INSYIRAH yang baharu keluar dari RHB Bank sedikit terkejut bila bahunya dilanggar oleh seseorang. Matanya memandang ke arah hadapan. Gadis muda berkaca mata hitam itu turut memandang ke arahnya.
“Oopss sorry!” Katanya sambil membuka kaca mata. Matanya tak berkelip memandang Insyirah sambil mengerut kening.
“Rasanya kita macam pernah jumpa. Tapi kat mana ya..” Gadis itu mula bersuara. Insyirah merenung tepat ke wajah itu.
Mindanya juga turut mencongak-congak siapa gerangan gadis itu. Akhirnya…oh, dia ke! Kenapalah aku boleh terserempak dengan dia kat sini? Betapa kecilnya dunia ni. Bisik hatinya.
“Haa…cik ni yang datang ke kedai buku kat Kuantan bersama Encik Irfan tempohari kan?” Ucapnya setelah pasti dengan pandangan matanya. Dia sangat pasti.
“Aa ar…ya saya. Cik….” Pura-pura tidak ingat nama gadis itu.
“Saya Dania…” Sambil menghulurkan tangan pada Insyirah.
“Insyirah…” Mereka bersalaman.
“Aa ar Cik Ira kan. Maaf pasal tadi ya. Tak sengaja terlanggar Cik Ira. Saya nak cepat tadi.” Ucapnya.
“Tak apa…” Balas Insyirah ringkas. Mereka bergerak sedikit ke arah hadapan supaya tidak menghalang laluan di kaki lima itu.
“Cik Dania buat apa kat sini ya? Takkan sanggup datang dari Kuantan jauh-jauh kalau tak ada urusan kat sini, kan?” Insyirah kembali bersuara. Dia sedikit hairan tatkala melihat kelibat gadis muda itu di situ.
“Oh..saya dari Kedai Buku Saujana. Hajat hati nak jumpa Encik Irfan tadi. Tapi dia pulak tak ada. Saya cuba telefon tapi tak berjawab.” Jelasnya dengan riak wajah kecewa. Insyirah sedikit terkejut. Cari Irfan?
“Hmm…Cik Ira tahu ke Encik Irfan pergi mana?” Soalnya sambil memandang Insyirah.
“Oh..Encik Irfan ada Seminar Keusahawanan kat Kuala Lumpur.” Teringat panggilan dari Irfan semalam yang memaklumkan tentang hal itu.
Dania merenung gadis bertudung hijau lembut di hadapannya itu. Siapakah dia ni? Sampaikan jadual Encik Irfan pun dia tahu. Pembantu Peribadi Encik Irfan ke? Kalau benar, kenapa aku sendiri tak tahu? Soal hatinya.
“Hmmm…boleh saya tahu siapa Cik Ira sebenarnya? Maksud saya…Cik Ira ni Pembantu Peribadi atau Setiausaha kepada Encik Irfan ke?” Insyirah tersenyum mendengar soalan Dania sebentar tadi.
“Kenapa pulak Cik Dania tanya macam tu?”
“Yelah…kali pertama saya jumpa Cik Ira, saya nampak Cik Ira menemani Encik Irfan. Lepas tu, hari ni Cik Ira tahu tentang jadual kerjanya. Macam setiausaha pulak… Atau Cik Ira ni….” Dania tidak menyambung katanya.
“Atau apa Cik Dania?” Ingin tahu apa yang bersarang di benak gadis itu tentang siapa dirinya.
“Atau Cik Ira ni kekasih Encik Irfan…?” Matanya tertancap pada wajah manis Insyirah.
“Awak rasa?..” Soal Insyirah kembali. Saja ingin menduga hati Dania. Bukannya dia tidak tahu perasaan gadis itu terhadap Irfan.
“Entah..saya pun tak tahu.” Jawabnya ringkas. Enggan meneka.
“Kalau macam tu saya sendiri pun tak tahu. Cik Dania tanyalah sendiri dengan Encik Irfan..ya.”
“Anyway, ada apa hal Cik Dania nak jumpa Encik Irfan kat sini? Kenapa tak call dulu nak datang? Datang jauh-jauh tapi tak dapat jumpa pulak. Buat penat aje..” Ujar Insyirah. Dia akui ada cemburu yang menyapa hatinya saat itu. Dia tertanya-tanya apa tujuan sebenar kedatangan gadis itu?
“Tak ada hal penting pun. Saja singgah kat sini sebab saya baru balik bercuti. Kebetulan dah melalui kawasan ni, tergerak hati nak tengok kedai buku milik Encik Irfan kat sini.”
Memang benar telahannya. Gadis ini memang sedang berusaha mendekati Irfan. Dan Insyirah sendiri ragu-ragu dengan alasan yang diberikan Dania tadi. Tidak mustahil gadis itu sanggup ke mari semata-mata menurut kata hatinya. Entah kenapa cemburu hatinya kian menebal.
“Cik Ira tahu tak bila Encik Irfan balik?”
