DIA tersenyum lebar dan kemudiannya ketawa. Dengan bantuan seorang penyiasat persendirian dia dapat menjejaki siapa sebenarnya Insyirah. Dia tidak hiraukan kesahihan maklumat yang diperolehinya itu. Apa yang penting, segala apa yang dia inginkan akan terlaksana.
“Gadis itu tak akan dapat bersama dengan Irfan. Aku akan pastikan Irfan hanya akan jadi milik aku seorang!” Kata hati Izzati dengan penuh dendam kesumat.
TEMPAT itu agak sunyi. Tidak kelihatan orang lalu-lalang. Dia sendiri tak tahu kenapa Izzati ingin berjumpanya di situ. Katanya ada hal penting ingin dibincangkan. Rasa cuak juga bila menyedari keadaan tempat itu.
“Ehem…”
Insyirah sedikit terkejut. Dia memalingkan mukanya. Izzati yang memakai dress pendek berwarna hitam itu sedang merenung tajam ke arahnya. Insyirah ditatap dari atas ke bawah tanpa suara.
“Kenapa awak nak jumpa saya dekat sini?. Apa hal penting yang awak nak bincangkan?.” Soal Insyirah. Masih sopan tutur katanya terhadap gadis itu.
Izzati tiba-tiba ketawa. Insyirah kehairanan.
“Hei perempuan…kau jangan nak berlagak baik dengan aku. Kau ingat aku tak tahu siapa kau sebenarnya..”
“Apa maksud kau ni? Aku tak faham…” Tuturnya mula berubah bila melihat kebiadapan gadis itu.
“Hei…kau tahu tak kau siapa?.”
Insyirah semakin tidak mengerti dengan soalan gadis itu.
“Kau tu anak luar nikah…!”
“Apa?.” Ucap Insyirah dalam getar.
“Kalau kau nak tahu…waktu kau dilahirkan keluarga mak bapak kau tak nak terima kau. Nasib baik ibu dan ayah kau tu pungut kau dan jaga macam anak mereka sendiri. Kalau tak…tak tahulah nasib kau sekarang..” Kata-kata Izzati bagai kilat menyambar tangkai hati Insyirah. Namun dia tidak mahu termakan dengan penipuan itu. Gadis itu tersengih-sengih memandangnya.
“Apa yang kau merepek ni? Kau jangan sengaja nak buat fitnah. Aku tahu kau memang tak suka aku bersama Irfan kan. Dan kalau kau fikir kau boleh tipu aku dengan cerita palsu kau ni..kau silap. Aku tahu kau akan buat apa saja untuk pisahkan kami. Tapi kau takkan berjaya..kau faham!” Bentak Insyirah sambil merenung tajam gadis itu.
Izzati ketawa lagi. Nampaknya gadis itu tidak percayakan kata-katanya sebentar tadi. Walaupun dia sedikit terkejut dengan ujaran tegas dari gadis itu, namun dia tetap akan teruskan misinya untuk memisahkan mereka.
“Hei..kau jangan confident sangat. Kalau kau tak percaya, kau boleh tanya dengan abang kesayangan kau tu. Dan aku rasa…lepas kau dah jelas dengan semua ni, kau sendiri tak akan sanggup nak berdepan dengan kekasih hati kau si Irfan tu!.” Izzati menyambung tawanya. Insyirah terkedu dengan kata-kata akhir gadis itu. Dia tercegat bagai patung saat itu.
“Aku pergi dulu ya…anak pungut….” Ujar Izzati dengan hilai tawanya sambil berlalu meninggalkan Insyirah termangu-mangu di situ. Puas hatinya kali ini. Dia amat yakin Insyirah akan tinggalkan abang sepupunya itu setelah mengetahui kebenarannya.
Insyirah terpana di situ. Dia tidak mahu tertipu dengan kata-kata gadis itu. Namun nalurinya seolah-olah menyatakan sebaliknya. Apakah ada sesuatu yang telah disembunyikan oleh arwah ayah dan ibu selama ini? Apakah Along sendiri mengetahui sesuatu? Hatinya semakin bergetar dengan persoalan ini.
WANITA pertengahan usia itu merenungnya tajam. Puan Khadijah yang dikenalinya sewaktu di hospital dulu sangat kontra sikapnya. Kini tiada lagi ramah mesra yang keluar dari bibir itu. Sudah berganti tutur yang begitu menyakitkan hati rapuhnya.
“Apa yang kau nak dari anak saudara aku?”
“Apa maksud auntie? Saya tak faham…” Ucap Insyirah lembut.
