JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Sunday, March 21, 2010

STACY MULA 'BIKIN' HAL



Oleh SY MUSSADDAD MAHDI@Pancaindera
Foto NORBAINI MASRI


BELUM lagi jadi artis senior, dah mula buat hal. Kalau dah menang anugerah besar lain juga cerita. Ini tidak, perangai 'diva' semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Benarkah Stacy semakin besar kepala? Dan benarkah juga dakwaan yang mengatakan penyanyi yang popular dengan lagu Pakai Buang ini menghadapi masalah disiplin yang teruk sejak akhir-akhir ini?

Baru-baru ini dia dihentam kerana terlewat satu jam setengah dalam sebuah konsert di utara tanah air. Mentang-mentanglah sudah dikenali ramai dan mempunyai ramai peminat, berani mati Stacy bikin panas.

Gara-gara terlewat datang ke tapak konsert, semua jadual persembahan terpaksa diubah bagi memberi laluan kepada kelewatan diva baru nak naik ini.

Inilah yang membezakan antara artis baru dan artis lama. Sikap yang berlainan ditunjukkan oleh artis senior yang awal-awal lagi dah terpacak di tapak konsert. Jadi salah siapa?

Malah ketika sesi fotografi dengan Pancaindera baru-baru ini, penyanyi genit ini turut lewat satu jam setengah sehingga memaksa jadual fotografi berubah. Alasannya tak tahu jalan. Apa boleh buat, Stacy lupa jalan ke Studio Utusan sebab tak selalu datang sini.

"Abang, minta maaf banyak-banyak. Stacy tersesat jalan sebab pengurus tak ikut sama. Itu yang buat Stacy sampai lewat," luah Stacy sebaik sahaja tiba di Studio Utusan.

Tak apalah Stacy. Menunggu artis memang sudah menjadi sebahagian tugas wartawan walaupun ada kalanya mereka datang lewat sampai dua tiga jam.

Pancaindera faham, ramai artis Malaysia yang sibuk yang teramat sangat dengan tawaran yang tak putus-putus. Orang tengah laku, mestilah kena kerja kuat.

Nafi masalah disiplin

Benarkah Stacy sudah besar kepala? Itu persoalan utama yang bermain di fikiran tatkala melihat perangainya yang kerap datang lewat sejak kebelakangan ini.

Sambil menafikan perkara tersebut, Stacy memohon maaf kepada banyak pihak yang sudah terasa hati atas kelewatan dan sikap buruk yang ditunjukkannya selama ini.


"Stacy tak besar kepala apatah lagi nak berlagak dengan semua orang. Stacy akui semua itu silap Stacy dan sebagai manusia biasa Stacy kesal dengan semua yang terjadi.

"Macam kes ketika konsert tersebut. Memang Stacy akui terlewat dari jadual asal gara-gara menunggu pengurus Stacy yang dalam masa yang sama menguruskan artis Astro yang lain.

"Stacy hanya tunggu di lobi hotel dan bila dia datang kami sudah terlewat. Bila pergi ke tapak konsert jalan pula sesak. Memang tak boleh nak buat apa lagi.

"Ini memang silap Stacy sebab tak bertolak awal dan mengharapkan pada pengurus semata-mata. Stacy sangat kesal dengan apa yang telah terjadi dan ia benar-benar membuatkan Stacy sedih.

"Insiden itu juga memberi pengajaran kepada Stacy untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan. Lagipun Stacy orang baru dalam industri, masih banyak yang perlu dipelajari,"
luah Stacy dalam nada kesal.

Tak kisah hilang populariti

Semakin lama menjadi anak seni, semakin banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka dalam mencorakkan karier yang dibina. Ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang tersungkur tanpa nesan.

Kelahiran artis-artis pertandingan realiti benar-benar membuatkan industri seni negara meriah dengan kehadiran mereka.

Ada yang benar-benar berbekas di hati peminat dan tak kurang pula yang hanya singgah seketika. Semuanya mahu menjual bakat yang ada dalam diri sambil mencari populariti demi masa depan.

Stacy yang juga artis kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim keenam bertuah kerana kehadirannya ke dalam industri seni tempatan benar-benar memberikan impak kepada peminat.

Ramai yang memuji kehebatan Stacy dalam membawakan lagu-lagu rancak dan tarian yang begitu mantap. Dan tidak hairanlah lagu Pakai Buang nyanyiannya turut bertanding dalam Anugerah Juara Lagu ke 24 baru-baru ini.

Walaupun tidak berjaya menggondol apa-apa setidak-tidaknya Stacy berjaya membuat persembahan yang hebat pada malan tersebut.

