JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Showing posts with label ARTIKEL. Show all posts
Showing posts with label ARTIKEL. Show all posts

Sunday, March 25, 2012

KISAH CINTA DUA DARA

Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN
imran@hmetro.com.my


SEPANJANG tempoh singkat bergelar penyanyi, kualiti daripada sudut aksi mahupun vokal dipersembahkan Siti Adira Suhaimi atau Adira, 21, dan Stracie Angie Anam (Stacy), 22, tidak pernah me­ngecewakan. Kebetulan kedua-duanya berasal dari negeri sama iaitu Sabah.
Bakat Adira dan Stacy juga dicungkil daripada rancangan realiti TV popular Akademi Fantasia, menyebabkan peminat ber­anggapan anak muda kelahiran negeri di bawah bayu memiliki keistimewaan. Jika digilap, mereka mampu menjadi penghibur disegani satu hari nanti.
Begitupun, perjalanan kerjaya seni dilalui mereka penuh ranjau dan duri. Ia tidak mudah seperti dibayangkan, apatah lagi segala tindak tanduk menjadi perhatian.

Tersilap langkah, ia akan menjurus mereka ke kancah kontroversi yang boleh mengakibat­kan kerjaya seni musnah dalam sekelip mata.



Dalam usia yang boleh dianggap mentah, kedua-dua penyanyi muda ini sudah berdepan situasi dinyatakan. Malah, bukan setakat kisah cinta menjadi perhatian, tetapi lebih daripada itu, hinggakan sampai satu tahap ia mengaibkan dan maruah tercalar.

Sebaik keluar dari Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) dan muncul dengan single Ku Ada Kamu, Adira menjadi pujaan ramai, namun populariti diraih punya harganya apabila satu persatu hal peribadi didedahkan.

Orientasi seksnya dipersoal­kan, kisah putus cinta dengan juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26), Hafiz diperkatakan hingga kini dan terbaru fotonya mendakap manja seekor anjing menjadi bahan cercaan.

Bagaimana gadis kelahiran Ranau, Sabah ini berdepan segala tekanan apabila satu-persatu cerita buruk dikaitkan dengannya?

Bagi anak muda sebayanya, mungkin apa yang berlaku boleh membuatkan mereka separuh gila atau berputus asa, seterusnya meninggalkan segala usaha dibina sebelum ini.

Bagaimanapun, Adira mengang­gap segala kritikan berikutan kontroversi membabitkan dirinya sebagai teguran membina untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.

“Perkara berlaku di luar sedar dan tidak dirancang, apabila ia menjadi kontroversi, saya tidak dapat mengelak. Bagaimanapun, saya akan pastikan keluarga dan peminat tahu kedudukan sebenar. Jika apa yang berlaku berpunca daripada kesilapan yang saya lakukan, saya mohon maaf.

“Selagi keluarga dan peminat memahami, saya akan berasa lega kerana mereka menjadi tulang belakang kerjaya seni saya. Apa yang berlaku juga saya anggap sebagai proses pembelajaran untuk menjadi insan lebih baik,” katanya tanpa mahu mengulas panjang apa berlaku sebelum ini.

Kesan daripada kontroversi yang timbul mungkin dirasai Adira apabila menyertai ranca­ngan realiti terbaru terbitan Astro, Mania dan disiarkan di Astro Ria setiap Sabtu, jam 9 malam.

Dalam pertandingan yang menyediakan wang tunai RM500,000 ini, pemenangnya ditentukan menerusi undian penonton sepenuhnya. Pengaruh kontroversi mungkin memberi kesan kepadanya sepanjang menyertai rancangan itu.

“Saya tidak percaya perkara itu akan berlaku kepada saya kerana penonton semakin bijak. Mereka mengundi peserta yang menyertai Mania daripada bakat. Apatah lagi ia membariskan penyanyi terkenal yang memiliki kelebihan masing-masing.

“Kalau sekali pun saya terkeluar daripada persaingan selepas ini, saya yakin ia disebabkan ada bakat lebih baik berbanding saya dan ia bukan kerana pengaruh kontroversi. Mengenai undi pula, saya anggap ia terpulang kepada rezeki masing-masing,” katanya.

Stacy pula yang beberapa kali dikaitkan dengan masalah disiplin dan kisah cintanya bersama seorang lagi bintang AF, Akim menganggap kontroversi dan gosip lumrah bagi anak seni. Yang penting, mereka harus tahu tujuan sebenar menyertai dunia seni dan jangan sesekali biarkan ia menggugat tumpuan.

“Bagi saya mudah, jika kontroversi itu timbul disebabkan kesilapan sendiri, saya memohon maaf. Bagaimanapun, kalau berkisar mengenai cinta atau menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki, itu saya anggap sebagai usikan,” katanya.

Stacy turut menjelaskan, sepanjang bergelar penyanyi, dia memastikan sentiasa fokus dengan apa dilakukan, terutama membabitkan impiannya menjadi penghibur dihormati.

“Sepanjang dalam bidang ini, saya bersyukur kerana impian mengubah nasib keluarga dapat dilaksanakan. Rumah di Kota Kinabalu sudah dibina. Bagaimanapun, banyak lagi yang ingin saya lakukan, terutama membabitkan kerjaya,” katanya.

Gadis ini yang kini popular dengan lagu Kisah Dongeng turut menjelaskan, satu sebab dia me­nyertai rancangan Mania kerana mahu menonjolkan lagi kemampuan diri di samping menimba ilmu daripada komposer besar yang turut menjadi pengarah muzik seperti M Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito.

“Impian saya besar dalam dunia seni suara. Saya mahu mencipta nama dan meninggalkan impak seperti mana dilakukan penghibur terkenal sebelum ini, antaranya Anita Sarawak, Allahyarham Datuk Sudirman dan Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.

Pertarungan bekas kekasih

MENARIKNYA rancangan Mania, selain menemukan dua bintang kelahiran Sabah ini, ia turut menampilkan bekas kekasih mereka iaitu Hafiz (sebelum ini bercinta dengan Adira) dan Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad (hangat dikatakan bercinta dengan Stacy).

Pastinya peminat mahupun mereka yang mengikuti drama kisah cinta dua remaja popular ini mahu melihat bagaimana Adira dan Stacy berdepan bekas kekasih masing-masing.

Bercerita mengenai perkara ini, Adira menjelaskan, dia tidak pernah berdepan masalah untuk bekerja dengan Hafiz biarpun mereka bukan lagi kekasih.

