JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Thursday, June 16, 2011

BAB 3 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU




PEJAM celik sudah hampir lima bulan Insyirah bekerja di Kedai Buku milik Irfan. Dia semakin seronok dengan rutin kerjanya di situ. Along pula seperti biasa akan menghantar dan menjemputnya setiap hari. Dalam masa yang sama, dia turut membantu Qaleesha dalam pelajaran. Irfan sendiri yang memintanya berbuat demikian.



Setelah dua bulan bekerja di kedai buku…..



Irfan mendekati Insyirah yang sedang tekun menyusun buku-buku di satu sudut.

“Ira.”

“Ya.” Sahut Insyirah sambil berpaling mengadap Irfan.

“Boleh saya tanya sesuatu?.”

“Boleh.”

“Saya tengok sijil SPM Ira tadi. Result Ira agak baik. Kenapa tak sambung belajar?.”

Insyirah tergamam. Tidak menyangka soalan itu akan diajukan oleh Irfan. Beberapa ketika dia terdiam.

“Saya ada masalah keluarga ketika itu…” Jawab Insyirah ringkas. Masih berselindung.

“Oh…maafkan saya. Saya tak sepatutnya bertanya tentang hal itu.” Ujar Irfan. Serba salah bila melihat riak wajah tidak ceria Insyirah.

“Tak apa…”

“Sebenarnya, saya ada satu permintaan. Harap Ira sudi terima…” Irfan memandang mata redup Insyirah.

Alamak…permintaan apa pulak ni?. Jangan-jangan dia nak cakap dia sukakan aku. Bisik hati Insyirah. Perasan! Jujurnya, dalam diam memang dia menyukai bossnya itu. Dia menyenangi sikap dan personaliti yang ada pada lelaki itu. Aduh…jauh sungguh lamunannya.

“Ira!.”

“Er…ya saya dengar…apa dia Irfan?.”

“Saya nak mintak tolong Ira bantu Qaleesha dalam pelajarannya. Tahun depan dia dah nak ambik SPM. Jangan bimbang. Saya akan bayar untuk setiap jam belajar itu.” Jelas Irfan.

“Maksud Irfan … macam tuisyen?.”

Irfan mengangguk.

“Kat mana?.”

“Kat rumah Ira. Waktu malam.”

Sejenak Ira terdiam. “Tapi, saya bukannya pandai sangat Irfan. Bukan belajar tinggi.” Katanya. Bimbang tak dapat membantu Qaleesha seperti diharapkan.

“Saya yakin Ira boleh. Lagipun saya tengok Esha tu selesa dengan Ira. Itu memudahkan lagi dia belajar.” Jelas Irfan lagi. Harap sangat Insyirah setuju.

“Saya setuju. Tapi dengan syarat tiada bayaran dikenakan. Saya ikhlas bantu Qaleesha.” Kata Insyirah.

“Terima kasih, Ira. Tapi tentang bayaran tu….macam nilah. Saya akan naikkan gaji Ira sebagai ganti. Boleh?.” Soalnya sambil memandang Insyirah.

Wah, baru kerja dah dapat naik gaji. Makin sayanglah aku kat boss muda ni. Bisik hati Insyirah. Dia mengangguk akhirnya tanda setuju. Irfan lega.


BERLAMBAK buku yang perlu disusun di atas rak. Insyirah leka menyelesaikan kerjanya. Agak sukar untuk meletakkan buku pada ruang atas yang agak tinggi padanya. Biasanya Qaleesha yang lakukan bahagian itu. Tapi tak sampai hati pulak Insyirah nak mengganggunya yang sedang tekun menyiapkan kerja sekolah. Dengan bantuan kerusi, Insyirah berusaha meletakkan buku di ruang paling atas itu. Dia menjengketkan sedikit kakinya. Tapi malang memang tak berbau. Tiba-tiba dirasakan kedudukan badannya tidak stabil. Kerusi itu telah terjongket. Serentak dengan itu badannya terjatuh ke belakang.

