JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Sunday, July 10, 2011

BAB 15 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU


PUAN Khadijah memandang ke arah mereka dengan mata buntang. Dia terkejut mendengar seperti suara orang bertikam lidah sebaik pulang dari pejabat. Tidak menyangka dengan apa yang didengar dan dilihatnya kini. Zati yang terkejut dengan sergahan Mamanya terus meleraikan pelukannya. Dia menjarakkan diri dari Irfan sambil menundukkan mukanya. Puan Khadijah menghampiri mereka di ruang tamu.

Paaaaang!

Satu tamparan hinggap di pipi Izzati.

Berkerut mukanya menahan sakit. Pipi itu memerah. Muka Mamanya semakin menyinga merenungnya. Irfan tergamam dengan reaksi Puan Khadijah.

“Zati tahu tak apa yang Zati lakukan tu satu jenayah. Perbuatan yang menyalahi undang-undang. Orang yang melakukan perbuatan jenayah dinamakan penjenayah. Zati dah jadi penjenayah…!!” Bentak Puan Khadijah. Sungguh terkejut mendengar pengakuan anak tunggalnya itu sebentar tadi. Dadanya mula sebak.

“Mama tak sangka Zati sanggup buat Mama macam ni. Sampai Mama sendiri boleh termakan dengan tipu muslihat Zati. Mama tak pernah didik Zati jadi begini. Mama ikutkan semua kemahuan Zati.. tapi ini balasan yang Mama dapat. Mama sangat kecewa dengan Zati…kecewa..!!” Luah Puan Khadijah. Air jernih mula menitis di pipinya. Pedih rasanya bila anak sendiri melakukan perbuatan zalim sebegitu.

“Mama…..maafkan Zati Mama. Zati tak bermaksud pun nak buat semua tu. Zati cuma mengikut perasaan. Zati……” Suaranya tersekat-sekat.

 “Mama tak ada anak macam Zati….!!” Kata Puan Khadijah. Dia benar-benar kecewa. Air matanya bercucuran.

 “Mama…tolong jangan cakap macam ni. Ampunkan Zati, Mama! Tolong ampunkan Zati…Mama!!” Izzati mengenggam tangan Mamanya lalu diciumnya. Esak tangisnya mulai kedengaran. Menyesali kesilapannya.

Puan Khadijah memandang Irfan dengan linangan air mata. Dia berasa bersalah terhadap anak saudaranya itu. Sesal di atas sikap diri sendiri dan anak kesayangannya.

“Irfan…maafkan Mak Ngah. Mak Ngah malu pada Irfan. Mak Ngah yang menyebabkan Irfan dan Ira berpisah. Mak Ngah yang menjadi punca segalanya!”

“Mak Ngah…Mak Ngah jangan cakap macam tu. Saya tak pernah salahkan Mak Ngah. Semua ni takdir ALLAH. Saya redha Mak Ngah….” Ucap Irfan dengan tenang. Puan Khadijah memandang wajah tenang itu.

“Irfan…di mana Ira sekarang?!” Izzati membatu di sisi Mamanya. Esak tangisnya masih kedengaran.

“Entahlah Mak Ngah…saya pun tak tahu dia kat mana sekarang. Lepas berpisah, kami tak berhubung langsung Mak Ngah….” Kata Irfan.

Dia sendiri tidak tahu ke mana menghilangnya gadis itu. Irfan pernah menghantar SMS pada Insyirah namun tiada balasan. Mungkin dia telah menukar nombor telefon atau memang gadis itu mahu melenyapkan terus namanya dalam ruang hidupnya.