“Selepas putus, kami masih bekerjasama, apatah lagi kami mempunyai lagu duet iaitu Ombak Rindu. Kami putus secara baik dan masih berkawan, tetapi tidaklah serapat dulu. Biasanya kalau berjumpa pun hanya berkaitan soal kerja.

“Kalau orang tanya apa perasaan saya terhadap Hafiz, saya masih sayang, tetapi tidak lebih daripada kawan,” katanya.

Stacy pula tidak pernah meng­anggap pembabitannya dalam rancangan Mania bersama Akim akan menyebabkan hubungan baik terjalin sebelum ini menjadi renggang.

“Lagipun, kami mengambil kelas vokal bersama-sama sebagai persiapan untuk berdepan cabaran program ini. Bagi saya, soal bermusuh semata-mata untuk bersaing tidak pernah timbul. Kami mengamalkan persaingan sihat.

“Malah, kami selalu juga bercerita apa yang ingin dilakukan atau tampilkan dalam rancangan ini tetapi tidaklah semua dikongsi. Maklumlah, baik macam mana pun kami tetap bertanding sesama sendiri, jadi segala strategi biarlah jadi rahsia,” katanya.
Tambah Stacy, pembabitan penyanyi ternama seperti Jaclyn Victor, Alyah, Shila Amzah, Kumpulan Estranged dan Kristal dalam Mania memberikannya peluang untuk menimba ilmu daripada mereka.

Sebagai peserta, dia tidak terlalu memikirkan soal per­saingan tetapi waktu sama tidak menafikan mahukan kemena­ngan kerana hadiah ditawarkan sangat lumayan dan ia boleh digunakan bagi memperbaiki kehidupan keluarga serta mempertingkatkan kerjaya seninya.





Thursday, March 15, 2012

RIZ TAK MUDAH MENYERAH KALAH



Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

(Petikan dari Harian Metro Online)


WAJAH tampan serta nyanyian merdunya pernah menjadi pujaan tidak lama dulu sehingga dia dinobatkan tempat kedua program realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6). Namun, entah di mana silapnya, karier nyanyian Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz Zaizizi semakin tenggelam dan kemunculannya di kaca televisyen jarang kelihatan.
Agak terkebelakang berbanding rakan seperjuangan daripada AF6 terutama Stacy dan Nubhan yang nyata mendahuluinya, anak kelahiran Gerik, Perak ini dalam diam sebenarnya sibuk merencanakan kerjaya nyanyiannya. Jika ada yang mengandaikan Riz sudah berputus asa, apatah lagi dengan situasi industri nyanyian di Malaysia pada ketika ini, jawapannya tidak.
Minat yang terlalu mendalam terhadap muzik menjadi prinsipnya dan oleh sebab itu, dia sentiasa berpegang kepada pepatah kejayaan tidak datang bergolek.

Biarpun mendapat laluan seni yang cukup besar impaknya selepas menyertai AF6, namun tiada istilah dengan ‘petik jari’ saja, terus berjaya.
Bertemu jejaka berusia 25 tahun itu dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini, Riz yang sinonim dengan rambut panjang dan kerinting nampaknya sudah bertukar imej. Kini berambut pendek, penampilannya kelihatan lebih rapi dan matang sesuai dengan umurnya.


Tatkala diajukan soalan kenapa mengambil keputusan untuk memotong rambut, jawapannya ringkas iaitu inginkan imej yang lebih kemas dan ringkas.

Tidak sabar berbicara mengenai buah tangan terbarunya, Riz berkata, single pertaruhannya, Aku Yang Terbaik adalah lagu yang cukup membawa makna terhadap pembabitannya dalam seni muzik.

“Jika sebelum ini saya kurang terbabit sepenuhnya dalam penghasilan lagu menerusi album pertama dulu, sebaliknya untuk single ini, saya benar-benar ‘all out’ dan bekerja keras demi kepuasan sendiri. Sekian lama ternanti-nanti karya manakah mampu menambat hati saya untuk dijadikan single, akhirnya saya bertemu lagu yang cukup indah melodinya ini.

“Hasil ciptaan seorang komposer muda di Indonesia, Atra Petrana, agak lama juga untuk saya memutuskan sama ada menerima atau menolak lagu ini kerana ia bukan ciptaan karyawan tempatan. Maklumlah dengan sentimen yang tercetus dalam industri sekarang iaitu jangan mengagungkan karya terutama dari Indonesia, pastinya akan memberi kesan kelak.

“Namun, tidak wajar untuk saya menidakkan kemahuan diri sendiri yang inginkan kepuasan dengan menyanyikan lagu seindah itu. Oleh itu, saya ketepikan isu mengenai sentimen itu dan berkata ‘ya’ untuk mengambil lagu itu.
“Biarlah apapun tanggapan yang dilontarkan selepas ini, namun bagi saya, penghujungnya kekuatan sebuah lagu itu akan kembali pada melodinya. Saya tidak mahu hipokrit dan terus terang sekarang ini, saya amat memilih dalam hal membabitkan material ini,” ujar penyanyi ini yang pernah popular dengan lagu Ku Pinjam Satu Bintang duet bersama Alyah.

Dirakamkan pada Disember tahun lalu, Riz menyifatkan keputusan untuk bekerjasama dengan produksi di negara seberang menghasilkan single itu sesuatu yang bijak. Walaupun individu yang terbabit kebanyakannya masih muda, namun mereka tidak bekerja sambil lewa dan sangat terperinci dalam segala hal.

Malah, mereka sangat terbuka dalam menerima pendapat daripada saya dan tidak ikut kepala sendiri. Itu satu hal yang membuatkan Riz berasa sangat selesa sepanjang proses itu. Baginya, memang begitulah cara terbaik yang seharusnya berlaku iaitu masing-masing bebas menyuarakan dan bertukar idea.

Bakal kembali ke gelanggang seni semula, ditanya ke mana dia menghilang selama ini, Riz cuma tergelak dan berkata, dia masih aktif menyanyi.

“Sebenarnya, selain sibuk dengan penghasilan single ini, saya masih lagi memenuhi undangan persembahan, cuma kebanyakannya untuk acara korporat dan majlis perkahwinan. Sejak bergerak sendiri ini, saya perlu berdikari dan kena sentiasa mencari tawaran persembahan selain mendapat jemputan.

“Syukurlah, masih ramai peminat yang sentiasa menyokong Riz dan kelab peminat saya juga masih aktif sehingga kini. Kadangkala saya akan keluar sekali sekala berjumpa mereka dan menjalankan aktiviti bersama. Cuma waktu menyiapkan rakaman single baru ini tempoh hari, saya begitu sibuk dan masa terluang terhad.