“Aaaaaaaaaaaaaaaaaaa…….!” Spontan dia menjerit.

Insyirah terpempan bila menyedari tubuhnya dipeluk dari belakang oleh seseorang. Irfan telah menahan tubuhnya dari terjatuh sebentar tadi. Mereka terdiam membatu. Bagai ada renjatan elektrik yang mengalir dalam badan mereka saat itu. Masa bagaikan terhenti. Begitu hampir kedudukan wajah mereka. Insyirah dapat rasakan hembusan nafas Irfan di telinganya. Tanpa sedar Irfan menyentuh lembut jemari runcing Insyirah. Insyirah bagai merelakan. Pandangan mata mereka bersatu. Lama. Dari mata turun ke hati. Ada debar yang kencang menyinggah di situ.

“Kak Ira…!.” Suara Qaleesha menyedarkan mereka.

Irfan dan Insyirah bagai baru tersedar dari mimpi nan indah. YA ALLAH. Spontan mereka menjarakkan diri masing-masing. Malu sungguh dirasakan saat itu.

“Err…Ir…Ira ok?.” Tanya Irfan sambil cuba mengawal rasa malu.

Matanya menjeling ke arah adiknya. Dia sendiri tidak pasti sudah berapa lama Qaleesha berdiri di situ. Macamana nak sedar, kalau sebentar tadi dia hanyut dalam dunia sendiri. Aduh!

“O…o...Ok.. ok….” Balas Ira tergagap-gagap. Pipinya sudah memerah menahan malu. Tak mampu lagi nak menatap wajah Irfan.

Qaleesha bergegas datang apabila mendengar jeritan Insyirah tadi. Risau sesuatu terjadi. Tapi lain pula yang dia nampak. Ada drama Hindustanlah pulak. Lama juga dia memandang tingkah abangnya dan Kak Ira. Saja dibiarkan mereka. Gelihatinya melihat mereka menggelabah apabila ditegur tadi. Memang sah dalam hati ada taman.

Keduanya berlalu dari situ tanpa kata. Qaleesha memandang sambil tersenyum.


PON! Pon! Kedengaran hon kereta dari halaman rumah Insyirah. Pastinya Irfan dan adiknya yang datang. Irfan akan membawa Qaleesha ke rumah Insyirah setiap dua kali seminggu pada waktu malam untuk sesi ulangkaji.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara Irfan memberi salam.

“Waalaikumussalam. Jemput masuk Irfan, Esha.” Kedengaran pula suara ibu menjawab dari dalam rumah.

Irfan bersalam dan mencium tangan Mak Wan. Diikuti kemudiannya oleh Qaleesha.

“Makcik apa khabar?.” Tanya Irfan sambil memandang orang tua itu.

“Macam nilah Irfan. Orang tua… ada masa rasa sihat. Sampai masa sakit..sakit.”

“Makcik kena banyakkan berehat.” Mak Wan tersenyum sambil mengangguk.

“Irfan dengan Esha duduklah ya. Mak Wan masuk sekejap. Belum solat Isyak lagi ni. Kamu berdua dah solat?”

“Dah makcik. Sebelum nak datang sini tadi kami singgah solat kat masjid dulu.” Jawab Irfan.

ALHAMDULILLAH. Kata hati Mak Wan. Sejuk hati mendengarnya. Irfan dan Qaleesha tidak mengabaikan solat.

Insyirah yang baru saja usai mendirikan solat Isyak, bersiap ala kadar dan menuju ke ruang tamu.

“Maaf ya lambat sikit. Baru siap solat.” Kata Insyirah sambil bersalam dengan Qaleesha. Seperti biasa Esha mencium tangan itu.

Insyirah memandang Irfan. Lelaki itu tersenyum. Insyirah mengalihkan matanya ke arah lain. Debaran hatinya kian terasa. Aduh…parah ni.

Pandangan mata Irfan pula tidak beralih dari memandang wajah Insyirah. Sungguh manis dengan tudung berwarna pink lembut. Tanpa mekap secalit pun Insyirah tetap cantik. Saat itu ada getar lagi yang hadir dalam hati Irfan.