“Maaf Cik Dania, saya tak tahu bila Encik Irfan balik.” Helahnya. Walaupun hakikatnya dia tahu.
“Oh..kalau macam tu tak apalah. Saya mintak diri dulu ya, Cik Ira. Kirim salam dekat Encik Irfan ya!”
“Insya-ALLAH…” Balas Insyirah.
Dania menyalami tangan Insyirah sambil berlalu.
Sempat lagi berkirim salam. Kenapa dengan aku ni? Cemburukah aku? Layakkah aku untuk rasa begitu? Bisik hati Insyirah.
“ASSALAMUALAIKUM…”
“Waalaikumussalam…” Jawab Insyirah. Kelihatan kelibat Irfan di balkoni banglo satu tingkat itu. Kacak berkemeja kuning lembut dan bertali leher.
“Awak dari mana ni?!” Soal Insyirah dengan kening berkerut. Sedikit terkejut dengan kemunculan lelaki itu di situ.
“Dari KL lah…” Jawabnya ringkas sambil turut melabuhkan punggung di kerusi di hadapan gadis itu. Wajahnya kelihatan penat.
“Haah…dari KL terus datang sini? Kenapa tak balik rumah terus?!” Soalan Insyirah dibalas dengan senyuman manis Irfan.
“Saja singgah…sebab nak jumpa awak dan bagi awak ni…” Sambil menghulurkan satu beg kertas kepada Insyirah.
“Apa pulak ni?!” Soal Insyirah sambil teragak-agak menyambut huluran beg kertas itu.
“Tengoklah sendiri..”
“Tudung? Banyaknya. Nak buat apa banyak sangat ni..” Insyirah membelek beberapa helai tudung yang terdapat dalam beg itu. Semuanya cantik.
“Untuk pakailah. Takkan untuk tengok aje…!” Usik Irfan.
“Yelah..tapi banyak sangat ni. Takkan semua ni untuk saya?”
“Yelah untuk awaklah. Takkan tudung ni untuk saya atau Along pulak..” Usik Irfan lagi.
“Yelah..tapi banyak sangatlah Irfan. Janganlah membazir.”
“Issh…mana ada membazir. Awak kan bertudung. Awak pakai ajelah bila-bila masa awak nak. Saya beli semua tu khas untuk awak.” Jelas Irfan sambil memandang Insyirah. Insyirah hanya mampu terdiam. Ada saja jawapan dari lelaki itu.
“Untuk Ira saja? Untuk Along tak ada ke?!” Soal Aiman yang tiba-tiba muncul di muka pintu. Irfan bangun dan menyalami tangan lelaki itu.
“Ada ni hah. Ni ada beberapa helai kain pelikat untuk Along.” Sambil menghulurkan satu beg kertas lagi pada Aiman.
“Laa..ada jugak ke? Along main-main jelah Irfan!” Jawab Aiman sambil menyengih.
“Memang saya ada beli untuk Along.”
“Terima kasih Irfan. Buat susah-susah aje.”
“Sama-sama Along. Tak ada susahnya pun.”
“Boleh saya tumpang solat Asar kat sini, Along? Takut nanti tak sempat pulak.” Pinta Irfan sambil memandang Aiman.
“Eh silakan. Irfan masuk aje bilik Along tu.”
“Kalau macam tu saya masuk solat sekejap ya.” Aiman mengangguk kecil. Irfan berlalu ke dalam.
“Ira, Irfan tu dari mana?” Tanya Aiman sebaik sahaja duduk di kerusi di hadapan adiknya itu.
“Dari Kuala Lumpur. Kan dia ada Seminar kat sana Along. Katanya saja singgah sini. Nak hantar ni.” Balas Insyirah sambil menunjukkan beg kertas di tangannya.
“Oh ya tak ya. Dia singgah tu sebab nak jumpa Ira sebenarnya. Alasan aje nak bagi semua ni…” Usik Aiman sambil menjeling adiknya.
“Apa Along ni? Pandai-pandai aje. Mana ada!” Balas Insyirah sambil menjuihkan mulutnya.
“Betullah tu. Memang Irfan tu rindukan Ira. Kalau tak takkan dia sanggup datang jauh-jauh macam ni. Orang kalau dah sayang, semuanya sanggup. Lautan api lagi direnangi. Inikan pulak setakat beratus kilometer jarak perjalanan.” Usik Aiman lagi. Insyirah hanya mendiamkan diri. Malas lagi hendak bertekak dengan abangnya itu.
“Abang masuk dulu ya. Nak buat panggilan telefon. Nanti layan si Irfan tu baik-baik ya!” Ujar Aiman sambil tersengih.
“Along…!!” Ucap Insyirah sambil mengetap bibir. Geram. Aiman ketawa kecil.
Insyirah ralit membelek tudung-tudung pemberian Irfan tadi. Memang cantik dan mengikut trend tudung masa kini. Insyirah tersenyum sendiri. Irfan.. Irfan.
