(Petikan
dari Harian Metro Online)
WAJAH tampan serta nyanyian merdunya pernah
menjadi pujaan tidak lama dulu sehingga dia dinobatkan tempat kedua program
realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6). Namun, entah di mana
silapnya, karier nyanyian Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz Zaizizi semakin
tenggelam dan kemunculannya di kaca televisyen jarang kelihatan.
Agak terkebelakang berbanding rakan
seperjuangan daripada AF6 terutama Stacy dan Nubhan yang nyata mendahuluinya,
anak kelahiran Gerik, Perak ini dalam diam sebenarnya sibuk merencanakan
kerjaya nyanyiannya. Jika ada yang mengandaikan Riz sudah berputus asa, apatah
lagi dengan situasi industri nyanyian di Malaysia pada ketika ini, jawapannya
tidak.
Minat yang terlalu mendalam terhadap muzik
menjadi prinsipnya dan oleh sebab itu, dia sentiasa berpegang kepada pepatah
kejayaan tidak datang bergolek.
Biarpun mendapat laluan seni yang cukup besar impaknya selepas menyertai AF6,
namun tiada istilah dengan ‘petik jari’ saja, terus berjaya.
Bertemu jejaka berusia 25 tahun itu dalam
satu sesi fotografi, baru-baru ini, Riz yang sinonim dengan rambut panjang dan
kerinting nampaknya sudah bertukar imej. Kini berambut pendek, penampilannya
kelihatan lebih rapi dan matang sesuai dengan umurnya.
Tatkala diajukan soalan kenapa mengambil
keputusan untuk memotong rambut, jawapannya ringkas iaitu inginkan imej yang
lebih kemas dan ringkas.
Tidak sabar berbicara mengenai buah tangan terbarunya, Riz berkata, single
pertaruhannya, Aku Yang Terbaik adalah lagu yang cukup membawa makna terhadap
pembabitannya dalam seni muzik.
“Jika sebelum ini saya kurang terbabit sepenuhnya dalam penghasilan lagu
menerusi album pertama dulu, sebaliknya untuk single ini, saya benar-benar ‘all
out’ dan bekerja keras demi kepuasan sendiri. Sekian lama ternanti-nanti karya
manakah mampu menambat hati saya untuk dijadikan single, akhirnya saya bertemu
lagu yang cukup indah melodinya ini.
“Hasil ciptaan seorang komposer muda di Indonesia, Atra Petrana, agak lama juga
untuk saya memutuskan sama ada menerima atau menolak lagu ini kerana ia bukan
ciptaan karyawan tempatan. Maklumlah dengan sentimen yang tercetus dalam
industri sekarang iaitu jangan mengagungkan karya terutama dari Indonesia,
pastinya akan memberi kesan kelak.
“Namun, tidak wajar untuk saya menidakkan kemahuan diri sendiri yang inginkan
kepuasan dengan menyanyikan lagu seindah itu. Oleh itu, saya ketepikan isu
mengenai sentimen itu dan berkata ‘ya’ untuk mengambil lagu itu.
“Biarlah apapun tanggapan yang
dilontarkan selepas ini, namun bagi saya, penghujungnya kekuatan sebuah lagu
itu akan kembali pada melodinya. Saya tidak mahu hipokrit dan terus terang
sekarang ini, saya amat memilih dalam hal membabitkan material ini,” ujar
penyanyi ini yang pernah popular dengan lagu Ku Pinjam Satu Bintang duet
bersama Alyah.
Dirakamkan pada Disember tahun lalu, Riz menyifatkan keputusan untuk
bekerjasama dengan produksi di negara seberang menghasilkan single itu sesuatu
yang bijak. Walaupun individu yang terbabit kebanyakannya masih muda, namun
mereka tidak bekerja sambil lewa dan sangat terperinci dalam segala hal.
Malah, mereka sangat terbuka dalam menerima pendapat daripada saya dan tidak
ikut kepala sendiri. Itu satu hal yang membuatkan Riz berasa sangat selesa
sepanjang proses itu. Baginya, memang begitulah cara terbaik yang seharusnya
berlaku iaitu masing-masing bebas menyuarakan dan bertukar idea.
Bakal kembali ke gelanggang seni semula, ditanya ke mana dia menghilang selama
ini, Riz cuma tergelak dan berkata, dia masih aktif menyanyi.
“Sebenarnya, selain sibuk dengan penghasilan single ini, saya masih lagi
memenuhi undangan persembahan, cuma kebanyakannya untuk acara korporat dan
majlis perkahwinan. Sejak bergerak sendiri ini, saya perlu berdikari dan kena
sentiasa mencari tawaran persembahan selain mendapat jemputan.
“Syukurlah, masih ramai peminat yang sentiasa menyokong Riz dan kelab peminat
saya juga masih aktif sehingga kini. Kadangkala saya akan keluar sekali sekala
berjumpa mereka dan menjalankan aktiviti bersama. Cuma waktu menyiapkan rakaman
single baru ini tempoh hari, saya begitu sibuk dan masa terluang terhad.
“Selain itu, saya masih lagi menghadiri kelas Cikgu Siti Hajar (AF) untuk
memastikan vokal saya sentiasa mantap. Masih banyak yang perlu diperbaiki dan saya
tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang saya ada sekarang ini,” katanya.
Riz yang sudahpun menghantar lagunya itu ke beberapa stesen radio dan hanya
menanti masa untuk diputarkan, dia menaruh harapan tinggi singlenya itu akan
disukai pendengar. Ini kerana, sebelum mengedarkannya, dia juga ada
memperdengarkan lagu berkenaan kepada beberapa penggiat muzik dan mereka
memberikan reaksi yang sangat positif.
Dicalonkan dalam senarai ‘hot seat’ rancangan Mania yang bakal disiarkan
bermula Sabtu ini, Riz tidak menaruh harapan tinggi memandangkan calon lain
sudah mendahului dari segi undian.
Baginya, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana pilihan itu terletak pada
kekuatan peminat seseorang artis itu dan mungkin bukan rezekinya mendapat
kedudukan dalam rancangan itu kelak.
TRIVIA:
· Lagu paling digemari sekarang...Cry Me A
River (Michael Buble)
· Alah kepada...habuk dan makanan laut.
· Kalau tidak jadi penyanyi...pegawai
kerajaan.
· Pelakon Hollywood yang teringin
hendak‘dating’..Jessica Alba.
· Hadiah paling istimewa dalam
hidup...sokongan dan doa peminat.
· Tabiat pelik...cungkil gigi berjam-jam.
· Kalau diberikan sebuah kuasa, kuasa
apa?...terbang.
· Rancangan TV kesukaan...Wipeout