfan menahan tawa melihat kegelabahan Insyirah.
“Oh…tak takut sangat. Kalau takut sangat, agaknya saya pun awak peluk ya?..” Usik Irfan sambil ketawa kecil. Bulat mata Insyirah memandangnya. Spontan juga tangan gadis itu mencubit kuat lengannya. Geram.
“Adoooii….Sakitlah Ira…” Ucapnya sambil menyeringai kesakitan. Dia menggosok lengannya yang pedih.
“Padan muka…..” Balas Insyirah sambil mengatur langkah. Kadang kala tak kuasa melayan kenakalan lelaki itu.
Irfan mengikuti langkah Insyirah.
“Ira…”
“Janganlah marah…saya gurau ajelah..takkan tu pun nak terasa..” Cuba memujuk. Risau jika Insyirah benar-benar merajuk hanya kerana hal itu.
Insyirah mematikan langkahan sambil menjeling Irfan di sisi. Hampir bertaut kening lelaki itu berkerut sambil memandang ke arahnya. Mesti tengah susah hati tu. Tahu takut! Detik hati Insyirah. Tiada senyuman yang terukir saat itu. Saja nak menduga lelaki itu. Insyirah memalingkan muka dan terus berlalu ke arah parkir kereta.
“Ira…!” Tangan Irfan memaut lengannya dari belakang. Agak tersentak Insyirah dengan tindakan spontan itu. Hingga terdorong badannya sedikit ke belakang.
“Awak marah ke? Janganlah macam ni. Susah hati saya. Saya lebih rela dengar awak membebel daripada diam macam ni…” Mata Insyirah merenung tepat ke arahnya. Tanpa suara. Apa? Membebel? Amboi…sesedap rasa aje cakap. Omelnya dalam hati.
Alamak..aku salah cakap ke? Merajukkah dia? Adoii..nak kena pujuk ke ni?. Bisik hati Irfan. Sambil menjeling Insyirah yang makin laju langkahnya menuju parkir kereta.
“Ira…tunggulah!” Jeritnya sambil berlari ke arah gadis itu.
Tiba-tiba…
“Pon! Pon!”
Bunyi hon kereta yang kuat itu mengejutkan Insyirah. Segera dia berpaling ke belakang. Sekali lagi dia terkejut bila melihat kelibat Irfan yang duduk di bahu jalan. Sambil memegang sebelah tangannya. YA ALLAH..apa dah terjadi? Dengan pantas dia meluru ke arah lelaki itu.
“Irfan…!” Sambil merapatinya.
“Awak ok ke? Awak cedera?” Soalnya bertubi-tubi sambil matanya meliar melihat keadaan lelaki itu. Ada riak risau pada wajahnya saat itu. Dia turut menilik tangan Irfan tadi.
“Ira…saya ok..tak ada apa-apa...” Balas Irfan sambil tersengih. Bahagia dengan keprihatinan gadis itu terhadapnya. Tadi merajuk bagai nak rak. Bisik hatinya.
“Awak ni pun berjalan mata letak mana? Kenapa tak pandang kiri kanan dulu? Main redah aje..” Omel Insyirah sambil merenung Irfan yang mula berdiri di sebelahnya.
“Saya nak kejar awak tadi. Tu yang tak sempat tengok kiri kanan. Nasib baik kereta tu tak laju..” Jelasnya lagi.
“Tulah lain kali mata tu jangan letak kat lutut. Nasib baik tak apa-apa..” Bebel Insyirah lagi. Bahagia rasa hati Irfan dapat kembali mendengar suara gadis itu.
“Kalau ada apa-apa berlaku pada saya tadi….” Ayatnya tergantung. Saja ingin melihat reaksi Insyirah.
“Issh…apa yang awak cakap ni? Tak baik cakap macam tu…kalau kalau…” Sedikit membentak kata-kata tadi. Tidak suka dengan lafaz kata yang baru terbit dari mulut Irfan.
“Sayang jugak awak kat saya ya…” Usik Irfan sambil menyengih memandang Insyirah.
“Tak ada maknanya sayang-sayang…Tadi awak sendiri cakap saya suka membebel kan..” Ulasnya lagi.