 “Irfan…Mak Ngah nak kau cari Ira sampai dapat. Mak Ngah nak jumpa dia. Mak Ngah nak mintak maaf dengan dia!” Ucap Puan Khadijah sambil mengenggam erat tangan anak saudaranya itu. Irfan memandang wajah Puan Khadijah sambil menganggukkan kepala. Bersyukur dengan penerimaan ibu saudaranya itu. Namun, waktu boleh merubah banyak perkara. Dia sendiri tidak pasti adakah masih ada cinta di hati Insyirah buat dirinya? Ataupun gadis itu telah menemui penggantinya. Dia tidak menemui jawapannya. Apa yang pasti cintanya pada Insyirah masih memekar di hati. Sesaat pun dia tidak pernah melupakan gadis itu. Nama itu masih kukuh berpaut di tangkai hatinya.


“MAMA..tolong ampunkan Zati. Tolong jangan buat Zati macam ni!” Ujarnya sambil memandang Mamanya yang membisu. Puan Khadijah kembali merenung wajah Izzati.

“Zati kena mintak maaf pada semua orang yang Zati dah zalimi. Ira, abangnya dan pada abang Irfan juga. Zati mesti mohon kemaafan dari mereka. Zati akan dimaafkan atau tidak terpulanglah pada mereka..!” Suara Puan Khadijah kedengaran tegas. Mata Izzati memandang tepat ke arah Mamanya.

Mintak maaf pada Ira? Ira tak mungkin akan maafkan dia atas apa yang telah dia lakukan. Bisik hati Izzati.

“Zati kena mintak maaf dengan Ira. Sama ada Zati akan dimaafkan atau sebaliknya, itu yang harus Zati terima. Kalau Ira mahu mengambil tindakan undang-undang sekalipun, Zati kena terima. Itu saja caranya untuk Zati menebus semua kesalahan Zati. Zati faham..?!.” Tegas Mamanya.

Izzati terbungkam. Begitu sukar untuk dia melakukannya. Mampukah dia? Apakah Insyirah sedia memaafkan dirinya?

“Zati! Zati dengar tak cakap Mama ni?!” Bentak Puan Khadijah bila tiada respon dari anaknya itu. Izzati mengangguk perlahan.

 “Zati dengar Mama. Zati akan ikut cakap Mama….” Ucap Izzati. Puan Khadijah memeluk anaknya itu. Dia terlalu menyayangi Izzati. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya sendiri menerima akibat daripada kesilapan besar yang telah dilakukan. Namun dia mahu Izzati belajar dari kesilapan dan berani menghadapinya. Harapannya agar gadis itu menemui jalan penyelesaian terbaik.


INSYIRAH memandang lelaki itu dari kejauhan. Insan yang terlalu banyak membantunya dan Along sejak lima tahun dulu. Sejak Insyirah menjadi sebahagian daripada An Nur, sejak itulah lelaki itu sering menghabiskan masanya bersama anak-anak yatim di situ. Malahan sanggup menghulurkan sumbangan tenaga mahupun wang ringgit. Dia terhutang budi dengan segala kebaikan yang diberikan oleh lelaki itu.

“Hairi….!!” Laung Insyirah. Zuhairi sedang leka bermain badminton bersama beberapa orang anak An Nur. Zuhairi berpaling ke arah suara itu. Insyirah sedang menggamitnya dari tempat duduk di tepi padang. Dia mengangkat tangannya sambil melemparkan senyuman.

“Oklah adik-adik…abang Hairi stop dulu ya. Kalau ada masa nanti kita main lagi. Abang pergi dulu ya…!”

“Ok abang…jumpa lagi!” Balas mereka sambil melambai tangan pada Zuhairi.

Zuhairi berlari-lari anak menghampiri Insyirah. Dia melabuhkan punggung di sisi gadis itu sambil mengibas-ngibas bajunya. Berpeluh dapat bermain badminton sebentar tadi. Insyirah tersengih memandangnya.

“Hairi…kalau awak sibuk tak payahlah selalu datang sini. Penat kerja tak hilang lagi tup-tup datang sini terpaksa melayan diorang bermain pulak..” Tutur Insyirah. Kesian pulak dia melihat lelaki itu yang nampak kepenatan.