Insyirah sedar mata Irfan meratah wajahnya semahunya. Dia menjadi tidak keruan. Menggelabah rasanya. Bertenang Ira! Desak hatinya.

“Kak Ira…”

“Kak Ira!.” Suara Esha mengejutkannya.

“Er..er…ya Esha. Apa Esha cakap tadi?.”

“Malam ni boleh tak kita buat ulangkaji tajuk Bearing. Esha rasa kurang faham lagilah Kak Ira.” Qaleesha mengulangi soalannya tadi.

“Oh..ok..boleh boleh.” Jawab Insyirah.

Memang sah Kak Ira tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi. Dia tahu puncanya. Abangnya dari tadi asyik memerhatikan Kak Ira. Macamanalah Kak Ira tak menggelabah. Adoi…makin parah nampaknya abang aku ni. Omel Esha dalam hati.

Mata Irfan masih ralit memerhatikan Insyirah. Dia tersenyum sendirian mengingatkan kejadian petang tadi. Lamunannya terhenti apabila kelibat Mak Wan terlihat di situ bersama dulang berisi secawan kopi. Insyirah pula lega apabila melihat kelibat ibunya di situ.

“Irfan..jemput minum. Kopi bujang aje..” Kata Mak Wan sambil meletakkan cawan di atas meja kayu di ruang tamu itu.

“Terima kasih makcik. Buat susah-susah aje..” Ucapnya sambil tersenyum.

“Tak ada susahnya pun kalau setakat air kopi tu..” Ujar Mak Wan lagi sambil turut melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan Irfan.

”Irfan..makcik nak ucapkan terima kasih….” Ucap Mak Wan. Ingin melanjutkan perbualan bersama anak muda itu.

“Terima kasih? Pasal apa makcik?.” Soal Irfan hairan.

“Sebab sudi ambik Ira kerja kat kedai Irfan tu…” Balas Mak Wan. Irfan tersenyum.

“Oh pasal tu..tak ada apalah makcik. Kebetulan memang saya perlukan sangat pembantu. Rezeki Ira yang dapat, makcik.” Ucapnya.

“Kalau Ira ada buat salah, marahlah dia. Ira ni memang kuat merajuk. Tapi jangan sebab tu, Irfan tak nak marah dia.” Ujar Mak Wan.

"Oh ye ke makcik?." Soalnya. Dia menjeling ke arah Insyirah.

“Ibu…apa ni? Kenapa cakap macam tu? Malulah Ira..” Ucap Insyirah tiba-tiba sambil mencebik memandang ibunya. Irfan tersengih. Comel sungguh melihat telatah Insyirah saat itu.

“Alah..kenapa nak malu pulak? Biarlah boss Ira ni tahu. Memang betul pun kan?..” Jelas ibunya sambil tersenyum memandang anaknya itu.

Insyirah menjeling Irfan yang sejak tadi ralit memerhati. Lelaki itu menyengih. Insyirah terasa disindir.

Beberapa ketika terdengar suara Aiman memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Mereka menjawab salam serentak.

“Dah lama sampai Irfan?” Soal Aiman.

“Baru kejap tadi Along.” Aiman melabuhkan punggungnya di kerusi di sebelah Irfan.

“Along nak kopi? Kalau nak ibu ambikkan.” Soal Mak Wan.

“Tak apalah, bu. Saya baru lepas minum kat masjid tadi.” Mak Wan bangun dari duduknya.

“Irfan berbuallah ya. Makcik nak ke dapur sekejap.” Irfan mengangguk. Mak Wan mula menapak ke arah dapur.

Sesekali mata Irfan sempat lagi menjeling ke arah Insyirah yang tekun membantu Qaleesha mengulangkaji pelajaran. Keduanya rancak berbual sehinggalah berakhirnya sesi ulangkaji itu.


No comments:

Related Posts with Thumbnails