JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Wednesday, August 3, 2011

BAB 24 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



TIDAK menyangka teman baiknya itu akan mendahuluinya. Zuhairi telah menemui teman hidup untuk menemaninya hingga ke akhir hayat. Entah kenapa hatinya kuat menyatakan gadis itu adalah Insyirah. Semakin mengerti dengan kebisuan Insyirah saat dia meluahkan kembali rasa cintanya dulu. Namun dia keliru. Sama ada untuk rasa gembira atau bersedih menerima berita itu.


“Tahniah Hairi….!”

“Terima kasih Irfan. Tapi makin tiba harinya, rasa makin banyak benda yang nak kena buat lagi ni. Terkejar-kejar di buatnya…” Balasnya sambil tersenyum. Berseri-seri mukanya. Seri bakal pengantin.

“Biasalah tu. Perasaan berdebar kau tu yang menyebabkan kau rasa macam tu. Semuanya baik-baik saja. Insya-ALLAH…” Ujar Irfan.

“Anyway…siapa bakal isteri kau tu?” Sambungnya lagi. Sengaja bertanya. Meskipun dia rasakan sudah tahu jawapannya.

“Nanti kau akan tahu jugak. Apa yang boleh aku cakap…kau kenal sangat bakal isteri aku tu..” Ucap Zuhairi. Irfan semakin pasti dengan telahannya.

“Dan kau akan jadi pengapit aku..tidak boleh tidak..ok..!”

Haah! Pengapit? Mana mungkin dia menolak niat Zuhairi. Bermakna dia akan menyaksikan saat-saat teman baiknya sendiri menikahi gadis yang dia cintai. Akan turut sama meraikan hari bahagianya. Sedangkan itulah hari paling menyedihkan dalam hidupnya. YA ALLAH..besarnya dugaan yang Kau berikan pada hambaMu ini. Mampukah aku untuk berhadapan dengan situasi ini? Mampukah aku? Itulah yang kian bermain di benaknya kini.


“ABANG Irfan…boleh tak temankan Zati pergi cuba baju pengantin?” Pinta Izzati sebaik saja wajah Irfan terpacul di situ.

“Kenapa Zati tak ajak bakal suami Zati? Nanti kalau dia cemburu macamana? Siapa nak jawab tu? Saja-saja nanti abang kena pelangkung!” Ujar Irfan. Bimbang ada yang tersalah faham nanti.

“Tak ada cemburunya. Dia tak dapat datang. Ada hal. Boleh tak abang?!” Soalnya lagi.

“Bila?”

“Petang ni. Boleh?”

“Oklah…boleh. Tapi lambat sikit sebab abang ada kerja nak siapkan kat kedai petang ni.” Jelas Irfan sambil memandang Izzati.

“Ok..tak apa, Zati tunggu.” Bersyukur di atas kesanggupan Irfan.

Hari perkahwinannya akan berlangsung kira-kira seminggu lagi. Memandangkan dirinya anak tunggal, maka banyak perkara yang terpaksa diuruskan sendiri olehnya dan Mamanya, Puan Khadijah. Namun, dia berharap segalanya akan berjalan lancar.


PETANG itu…..di Butik Seri Pengantin….

Izzati keluar dengan persalinan baju pengantin berwarna cream tersarung di tubuhnya. Irfan terpegun memandang adik sepupunya itu. Cantik. Hanya senyuman terukir di bibirnya.

“Macamana abang? Ok tak?!” Soal Izzati sambil memandang abang sepupunya itu.

“Ok sangat-sangat. Bertuahlah bakal suami Zati tu. Dapat isteri cantik jelita macam Zati ni!” Usiknya.

“Zati lagi bertuah dapat jadi isteri dia abang. Zati tahu Zati takkan dapat jumpa lagi lelaki sebaik dia.”

“Amboi puji melambung nampak!”

“Mestilah. Kalau Zati tak puji bakal suami sendiri, nak puji siapa lagi..kan?” Kata-kata Izzati disambut oleh ketawa kecil Irfan.