“Selain itu, saya masih lagi menghadiri kelas Cikgu Siti Hajar (AF) untuk memastikan vokal saya sentiasa mantap. Masih banyak yang perlu diperbaiki dan saya tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang saya ada sekarang ini,” katanya.

Riz yang sudahpun menghantar lagunya itu ke beberapa stesen radio dan hanya menanti masa untuk diputarkan, dia menaruh harapan tinggi singlenya itu akan disukai pendengar. Ini kerana, sebelum mengedarkannya, dia juga ada memperdengarkan lagu berkenaan kepada beberapa penggiat muzik dan mereka memberikan reaksi yang sangat positif.

Dicalonkan dalam senarai ‘hot seat’ rancangan Mania yang bakal disiarkan bermula Sabtu ini, Riz tidak menaruh harapan tinggi memandangkan calon lain sudah mendahului dari segi undian.
Baginya, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana pilihan itu terletak pada kekuatan peminat seseorang artis itu dan mungkin bukan rezekinya mendapat kedudukan dalam rancangan itu kelak.



TRIVIA:
· Lagu paling digemari sekarang...Cry Me A River (Michael Buble)
· Alah kepada...habuk dan makanan laut.
· Kalau tidak jadi penyanyi...pegawai kerajaan.
· Pelakon Hollywood yang teringin hendak‘dating’..Jessica Alba.
· Hadiah paling istimewa dalam hidup...sokongan dan doa peminat.
· Tabiat pelik...cungkil gigi berjam-jam.
· Kalau diberikan sebuah kuasa, kuasa apa?...terbang.
· Rancangan TV kesukaan...Wipeout


Friday, January 27, 2012

BUKAN BESAR KEPALA


(Petikan Kosmo Online)


SEPANJANG laluan seni yang dipilih Stacy, tidak terlampau perit liku yang dirempuh untuk tiba ke destinasi sekarang. Tiada kontroversi mahupun kisah sensasi untuk dijaja.

Barangkali, Stacy selebriti yang kalis terkena silau kontroversi. Walau sinarnya tidak secerah kali pertama menyertai program realiti sebelum Akademi Fantasia 6, dia kini berjaya membuka mata bahawa dialah bintang yang dicari.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 22, bagaimanapun baru-baru ini mula menjadi perhatian apabila seringkali membatalkan sesi fotografi pada saat akhir selain dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan jejaka Melayu.

Menjawab situasi sebenar berhubung isu itu, Stacy menjelaskan tiada masalah serius berlaku berkenaan penundaan sesi fotografi itu.

"Stacy sudah jelaskan mengenai perkara itu kepada pihak yang terbabit. Pertama kali membatalkan sesi fotografi itu kerana diserang senggugut, kedua disebabkan tiba-tiba Stacy ada persembahan di Kuching, Sarawak dan kali ketiganya kerana Stacy kena gastrik.

"Semua jadual Stacy diuruskan pihak pengurusan dan Stacy tidak boleh membantah," maklum Stacy.
Stacy dalam pada itu sudah jelaskan perkara sebetulnya dan pihak yang terlibat juga memahami.

"Stacy janji lepas ini kalau sakit pun Stacy akan pergi juga. Stacy akan cuba bagi yang terbaik selepas ini. Minta maaf atas kekeliruan yang berlaku," katanya yang tidak meminta dirinya dibom sedemikian.


Cinta

Sebelum ini, Stacy tidak terlepas daripada dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan jejaka Melayu. Timbul juga tanda tanya adakah Stacy sanggup menukar agama demi cinta jika ditakdirkan suatu hari nanti bertemu jodoh dengan lelaki berlainan bangsa dan agama?

"Stacy baru 22 tahun, panjang lagi perjalanan yang perlu ditempuh. Mungkin orang cakap Stacy kasanova. Stacy tak nak serius ketika usia masih muda dan Stacy tak ada kawan yang serius pun sebab apabila ada teman lelaki, mungkin sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi kita bekerja."
"Stacy sudah ada keluarga yang sangat menyeronokkan dan gila-gila. Buat masa sekarang tidak perlukan teman istimewa lagi.

"Kalau dari segi tukar cara hidup atau agama demi seseorang, Stacy masih belum bersedia dan tak terfikir ke arah sana. Tapi Stacy suka belajar budaya dan cara hidup yang diterapkan dalam masyarakat Melayu," hurai anak kelima daripada enam beradik itu yang enggan membicarakan hal peribadi dengan lebih mendalam.



Tarian Ciplak
Kasanova, lagu yang nampak klise bagi seorang artis bernama Stacy. Masih mengekalkan imej dan rentak yang sama seperti lagu-lagu terdahulu, Jahat dan Pakai Buang, sejauh mana Stacy meletakkan harapan terhadap single yang sedang hangat diputarkan di corong-corong radio sekarang?

"Lagu itu ada kekuatan dari segi susunan muzik yang catchy dan membuatkan kita rasa nak menari. Tapi corak dari segi tarian dan muzik berbeza berbanding lagu Jahat dan Pakai Buang, lagu itu ada keistimewaannya tersendiri," kata Stacy yang mempunyai rancangan membuka perniagaan sendiri.

Tidak sah sekiranya Stacy dan tarian dipisahkan ketika membuat persembahan, begitu juga hampir kebanyakan video muziknya yang dilihat seolah-olah tarian merupakan pengenalan figura bernama Stacy.
Namun, kelincahannya menari turut dipertikaikan apabila Stacy dituduh meniru gaya tarian artis Korea.

"Orang yang tahu menari akan tahu tarian atau koreografi Stacy diciplak atau tidak. Itu trademark Stacy. Selain itu, Stacy juga dibantu oleh koreografer profesional, mana mungkin Stacy meniru tarian orang lain," bicaranya yang kini sibuk dengan promosi single Kasanova dan sedang merancang mengeluarkan single terbaharu pada bulan Februari atau Mac nanti.

Tambah Stacy:"Stacy tidak akan berhenti menari dan rasanya orang tak suka kalau Stacy tidak menari."
Apapun, siapa Stacy, ke mana liku yang diredah, dia tetap Stacy dan pendirian seorang gadis berbakat yang kental tidak akan kalis walau dihentam dari segala sudut. Ia ibarat proses untuk mematangkan diri.


Pilih bulu
Sementara itu, Stacy juga menafikan dakwaan bahawa dia kurang bercampur dengan orang ramai terutama peminat malah ada yang melabelkan dirinya kini diva.