SEKETIKA kemudian Irfan muncul di balkoni itu. Dia kembali mengambil duduk di hadapan Insyirah sambil melipat lengan kemejanya. Insyirah hanya memerhati.
“Irfan, masa kat KL tu Dania ada telefon awak tak?” Entah kenapa soalan itu yang terpacul dari bibirnya.
“Dania? Kenapa awak tanya?”
“Saya ada terserempak dengan dia kat Bandar hari tu. Dia kirim salam. Katanya dia singgah kat kedai buku awak tapi awak tak ada. Dia cakap dia ada call awak.”
“Oh ye ke? Haa…memang ada.”
“Kenapa awak tak jawab panggilan dia?”
“Malas nak jawab….” Selamba jawapan yang keluar dari mulut lelaki itu.
“Dia selalu telefon awak ke?” Irfan tersenyum mendengar soalan Insyirah. Matanya tertancap pada wajah putih mulus itu.
“Saya tanya ni. Kenapa pulak awak tersenyum-senyum?” Soal Insyirah lagi sambil mengerut kening.
“Tak adalah…saya pelik bila tiba-tiba awak tanya soalan tu. Kenapa? Awak cemburu ya?” Usikan Irfan membuatkan Insyirah menggelabah.
“Isshh…mana ada. Saya saja je tanya. Tak boleh ke?” Cuba berlagak biasa. Irfan semakin menyengih sambil merenungnya.
“Oh saja tanyalah ya? Untuk pengetahuan awak, memang Dania selalu telefon saya…” Ujar Irfan serius sambil terus memandang wajah manis itu.
“Oh..ye ke…” Mendatar suara Insyirah saat itu sambil memalingkan wajah ke arah lain. Irfan memandang dengan ekor matanya. Ingin terus menduga gadis itu.
“Boleh dikatakan setiap hari dia telefon saya.” Tambah Irfan lagi. Insyirah hanya mendiamkan diri.
Setiap hari? Macam pasangan kekasih. Dulu cakap Dania tu bukan kekasih dia. Dia ni saja nak main - mainkan perasaan aku lagi ke? Bentak hati Insyirah.
Irfan terus merenung Insyirah. Gadis itu terus diam. Memang sah kau cemburu Ira! Bisik hati Irfan.
“Tapi….” Sengaja Irfan tidak menyambung kata-katanya. Insyirah menjeling sekilas ke arahnya.
“Tapi saya tak pernah layan Ira…”
“Kenapa pulak? Mana tahu kalau ada hal penting yang dia nak sampaikan..” Tiba-tiba Insyirah kembali bersuara.
“Kalau si Dania tu tak ada hal penting pun yang nak di beritahu kat saya. Mengganggu aje kerjanya. Buang masa saya saja nak jawab…”
“Oh..jadi kena ada hal pentinglah baru boleh telefon awak ya?”
“Hmmm…lebih kurang macam tulah. Tapi kalau awak yang telefon anytime saya jawab..” Katanya sambil tersenyum.
“Kenapa pulak?” Soal Insyirah. Saja ngin tahu.
“Sebab awak adalah wanita paling istimewa dalam hati saya. Sama seperti dulu. Tak pernah berubah walau sedikit pun.” Tutur Irfan membuatkan Insyirah tergamam.
“Ira…awak pulak macamana? Awak masih tak boleh terima saya semula dalam hidup awak ke?Awak tak nak bagi peluang kedua untuk kita?” Insyirah merenung wajah tenang itu. Untuk beberapa ketika pandangan mata mereka bertemu.
Kejamkah dia jika berterusan berdiam diri? Enggan mengakui perasaan yang masih berbunga untuk lelaki itu. Sedangkan Irfan terang-terangan menunjukkan perasaan cinta itu tanpa sesaat pun berputus asa.
“Haah Irfan. Dah nak balik ke?!” Suara Along mematikan lamunannya. Insyirah megetap bibir.
Menahan getar di hati. Dia sendiri tidak sedar bila abangnya itu terpacul di muka pintu. Kelihatan Irfan sudah pun berdiri sambil menyalami tangan Along.
“Ya Along. Dah lewat ni.” Ucap Irfan sambil menjeling Insyirah. Tiada jawapan dari gadis itu untuk soalannya sebentar tadi. Apakah dia perlu menunggu lagi? Saat terbukanya kembali pintu hati gadis itu buat dirinya?
“Hati-hati memandu ya Irfan!” Pesan Along. Selalunya kata-kata itu diucapkan oleh Insyirah. Tapi tidak untuk saat itu. Irfan sedikit hampa.
“Insya-ALLAH Along. Saya balik dulu ya. Assalamualaikum….”
“Waalaikumussalam…”
Irfan menapak ke arah kereta. Insyirah masih membatu di kerusi kayu. Hanya memandang kelibat Irfan hilang dari pandangan matanya.
Aiman pula seakan mengerti. Enggan bersoaljawab dengan adiknya itu. Dia terus meninggalkan Insyirah bersendirian di situ.
No comments:
Post a Comment