PANDANGAN mata mereka saling bertaut. Lama. Terus menusuk ke kalbu. Mengungkapkan rasa cinta yang tidak pernah terpadam sejak sekian lama. Malah makin membugar. Subur bercambah di segenap ruang hati mereka.
“Ira….”
“Sudikah awak menjadi isteri saya?”
Soalan Irfan membuatkan Insyirah menggumam. Teringat pada mimpi yang mendatangi tidurnya beberapa hari lepas. Adakah saat itu telah tiba?
Hatinya kembali tersentuh dengan lafaz kata itu. Getarnya lebih hebat berbanding enam tahun lalu. Insyirah merasakan ketulusan lelaki itu setelah apa yang telah mereka lalui. Mata Irfan merenungnya lagi. Sekali lagi dia tewas dengan panahan mata itu. Dia menundukkan wajahnya.
“Ira….”
Perlahan Irfan mengangkat sedikit dagu gadis itu. Mata mereka berpandangan lagi. Insyirah nampak sinar mata Irfan yang penuh dengan rasa cinta yang tidak pernah padam buatnya.
“Saya sudi….” Tanpa sedar bibir Insyirah melafazkan kata itu. Jelas di cuping telinga Irfan.
“Betul ke Ira?!” Inginkan kepastian.
Wajah itu direnung kembali. Insyirah mengangguk perlahan. Senyuman Irfan kian melebar. Dia memanjat kesyukuran pada Tuhan. Mereka saling berbalas senyuman. Bahagia itu sememangnya milik mereka.
IRFAN menghulurkan Kad Undangan Perkahwinan kepada semua staf di situ. Dania memandang nama yang tertulis di dalam kad undangan itu dengan hati sebu. Auni Insyirah. Ternyata gadis manis bertudung itu telah termaktub sebagai pasangan hidup untuk menemani hari-hari seorang lelaki bernama Irfan Naufal.
“Tahniah Encik Irfan!” Ucap mereka.
“Terima kasih.”
“Patutlah kebelakangan ni saya tengok berseri-seri saja muka Encik Irfan. Rupa-rupanya nak bina masjid.” Usik Faizul sambil tersengih.
“Sajalah nak bagi surprise kat kamu semua..” Ucap Irfan sambil ketawa kecil.
“Kamu semua jangan tak datang pulak nanti…” Ujar Irfan lagi.
“Insya-ALLAH Encik Irfan kami akan datang. Takkan kami tak nak tengok Boss kami naik pelamin. Dah lama sangat dah tunggu nak makan nasi minyak Boss ni!” Usik Faizul.
“Aa ar betul tu Encik Irfan. Kami sanggup buat apa saja kalau Encik Irfan perlukan apa-apa bantuan. Encik Irfan cakap saja.” Kata Suzi, salah seorang pekerja wanita mewakili rakan-rakannya yang lain.
“Tak apalah Suzi. Terima kasih saja. Lagipun hidangan untuk kenduri nanti saya tempah catering saja. Lebih senang. Kamu semua datang memeriahkan majlis saja sudahlah.” Balas Irfan sambil tersenyum.
“Dania, kau nak pergi tak?!” Soal Suzi sambil memandang Dania yang diam sejak tadi. Pasti teman sekerjanya itu agak terkejut dengan perkhabaran itu. Maklumlah dalam hati ada taman kat Boss muda tu. Bisik hati Suzi.
“Pergi..Insya-ALLAH..” Balas Dania ringkas. Walaupun hakikatnya dia tidak akan betah untuk menghadirkan diri. Mampukah dia menahan rasa pada saat itu. Dia sendiri tidak pasti.
“Ok..saya kena pergi dulu ni. Jangan lupa datang ya. Assalamualaikum..” Ucap Irfan sambil melangkah keluar dari office itu.
“Waalaikumussalam..” Jawab mereka serentak.
Mereka kembali menyambung kerja. Dania melabuhkan punggung ke kerusi dengan perlahan sambil melepaskan keluhan kecil. Agak kecewa dengan berita yang baru saja di terimanya sebentar tadi. Dia pasrah dengan ketentuan takdir dan akan mendoakan kebahagiaan lelaki itu dunia dan akhirat.
INSYIRAH menitiskan air mata gembira di saat Irfan melafaz akad nikah dan menyarungkan cincin pernikahan ke jari manisnya sambil mengucup lembut dahinya. Kini Auni Insyirah sudah sah bergelar isteri kepada Irfan Naufal.