“Bebelan awak tu bagai irama lagu yang syahdu pada saya tau…itulah antara sebab saya selalu suka usik awak…” Ucap Irfan sambil tersenyum lagi merenung Insyirah.
“Sindir sayalah tu….” Sambil menjeling lelaki itu.
“Ira, awak tahu tak..kalau sehari tak usik awak tak ceria hidup saya ni..” Katanya lagi. Mengusik.
“Ira…saya mintak maaf kalau awak tersinggung tadi. Niat saya hanya nak usik awak aje..” Sambungnya. Dia semakin cuba memahami sikap Insyirah. Memang suka merajuk dan sensitif. Itulah yang pernah diberitahu oleh Along.
“Tahu..sebenarnya..tak adalah kecik hati sangat pun. Saja nak kenakan awak tadi…” Balas Insyirah sambil tersengih memandang Irfan.
“Apa? Oh.. jadi saja nak main-mainkan sayalah ya?.” Soalnya serius.
“Padanlah dengan muka awak tu. Suka sangat usik saya kan. Sekali-sekala apa salahnya saya kenakan awak pulak..adillah kan?.” Ujar Insyirah sambil mengangkat kening. Dia ketawa kecil.
Irfan turut ketawa mendengar kata-kata itu. Tak sangka. Nakal jugak si gadis comel ni. Memang aku tertipu tadi. Ingatkan betullah merajuk. Adoii..terkena aku. Bisik hatinya. Insyirah tersenyum lebar memandangnya.
“Awak..jom kita pergi makan dulu. Tiba-tiba laparlah pulak.” Ujar gadis itu tiba-tiba.
“La..lapar ke? Ingatkan dah kenyang dengan merajuk tadi.” Usik Irfan lagi sambil menyengih lagi.
“Awak ni…sajalah tu nak sindir saya lagi ya...”
“Aiikk..terasa ke?.”
“Ah malaslah nak layan awak. Saya nak pergi makan. Kalau awak tak nak, biar saya pergi sendiri!.” Bentak Insyirah sambil mengatur langkah semula memasuki ruang food court di situ.
Irfan ketawa kecil sambil menuruti langkah Insyirah. Bimbang rajuknya datang lagi kalau terus-terusan diusik. Hilang selera nanti dibuatnya. Dia cuba menahan diri. Namun kadangkala dia sendiri tak mampu nak kawal kenakalannya setiap kali berhadapan dengan gadis itu. Suka benar jika dapat mengusik Insyirah.
IRFAN diajak oleh Insyirah masuk ke restoran makanan segera KFC. Mereka membuat pesanan makanan di kaunter dan kemudiannya memilih untuk duduk di meja berhampiran dengan tingkap.
Mereka menikmati Zinger Fillet Burger bersama Cheezy Wedges. Insyirah makan dengan berselera. Perutnya yang hanya dialas dengan sekeping roti sejak pagi tadi sudah lama minta diisi. Irfan menggelengkan kepala sambil tersenyum memandangnya.
“Ira…cuba makan elok-elok sikit. Macam budak-budak…comot..” Sambil mengelap hujung bibir Insyirah yang comot dengan tisu. Gadis itu melemparkan senyuman manisnya.
“Habis tu yang comot ni jugak yang awak suka kan…?.” Soal gadis itu sambil memandang Irfan.
“Yelah…yang comot nilah yang buat jiwa saya selalu kacau…” Ujarnya sambil tersengih. Insyirah ketawa kecil.
“Irfan…” Insyirah kembali bersuara setelah beberapa ketika.
“Hmm…” Sambil meneguk minuman.
“Bila awak nak bawak saya berjumpa dengan Mak Ngah awak?.” Soal Insyirah tiba-tiba.
Irfan terkedu dengan soalan gadis itu. Haruskah dia menyatakan reaksi ibu saudaranya tatkala dia menyampaikan niatnya tempohari?. Tidak sanggup untuk melukakan hati Insyirah.
“Nantilah…sebenarnya saya sendiri dah beritahu Mak Ngah pasal kita.”
“Oh ye ke? Jadi, apa kata Mak Ngah?.” Soal Insyirah kembali.