Siapalah yang bertuah memiliki Izzati? Dia sendiri belum tahu. Hanya akan diketahui pada hari pernikahan. Surprise katanya. Nampaknya Mak Ngah dan Qaleesha sendiri pun akan berahsia dengannya hingga tiba harinya. Macam-macamlah adik sepupu aku yang sorang ni. Belum pernah dibuat orang. Detik hatinya.


“IRA…siapa nama bakal isteri Hairi?” Soal Aiman sambil membantu Insyirah menyiapkan barang hantaran.

“Entahlah Along. Bila Ira tanya, dia cakap rahsia. Konon-kononnya nak buat surprise. Macam-macam…” Ujar Insyirah sambil tersengih.

“Jangan ada yang pengsan dengan surprise dia tu…sudahlah…!” Kata-kata Aiman disambut ketawa kecil Insyirah.

“Ira pulak macamana?” Tanya Aiman tiba-tiba.

“Macamana apa Along?” Ujar Insyirah sambil mengerut kening. Sedikit kebingungan dengan maksud pertanyaan itu.

“Yelah…Ira dengan Irfan macamana?!”

“Macam biasalah Along…tak ada apa-apa..”

“Isshh…ye ke tak ada apa-apa? Along tengok korang berdua macam masih ada cinta…!” Usik Aiman pula.

“Issh tak adalah Along…lagipun dia mungkin dah ada pengganti…” Mendatar suara Insyirah. Ada nada sayu berlagu.

“Pengganti? Mungkin? Maksudnya tak pasti lagilah ya?!” Makin galak Aiman menelah. Mata Insyirah tertancap pada wajah abangnya itu.

“Along…Ira tak nak cakaplah pasal ni… Kita cakap pasal lain ya..?” Ucap Insyirah perlahan.

Aiman menatap wajah adiknya. Tidak ceria. Sekelip mata riak wajah itu berubah. Dia sendiri tidak mengerti.


IZZATI melabuhkan punggung di sisi Insyirah di kerusi batu. Sebelum dia memasuki fasa baru dalam hidupnya, dia amat mengharapkan sesuatu dari Insyirah. Sesuatu yang dinantikan sekian lama.

“Ira…awak masih tak boleh maafkan saya ke?” Tiada kata-kata dari bibir Insyirah. Diam seribu bahasa.

“Ira…kalau awak nak laporkan pada pihak polis sekalipun, saya sanggup terima. Asalkan saya dapat menebus semua kesalahan saya dulu!” Pandangan matanya berlabuh ke arah Insyirah.

Insyirah memandang ke hadapan. Seketika kemudian dia menoleh ke arah Izzati.

“Maafkan saya Zati sebab tidak menerima kata maaf awak dulu. Masa tu perasaan saya berkecamuk. Saya keliru.” Ucapnya.

“Saya pernah terfikir kenapa awak sanggup lakukan perbuatan tu? Bila mengenangkan semua tu, hati saya jadi sakit sangat. Saya bencikan awak.”

“Tapi kemudiannya saya sedar, saya juga bersalah di atas apa yang berlaku. Cinta telah membuatkan kita hilang pertimbangan. Ego untuk mempertahankan cinta. Akhirnya, ada yang merana.”

“Jadi, saya rasa tidak wajar untuk terus-terusan berdendam. Lebih baik saya menjalani hidup dengan tenang daripada memikirkan kisah-kisah silam.” Ucap Insyirah sambil memandang wajah Izzati.

“Ira. Saya tak pernah salahkan awak. Awak berhak untuk rasa marah atau membenci saya setelah apa yang telah saya buat pada awak dulu. Saya cuma nak awak tahu yang saya benar-benar telah insaf dan benar-benar nak mintak maaf dengan awak…!” Tulus kata-kata itu di pendengaran Insyirah.

“Saya maafkan awak Zati…saya maafkan awak dan saya takkan laporkan pada pihak polis. Biarlah semua tu menjadi suatu pengajaran buat kita.” Tuturnya sambil mengenggam tangan gadis itu. Senyuman turut terukir di bibir mungil itu. Terngiang-ngiang kata-kata Along di cuping telinganya. ..Sedangkan Nabi ampunkan umat, inikan pula kita manusia…..