“Kau nakkan harta dia je kan? Kau mungkin boleh perdayakan Irfan tapi bukan aku…!” Tegas wanita itu dengan amarah yang membuak-buak.
Baru semalam dia berhadapan dengan anaknya. Hari ini dia terpaksa memandang wajah Mama gadis itu pula. Jelas kedua beranak ini begitu membencinya. Insyirah tidak mengerti mengapa sebegitu rupa dia dibenci. Apakah salah yang sudah dia lakukan?
“Auntie…saya betul-betul cintakan Irfan. Saya sukakan sikap dan keperibadian dia. Itu sahaja. Tak ada niat lain pun Auntie…” Ujar Insyirah. Dadanya mula sebak.
“Ah…itu alasan kau aje. Bukan aku tak tahu niat jahat kau tu! Hei…dah berapa ramai lelaki yang kau perdaya..hah? Perempuan macam kau ni hanya nakkan duit aje kan?.” Wanita itu semakin menggila. Matanya merah menahan marah.
Air mata mula mengalir di pipi Insyirah. Pedih hatinya.
“Hari tu sepatutnya kau yang ditimpa kecelakaan tu, bukan Irfan. Kau yang patut menerima akibat daripada dosa-dosa kau tu. Tapi aku tak tahulah, apa yang dah kau buat kat anak buah aku tu…sampai dia tergila-gilakan kau. Kau bomohkan dia kan…?!.” Bertalu-talu lontaran kata menyakitkan dari wanita itu.
Spontan mata Insyirah beralih pada wanita itu. Dia tidak sanggup menerima kata-kata hinaan itu.
“Auntie…! Jangan hina saya sebegitu. Saya tak akan buat benda syirik tu.....!.” Air matanya kian bercucuran. Tidak mampu ditahan lagi. Dia meraup wajahnya perlahan. YA ALLAH…
“Sekarang...kau cakap berapa yang kau nak…aku akan bagi. Asalkan kau tinggalkan Irfan!.” Kata akhir wanita itu begitu menghiris hatinya. Sangat pedih rasanya.
“Auntie…saya tak perlukan semua tu…” Sambungnya dengan sendu yang masih bersisa.
Wanita itu mencebikkan bibirnya. Pura-pura baik konon! Bisik hatinya.
“Kau tinggalkan Irfan!.” Bentak wanita itu lagi sambil merenung tajam Insyirah.
“Kalau itu yang Auntie mahukan…baiklah. Saya akan tunaikan,,,” Balas Insyirah perlahan. Puan Khadijah puas.
Insyirah memejamkan matanya sambil melepaskan keluhan berat. Mungkinkah hanya di sini noktah cinta mereka? Hatinya merintih pilu.
WAJAH abangnya ditenung. Salahkah dia jika inginkan kebenaran? Tak berhakkah dia untuk tahu segala-galanya?
“Along…kalau Along sayangkan Ira..tolonglah Along. Tolonglah berterus-terang dengan Ira…” Insyirah menyentuh lembut tangan Aiman.
Aiman menundukkan wajahnya. Tidak tahu dari mana harus dimulakan. Bimbang Insyirah tersalah faham dan mengundang kesedihan pada adiknya. Sayangnya pada Insyirah begitu melimpah ruah.
“Along…betul ke Ira ni anak pungut?” Ada getar pada nada suara itu.
“Ira…kenapa tanya macam tu? Ira bukan anak pungut… Ira anak ibu dengan ayah.” Tegas kata-kata Aiman.
“Along jangan cuba tipu Ira…cakap betul-betul Along..!” Masih tidak percaya.
“Betul Ira. Ira memang anak ibu dan ayah.”
Aiman akur. Sudah masanya Ira harus mengetahui kebenarannya. Dia tidak mahu lagi adiknya itu berteka-teki. Dan dia juga tidak mahu ada yang mengambil kesempatan memutarbelitkan cerita sebenar. Aiman dapat rasakan ada yang telah menimbulkan persoalan ini pada Insyirah. Kebenaran perlu ditegakkan pada saat ini. Biarpun hanya akan menambah kesedihan pada gadis itu.
DUA puluh tahun yang lalu……..
Datuk Herman dan Datin Sharifah kecewa apabila anak mereka, Zaman enggan menerima jodoh pilihan mereka. Sebaliknya telah tekad memilih gadis lain sebagai isterinya. Lebih-lebih lagi pilihannya itu hanya gadis kampung. Gadis yang datang dari sebuah keluarga sederhana.
“Baiklah…kalau kau tetap dengan pendirian kau, Papa izinkan kau kahwin dengan gadis tu. Tapi ingat…Papa takkan beri satu sen pun pada kau. Pergilah kau hidup merempat. Jangan balik lagi ke rumah ni..Faham!.” Bentak Datuk Herman. Datin Sharifah terkedu. Hanya kedengaran sedu tangisnya sambil memeluk anak tunggalnya itu.