"Kalau atas pentas, ya Stacy diva! Supaya Stacy boleh membuat sesuatu yang di luar kemampuan Stacy.
Tapi Stacy sangat senang didekati dengan peminat, malah ketika beriadah pun Stacy tidak pernah sombong jikalau ada yang menegur," ujarnya lagi.

Dari segi pergaulan pula, Stacy akui dia lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga dan haiwan peliharaan di rumah.

Mahu peminat menerima dia seadanya, Stacy turut menjelaskan caranya berpakaian yang kadangkala dianggap seksi.

"Stacy jarang keluar, orang yang tinggal sebumbung dengan Stacy tahu macam mana Stacy. Dari dulu lagi memang tak suka keluar rumah. Kawan pun dengan haiwan peliharaan sahaja.

"Stacy tak bergaul sangat. Di Kota Kinabalu pun budaya Stacy memang begitu. Kalau nak cakap Stacy seksi dan suka ke kelab sebenarnya dari dulu lagi beginilah pakaian Stacy. Sejak berusia 15 tahun lagi Stacy sudah mula menyanyi di kelab dan mencari rezeki secara halal

"Stacy masih menghormati budaya masyarakat kita dan nak bagi contoh yang baik. Inilah diri sendiri Stacy, tak perlu berubah dan kalau boleh mahu kekalkan imej yang sedia ada," tuturnya.

Sunday, January 15, 2012

TAK PERNAH CINTAI AKIM



Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

rajamawar@bharian.com.my


Stacy

Stacy akui rimas masih ramai beranggapan dia pernah jalin kasih sayang dengan bekas rakan seperjuangan Akademi Fantasia, Akim.
STACY Angie Anam naik muak apabila kerap diajukan persoalan hati membabitkan hubungan cintanya dengan Akim. Puas menafikannya, tetapi persoalan itu juga menerjah penyanyi lagu Kisah Dongeng itu. Perasaan cinta belum berputik dalam hati Stacy. Hubungan baiknya dengan Akim nyata sudah disalah tafsir. Anggapan menjalinkan hubungan cinta dengan Akim membuatkan Stacy rimas kerana hakikat sebenar, mereka hanya teman tapi mesra.

“Saya sudah kerap kali menyatakan pendirian, saya dan Akim hanya teman rapat. Saya akui menyukainya, begitu juga Akim tetapi hubungan kami belum sampai tahap bercinta. Suka dan cinta, dua perkara berbeza. Akim, teman yang paling rapat dengan saya.

“Saya mahu berkawan dengan Akim sampai bila-bila. Tapi, apabila membabitkan perasaan cinta, tentunya situasi sudah berlainan. Jika timbul perselisihan antara kami, saya tidak mahu daripada hubungan rapat akan menjadi musuh. Berlainan jika saya meletakkan Akim sebagai teman rapat tanpa membabitkan perasaan.

“Saya tidak mahu terjebak dengan hubungan cinta pada usia muda. Saya tidak bersedia dan tidak pasti mengenai cinta. Bagaimanapun, janganlah menyalah tafsir hubungan baik saya dengan Akim. Saya sudah bosan apabila diajukan persoalan sama setiap kali bertemu wartawan dan peminat.

“Hubungan baik saya dan Akim tidak sampai merancang untuk berumah tangga. Saya tidak terfikir menjalinkan hubungan lebih serius dengan Akim kerana dia adalah teman baik saya. Perasaan cinta saya ketika ini hanya kepada keluarga dan kerjaya nyanyian.

“Saya tidak mahu berkali-kali bercinta dan putus cinta. Jika terbit rasa cinta saya pada Akim, tentulah ada perasaan rindu yang mendalam. Tapi, perasaan saya biasa saja. Saya memang selesa bersama Akim, kami boleh berkongsi apa saja,” katanya yang kini sibuk mempromosikan album keduanya berjudul Stay-C.

Stacy tidak menafikan dia suka berkawan dengan lelaki Melayu kerana budaya mereka berlainan. “Dulu, saya hanya berkawan dengan kelompok kami di Sabah. Saya tidak pernah berkawan dengan lelaki Melayu. Bila kenal lelaki Melayu apabila berpindah ke Kuala Lumpur, saya dapati mereka jauh berbeza dengan karakter lelaki Sabah.

“Budaya orang Sabah sedikit kasar. Tengok saja saya, kadang kala nampak kasar, tetapi itulah budaya dan karakter yang diterapkan sejak kecil. Bagaimanapun, kasar tidak semestinya jahat. Saya perhatikan lelaki Melayu romantik, jiwang dan selamat. Saya tidak pernah terfikir berkahwin dengan lelaki Melayu, tetapi kalau sudah jodoh, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Pejam celik Stacy bergelar penyanyi sudah empat tahun. Nasibnya agak baik berbanding penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) lain. Stacy masih lagi mendapat tempat di hati peminat. Tanpa sokongan syarikat naungannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Stacy mungkin terkapai-kapai seperti penyanyi kelahiran AF lain.

“Tidak dinafikan, AESB banyak memberikan ruang kepada saya untuk terus bernafas. Bagaimanapun, tanpa usaha saya sendiri, ruang itu mungkin tidak diperoleh. Saya tidak mahu terlalu bergantung harapan kepada orang lain, saya takut apa yang diimpikan tidak akan menjadi kenyataan.

“Laluan sememangnya tersedia di depan mata tapi saya perlu menggerakkannya sendiri. Apa saja yang dilakukan membabitkan kerjaya nyanyian termasuk rakaman album dan klip video, saya tidak akan menyerahkan bulat-bulat pada orang lain. Saya mahukan kepuasan dalam setiap penghasilannya.

“Bukan bermakna saya cerewet tapi saya kena ambil berat. Ini adalah periuk nasi saya. Saya tahu peminat di luar sana tahu menilai, saya tidak mahu dianggap berada di takuk lama dan membuatkan peminat jemu,” kata anak kelahiran Penampang, Kota Kinabalu, Sabah itu.

Stacy akui kehidupannya dulu dan sekarang, umpama langit dengan bumi. Selepas hampir empat tahun membina kerjaya sebagai penyanyi membuatkan Stacy mampu menarik nafas lega.

“Lega apabila dapat menghadiahkan keluarga sebuah rumah yang selesa. Tahun ini, kami meraikan Hari Krismas di rumah baru. Saya mengumpul duit selama lebih tiga tahun untuk berikan ibu bapa dan adik beradik tempat tinggal selesa di Kampung Tuaran.

