JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Monday, August 2, 2010

AJAI TAK KISAH KERJA DENGAN 'ORANG BARU'


Foto Azlandaniel
Artikel Gua.com.my


Bakat serta kredibiliti Ajai sebagai seorang penerbit serta komposer lagu sememangnya diakui ramai. Pernah merangkul pelbagai anugerah dalam bidang penciptaan lagu, Ajai boleh dikatakan sebagai antara komposer muda paling laris di Malaysia.

Pernah bekerjasama dengan penyanyi terkemuka seperti Dato' Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti, Ajai juga merupakan orang yang bertanggungjawab mengangkat nama-nama seperti Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Siti Sarah dengan lagu-lagu 'berhantu' ciptaannya.

Namun sejak kebelakangan ini, bekas suami kepada penyanyi cantik Nurul itu kelihatan aktif menerbitkan album serta menghasilkan lagu untuk penyanyi muda yang belum terbukti kebolehannya.

"Sebenarnya saya senang bekerjasama dengan artis-artis baru yang masih 'fresh' jika dibandingkan dengan penyanyi yang telah lama berkecimpung dalam dunia seni.

"Ini kerana penyanyi baru biasanya masih belum ada konsep dan itu memberi peluang kepada saya untuk menentukan apa yang terbaik buat mereka. Manakala penyanyi-penyanyi yang sedia ada mempunyai konsep sendiri dan saya perlukan masa untuk mengubah diri mereka.

"Saya juga tidak kisah untuk bekerja dengan orang-orang baru. Sebabnya semasa saya bekerja dengan Noryn Aziz, Rem, Misha, Dayang dan Siti Sarah dahulu, tiada siapa yang mengenali mereka kerana mereka juga orang baru.

"Tetapi kini dengan lagu-lagu yang hebat serta komitmen mereka dalam bidang seni, mereka semakin dikenali dalam industri kita,"
ujar Ajai yang juga pemilik syarikat rakaman, Wake The Baby.


Pilih Yang Berbakat Sahaja

Ditanya bukankah satu risiko untuknya menghasilkan album buat artis-artis baru jika dibandingkan dengan artis-artis ternama sedia ada, Ajai sebagai komposer tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

Katanya dia hanya bekerja dengan penyanyi-penyanyi baru yang mempunyai bakat dan bukan semua penyanyi baru akan mendapat tempat di matanya.

"Sebelum bersetuju untuk menghasilkan lagu atau bekerjasama dengan seseorang penyanyi baru, saya akan lihat daripada aspek kualiti vokal mereka. Saya suka bekerja dengan penyanyi yang memiliki 'tone' suara atau vokal yang belum saya dengar sebelum ini.

"Ini kerana ia memberi peluang untuk saya mengkaji dan melihat konsep lagu yang bersesuaian dengan mereka. Apapun sebagai komposer saya hanya dapat membantu penyanyi baru dari aspek menghasilkan lagu serta mencorakkan vokal mereka.

"Kejayaan mereka dalam bidang seni bergantung pada usaha mereka sendiri. Apatah lagi lagu itu sendiri seperti fesyen dan sebagai penyanyi mereka perlu pandai memilih agar ianya bersesuaian dengan mereka.

"Jangan sesekali mengalah jika percubaan pertama tidak berjaya. Ini kerana ada juga penyanyi yang memang sudah profesional pun terpaksa mengubah konsep album serta genre lagu semata-mata untuk mencari yang paling sesuai dengan mereka,"
katanya.

Tambahnya, sebagai komposer juga dia perlu berani menghasilkan lagu-lagu yang pelbagai agar dapat memberikan variasi di dalam dunia seni tempatan. Katanya jika semua komposer menghasilkan lagu-lagu yang sama, sudah pasti para peminat tidak dapat membuat pilihan yang terbaik.

"Saya hasilkan semua jenis lagu walaupun saya sedar ada sesetengah genre lagu yang kurang dimainkan di radio kita. Namun sebagai komposer itu adalah tanggungjawab saya walaupun lagu yang saya hasilkan kurang popular di radio. Namun saya yakin, setiap jenis lagu ada pengikutnya dan jika lagu tersebut benar-benar bagus, ia sudah pasti akan diterima," ujar bapa kepada dua orang cahayamata itu serius.


No comments:

Related Posts with Thumbnails