Irfan terpana. Apakah jawapan yang harus diberikan padanya?
“Err…Insya-ALLAH Mak Ngah setuju saja dengan pilihan saya…” Terpaksa membohongi gadis itu.
“Alhamdulillah…” Insyirah mengucap syukur sambil tersenyum.
Maafkan saya, Ira kerana terpaksa berbohong. Kata Irfan dalam hati. Dia berdoa semoga ALLAH lembutkan hati Mak Ngah dan akan menerima gadis pilihannya itu.
INSYIRAH yang baru saja usai menunaikan solat Isyak menghenyakkan tubuhnya yang lesu di atas tilam empuk di bilik itu. Kepenatan. Dia tersenyum sendirian mengingatkan insiden di pawagam tadi. Reaksi spontannya yang ketakutan sambil memaut erat lengan Irfan. Akhirnya dia terlena dibuai mimpi indah.
Tiba-tiba alunan muzik dari telefon mengganggu tidurnya.
“..ku tak ingin lagi berjauhan…usah kau hampiri perpisahan..” Dalam mamai Insyirah memandang skrin telefon bimbitnya. Terpampang wajah kacak Irfan yang tersenyum. Irama masih berlagu. Dah jam 12 tengah malam. Dia menekan punat hijau di telefon itu.
“Assalamualaikum…” Lembut nada suara kedengaran di hujung talian.
“Hmmm…waalaikumussalam…” Jawabnya dalam nada perlahan. Masih mamai.
“Dah tidur ya.. Sorry sayang kejutkan awak tiba-tiba…”
“Dah pagi ni awak…saya ngantuklah..” Ucapnya sambil menguap kecil dan menggosok matanya.
“Selamat hari lahir sayang…” Ucap Irfan. Insyirah tergamam. Tidak menyangka kata-kata itu yang akan didengarinya di awal pagi itu.
“Terima kasih awak…” Ujarnya ringkas. Terasa hilang semua rasa mengantuknya saat itu.
“Saya nak jadi orang pertama yang mengucapkan selamat hari lahir untuk awak. Sebab awaklah yang sentiasa mendapat tempat pertama di hati saya. Hanya awak, Ira.” Kata-kata itu begitu menyentuh hati Insyirah. Betapa dia dapat merasakan dalamnya cinta lelaki itu untuknya. Sepertimana yang dia rasakan.
“Terima kasih Irfan. Memang awaklah yang pertama….”
“Betul ke?” Irfan ketawa kecil.
“Yelah…yang pertama kejutkan saya dari tidur. Along pun tak pernah kejutkan saya awal pagi macam ni tau…” Katanya seakan menyindir.
“Oh ye ke? Tak apalah biar saya saja satu-satunya yang buat macam tu kan. Biar awak selalu ingat kat saya.” Ujar Irfan penuh makna. Insyirah tersengih.
“Esok saya nak ajak awak keluar. Ke satu tempat yang istimewa. Kita celebrate birthday awak ya.” Sambung Irfan lagi.
“Eh…tak payahlah. Dah tua-tua pun nak celebrate lagi. Malulah..” Balas Insyirah. Irfan ketawa.
“Issh…mana ada tua. Kan awak tu muda lagi. Tak apalah setahun sekali aje kan…” Pujuknya lagi.
“Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Saya datang ambik awak esok jam 10 pagi.” Tegas Irfan. Enggan mendengar sebarang alasan dari mulut gadis itu.
“Awak ni suka tau paksa-paksa orang…”
“Cakaplah apa yang awak nak…apa yang pasti esok pagi kita tetap akan keluar, ok!.”
“Yelah…yelah…” Malas bertekak dengan lelaki itu lagi.
“Oklah…selamat kembali beradu sayang. Saya sayang awak...”
“Sayang awak jugak….”
“Selamat malam sayang..…”
“Selamat malam…”
Talian diputuskan. Insyirah cuba memejamkan matanya kembali. Menyambung lenanya yang diganggu sebentar tadi. Dia tersenyum lebar. Bahagia apabila orang yang dicintai mengingati hari penting dalam hidupnya. Benaknya mula mencongak-congak apakah kejutan yang bakal diterimanya esok.
No comments:
Post a Comment