JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Wednesday, August 24, 2011

BAB 32 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU


USAI solat Asar, Irfan menapak ke arah balkoni Villa yang mengadap laut itu. Begitu indah pemandangan pantai dan laut di situ. Sengaja memilih lokasi percutian bulan madu itu kerana Insyirah sangat sukakan laut. Senyuman sentiasa terukir di bibir mungil itu setiap kali menatap keindahan laut. Irfan melabuhkan tubuhnya di atas sofa yang berada di sudut kanan balkoni itu.

“Damai dan tenang rasa dapat menatap keindahan laut kan bang….” Ucap Insyirah yang turut mampir di situ setelah usai mengemas pakaian tadi.

“Aa ar…memang damai sayang....” Akui Irfan.

Tangannya mencapai jemari runcing Insyirah lalu menariknya ke sisi. Insyirah turut berbaring di sisi suaminya. Dia meletakkan kepala pada bahu Irfan. Mereka berbaring di sofa sambil menatap keindahan suasana itu.

“Sayang..apa nama anak perempuan Hairi ya? Lupa pulak..” Irfan memulakan bicara sambil menggenggam lembut tangan Insyirah.

“Nur Damia Hanna..”

“Comel kan?”

“Aa ar..budak-budak memang comel..” Terbayang keletah Hanna yang comel bergaun kembang. Insyirah mengukir senyuman.

Hembusan bayu laut menyapa lembut wajahnya. Kepenatan sepanjang perjalanan ke sini membuatkan matanya kian layu. Suara Irfan semakin sayup di cuping telinganya.

“Taklah sunyi kalau ada anak kan sayang….?” Ucap Irfan pula. Tumpang gembira melihat kebahagiaan teman baiknya itu dengan kehadiran Hanna. Permata hati idaman setiap pasangan yang berumahtangga.

“Abang sanggup melayan dia seharian. Temankan dia bermain. Dodoikan dia masa tidur. Bagi dia minum susu. Tukarkan lampin. Pendek kata, semuanyalah abang sanggup buat…” Sambungnya lagi sambil mengukir senyuman. Membayangkan bila tiba saat itu.

“Sayang…” Insyirah di sebelah hanya diam.

Irfan menjeling Insyirah di sisi. Laa..tidur rupanya dia. Lena sungguh. Patutlah dari tadi diam aje. Bisik hati Irfan. Dia tersenyum sambil mencium mesra dahi isterinya lalu mengeratkan pelukan. Akhirnya dia sendiri turut terlena.

Kicauan burung akhirnya mengejutkan Irfan. Dia menjeling jam di tangan. Huiii…dah lewat petang rupanya. Lama jugak mereka terbaring di sofa itu. Kata hatinya. Dia mengerling Insyirah di sisi.

“Sayang…bangun sayang. Dah nak masuk maghrib ni…” Irfan mengejutkan Insyirah yang masih lena di bahunya. Tubuh itu masih tidak bergerak.

“Sayang….bangunlah..” Sambil menggerakkan sedikit bahu Insyirah. Sedikit menggeliat. Namun mata itu masih terpejam rapat. Adoii…payah benar nak bangun dia ni. Bisik hati Irfan. Idea nakal mula bermain di benaknya saat itu.

“Sayang…ada lipas sayang. Lipasssss……..” Bisik Irfan perlahan ke telinga Insyirah. Sepantas kilat mata itu terbuka.

“Haah..lipas? Kat mana?!” Insyirah bangun dari baringan. Masih tercongok di atas sofa.

Matanya meliar memandang atas dan bawah sofa dengan wajah cuak. Rasa geli mula menjalar ke seluruh badannya. Irfan di sisi menahan tawa. Idea nakalnya bercambah lagi. Jarinya mula menjalar perlahan ke jemari Insyirah.

“Aaaaaaaaaa……..lipas..!” Jerit Insyirah sambil melompat dari sofa. Dia merenjis-renjis jari-jemarinya.