Kedatangan musim baru AF musim kelapan sedikit sebanyak memberikan impak kepada artis-artis realiti yang lain memandangkan semuanya tertumpu kepada bakat-bakat baru ini.

Bagi Stacy dia tidak merasa tergugat dengan kehadiran bakal bintang baru memandangkan semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.
"Stacy sedar AF8 sudah bermula. Orang selalu cakap bila ada pertandingan realiti baru, pasti Stacy akan dilupakan peminat. Tapi Stacy bersyukur sangat peminat masih lagi menyokong kerjaya seni Stacy sejak mula menceburi bidang ini.

"Stacy tak pernah lupa diri sedikitpun. Stacy masih tahu apa yang yang harus dilakukan tetapi dalam masa yang sama bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Mungkin hari ini orang suka kita tapi esok atau lusa belum tentu lagi. Semua orang berhak menentukan siapa yang mereka suka. Itu hak mereka dan Stacy tak boleh halang.

"Apa yang Stacy boleh katakan hanyalah memberikan yang terbaik kepada peminat. Stacy tak boleh buat silap lagi selepas ini dan segala peristiwa yang berlaku benar-benar memberikan kesan kepada Stacy.

"Apa yang paling penting adalah menjaga apa yang sudah ada. Stacy kena maintain apa yang dah Stacy bina supaya ia tidak menjejaskan karier seni,"
kata Stacy tanpa berselindung.

Tak bercinta dengan Syamsul

Sejak kebelakangan ini hangat cerita kononnya Stacy mempunyai hubungan istimewa dengan Syamsul Yusuf. Malah ada yang mendakwa melihat kereta Syamsul berada di rumah Stacy beberapa bulan yang lalu.

Sebelum digosipkan dengan Syamsul, Stacy juga pernah dikatakan bercinta dengan Nubhan dan Akim, tetapi masing-masing menafikan yang mereka menjalinkan hubungan istimewa.

Kata orang tak ada angin masakan pokok bergoyang. Walaupun Stacy pernah mengeluarkan kenyataan yang dia tidak menjalinkan apa-apa hubungan dengan anak kepada pengarah tersohor Datuk Yusuf Haslam itu, ramai yang percaya mereka ada hubungan.

"Stacy tak bercinta dengan Syamsul seperti mana yang digembar-gemburkan orang. Kalau betul Stacy bercinta pasti Stacy akan beritahu semua orang.

"Stacy dan Syamsul hanya berkawan semata-mata dan tak lebih daripada itu. Salahkah Stacy berkawan dengannya?

"Hubungan kami atas dasar profesional. Memang benar dia ada datang jumpa Stacy pada waktu itu. Tapi semua itu atas dasar kerja kerana ada projek yang dia nak Stacy terlibat tapi akhirnya tak jadi,"
jelasnya yang kini sibuk merakamkan single terbaru sentuhan komposer Edry KRU.

Anak kelima dari enam beradik ini juga melahirkan kekesalan mengapa segelintir pihak kerap kali membuat cerita yang tak berasas tentang dirinya sedangkan apa yang disampaikan itu tidak benar.

Namun sebagai figura baru dalam industri seni tanah air, Stacy mengambil sikap tidak peduli terhadap cerita-cerita negatif termasuklah kononnya dia bercinta dengan orang itu dan orang ini.

"Stacy tak kisah sangat sebenarnya. Apa yang penting Stacy membina hubungan yang baik dan ikhlas dengan semua orang. Biarlah apa yang orang lain nak katakan, Stacy tak peduli," kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini lagi.

Apabila ditanyakan soalan, sejauh mana hubungannya dengan Syamsul selepas pelbagai gosip dipaparkan, jawab Stacy mereka sudah jarang berjumpa sejak kebelakangan ini.

Bagi Stacy kesibukan tugas masing-masing membuatkan mereka jarang berjumpa dan hanya sesekali sahaja berhubung melalui telefon.

"Stacy suka berkawan dengan mereka yang satu kepala. Mungkin sebab itu Stacy rapat dengan Syamsul sebab dia juga satu kepala dengan Stacy.

"Stacy masih muda dan perjalanan karier Stacy sebenarnya masih baru. Lebih baik tumpukan kepada karier barulah nak fikirkan soal cinta.

"Stacy tak mencari dan tak masih belum bersedia untuk bercinta. Kalau sudah jumpa yang sesuai Stacy akan beri tahu semua,"
katanya.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Stacy boleh layar laman sosial www.facebook.com/stacyangie atau layari stacyfrenz.blogspot.com.


No comments:

Related Posts with Thumbnails