“Terima kasih Ira. Terima kasih…!” Ucapnya sambil memeluk tubuh kecil Insyirah.

Air jernih mula membasahi pipinya. Hari yang sungguh bermakna baginya. Insyirah membalas pelukan itu. Akhirnya terhurailah segala rasa yang mencengkam di hati mereka sejak bertahun lama.

Sebelum melangkah pergi, Izzati menghulurkan sekeping kad kepada Insyirah. Kad Undangan Perkahwinan. Tangan Insyirah rasa gementar saat menyambut huluran kad itu. Dia cuba bertenang tapi degupan jantungnya serasa kencang.

Dia akui ketika di Pulau Perhentian, dia amat cemburu melihat kemesraan Izzati bersama Irfan. Hatinya membara saat itu. Marah dengan sikap Irfan yang tega memainkan perasaannya. Kemudian, setelah berfikir semasak-masaknya dia pasrah dengan takdir ALLAH. Memang tiada jodoh antaranya dengan Irfan. Dia perlu menerima hakikat Irfan telah bersama orang lain. Dan orang itu adalah Izzati. Walaupun perit tetap akan ditelan jua.

Izzati seakan mengerti resah yang terbungkam di hati Insyirah.

“Bukalah kad tu dulu…” Pintanya.

Insyirah memandang kad itu dan membukanya dengan hati sebu.

…..Dengan segala hormat dan sukacitanya kami menjemput… ke majlis perkahwinan….Izzati Binti Abdul Rahman dengan Zuhairi Bin Azman Rani…….

Spontan matanya membulat melihat nama tertera di kad itu. YA ALLAH..apakah rasa yang perlu diluahkan olehnya saat itu? Gembira? Ketawa? Ataupun menangis? Semuanya seakan menjadi satu. Dia menggumam. Izzati rupanya bakal isteri Zuhairi. Ternyata dia silap menelah.

“Hairi?” Terpacul nama itu di bibir Insyirah. Matanya tertancap pada wajah gadis itu.

“Ya, Hairi. Awak ingat siapa?” Soalan Izzati membuatkan Insyirah malu sendiri. Dia menundukkan wajah.

Izzati tersenyum melihat tingkah Insyirah. Benar telahannya selama ini. Insyirah pastinya beranggapan dia telah menjalin cinta dengan Irfan. Mana mungkin. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Itulah hakikatnya sejak dulu.

“Inilah jodoh namanya Ira. Siapalah yang tahu ketentuan ALLAH. Saya bersyukur ditemukan dengan Hairi. Dia menerima kekurangan saya seadanya. Dialah lelaki terbaik untuk bersama saya hingga ke akhir hayat.” Ujar Izzati dengan penuh makna.

“Dan saya juga yakin cinta antara awak dan abang Irfan sangat kuat. Janganlah tutup pintu hati awak. Terimalah abang Irfan semula Ira. Semai semula cinta yang pernah hadir dalam hati awak untuk dia.”

Kata-kata akhir Izzati membuatkan Insyirah terdiam. Bukankah ini yang dia harap-harapkan selama ini?


DUA hari sebelum berlangsungnya pernikahan Zuhairi, Irfan merancang pertemuan dengan Insyirah. Dirasakan perlu baginya meleraikan semua yang terbuku sebelum Insyirah sah bergelar isteri orang.

“Saya harap semua persiapan perkahwinan berjalan lancar…” Ucap Irfan sambil merenung Insyirah sekilas.

“Ya….ALHAMDULILLAH..semuanya ok…” Balasnya tanpa memahami maksud sebenar yang tersirat.

Setelah terjawab segala salah faham, Insyirah akur untuk mengakui perasaan sendiri. Dia ingin berterus-terang akan perasaan yang masih memekar untuk Irfan. Dia akan memberi peluang kedua kepada lelaki itu dan diri sendiri.

