Teks & Foto oleh Haswari Ali
KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2009: Kehadiran kelab peminat Riz ketika pelancaran album sulung naib juara Akademi Fantasia 6 (AF6) itu di Hard Rock Cafe Kuala KL, baru-baru ini telah menimbulkan gosip.
Mana tidaknya, ini kerana ramai peminat Riz atau nama penuhnya, Mohammed Idris Mohd Zaizizi, pada hari itu tergolong dari kalangan Mak Datin, Datuk malah kerabat diraja yang sememangnya nampak sangat teruja dengan Riz.
Terdetik persoalan, adakah album Bermula Semula yang telah mendapat sentuhan komposer popular Ajai dari Wake The Baby serta edaran oleh Warner Music (M) Sdn Bhd itu mendapat tajaan dana daripada peminat VIPnya itu? Malah apabila Riz kini memandu sebuah BMW, ia juga digosipkan sebagai kereta tajaan seseorang.
"Saya dah agak perkara ini akan digosipkan. Terus terang kesemua mereka hanyalah peminat setia saya yang sangat saya hormati. Malah sokong saya malah turut membeli album saya seperti mana peminat lain. Itulah perkara yang sangat mengharukan saya. Kedatangan mereka membakar lagi semangat saya dan itulah 'tajaan' yang tidak ternilai.
"Sebenarnya semua peminat VIP ini telah menyokong saya sejak dari dalam AF lagi," jelas Riz bersungguh-sungguh.
Album Bermula Semula menyenaraikan 8 lagu yang mendapat sentuhan Ajai sebagai produser serta pembabitan beberapa nama popular dalam penulisan lirik seperti Slen, Abie Abdullah, Rosli Manah dan Ajai sendiri.
Berpuas hati dengan kemunculan album itu, Riz menjelaskan Bermula Semula adalah hasil daripada duit simpanannya sendiri yang langsung tidak mengharapkan simpati atau 'pembiayaan terlindung'.
Katanya, daripada 8 lagu, hanya 3 lagu daripada album itu, Hanya Sandiwara, Ku Pinjam Satu Bintang dan Kau Wanita telah disokong oleh Astro Entertaiment Sdn Bhd (AESB) sebagai syarikat showbiz yang bertanggungjawab memperkenalkan namanya ke persada seni hiburan.
Riz berkata, kerana kos penerbitan album itu yang agak mahal, dia terpaksa menangguh seketika penerbitan album itu sehingga simpanan kewangannya benar-benar mencukupi untuk melahirkan sebuah album penuh seperti hari ini.
"Sepatutnya album ini sudah dilancarkan beberapa bulan lalu tapi memandangkan ketika itu duit masih belum cukup, kenalah saya tungggu lagi. Banyak perkara perlu saya selesaikan seperti membayar rumah, kereta dan belanja harian.
"Kalau hendak tahu, ada satu masa, saya terduduk termangu bila memikirkan soal duit dan penerbitan album ini. Pernah juga saya mengikat perut dengan hanya makan mi segera saja, semata-mata nak kumpul duit untuk buat album ini. Alhamdulillah berkat usaha dan kesabaran semuanya telah tercapai," ujarnya.
Ibu dan ayah Riz sudah kembali bersatu
Sedar ini adalah masa terbaik untuk melahirkan album, Riz bersyukur kerana berpeluang menujukan salah satu lagu daripada album itu kepada kedua ibu bapanya yang telah bersatu kembali selepas beberapa bulan tidak tinggal sebumbung.
Menurut Riz, lirik yang tertulis pada lagu Bermula Semula cukup memang simbolik bagi menceritakan kegembiraannya sebagai anak yang dapat melihat ibu bapanya kembali bersama.
"Sebenarnya ketika saya menyertai AF dulu, saya mengalami masalah keluarga. Mak dan ayah saya mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama. Awalnya konsert AF minggu pertama, ayah saya tidak datang melihat saya.
"Tapi masuk minggu ke-3, saya dapat lihat ayah datang ke konsert meskipun tidak duduk dekat ibu saya ketika itu. Dari minggu ke minggu saya lihat mereka semakin rapat yang akhirnya memutuskan untuk bersama kembali,” katanya dalam nada terharu dan gembira.
Selain single popularnya Hanya Sandiwara dan lagu duet bersama Alyah, Ku Pinjam Satu Bintang yang kerap berkumandang di corong-corong radio, Riz turut mempertaruhkan lagu seperti Khilaf, Harus Ku Yang Pergi dan Cinta Ini.
Lagu-lagu ini juga boleh dimuat turun untuk dijadikan nada dering bagi telefon bimbit anda. Sementara itu, difahamkan, lagu Riz dan Alyah iaitu Ku Pinjam Satu Bintang layak menyertai semi-final Muzik Muzik dan pengumuman rasmi akan dibuat oleh TV3 minggu depan.
Tahniah Riz!
No comments:
Post a Comment