Oleh WAHIDA OTHMAN
Foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Penampilan sebelum ini dengan rambut panjang.
KEGEMBIRAAN Mohd. Idris Mohd Zaizizi atau Riz meraikan kelahiran album sulungnya pada 13 Oktober tahun lalu ternyata tidak berlarutan begitu lama.
Ternyata, selepas beberapa bulan album tersebut berada di pasaran, tiada sambutan menggalakkan.
Lebih malang lagi, tujuh buah lagu yang terkandung di dalam album itu, dipandang sepi oleh beberapa buah stesen radio, lantas membuatkan pemiliknya berkecil hati.
Melihat nasib yang kurang baik, naib juara Akademi Fantasia musim keenam itu mengakui amat tertekan.
“Saya letih, tertekan dan tak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan untuk album ini.
“Ada kalanya,bila duduk berehat di rumah, saya dengar semula lagu-lagu dalam album ini, mencari apa sebenarnya kesilapan sehingga sukar diterima baik.
“Ramai rakan yang meyakinkan saya, bahawa lagu-lagu dalam album itu berkualiti dan sedap didengar.
“Tapi mereka sendiri tidak tahu mengapa jarang benar radio memutar lagu-lagu saya.
“Memang sedih bila ada yang bertanya tentang album. Bayangkan, untuk menghasilkan album ini, saya terpaksa bertungkus-lumus mencari wang sendiri, kerana kos pembikinan bukannya murah.
“Saya sanggup berlapar kerana mahu mengumpulkan wang, tapi bila fikirkan kesudahannya begini, saya jadi lemah.
“Saya akui serik dengan kegagalan album ini, tapi saya masih berharap ia akan diterima juga suatu hari nanti,” luah Riz yang mempertaruhkan lagu ‘Bermula Semula’ dalam album sulungnya itu.
Kurang promosi
Ditanya adakah kegagalan dari segi promosi, Riz memberitahu HAI, selepas pelancaran album, dia menggajikan seorang agen bagi melunaskan hal promosi dan pemasaran.
“Ada kenalan beritahu, saya perlu hantar sendiri lagu-lagu saya ini ke stesen radio, dan saya sudah lakukannya, tapi keadaan masih jua begini.
“Saya tiada jawapan kenapa mereka tidak mahu memutarkan lagu-lagu saya. Mungkin kerana terlalu ramai penyanyi yang muncul sekarang ini, jadi lagu-lagu dalam album ini perlu menunggu giliran untuk dimainkan di radio,” jelas Riz yang sedang memikirkan strategi baru untuk tujuan promosi albumnya.
Wajah Riz nampak lebih segar dengan imej rambut pendek.
Ubah imej
Kekal dengan imej berambut panjang selepas selesai AF6 dua tahun lepas, Riz kini mahu tampil dengan imej yang lebih kemas.
Mengambil keputusan mengubah imej kepada rambut pendek, Riz turut mengambil berat soal berat badan.
“Sudah dua tahun saya berambut panjang. Sekarang sudah sampai masanya saya berubah dari segi penampilan. Saya mahu kelihatan lebih segar dan berkeyakinan.
“Sebenarnya, saya memang suka berambut panjang. Tapi malangnya bila sudah terlalu panjang, saya mula mengalami sakit-sakit kepala.
“Rambut juga semakin hari semakin sukar diuruskan, jadi saya ambil keputusan memotong pendek.
“Tentang berat badan, tak dinafikan saya sudah hilang lebih sepuluh kilogram dalam masa dua bulan.
“Sebelum ini berat badan ialah 83 kilogram, tetapi sekarang sudah tinggal 71 kilogram.
“Saya mahu badan yang ringan, sebab senang untuk menyanyi sambil menari lagu rancak,” terang Riz.
So, jangan lupa dapatkan di pasaran sekarang!