Oleh Amirul Haswendy Ashari
SATU ketika dulu, perasaan suram pernah menyelubungi dirinya. Sehingga anak kelahiran Perak ini mula terfikir untuk terus belayar atau lupakan saja minat yang dipilihnya. Masakan tidak, hampir semua usaha untuk memenuhi impian sejak kecil kabur dan tidak menjadi.
Kelibat wajahnya pernah dilihat bersama sebuah kumpulan vokal dalam program realiti nyanyian Gangstarz, namun gagal membuahkan hasil. Kemudian diteruskan pula mencuba nasib secara solo di dalam program Malaysia Idol, juga kecundang.
Namun tanpa erti lelah, penyertaan dalam Akademi Fantasia musim keenam tiga tahun lalu berjaya membuktikan semangat Muhammed Idris Mohd Zazizi atau Riz untuk bertapak ke dalam industri muzik tanah air.
Bagaimanapun, kelahiran album berjudul Bermula Semula sekitar 2009 kurang sambutan. Cerahnya cuma seketika tatkala lagu duet bersama Alyah berjudul Ku Pinjam Satu Bintang pernah mendapat sambutan baik. Kemudian kesuraman itu bermula semula.
“Saya banyak berfikir mengenai punca saya tidak dapat pergi jauh sebelum ini. Antaranya, kualiti produk yang dihasilkan. Apabila didengar semula, saya dapati ada beberapa kekurangan yang boleh diperbetulkan. Ada lagu yang OK dan ada yang sekadar tangkap muat.
“Lagipun saya masih baru dan perlu mengenal pasti setiap kesalahan dan kelemahan supaya tidak berlaku di masa depan. Saya akui melakukan kesilapan tatkala dicalonkan untuk Vokal Terbaik di AIM (Anugerah Industri Muzik) lalu.
"Biarpun tidak menang, saya rugi kerana tidak menggunakan kelebihan pencalonan itu untuk mempromosi diri melalui lagu yang dipertandingkan,” katanya.
Di situ, dia hampir berputus asa untuk meneruskan cita-cita namun terhenti seketika tatkala sokongan daripada peminat terus membakar semangat juangnya. Dia sedar peminat ialah aset utama seseorang artis dan merekalah yang membentuk dirinya untuk kekal berdiri di sini.
Sebelum ini dia akui pernah menjadi insan yang terlalu yakin pada bakat dimiliki tetapi tatkala memulakan pelayaran di pentas hiburan, baru dia sedari tahap keyakinan tinggi semata-mata belum cukup padu tanpa sokongan peminat.
Mengibaratkan diri sebagai peminta sedekah yang terpaksa terus menagih simpati, Riz bersyukur dikurniakan peminat yang tidak pernah putus memberi sokongan sejak dulu.
“Beberapa tahun kebelakangan ini saya banyak belajar perkara berkaitan industri hiburan dan kehidupan khususnya. Pertama berkaitan produk, daripada segi pemilihan bahan dan menyiapkan produk. Dulu saya terlalu gopoh untuk siapkan produk lalu mengakibatkan banyak perkara penting tertinggal.
“Keduanya, berkaitan PR (perhubungan awam) antara media dan peminat. Ketika di AF dulu, tidak semua penonton meminati kita. Tapi jika memiliki PR yang bagus, sampai bila pun peminat akan terus sokong kita,” katanya sambil mendedahkan dia pernah kehilangan peminat susulan peralihan yang berlaku dan kurang interaksi antara artis dan peminat.
Ketiganya ialah aturan strategi pemasaran album dan pemilihan lagu yang betul. Katanya, album sebelum ini dirancang dengan sebaik-baiknya. Namun entah di mana silapnya, segala-galanya gagal. Disebabkan itu, dia perlu memiliki perancangan tambahan yang mampu menyokong jika gagal kali pertama mahupun kedua.
Ditanya mengenai strateginya, Riz kini sibuk mengumpul bahan untuk terus mencanang nama mengetuk beduk di dalam industri. Selain mencari kelainan daripada negara seberang, Riz turut berusaha mendapatkan sentuhan komposer tempatan. Pun begitu, semuanya bergantung kepada nasib dan usaha keras yang berterusan.
Menjadikan Jamal Abdillah, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Anuar Zain sebagai idola, Riz yakin dengan bakat yang dimiliki pasti rezeki akan berpihak kepadanya satu hari nanti.
Dalam rancak berbual, SELEBRITI sempat bertanya mengenai pengalaman berada di Kuching tatkala mengikuti rombongan media, artis dan peminat mereka ke negeri Bumi Kenyalang bersama Penerbangan Firefly, baru-baru ini.
Tanpa selindung, pada mulanya dia skeptikal apabila diminta ke sana, apatah lagi terpaksa menginap di rumah panjang Kampung Budaya, Santubong.
Selain bimbang kerana terpaksa berkongsi bilik tidur beramai-ramai, dia risau dengan tahap kebersihan apabila menetap bersama. Untuk tahu lebih lanjut mengenai tempat itu, dia melayari Internet untuk mendapatkan maklumat lokasi.
“Malah saya juga bimbang kerana masih tidak mengenali teman media yang mengikuti rombongan itu.
“Namun selepas mengikuti pelbagai aktiviti bersama wartawan, peminat dan masyarakat setempat di sana, saya mula seronok dan terfikir tidak mahu pulang,” katanya ceria dan berterima kasih kepada peminat yang hadir ke mini ‘showcase’ yang diadakan selama dua malam di Kuching.
No comments:
Post a Comment