“Tidak dinafikan, saya terdengar cakap-cakap, kenapa saya tidak membina rumah untuk keluarga dalam tempoh lebih awal, ada juga mengatakan saya lupa diri, lupa keluarga. Saya hanya tahan telinga mendengarnya.

“Saya bukan lupa keluarga, siapa tidak mahu berikan tempat tinggal selesa untuk ibu bapa, tapi saya perlu kumpul duit terlebih dulu. Ibu bapa dan adik beradik faham keadaan saya, memang lambat saya menyediakan rumah untuk mereka, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak mungkir janji. Lambat-lambat pun, akhirnya rumah sudah siap dibina.

“Bukan sedikit duit dikumpul, beratus ribu ringgit juga, tetapi biarlah orang luar menilainya sendiri. Saya tidak mahu beritahu berapa harga rumah baru yang siap dibina pada Ogos lalu, nanti dituduh angkuh pula,” katanya yang menyerlah menerusi lagu Kasanova.




Tuesday, September 13, 2011

CEMBURU ADA MAKNA


Oleh Hanisah Selamat


SUKA atau tidak, dua bintang realiti Akademi Fantasia, Stacy dan Akim masih tetap dikaitkan antara satu sama lain sekali pun jawapan biasa yang keluar daripada bibir masing-masing hanya menyatakan mereka sekadar sahabat akrab. Malah kemunculan album baru Stacy yang diberi judul Stay-C mengukuhkan lagi kisah kekuatan hubungan merpati dua sejoli itu apabila si jejaka turut menghasilkan seni kata buat lagu ciptaan Kuncidemak, Cemburu. Sambil tersenyum simpul, akui empunya nama sebenar Stracie Angie Anam, 21, dia sendiri tidak tahu teman suka dukanya mempunyai bakat terpendam malah menganggap ia sebagai kejutan.

“Saya sendiri tidak tahu Kuncidemak memberikan lagunya kepada Akim untuk dilengkap liriknya. Apa yang saya tahu kedua-duanya bersahabat baik dan sebaik diserahkan, saya menyenangi lagu ini.

“Namun tidak bermakna Cemburu membawa makna kepada hubungan yang tidak lebih daripada kawan ini. Sebagai teman karib Akim, saya begitu senang hati mendendangkan lagu yang digarapnya sendiri,” katanya selepas pelancaran album itu, baru-baru ini.

Turut dihadiri ibu serta saudara-mara terdekat, majlis yang dimeriahkan kehadiran peminat setianya meninggalkan momen berharga apabila insan kesayangan sama-sama meraikan ulang tahunnya yang ke-21.
Walaupun sambutan berlalu lebih dua minggu daripada tarikh pelancaran album keduanya iaitu pada 18 Ogos lalu, sambutan tetap meriah, malah Stacy sempat berseloroh meminta kunci kebebasan daripada ibu tercinta, Agnes Kallos.

Pada majlis terbabit, Stacy tidak ketinggalan menyampaikan tiga dendangan yang dipetik daripada album barunya iaitu Kisah Dongeng, Kasanova selain Cemburu dengan persembahan bertenaga.

Nyata angka 21 memberi pengertian berbeza buat si manis dari Kota Kinabalu, Sabah itu apabila meletakkan takrif kematangan sepanjang merencana kerjaya seni yang diterokai kira-kira empat tahun lalu.

“Dua tahun mencari bahan dan merealisasikannya bukanlah satu tempoh singkat kerana saya perlu memperhalusi setiap bingkisan sebaik mungkin apatah lagi kali ini saya mempertaruhkan balada sebagai rentak pilihan.

“Peminat sudah biasa mendengar saya menyampaikan lagu rancak. Jadi apabila memilih irama melankolik ini, ia memberi cabaran berlainan dan penghayatan seakan membawa kita ke alam berbeza,” katanya yang semakin menyerlah menerusi lagu Kisah Dongeng.

Sememangnya jangka masa dua tahun melengkapkan buah tangan terbabit berbaloi apabila satu persatu single yang diperdengarkan kepada umum memancing perhatian hingga mampu menduduki carta.

Itulah kepuasan yang dinantikan selama ini kerana setiap inci bahan seawal pemilihan lagu, konsep hingga imej feminin yang diserlahkan menerusi gaya kulit dalam album umpama mahu menonjolkan kematangannya kepada dunia.

Bukan tukar pengenalan diri

Namun apabila ditebak mengenai imej di pentas yang tidak menampakkan perbezaan dengan kemunculan awal di arena seni suara, dengan ringkas ulasnya, imej gadis matang hanya untuk album.

Katanya, di pentas dia lebih selesa bergaya ringkas sekali gus memudahkan pergerakan ketika menari memandangkan dirinya cukup sinonim dengan tarian rancak tatkala di pentas persembahan.

Mengenai judul album yang menggunakan nama Stay-C, tegasnya ia sekadar kelainan pada ejaan bukan bermakna mahu menukar pengenalan diri untuk perjalanan seni yang seterusnya.

“Nama saya tetap menggunakan ejaan Stacy, tetapi untuk album ini saya memberikan kelainan kerana bagi saya Stay-C membawa bermacam makna seperti ‘stay cool’ atau ‘stay creative,” katanya lagi.

Antara lain lagu yang dimuatkan ialah Bosan, Lalai, Kapsul, Pelangi Senja serta sebuah dendangan duet bersama idola pujaannya, Amy Search bersama lagu ciptaan Edrie Hashim, Gempur.

“Sudah tentu saya teruja sebaik saja rocker tersohor yang juga mantan Pengetua AF itu menyatakan kesediaan bergabung suara dengan saya. Ia umpama penghormatan buat orang baru seperti saya.

“Gempur juga menjadi lagu terakhir yang kami rakamkan untuk album ini. Apa yang pasti saya berpuashati dengan keseluruhan hasilnya dan mahu berkongsi rasa ini dengan semua peminat,” tambahnya.



Monday, September 12, 2011

SEKITAR PELANCARAN ALBUM 'STAY-C'


Artikel & Foto dari Budiey.com


Sebaik sahaja pulang dari lawatan ke set pengambaran filem Rentaz pada hari Jumaat lalu, Budiey sempat lagi ke Pelancaran Album Terbaru Stacy yang berjudul STAY-C yang berlangsung di Zeta Bar, Hotel Hilton, KL Sentral pada jam 5 petang. Diacarakan oleh pengacara & editor terkenal, Zainal Alam Kadir, majlis pada petang itu turut dihadiri oleh ibu, keluarga Stacy, peminat Stacy dan media. Majlis turut meraikan hari jadi Stacy yang jatuh pada 18 Ogos yang lalu. Stacy atau nama sebenar Stracie Angie Anam lahir pada 18 Ogos 1990 di Penampang, Sabah.