“Tak ada apalah Ira. Saya tak kisah pun. Lagipun mana boleh kalau saya tak datang sini. Saya akan rindukan awak kalau tak pandang wajah awak sehari. Penat sikit pun tak apa..asal dapat jumpa awak selalu…” Balasnya sambil menjeling Insyirah.

Insyirah hanya mendiamkan diri sambil memandang ke hadapan. Kata-kata itu sudah biasa di pendengarannya. Namun, dia tidak pernah mengambil serius. Bukan dia tidak sedar Zuhairi sering cuba mengetuk pintu hatinya sejak mereka saling mengenali. Entah kenapa dia seakan tidak mampu untuk memberi ruang pada Zuhairi untuk singgah di hatinya. Apakah dia masih tidak mampu melupakan cinta pertamanya?. Hatinya rasa sesak dengan rindu yang membuak-buak. Kenapa begitu sukar untuk aku melupakan lelaki itu? Bukankah dia sendiri yang memutuskan hubungan mereka dulu? Menyesalkah dia? Tiba-tiba matanya terasa panas. Dia memejam rapat matanya. Menahan air mata dari merembes keluar.

“Ira…” Matanya merenung wajah manis yang bertudung biru lembut itu.

Dia telah jatuh cinta saat pertama kali menatap wajah itu. Segala usikannya bagai angin lalu pada Insyirah. Tidak menidakkan atau mengiakan pun. Dia tidak tahu apa yang bersarang di benak gadis itu. Dia tidak pernah bertanya pada Insyirah. Bimbang akan melukai hatinya. Lagipun Insyirah dilihatnya semakin ceria dan bersemangat sejak menghuni An Nur. Dia sangat terhibur dengan keletah gadis kecil molek itu yang kadang kala nakal.

“Ya..” Insyirah mengalihkan matanya pada Zuhairi di sebelah. Zuhairi memberikan senyuman.

“Awak ok ke? Kenapa diam je..?!”

“Tak ada apalah Hairi. Cuma saya teringatkan arwah ibu…” Ucapnya perlahan. Cuba berdalih.

“Tak payahlah ingatkan cerita-cerita sedih tu. Cuba senyum sikit. Haa macam ni….!” Kata Zuhairi sambil menyengih menampakkan giginya. Insyirah ketawa kecil melihat aksi lelaki itu.

“Haa..macam tulah. Senyum je memanjang…!”

“Kalau asyik senyum je…nanti orang ingat tak siuman pulak…!” Balas Insyirah. Senyuman masih terukir di bibirnya.

 “Tak apalah…pedulikan jelah..janji kita happy....!!.” Ujar Hairi lagi sambil mengangkat tangan kanannya ke udara. Macam aksi kanak-kanak riang. Mereka akhirnya sama-sama ketawa. Perbualan mereka mula rancak dan sesekali diselangi dengan hilai tawa Insyirah. Hubungan rapat mereka boleh memberikan tafsiran berbeza pada setiap mata yang memandang. Namun hanya mereka saja yang boleh memberikan jawapan itu.


QALEESHA menuang Nescafe susu ke dalam cawan di atas meja kayu di halaman rumah. Abangnya kelihatan khusyuk membaca majalah Usahawan di tangannya.

“Minum bang….” Pelawanya sambil menyuakan cawan berisi Nescafe ke hadapan abangnya.

 “Terima kasih Esha…” Balasnya sambil memandang sekilas pada adiknya di sebelah.

Sudah seminggu Qaleesha berada di rumah menghabiskan cuti semester pengajiannya. Sejak melanjutkan pelajaran di UiTM, masa untuk bersama abangnya kian terhad. Mesti Irfan rasa sunyi dengan ketiadaannya. Sejak berpisah dengan Kak Ira lima tahun lepas, abang masih bersendirian. Bukan dia tidak pernah mengusulkan agar mencari pengganti, tapi hanya dipandang sepi oleh abangnya. Qaleesha dapat rasakan abangnya tidak pernah dapat melupakan Kak Ira.