“Eeeeeeeiii…….!” Bahunya bergoyang menahan geli.

“Abang…ada lipas…!” Sambil menjeling suaminya.

“Sayang ni…mana ada lipas!”

“Adalah tadi bang. Merayap kat jari Ira ni..!” Tangannya juga mula bermain di rambut dan pakaiannya. Membayangkan ‘makhluk’ itu berada di situ. Manalah tahu.

Meledak tawa dari mulut Irfan saat itu. Gelihati melihat reaksi spontan isterinya itu. Pantang mendengar nama serangga itu disebut.

“Abang gelak ni apasal? Ira cakap betul ni. Memang ada lipas tadi bang..!” Ujar Insyirah sungguh-sungguh.

“Tak ada lipaslah sayang. Tadi tu jari abang. Abang saja usik sayang tadi…!” Terang Irfan. Mata Insyirah membulat.

“Abang ni suka tau main-mainkan Ira! Eeeeiiii geramnya..!” Satu cubitan lagi singgah di lengan suaminya itu.

“Adoooiii…apa ni sayang?! Suka sangat mencubit. Sakit abang tau. Dahlah lengan ni lenguh sebab tiba-tiba jadi bantal tadi, sekarang ditambah lagi sakitnya…apalah nasib badan....!” Ujar Irfan sambil menggosok lengannya yang pedih. Baru beberapa jam di situ, sudah dua cubitan singgah di badannya. Nasib akulah dapat isteri suka mencubit. Omelnya dalam hati.

“Padanlah muka abang! Sebab abang yang ajak Ira tidur kat situ tadi kan. Yang abang gatal-gatal usik Ira pulak pasal benda alah tu, kenapa?!”

“Habis tu, sayang payah sangat nak bangun. Terpaksalah abang buat macam tu. Kalau tak sampai esok pagilah sayang tidur…!” Usiknya lagi sambil memandang muka kelat isterinya.

“Nak kejut pun, kejutkanlah elok-elok. Dah tahu Ira memang geli dengan benda alah tu kan...!” Bentaknya sambil memeluk tubuh. Geram dipermainkan sebentar tadi.

“Alah sayang. Abang mintak maaf ok. Abang tak sengaja tadi. Janganlah marah…” Pujuknya. Cuba beralah.

“Jom kita pergi!” Kata Irfan tiba-tiba sambil menarik tangan isteri kesayangannya itu.

“Nak pergi mana pulak ni bang?!” Soal Insyirah dengan muka berkerut.

“Pergi mana lagi. Bersiap untuk solat Maghrib dan lepas tu pergi makan malamlah. Sayang tak lapar ke?!”

“Laa…ingatkan apalah tadi. Ok ok…” Insyirah tersengih. Ingatkan nak ke manalah tadi. Adoii..ada-ada ajelah suami aku ni. Detik hati kecilnya. Keduanya mula menapak ke dalam.


MEREKA melabuhkan punggung di ruang makan terbuka di The Point Restoran. Menikmati menu makan malam yang enak sambil menyaksikan keindahan pemandangan pantai menjadikan ia detik romantis untuk diingati. Tiba-tiba telefon bimbit Irfan berbunyi. Dahinya berkerut memandang ke arah nombor yang tertera pada skrin telefon. Nombor yang tidak dikenali. Siapa pulak ni? Detik hatinya.

“Hello…Assalamualaikum…” Insyirah hanya memandang tanpa suara.

“Waalaikumussalam…Encik Irfan..!” Kedengaran suara seorang lelaki menjawab di hujung talian.

“Ya saya. Siapa ni?” Tanyanya. Tidak mengenali suara itu.

“Saya Faizul, Encik Irfan..”

“Laa…Faizul ke? Ingatkan siapa tadi. Haa..ada apa hal telefon saya ni? Kan saya tengah bercuti ni...”