Untuk peminat, pastinya tak sabar nak dengar kesemua tujuh buah lagu dari Stacy. Album kedua ini dari buah tangan penyanyi pop sensasi ini sebenarnya sudah siap pada 15 April lalu dan Budiey rasa kali ini Stacy mahu mengubah sedikit genre lagu di mana terdapat lagu-lagu balada yang killer song dalam album ini. Mungkin sudah tiba masa Stacy mahu menarik peminat umum atau dari golongan 30 ke atas yang begitu gemar dengan lagu balada. Namun begitu, terdapat juga lagu dance pop dan rock dalam album terbitan Astro ini.

Yang pasti, lagu Kisah Dongeng karya Edry Abdul Halim telah menjuarai carta hit di stesen radio tempatan dan terbaru menjadi lagu tema kepada sebuah drama di TV3.



Selain Kisah Dongeng, sebuah lagi single terbaru yang bergenre dance KASANOVA sedang diputarkan di corong radio dan Stacy dikhabarkan sedang buat persiapan untuk muzik video lagu tersebut.

Untuk menjadikan album ini sesuai untuk semua golongan, Astro selaku penerbit telah memuatkan 7 buah lagu antaranya:

1.Kasanova ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim
2.Cemburu – lagu Kunci Demak & lirik dari Akim AF7
3.Bosan – lagu: Omar K & Kimberly & lirik: Omar K
4.Lalai – Lagu & lirik: KunciDemak
5.Kapsul – Lagu: Audi Mok & Lirik Zel Hadauan
6.Gempur duet bersama Amy Search – Lagu & Lirik: Edrie Hashim
7.Pelangi Senja – Lagu: Taja MUH / Lirik: Tun Teja

Dari segi vokal, Stacy dah makin matang. Hasil kerjasama dengan nama-nama terhebat dari industri muzik, album Stay-C ini juga adalah simbol kepada perkembangan karier seninya. Untuk info, Stacy pernah muncul dengan album berjudul Aku Stacy pada tahun 2009 yang memuatkan 5 buah lagu hit seperti Aku Stacy, Gagap, Pakai Buang, Cerah dan Cinta Yang Ku Duga.



Untuk profile pula, Stacy kini memegang gelaran duta kepada produk Clinelle, Intimate, Cornetto dan Silky Girl. Juga telah berjaya melangkah ke peringkat akhir di AJL selama 3 tahun berturut-turut bermula 2008 sehingga 2010. Kemuncak populariti Stacy meningkat naik apabila memenangi Anugerah Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 dan tercalon sebagai finalis ABP selama 3 tahun berturut-turut bermula 2008 sehingga 2010. Baru-baru ini, Stacy juga memenangi kategori Selebriti Wanita Terkenal di Anugerah DiGi Wowww Awards 2011.

Terbukti kesungguhan dan bakat yang dimiliki Stacy telah mendapat pengiktirafan dan sokongan pelbagai pihak apabila beliau turut memenangi Anugerah Artis Pilihan Hotlink pada AJL 24.

Album ini sudah pun berada di pasaran dengan harga RM19.90.




 

Saturday, August 6, 2011

GOSIP CINTA BAWA REZEKI



Oleh Rudy Imran Shamsudin


MANIS...Stacy berbaju kurung sewaktu menjayakan rakaman Konsert Raya 1 Malaysia @ Muzik FM.



 RAMAI peminat mengakui mereka sedang bercinta apatah lagi lagu popular yang didendangkan bersama, Jahatnya Cinta, seakan mengiakan juara Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Stracie Angie Anam (Stacy), 21, dan tempat ketiga AF7, Afiq Hakim Ahmad, atau Akim, 20, sedang berbunga hatinya.

Dakwaan pasangan ini sedang hangat bercinta sehingga dipercayai peminat menyebabkan rezeki Akim dan Stacy juga semakin murah. Ramai mahu menumpang kehangatan kisah cinta pasangan ini dengan mengambil mereka sebagai jurucakap untuk kempen pengiklanan.

Single Jahatnya Cinta juga turut menerima tempiasnya apabila turut menjadi pilihan pendengar dan menjuarai carta lagu popular. Hakikatnya, cerita cinta antara Akim dan Stacy ini hanyalah sekadar gosip. Tiada pengesahan mengatakan bahawa mereka benar-benar mencintai antara satu sama lain.

Ditemui baru-baru ini sewaktu sesi rakaman Konsert Raya 1 Malaysia @ Muzik FM di Restoran Seri Melayu, Jalan Conley, Stacy dan Akim akhirnya mengakui bahawa hubungan akrab mereka selama ini langsung tidak membabitkan soal hati dan perasaan, apatah lagi sehingga bercinta.

Kata Stacy, memang dia menyayangi Akim, tetapi tidak lebih daripada rasa kasih seorang rakan kepada sahabatnya. Malah dia juga tidak mahu peminat kelak mendakwa dia mahupun Akim sengaja membohongi mereka dengan membiarkan orang luar beranggapan mereka benar-benar sedang bercinta.

“Saya tidak ramai rakan lelaki dan antara yang rapat sekarang adalah Akim. Kami memang selalu keluar bersama seperti menonton wayang, tetapi bukan berdua sebaliknya ditemani ahli keluarga lain. Disebabkan itu juga, ramai yang salah sangka dan mengatakan kami bercinta.

“Apabila ramai yang menganggap kami benar-benar sedang bercinta, saya bimbang hendak menafikan perkara itu. Saya takut peminat akan kata saya artis ‘poyo’ kerana cuba menafikan gosip cinta bersama Akim.

“Apatah lagi waktu sama banyak aktiviti membabitkan saya dan Akim sedang dijalankan waktu itu termasuk mempromosikan kempen iklan aiskrim dan lagu Jahatnya Cinta,” katanya.

Kata Stacy lagi, kerana kekangan masa, tuntutan kerja dan kehendak keluarga menyebabkan gadis berasal dari Penampang, Sabah ini tidak mahu memikirkan soal cinta. Walaupun dalam hatinya kuat mahu merasai perasaan indah itu seperti apa yang sedang dirasai rakan sebayanya.