Dia duduk di kerusi meja solek sambil menyisir perlahan rambutnya. Irfan yang baru keluar dari tandas setelah usai membersihkan diri, terpegun melihat keayuan wajah isterinya itu. Pertama kali melihat Insyirah tanpa tudung. Cantiknya dia dengan rambut ikal mayang melepasi bahu. Bisik hatinya. Insyirah pula cuba bertenang meski debar hatinya kian kencang. Dia mula rasa cuak saat berdua-duaan dengan Irfan di dalam bilik itu. Suaminya sendiri.
“Sayang….” Dada Insyirah bergetar dengan panggilan itu.
Irfan menghampiri sambil memegang bahunya.
“Cantiknya isteri abang ni….Bertuah abang dapat isteri secantik Ira..” Ucapnya sambil tersenyum memandang Insyirah dari dalam cermin di hadapannya.
Irfan menarik tangan Insyirah ke balkoni bilik mereka. Dia menggenggam kedua tangan itu sambil merenung mata redup isterinya.
“Sayang…terima kasih sebab terima abang sebagai suami. Inilah bahagia yang abang harapkan sejak mula kita kenal dulu. Dapat hidup bersama orang yang abang cintai. Terima kasih sayang. Abang berjanji akan menjadi suami dan ayah yang baik pada bakal anak-anak kita nanti. Insya-ALLAH.” Irfan mengucup mesra tangan Insyirah.
“Abang..inilah takdir ALLAH. Ira pun sayangkan abang sangat-sangat. Ira harap rumahtangga kita akan berkekalan.” Ucap Insyirah sambil memeluk mesra tubuh sasa suaminya itu.
Irfan mengucup lembut dahi Insyirah lalu mengeratkan pelukan. Tidak ingin lagi berjauhan walau sesaat. Lama mereka berkeadaan begitu. Merasakan kehangatan cinta yang menyala sejak sekian lama.
SEJAK mendirikan rumahtangga, Insyirah hanya mengunjungi Yayasan An Nur pada setiap hujung minggu atau menghadiri urusan-urusan rasmi Yayasan tersebut. Masanya lebih banyak dihabiskan di rumah menjalani rutin sebagai surirumah. Sejak Mak Munah berhenti kerja dan pulang ke kampung, segala kerja di rumah itu dilakukan olehnya. Qaleesha pula sentiasa sibuk dengan dunia barunya sebagai Professional Assitant Producer di sebuah syarikat penerbitan terkemuka di Kuala Lumpur. Hanya sebulan sekali pulang menjengah mereka untuk melepaskan rindu.
Dia bersyukur adik iparnya itu telah berjaya mengejar citanya. Dia sebenarnya mengkagumi hasil-hasil kerja Qaleesha. Terkenang Insyirah pada insiden di hari perkahwinan Zuhairi dan Izzati dulu. Kenakalan Qaleesha mengusiknya dan Irfan untuk bergambar mencuit hatinya kembali. Hasilnya banyak gambar-gambar candid yang menarik berjaya dirakamkan oleh adik iparnya itu. Salah satunya telah menjadi hiasan di kamar beradu mereka. Pose dua pasang mata yang saling melirik antara satu sama lain. Penuh makna tersirat. Setiap kali memandang gambar itu pasti akan mengundang tawanya dan Irfan. Kenangan terindah mereka.
Zuhairi dan Izzati pula telah dikurniakan seorang anak perempuan yang kini telah berusia hampir setahun. Insyirah tumpang gembira dengan kebahagiaan yang kian melingkari hidup mereka. Dia dan Irfan pula hanya mampu berdoa supaya dikurniakan cahaya mata yang akan menjadi pengikat kasih sayang mereka. Itulah harapannya.
Selepas berkahwin, Along bersama isterinya, Liyana mendiami teratak peninggalan arwah bapa. Dia kembali mengusahakan kedai baik pulih kereta. Dengan bantuan inisiatif dan pembiayaan oleh Perbadanan Nasional Bhd (PUNB), Along telah mengembangkan perniagaan dan menjadi usahawan automotif berjaya. ALHAMDULILLAH.
LAMUNAN Insyirah terhenti bila terdengar enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Dengan pantas dia menghayunkan langkah ke arah pintu besar. Sebaik pintu dikuak terpacullah wajah Irfan di muka pintu dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
“Assalamualaikum..” Ucap Irfan.
“Waalaikumussalam..” Sambil menyalami dan mencium tangan suaminya. Irfan memimpin tangan isterinya itu ke sofa.
“Abang duduk sekejap ya. Ira ambikkan air.” Sambil bangun berlalu ke dapur. Irfan mengangguk kecil.