“Baiklah Papa. Saya tak nak harta Papa…kalau Papa ingat dengan harta Papa saja saya boleh hidup, Papa silap. Saya masih punya kudrat untuk mencari rezeki dan mampu menyara hidup sendiri. Saya tak akan balik lagi ke sini!.” Balas Zaman tegas. Datuk Herman membatu di hadapannya.
“Mama…ampunkan Zaman. Halalkan makan dan minum Zaman. Zaman tetap sayangkan Mama.” Dia memeluk dan mencium tangan ibunya. Kedua pipi ibunya dikucup penuh kasih. Air mata kian mengalir di pipinya. Zaman mengangkat punggung dan berlalu dari banglo mewah itu dengan kepedihan di hati.
“Zaman…jangan tinggalkan Mama….!!!.” Datin Sharifah meraung sambil memaut lengan suaminya.
“Abang….! Halang Zaman bang…tolonglah …Zaman satu-satunya anak kita.. ! Abang.. jangan buat Ifa macam ni bang..tolonglah abang..!!!.” Raungan isterinya itu begitu memilukan hatinya.
Terlajak perahu boleh di undur…tapi terlajak kata padahlah jawabnya. Amarah yang membuak dalam hatinya tadi telah menyebabkan mereka kehilangan satu-satunya zuriat mereka. YA ALLAH…apa yang telah aku lakukan. Maafkan Papa …Zaman!
SETELAH mengahwini Wan Aisyah, Zaman membeli beberapa ekar tanah di pinggir Bandar. Di situlah dia bersama isterinya tinggal dan menjalani hidup. Walaupun dahulu Zaman dilimpahi kemewahan, namun kini dia redha dengan ketentuan takdir. Apa yang lebih menggembirakannya, dia bersama insan yang dicintainya menempuh suka dan duka bersama. Lebih-lebih lagi mereka juga telah dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Ahmad Aiman. Dia bersyukur pada ALLAH. Walaupun sesekali ingatannya pada Mama dan Papanya singgah, namun sedikit tidak tersemat dendam pada mereka. Dia sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka dunia dan akhirat.
“Assalamualaikum..” Kedengaran suara dari halaman.
“Waalaikumussalam..” Jawab Zaman dari dalam rumah.
Dia menjengukkan muka ke luar rumah dan memandang wajah seseorang yang amat dikenalinya.
“Eh..Pak Mat. Macamana Pak Mat tahu saya tinggal kat sini?.” Soalnya bila driver Papanya, Pak Mat tiba-tiba muncul di situ. Mereka bersalaman.
“Kalau ALLAH izinkan nak jumpa, jumpa jugak kan..” Balas orang tua itu.
“Zaman…sebenarnya Pak Mat datang ni nak jemput kamu balik ke rumah.” Ucapnya sebaik saja duduk di pangkin di halaman rumah itu.
Wajah tua itu dipandangnya. “Pak Mat…saya tak akan balik ke rumah tu lagi. Lagipun, Papa mesti tak suka saya balik.”
Wan Aisyah muncul bersama dulang berisi dua cawan kopi dan sepinggan karipap. Dia meletakkannya di atas pangkin di sisi suaminya.
“Jemput minum Pak Mat..” Ucap Wan Aisyah lembut sambil tersenyum memandang orang tua itu.
Pak Mat membalas senyuman itu sambil menganggukkan kepala. Wanita itu padanya cukup sempurna. Cantik bertudung litup dan sangat berbudi bahasa orangnya. Dia sendiri tidak pasti kenapa Datuk Herman enggan menerima pilihan Zaman. Tapi kini, keadaan sudah berubah. Sejak kebelakangan ini, kesihatan Datuk Herman tidak begitu baik dan perniagaannya juga mengalami kemerosotan. Pak Mat ditugaskan untuk memujuk Zaman pulang demi menyelamatkan keluarga Datuk Herman.
“Zaman.. Papa Zaman tengah sakit tenat sekarang. Dia dah lama maafkan kau nak. Dia nak sangat jumpa menantu dan cucunya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya.”
Kata-kata Pak Mat membuatkan Zaman tersentak. Papa!