“Saya hanya kawan dengan Akim dan tidak lebih daripada itu. Saya tidak mahu komen lebih lanjut mengenainya kerana bimbang akan menimbulkan isu kurang enak pada masa akan datang,” katanya lagi yang kini sedang popular dengan single terbaru berentak balada, Kisah Dongeng.

Kata Stacy lagi, antara sebab mengapa dia enggan bercerita lanjut mengenai hubungannya dengan Akim kerana harus patuh dengan permintaan keluarganya.

“Keluarga saya berpegang kuat kepada pegangan agama kami (Kristian) dan saya harus menghormati mereka. Bercerita mengenai hubungan saya dan Akim seperti kami benar-benar serius bercinta adalah tidak bagus. Saya perlu menjaga nama baik keluarga. Pada waktu sama, saya masih muda, baru berusia 21 tahun dan tidak berhak untuk membantah cakap keluarga.

“Kecuali sekiranya saya sudah cukup matang. Mengambil contoh sekiranya saya sudah berusia 25 tahun dan sudah boleh berdikari sepenuhnya, barulah saya boleh menyatakan kepada keluarga mengenai keputusan yang mahu saya ambil. Itupun saya harus memastikan keputusan itu dapat diterima keluarga dengan tangan terbuka,” katanya.





Sunday, July 3, 2011

TRANSFORMASI STACY


Oleh Zaidi Mohamad




DIA sudah dewasa. Lagaknya bukan lagi seperti budak hingusan seperti dulu. Tidak hairan kebelakangan ini Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) perlahan demi perlahan semakin menyerlahkan sisi femininnya. Semuanya seiring peningkatan usia Stacy yang bakal menginjak 21 tahun pada 18 Ogos ini.

Dulu, Stacy lebih cenderung bergaya ranggi dan funky. Malah, gaya energetiknya di pentas menuntut gaya sedemikian. Tetapi sesekali berubah gaya, tak salah pun. Lihat saja sisi kewanitaannya cukup menyerlah dengan rekaan Hazwani Osman pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 pada 3 April lalu. Cuba bereksprimentasi dan mencari kelainan, Stacy ditampilkan dengan gaya seksi dan feminin. Dengan persalinan sendiri dan koleksi Wanpa, Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2010 ini cukup bertenaga memberikan pos dikehendaki untuk pembaca B*POP. “Saya tidaklah mahu terlalu drastik berubah dalam soal gaya. Saya selesa dengan gaya lama tapi saya juga terbuka dalam melakukan transformasi. Lagipun saya masih muda dan bebas untuk terus bergaya mengikut kemahuan, peredaran masa dan aliran fesyen.
“Sejujurnya, saya cuba membiasakan diri untuk menjadi lebih feminin. Tak selesa dan agak kekok. Apabila dapat melaram gaun labuh begini terasa sangat diri ini macam Wanita Sabah Terakhir. Terus berangan macam puteri. Tapi saya percaya fesyen cukup melengkapi kerjaya muzik yang saya terokai,” katanya saat asyik ketika wajahnya disolek Rina Derina.

Bertemu Stacy, dia tidak ketinggalan diajukan persoalan mengenai Akim, lelaki yang dikatakan bertakhta di hatinya. Bayangkan tuah gosip cinta itu membuka pintu rezeki untuk mereka berdua dilantik sebagai duta Cornetto Royale Mixed Berry, mengambil alih posisi Mawi, Mila, Dafi dan Shila sebelum ini.

Gara-gara gosip yang terus menjadi tanda tanya itu juga, mereka ditawarkan membintangi sebuah filem muzikal terbitan Tayangan Unggul. Namun, Stacy lebih dulu menolak tawaran itu kerana komitmennya lebih diperlukan untuk penghasilan album studio keduanya selepas Aku Stacy (Mac 2009).
Tak kurang pula yang menebak Stacy berbuat demikian dan meninggalkan Akim keseorangan menerajui filem itu kerana hubungan mereka sebenarnya sudah berakhir. Hanya tersenyum, pemilik nama penuh Stracie Angie Anam ini seperti mampu membaca apa yang terlintas di fikiran wartawan B*POP.

“Pelik pula, jika ada mengandaikan kami sudah putus sedangkan kami tak pernah pun bercinta. Memang benar, ada yang mengandaikan kami bercinta. Tapi itu persepsi masing-masing yang bebas menjatuhkan hukum. Kami tidak mampu menghalang apa cakap-cakap di belakang.

“Yang pastinya, saya masih solo. Kerjaya menjadi nadi utama saya hingga saat ini sejak tiga tahun saya bergelumang dalam dunia hiburan. Begitu juga dengan keluarga. Saya menolak tawaran berlakon filem itu tiada kaitan dengan kisah putus cinta atau apa saja yang seangkatan dengannya.
“Saya minat berlakon. Cuma, sekarang bukan masa sesuai untuk saya mengembangkan sayap dengan lebih serius. Lagipun nyanyian menuntut masa yang sikit berbanding lakonan. Kalau ada rezeki untuk saya berlakon selepas ini, siapa tahu saya mungkin mempertimbangkannya,” kata Stacy yang tidak menafikan berkawan rapat dengan pemenang tempat ketiga AF7 itu.

Tambah Stacy lagi, dia tidak sesekali menafikan gosip membabitkan mereka sedikit sebanyak menjadi tuah buat masing-masing menambah duit untuk masa depan. Stacy juga mengakui dia sudah terbiasa dengan keadaan apabila sering diajukan mengenai Akim kepadanya.

“Dia memang seorang kawan yang baik. Saya pun senang bekerjasama dengannya. Kami pun sudah kenal rapat sejak dua tahun lalu. Sejujurnya, saya tak rimas dikaitkan dengannya. Malah, saya sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan dan persoalan yang akan ditanya wartawan. Orang tanya, saya jawablah yang benar,” katanya yang dijangka menyambung kontrak bersama Astro Entertainment Sdn Bhd yang akan berakhir bulan ini.

Diusik persoalan apakah dia bersedia untuk memikirkan lebih serius mengenai perkahwinan, Stacy pantas menjawab sambil berseloroh, nak kahwin macam mana kalau calon pun tak ada.
Celahnya lagi, kekecewaan ‘sepanjang zaman’ bercinta membuatkan Stacy takut untuk berkahwin atau memikirkan komitmen.