“Sorry Boss. Er…saya cuma nak bagitahu checklist yang Encik Irfan nak tu, saya dah emailkan. Kan Encik Irfan sendiri cakap suruh maklumkan segera bila checklist tu siap.” Rasa serba salah kerana mengganggu bulan madu Bossnya itu.

“Aa ar ya. Lupa pulak saya. Tak apalah. Terima kasih ya Faizul.” Ucapnya.

“Sama-sama. Selamat berbulan madu ya Boss. Jangan lupa balik sini sudahlah.” Terdengar Faizul mengekek di hujung talian.

“Awak ni…sempat lagi ya. Oklah..Bye!” Sambil mematikan panggilan. Matanya menjeling sekilas Insyirah di sebelah.

“Sayang…kenapa tak habiskan nasi tu?” Sambil mengerling nasi dan Tomyam yang tidak luak sangat.

“Tak ada seleralah bang.” Ujarnya.

“Kenapa ni sayang? Sayang tak sihat ke?” Tangannya berada di dahi Insyirah. Risau andai benar isterinya itu kurang sihat.

“Tak panas pun…kenapa ni?” Sambil menyentuh lembut jemari runcing itu.

“Tak ada apalah bang. Ira ok. Mungkin makanan ni tak kena dengan selera Ira agaknya.”

“Habis tu sayang nak makan apa? Nanti abang suruh pihak hotel sediakan.” Pintanya bersungguh.

“Issh..tak apalah abang. Ira ok aje. Abang tu habiskanlah makanan abang tu.”

“Macamana abang nak makan kalau sayang tak makan. Abang pun tak payah makanlah.” Pura-pura merajuk sambil menolak pinggan nasinya. Walaupun perutnya memang sedang lapar.

Alamak. Kesian pulak suami aku ni. Mesti dia tengah lapar tu. Aku pulak buat spoil mood makan dia. Nak kena paksa diri makan jugak ke ni? Omel Insyirah dalam hati.

“Ok ok. Ira teman abang makan ya.” Pujuk Insyirah sambil menolak kembali pinggan nasi ke arah suaminya. Irfan tersenyum memandangnya sambil meneruskan suapan. Insyirah turut menarik kembali mangkuk Tomyam tadi dan memaksa tekak untuk menelan.


SEBAIK pintu Villa dibuka Insyirah berlari pantas menuju ke bilik air. Dia memuntahkan segala apa yang terbuku di tekak. Tekaknya terasa amat perit. Entah kenapa tekaknya tidak dapat menerima masakan Tomyam itu tadi. Sedangkan selama ini dia memang penggemar Tomyam.

“Sayang…sayang ok ke? Kenapa tak cakap sayang tak suka makan Tomyam? Kalau tak abang tak paksa sayang makan tadi..!” Omelnya sambil menggosok belakang Insyirah yang masih berada di tepi sinki. Sedikit panik tatkala melihat isterinya berlari ke bilik air tadi.

“Ira tak apa-apalah abang…!” Balas Insyirah perlahan sambil berlalu keluar. Jarinya pantas mengambil tisu sambil mengelap mukanya. Dia duduk di bucu katil. Irfan di sisi kerisauan.

“Kenapa dahi abang berkerut ni? Kan Ira cakap Ira ok. Jangan risaulah…” Ucapnya sambil tersenyum memandang Irfan.

“Abang mintak maaf ya. Sebab paksa sayang makan tadi.” Hatinya masih dipagut rasa bersalah pada isterinya itu.

“Abang tak payah mintak maaf. Memang Ira suka sangat makan Tomyam. Tapi Ira tak tahu kenapa malam ni tekak Ira tak boleh terima langsung. Rasa semacam aje.” Jelasnya.

“Tomyam kat sini tak sedap kot…” Telah Irfan.
“Aa ar..agaknya..” Balas Insyirah. Keduanya ketawa kecil.