“Ira….selamat pengantin baru….” Kata Irfan perlahan tapi jelas di cuping telinga Insyirah.

“Haaa…?” Insyirah terpinga. Cuba mengerti maksud kata-kata Irfan.

“Awak tak akan jumpa lagi lelaki sebaik Hairi…..” Hairi? Kenapa nama itu yang disebut? Keningnya berkerut.

“Irfan….saya…”

“Awak dengar dulu cakap saya Ira….” Irfan memintas ulas kata dari bibir Insyirah.

“Saya memang ingin menyambung kembali kasih kita yang terputus dulu. Tapi setelah semua ini berlaku, saya redha dengan ketentuan takdir. Saya tahu awak telah menemui cinta baru bersama Hairi. Ira…awak lupakan saja sejarah silam kita dan mulakan hidup baru… jadilah isteri yang taat. Saya doakan awak bahagia…”


YA ALLAH…. Insyirah faham kini. Ternyata Irfan silap menelah keadaan.

Dia benar-benar kecewa. Jika benar sekalipun telahan Irfan itu, Insyirah tetap kecewa. Begitu lemah lelaki itu dalam mempertahankan cintanya. Saat itu juga air matanya mengalir.

“Ira…..Awak hargailah dia yang banyak berkorban untuk awak selama ini….cintailah dia dengan sepenuh hati awak.” Ada getar pada suara itu. Kolam matanya berair.

Tidak mampu lagi untuk berkata-kata. Telahnya, air mata yang mengalir di pipi Insyirah bagai menjawab segalanya. Air mata gembira menanti saat diijabkabulkan. Ternyata cinta gadis itu telah berkubur untuknya. Dia tidak berdaya menafi realiti. Realitinya gadis itu telah menemui kebahagiaan yang dicari. Bahagia itu bersama Zuhairi. Bukan dirinya.

Tiada lagi kata yang mampu diucapkan oleh Insyirah. Irfan bagaikan sudah memberikan noktah pada harapan cinta yang kembali hadir di hatinya. Berbagai rasa bergumpal menjadi satu. Rasa sakit kian menggigit ulu hatinya kini.


QALEESHA merenung ke arah abangnya yang sedang duduk di kerusi di halaman rumah. Mengelamun jauh nampaknya. Dia menapak ke luar sambil membimbit bakul berisi bunga telur.

“Abang…”

Tidak ada tindakbalas dari abangnya itu.

“Abang…!” Ujar Qaleesha sambil menepuk bahu Irfan.

“Haaah!!” Tersentak lelaki itu.

“Kenapa dengan abang ni? Duk fikir pasal apa ni?” Sambil melabuhkan duduknya di sebelah Irfan.

“Esha ni suka sangat buat abang terkejut. Lama-lama boleh sakit jantung abang dibuatnya tau!” Bentak Irfan.

“Salah abang jugak. Bukan main jauh mengelamun Esha tengok. Teringatkan buah hati ke?!” Usiknya. Irfan menjeling adiknya.

“Buah hati mana pulak ni? Esha ni suka sangat serkap jarang.”

“Habis tu, Esha tengok abang diam aje. Abang ada masalah ke?”

“Tak ada apa-apalah dik. Abang ok. Cuma pikir hal kerja aje.” Dalih Irfan. Cuba menyembunyikan hal sebenar yang sedang membelenggu fikirannya saat itu.

“Betul ke bang? Entah-entah abang teringatkan Kak Ira tak?!”

“Apa Esha cakap ni? Mana ada?!”

“Kalau betul pun, apa salahnya bang.”

“Memang salah pun…”

“Haah! Apa maksud abang ni? Esha tak faham…”

“Dahlah dik. Abang penat. Abang masuk mandi dululah..” Ujar Irfan sambil bangun berlalu ke dalam rumah.

Qaleesha memandang langkahan kaki Irfan dengan dahi berkerut. Tidak mengerti akan maksud kata-kata itu sebentar tadi. Apa sebenarnya yang bermain di benak abangnya itu?




No comments:

Related Posts with Thumbnails