Beberapa ketika kemudian, Insyirah muncul bersama segelas Jus Oren lalu dihulurkan pada Irfan.
“Minum bang…”
“Terima kasih sayang…” Katanya sambil menyambut huluran gelas tersebut. Dia meneguk jus itu. Insyirah hanya memerhati.
“Sayang masak lauk apa hari ni?” Soalnya sambil memandang isterinya di sisi.
“Lauk kegemaran abanglah…” Ucap Insyirah sambil menyambut gelas kosong dari tangan Irfan.
“Sambal sotong ek?” Telahnya sambil mengangkat kening. Insyirah menganggukkan kepala sambil tersenyum.
“Wah…sedap tu…”
“Abang naik mandi dan solat dulu ya. Lepas tu kita makan sama-sama.” Ucap Irfan sambil berlalu ke bilik. Insyirah pula berlalu ke dapur menyiapkan meja untuk makan tengahari.
Setelah usai mandi dan bersolat, Irfan turun semula dengan siap berpakaian. Begitulah rutinnya setiap hari selepas berumahtangga. Dia akan pulang untuk makan tengahari di rumah. Insyirah menceduk nasi dan lauk ke pinggan suaminya. Dia turut sama menemani Irfan makan.
“Hmmm…sedapnya sambal sotong ni. Pandai sayang masak. Teringat pulak sambal sotong arwah mak abang. Bertuah abang dapat isteri pandai masak macam sayang ni.” Pujinya sambil tersenyum memandang Insyirah.
“Makan jelah abang. Tak payah nak puji-pujilah.”
“Abang puji ikhlas ni. Betul…” Sambil menyuap nasi. Berselera sungguh nampaknya dia.
“Yelah yelah. Terima kasihlah…”
“Sayang..lusa kita dah nak berangkat ke Langkawi. Ada apa-apa barang yang sayang nak beli ke?”
“Rasanya tak ada apalah abang. “
“Abang ingat nak cari beberapa helai T-Shirt lagilah untuk dipakai nanti.” Irfan meneguk air.
“Malam nanti kita ke Bandar sekejap ya.” Usul Irfan. Insyirah hanya bersetuju.
Irfan bangun menuju ke sinki setelah selesai makan. Diikuti oleh Insyirah. Setelah siap membasuh pinggan mangkuk, Insyirah ke ruang tamu. Irfan sedang bersiap untuk ke kedai semula.
“Abang pergi dulu ya..” Kata Irfan sambil bangun keluar. Sebaik berada di muka pintu. Insyirah mencium tangan suaminya. Irfan pula mengucup lembut dahi isterinya.
“Hati-hati memandu ya bang…” Pesan Insyirah. Insyirah melambai tangan sebaik saja kereta Irfan meninggalkan perkarangan rumah.
Begitulah rutin hariannya sejak bergelar surirumah. Dunia baru yang perlu ditempuhi. Dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik dan sangat penyayang.
PENERBANGAN Air Asia dari Kuala Lumpur selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tepat jam 3.30 petang. Pasangan pengantin baru itu kemudiannya menaiki teksi menuju ke Tanjung Sanctuary Langkawi Resort yang terletak kira-kira 7km dari situ. Lokasi bulan madu mereka.
Sebaik saja teksi memasuki kawasan hadapan hotel, pandangan mata Insyirah tidak lepas dari menyoroti latar pemandangan laut yang sangat cantik. Bibirnya mengukir senyuman manis. YA ALLAH, begitu indah alam ciptaanMu. Leka.
“Sayang…”
“Hmmmm….” Sambil berpaling ke arah suaminya.
“Jom kita check in dulu. Nanti sayang boleh tengok puas-puas.” Kata Irfan sambil tersenyum. Mereka beriringan menuju ke ruang lobi hotel tersebut.
“Sayang tunggu kat sini kejap ya.” Insyirah mengangguk. Dia melabuhkan punggung di sofa.
Beberapa ketika Irfan kembali bersama kunci bilik di tangannya. Mereka kemudiannya di bawa ke Villa penginapan.
Sebaik saja mereka masuk ke dalam Villa, mulut Insyirah sedikit terlopong melihat ruang bilik yang luas itu. Terdapat sebuah katil King Size berlatarkan hiasan dinding yang menarik. Turut dihiasi dengan ruang tamu dan ruang makan. Ibarat berada di rumah sendiri. Langkah kakinya menuju ke arah balkoni. YA ALLAH, cantiknya. Matanya menatap keindahan teluk yang begitu memukau. Sungguh damai. Bibirnya mengukir senyuman lagi.