“Abang…Kalau Esha tanya sesuatu, abang jangan marah ya..?!”

“Tanyalah..apa dia?”

“Kenapa abang tak kahwin lagi? Kalau ada isteri, taklah Esha risau nak tinggalkan abang..!” Irfan meletakkan majalah dipegangnya. Dia memandang wajah adiknya.

“Kenapa Esha cakap macam tu? Dah tak sudi nak jaga abang lagi? Ataupun Esha dah nak kahwin? Nak tinggalkan abang?!”

“Issh..abang ni. Ke situ pulak dia. Esha tanya abang tu bila nak kahwin..Apasal pulak babitkan Esha..!” Jawabnya sambil menjuihkan bibirnya. Geram bila abangnya cuba menukar topik. Irfan mengukir senyum. Dia meneguk air Nescafe panas tadi.

“Abang…jawablah soalan Esha tu…!” Dia ingin tahu apa yang terbuku di dalam hati abangnya itu. Irfan kembali memandang adik kesayangannya itu.

“Kalau abang cakap abang tak nak kahwin..apa Esha nak buat?!” Sambil mengangkat kedua keningnya.

“Kalau betul abang tak nak kahwin, Esha rasa Esha tahu kenapa..”

 “Amboi..macam ahli nujum dah adik abang ni. Haah…kalau Esha tahu…kenapa?!” “Sebab abang masih cintakan Kak Ira dan abang tak boleh lupakan dia. Kan?!” Irfan terpana mendengarkan kata-kata Qaleesha.

“Betul kan?!” Qaleesha merenung abangnya yang membatu itu. Dia tahu betapa dalam cinta abangnya terhadap Kak Ira. Keadaan yang menyebabkan mereka berpisah dulu.

“Abang…Kak Ira kat mana sekarang? Esha rindu sangat dengan dia…” Soal Qaleesha kembali. Sejak kebelakangan ini rindunya pada Kak Ira membuak-buak. Kak Ira menghilang terus dari hidup mereka. Bencikah dia pada keluarga mereka?

 “Entahlah dik…abang sendiri tak tahu...” Rindu pada Insyirah bertamu lagi di hati. “Abang tak nak cuba cari Kak Ira ke?!”

“Abang pernah terfikir begitu…tapi abang tak tahu nak cari kat mana dik…” Irfan melepaskan keluhan kecil.

Dia pernah mengunjungi Teratak Pak Zaman selepas detik perpisahan dulu. Tapi rumah itu sudah tidak berpenghuni. Pasti Insyirah dan abangnya telah berpindah. Orang kampung juga tidak tahu ke mana perginya mereka. Irfan sendiri buntu untuk mencari. Akhirnya dia pasrah dengan ketentuan takdir.


KEJADIAN lima tahun lalu….

 “Cik Zati ..kami dah selesaikan kerja kami.” Kata salah seorang daripada tiga orang upahan itu. Izzati menghulurkan sampul surat berisi banyak not RM100 pada mereka.

 “Aku nak kau pergi jauh dari tempat ni. Ingat, kalau kau cuba khianati aku..siap kau!!”

“Jangan bimbang Cik Zati..kami akan pergi jauh-jauh..don’t worry…!” Janji mereka sebelum berlalu meninggalkan Izzati.

Izzati menyesali diri. Dia bagai hilang pertimbangan diri akibat menurut kata hati. Mamanya telah menemukannya dengan seorang pakar psikiatri. Dia mula bermuhasabah diri dan benar-benar ingin berubah. Izzati kembali mendekatkan diri pada ALLAH. Adakah masih ada kesempatan untuknya menebus kesilapan? Adakah Insyirah akan memaafkannya? Dia pasti tidak mudah untuk menerima kemaafan dari gadis itu. Tidak kira betapa payah sekalipun, dia akan berusaha. Dia nekad untuk berubah ke arah yang lebih baik. Walau apapun pengakhirannya, dia tetap redha.

No comments:

Related Posts with Thumbnails