WAJAH Mama dan Papa dipandang silih berganti. Dia ingatkan semuanya akan selesai dengan baik. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Sejak lima tahun lepas syarikat keluarganya, HERMAN HOLDINGS telah mengalami kemerosotan. Ada yang menunjukkan minat untuk membantu tetapi dikenakan syarat yang tidak boleh diterima akal Zaman pada awalnya. Rakan niaga Datuk Herman, Tan Sri Shahril sanggup membantu dari segi kewangan tapi dengan syarat Zaman hendaklah mengahwini anak perempuannya, Suraya yang mengalami gangguan jiwa setelah kematian ibunya, Datin Sri Rohana akibat kanser.
Suraya tidak pernah mendapat perhatian daripada bapanya. Hanya ibunya yang mencurah kasih sayang melimpah ruah buat dirinya. Suraya merasa kehilangan yang amat besar apabila ibunya meninggal dunia. Dia rasakan dirinya hilang tempat bergantung. Kesedihan yang melampau mengakibatkan Suraya sering bertindak melukakan diri sendiri. Bahkan pernah suatu ketika dia cuba membunuh diri. Tekanan perasaan yang dialami menyebabkan dia hilang kawalan. Dia dibawa berjumpa pakar psikiatri untuk menjalani rawatan. Namun tanpa sokongan daripada keluarga menyebabkan proses penyembuhan menjadi agak sukar. Tan Sri Shahril seolah-olah ingin lari dari tanggungjawab. Dia lebih rela menjadikan anaknya sebagai taruhan perniagaan.
“Zaman sanggup ke tengok syarikat hasil titik peluh Papa tu lenyap macam tu saja. Mama mintak Zaman setuju saja…demi Papa..demi Mama dan keluarga kita. Soal Suraya tu kita kena bantu dia untuk meneruskan hidup. Dia perlukan bantuan. Kesian dia Zaman…” Pujuk Datin Sharifah.
Akhirnya persetujuan dicapai. Syarikat HERMAN HOLDINGS terselamat dan Zaman mengahwini Suraya dengan izin Wan Aisyah.
ZAMAN terharu dengan ketulusan hati isterinya, Wan Aisyah yang sanggup bermadu. Dia bersetuju demi keluarga dan demi rasa kemanusiaan terhadap seorang gadis yang menjadi mangsa keadaan. Suraya sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang. Sebagai seorang suami, dia membimbing Suraya ke arah kebaikan. ALHAMDULILLAH…Suraya pulih dengan izin ALLAH. Ternyata Suraya adalah seorang isteri yang sangat taat dan baik perilakunya. Hubungan Suraya dengan Wan Aisyah juga sangat baik. Zaman bersyukur ke hadrat ILAHI. Sesungguhnya ada hikmah di atas setiap apa yang berlaku.
NAMUN ALLAH lebih menyayangi Suraya. Wanita itu telah meninggal dunia ketika melahirkan Insyirah. Zaman redha dengan ketentuan takdir. Sejak itu Insyirah dijaga oleh Wan Aisyah bagai anak sendiri. Kasih sayang diberi tiada beza buat Aiman dan Insyirah. Mereka ditatang bagai minyak yang penuh.
Tan Sri Shahril pula pernah berusaha untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas cucunya itu. Namun Zaman sebagai bapa lebih berhak ke atas Insyirah dan telah menang kes itu. Biarpun kehidupan Zaman tidak dilimpahi harta kemewahan tetapi kaya dengan kasih sayang.
Lantaran tidak puas hati, Tan Sri Shahril telah menyebarkan fitnah bahawa arwah Datuk Herman mempunyai anak luar nikah dan Zaman sanggup memelihara anak itu demi menutup malu. Bertahun lamanya, mereka terpaksa berdepan dengan kata-kata nista masyarakat keliling.
Namun dengan izin ALLAH kebenaran akhirnya terserlah. Tan Sri Shahril kemudiannya ditangkap atas tuduhan menerima rasuah dalam banyak urusniaga yang dijalankannya. Beliau telah dijatuhi hukuman penjara. Namun kuasa ALLAH mengatasi segalanya. Ketika di penjara, beliau telah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.
Ibu Zaman, Datin Sharifah pula telah menjadi teraju HERMAN HOLDINGS setelah kematian Datuk Herman. Namun ALLAH lebih menyayanginya. Datin Sharifah telah pulang ke Rahmatullah akibat demam panas. Sejak itu, Zaman telah pergi jauh dari keluarga itu. Syarikat itu telah diserahkan kepada ahli Lembaga Pengarah yang mempunyai syer terbesar ketika itu. Zaman tidak betah berada di banglo mewah dan syarikat yang akan lebih mengingatkannya pada kedua ibu bapanya itu. Yang pasti akan mengundang kesedihan pada dirinya. Dia tinggalkan semua kemewahan dan membina kehidupan yang serba sederhana bersama isteri dan anak-anak.
No comments:
Post a Comment