Irfan dari tadi memerhatikan tingkah isterinya yang begitu leka menatap setiap inci ruang Villa itu sambil tersenyum. Dia merapati Insyirah yang khusyuk menikmati keindahan pantai Laut Andaman.
“Sayang suka?” Soalnya sambil memeluk mesra pinggang Insyirah.
“Ira suka sangat abang. Cantik sungguh pemandangan kat sini.” Ucapnya sambil memeluk tangan Irfan.
“Tapi..tempat ni mesti mahal kan? Kenapa tak cari tempat yang lebih murah? Buat membazir duit aje…” Soal Insyirah sambil menjeling suaminya.
Irfan memusingkan tubuh isterinya. Dia mengenggam erat tangan Insyirah.
“Tak mahal mana pun. Mana ada membazir. Lagipun ni kan honeymoon kita. Abang mahu jadikan ia kenangan terindah dalam hidup kita. Hanya kita berdua..” Ujar Irfan sambil mencuit hidung comel isterinya. Bibirnya tersenyum nakal.
Dia merangkul erat Insyirah dalam pelukannya. Sambil melayangkan ciuman di kedua belah pipi mulus isterinya itu. Rangkulan kemas Irfan membuatkan Insyirah lemas. Dia cuba menolak tubuh suaminya itu.
“Abang…apa ni? Lepaslah…!” Pintanya. Dia cuba meronta. Namun makin kemas rangkulan itu.
“Kalau abang tak nak lepas, apa sayang nak buat?!” Soal Irfan sambil mengangkat kening. Bagai menyindir. Tubuh kecil Insyirah takkan mampu untuk menolak tubuh sasanya itu. Bibirnya tersengih.
“Oh…tak nak lepas ya? Nah, ambik ni…!” Sambil melayangkan cubitan geram pada lengan Irfan.
“Adooiiii…..Sakitlah sayang..!” Jerit Irfan sambil menggosok lengannya yang pedih dan mula melonggarkan pelukannya. Macamana dia boleh terlupa dengan tabiat isterinya yang satu itu.
“Padan muka…!” Kata Insyirah sambil menjelirkan lidah.
Irfan menjeling tajam isterinya. Insyirah yang bagai mengerti mula mengundur perlahan-lahan dan akhirnya berlari bila Irfan mula mengejarnya. Nasib baik dia sempat meloloskan diri ke bilik mandi.
“Sayang…!”
“Sayang…bukak pintu ni..!” Jeritan Irfan dari luar tidak diendahkan Insyirah.
Matanya terpaku lagi melihat ruang bilik mandi itu. Sudut kanan sinki diserikan dengan hiasan bunga. Tab mandian pula dipenuhi dengan kuntuman bunga-bunga segar. Aduhai…romantisnya. Dalam hati dia mengakui sangat sukakan lokasi bulan madu pilihan suaminya itu. Tak sangka romantik jugak suami aku ni ya. Bisik hatinya sambil tersenyum.
“Sayang…!”
“Sayang buat apa lama-lama kat dalam tu?!” Kedengaran ketukan dan suara Irfan dari luar.
“Ira nak mandilah bang!”
“Cepat sikit. Abang pulak nak mandi ni. Jangan tidur pulak!”
“Yelah yelah..abang tunggu ajelah..!” Laungnya dari dalam.
Selang 20 minit membersihkan diri Insyirah keluar dari bilik mandi. Dia menuju ke bilik persalinan pakaian. Tubuh Irfan masih terbaring di katil setelah beberapa ketika Insyirah usai menyalin pakaian.
“Abang…bangunlah mandi…” Sambil memandang ke arah suaminya itu. Masih tidak bergerak.
Insyirah yang telah berwuduk terpaksa menepuk sedikit kaki Irfan dengan menggunakan bantal. Irfan yang terjaga mula menggeliat sambil menguap kecil. Dia memandang Insyirah yang telah siap berpakaian.
“Sayang buat apa lama sangat duduk kat dalam tu? Sampai tertidur abang dibuatnya. Bertapa ke? Ke duk tanam pokok bunga?” Usiknya lagi. Insyirah menjeling tajam ke arahnya. Irfan tersengih.
“Cepatlah abang. Dah masuk waktu Asar ni. Ira tunggu abang solat sama-sama.” Irfan akur lalu bingkas bangun menuju ke bilik mandi.
Lima belas minit kemudian Irfan keluar dan menukar pakaian. Dia menyertai Insyirah yang telah siap bertelekung. Mereka menunaikan solat Asar bersama-sama.
No comments:
Post a Comment