IRFAN leka mengadap Laptop. Tidak berniat untuk bekerja ketika bulan madunya itu. Tapi email Faizul tadi perlu dilihat juga walau sebentar. Tidak mahu mengganggu kerja suaminya, Insyirah melangkah ke balkoni. Bulan mengambang menerangi balkoni Villa luas itu. Indah sungguh pemandangan itu.

Dia membaringkan tubuh di sofa. Fikirannya menerawang pada kejadian selepas makan malam tadi. Pelik dengan perubahan tiba-tiba pada selera makannya. Bukankah aku ni penggemar Tomyam? Macamana pulak bila makan tadi boleh termuntah balik. Tak boleh menerima langsung rasa masakan itu. Entahlah. Dia sendiri tidak mengerti. Entah-entah aku ni dah… Issh..takkanlah kot. Takkan pasal berubah selera makan boleh jadi bukti yang aku dah hamil. Aaah..perasaan aku aje tu. Omelnya sendiri dalam hati. Dalam memikirkan kemungkinan itu, Insyirah terlena.

Irfan yang leka melihat checklist yang diemail oleh Faizul tadi tiba-tiba teringatkan Insyirah. Matanya melilau mencari isterinya itu. Ke mana pulak dia? Senyap aje dari tadi. Bisik hatinya sambil bangun dari kerusi. Dia menolak pintu bilik mandi. Tiada di situ. Matanya tertancap ke arah pintu ke balkoni yang terbuka. Langkahnya mula menapak ke situ. Dia tersenyum sebaik terpandang Insyirah yang lena di sofa.

Dia duduk di lantai di sisi isterinya itu. Matanya leka menatap keayuan wajah itu walaupun sedang lena diulit mimpi. Wajah itulah yang pertama kali membuatkan dadanya berdebar kencang. Jarinya menyelak anak rambut yang menutupi dahi licin itu. Sorotan matanya masih meratah wajah putih mulus itu. Betapa rasa cintanya begitu mendalam buat isterinya itu. Meskipun perpisahan pernah mendatangi mereka, namun takdir penentu segalanya. Mereka sememangnya ditakdirkan untuk bersama. ALHAMDULILLAH.

Begitu lama khalayan menguasainya. Akhirnya Irfan mencempung tubuh kecil molek itu ke katil. Begitu lena Insyirah hinggakan tidak menyedari langsung apa yang berlaku. Irfan menyelimuti tubuh itu sambil mengucup lembut dahi Insyirah. Dia kemudiannya turut sama berbaring di sisi setelah menutup lampu.


SETELAH menyewa sebuah kereta, mereka berangkat ke kaki Gunung Mat Chinchang untuk merasai pengalaman menaiki kereta kabel. Irfan pernah beberapa kali berkunjung ke Langkawi. Jadi, mereka tidak berhadapan masalah untuk ke sana.

“Sayang berani ke tak nak naik kereta kabel ni?” Soal Irfan sebaik saja mereka tiba.

“Takut jugak tapi peluang ni tak boleh dilepaskan. Lepas ni tak tahulah bila boleh sampai sini lagi kan. Rugilah kalau tak cuba ..” Ucapnya bersungguh. Dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu.

“Ya betul tu....” Balas Irfan sambil tersenyum. Insyirah turut tersenyum.

Setelah membeli tiket mereka masuk ke dalam gondola yang bergerak ke Stesen Pertama pada ketinggian 650 meter dari aras laut. Irfan yang duduk bersebelahan Insyirah sesekali menjeling ke arah isterinya itu. Memang jelas riak wajah takut isterinya itu.

Insyirah menarik nafas lega setelah turun dari gondola.

“Sayang ok ke?” Soal Irfan sambil memegang tangan isterinya. Risau.

“Ira ok..” Jawabnya ringkas. Tersenyum. Cuba bertenang diri. Bukannya dia tidak nampak riak risau suaminya itu.

Seketika mereka menghirup udara segar puncak bukit sebelum bergerak ke puncak Gunung Mat Chinchang. Debaran hati Insyirah bertamu lagi saat gondola bergerak ke stesen terakhir pada ketinggian 713 meter pada aras laut. Irfan hanya memerhatikan isterinya itu.

Sebaik saja mereka tiba di puncak Gunung, Irfan menggenggam erat tangan Insyirah. Dia tidak menghiraukan pandangan mata yang merenung ke arah mereka. Walau terasa malu, namun Insyirah merasakan seolah-olah diberikan keberanian oleh suaminya.

Di pelantar tinjau mereka menikmati keindahan pemandangan Lautan Hindi dan Laut Andaman yang terbentang luas.

“Sayang…jangan pandang bawah ya..Nanti lagi takut.” Pesan Irfan sambil memandang Insyirah.

“Ok.”

“Sayang nak naik jambatan tu?” Tunjuknya ke arah jambatan yang menghubungkan dua puncak bukit di situ. Walau sudah mengagak jawapan Insyirah, namun dia saja ingin mengusik isterinya itu.

“Tak naklah bang…” Jawabnya sambil menggeleng kepala. Irfan tersengih.

“Apasal pulak abang tersengih ni? Oh, gelakkan Ira ya..” Sambil menjeling ke arah suaminya.

“Isshh..mana ada. Abang pun tak sanggup nak ke sana. Tapi kan…mereka yang terlibat dalam pembinaan tempat ni memang sangat-sangat hebat kan…” Kagum dengan tempat tersebut.

“Aa ar kan..bukan satu kerja senang…bukan calang-calang orang boleh melakukannya.” Jawab Insyirah. Bersetuju dengan kata-kata Irfan.

Sempatlah jugak Irfan merakamkan foto mereka saat berada di puncak gunung itu. Setelah turun kembali ke kaki Gunung tersebut, Insyirah mengucap syukur. Lega sangat-sangat.

“Alhamdulillah…selamat sampai kat bawah balik.” Kata-kata Insyirah mengundang tawa Irfan di sisi. Tangan isterinya masih berada dalam genggaman. Langkah mereka dihayun ke parkir kereta.

“Abang ni selalu ketawakan Ira. Kelakar sangat ke?” Sambil menjeling suaminya.

“Alah sayang ni sensitif sangatlah. Abang bukan ketawakan sayang. Abang ketawa sebab abang pun ingat nak cakap macam tu jugak tadi. Legaaaaa….kan..!”

“Oh…jadi abang pun takut jugak ya?!” Sambil turut ketawa.

“Takut sikit aje. Tinggi tu kan. Tapi sayang tu lagi teruk....”

“Memang Ira takut tapi Ira nak cuba lawan perasaan tu. Ira berjaya jugak tadi kawal kan?” Mereka mula meloloskan badan ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan.

“Yelah tu..nasib baik ada abang. Kalau tak ntah-ntah ada yang naik lepas tu tak turun-turun…!” Usiknya sambil tersengih. Insyirah ketawa kecil.

“Yelah..yelah Ira mengakulah. Terima kasihlah pada suamiku yang tersayang ni ya..” Ucapnya sebaik tawanya reda.

“Sayang ke?”

“Sayanglah…”

“Kalau sayang, cium sikit kat sini…!” Usiknya lagi sambil meletakkan jari telunjuk pada pipi kirinya. Wajahnya dirapatkan pada Insyirah di sebelah.

“Abang..apa ni? Orang pandanglah. Mengada-ngada betullah abang ni.” Mata Insyirah membulat sambil menolak perlahan wajah suaminya. Irfan ketawa kecil.

Sebelum pulang ke Villa, mereka ke Pekan Kuah mencari sedikit cenderahati untuk keluarga dan teman-teman. Usai urusan itu baharulah mereka berangkat pulang ke hotel penginapan di Tanjung Sanctuary Langkawi Resort.


No comments:

Related Posts with Thumbnails