“Sebelum ini saya pernah melalui fasa bercinta dengan lelaki di Sabah sebelum bergelar artis. Malah, saya turut diuji dengan percintaan dengan lelaki Melayu. Semuanya berakhir tidak seperti yang diharapkan. Melalui pengalaman dan penyelidikan lalu, saya jadi malas untuk memikirkan soal cinta lagi,” kata duta kepada produk Clinelle, Intimate dan Silky Girl ini sekali gus cuba mengelak siapa gerangan lelaki Melayu yang dimaksudkan itu.

Stacy tangguh kuliah

BERCERITA mengenai kerjaya seninya, ada sebab untuk pemenang kategori Popstar Anugerah Shout! 2009 ini untuk tersenyum lebar. Pertamanya, dia kini sedang rancak melunaskan baki rakaman album keduanya. Menerusi peranannya sebagai duta Cornetto dia akan tampil dengan dua konsert berasingan.

Albumnya dijangka berada di pasaran sekitar bulan ini. Konsertnya yang dinamakan Konsert Wall’s itu pula sudah diadakan di Setiawangsa pada 11 Jun dan diikuti Johor Bahru pada 18 Jun lalu.

Bukan saja Stacy, konsert yang diadakan secara percuma ini turut menampilkan penyanyi popular lain seperti Akim, kumpulan Sofazr, Tomok, Awi Rafael, Kumpulan Tilu, Azlan & The Typewriter, Shahir dan Black. Single terbarunya, Kisah Dongeng (untuk dimuatkan dalam album kedua) juga sudah mula mencuri perhatian pendengar.

“Untuk album kedua ini, saya jangka memuatkan enam atau tujuh lagu. Antara komposer terbabit selain Edry KRU ialah Omar K dan Taja Meet Uncle Hussain. Dalam album ini konsepnya lebih pelbagai. Ada balada, slow rock, rock dan lagu rancak (upbeat).

“Memang tak dinafikan ramai suka Stacy menyanyikan lagu rancak berbanding balada. Hinggakan ada menganggap lagu sebegitu sudah menjadi forte dan makanan saya. Sebenarnya saya juga boleh menyanyi balada. Album pertama saya ada lagu balada ciptaan Ajai berjudul Cinta Yang Ku Duga,” katanya yang sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu Pakai Buang, Gagap dan Jahat.

Di sebalik kesibukannya, ternyata ada harga yang perlu dibayar untuk terus mengukuhkan label namanya di persada seni. Stacy perlu berkorban dengan menangguhkan kuliahnya di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya dalam kursus diploma Bunyi dan Muzik.

“Dalam kehidupan, tak semua yang kita harap akan menjadi seperti dirancang. Saya tak kesal. Tapi saya rasa ia demi kebaikan saya juga. Tapi itu tidak bererti saya akan terus leka hingga melupakan tanggung jawab sebagai pelajar.

“Pada masa sama, peranan saya sebagai anak juga harus diberi perhatian. Selepas tiga tahun berkecimpung dalam dunia seni, saya dapat membeli rumah dua tingkat di Sabah untuk kemudahan keluarga. Lepas ini saya nak beli kereta pula untuk mereka. Ekonomi keluarga saya pun semakin stabil. Abang saya pun turut membantu,” katanya.





Wednesday, June 15, 2011

MASIH KAWAN TAPI TAK TOLAK JIKA JODOH



Oleh Elrafaei Sapi

KEMESRAAN ditunjukkan dua bekas bintang program realiti Akademi Fantasia, Stacy dan Akim bukan lagi rahsia. Malah, aksi mereka di pentas bermain mata dan berpegangan tangan menyimpulkan hubungan yang terjalin lebih sekadar rakan karib.

Begitu juga ketika mengadakan persembahan sempena Konsert Lafazkannya dengan stail Cornetto di pekarangan Jusco (AEON), AU2, Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka sekali lagi beraksi mesra depan khalayak.

Gandingan dua sejoli ini cukup menghiburkan ramai peminat yang hadir ketika menyampaikan lagu duet mereka, Jahatnya Cinta yang menjadi lagu tema kempen produk aiskrim popular ini.

Menjawab desas-desus sejauh mana kebenaran hubungan cinta mereka, Stacy menyatakan belum ada hubungan istimewa berlaku seperti disangka ramai peminat mereka.

Kata gadis berasal dari Penampang, Kota Kinabalu, Sabah ini belum terfikir untuk bercinta pada usia semuda 20 tahun apatah lagi mencari calon suami.
“Sukar untuk saya katakan mengenai lelaki idaman hati kerana belum terfikir ke arah itu buat masa ini. Sebenarnya, memang ramai yang bertanya tidak kira peminat atau sesiapa saja mengenai sama ada saya dengan Akim bercinta.

“Namun, kami selesa berkawan rapat dan masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri terhadap karier. Bagi saya, Akim seorang yang profesional dalam bekerja, ceria dan dianggap ‘satu kepala’.

“Tidak dinafikan ada peminat keliru apabila kami berkawan rapat dan kelihatan mesra malah peminat juga serius ingin tahu sama ada kami bercinta. Hakikatnya, semua peminat sudah tahu cerita sebenar mengenai hubungan kami,” katanya.

Mahu bersikap jujur, Stacy menyatakan hubungan mesra dia bersama Akim tidak mengundang masalah kepada peminat. Malah, dia gembira apabila peminat memahami dan terus menyokong karier seninya.

“Saya tidak menolak jika jodoh menentukan saya bersama Akim ke jenjang pelamin. Buat masa sekarang, saya tidak tahu lagi bila akan berkahwin.

“Apa yang penting ketika ini, saya mahu fokus pada kerjaya. Saya sebenarnya obses terhadap kerja dan ingin terus menghiburkan peminat.

“Apapun, saya bersyukur pada Tuhan atas murah rezeki dengan pelbagai jemputan persembahan pentas yang saya terima. Sejak menjadi penyanyi, saya sudah biasakan diri sibuk bekerja hingga ada masa hanya tidur selama empat jam.

“Saya fikir, pada usia muda memang sesuai untuk bekerja keras dan saya juga memang seorang individu yang sentiasa mahu berusaha gigih untuk berjaya dalam hidup,” katanya.

Dalam sibuk memenuhi jemputan persembahan pentas, Stacy turut memberi komitmen pada pembikinan album barunya yang sepatutnya berada di pasaran penghujung bulan ini. Katanya, album kali ini masih mengekalkan genre pop dance , tetapi menyelitkan lagu balada dan rock.

“Buat masa ini, saya masih terbabit dengan rakaman lagu di studio. Album ini memuatkan dua lagu ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Kisah Dongeng dan Kasanova manakala dua lagu lagi ciptaan Omar K dan Taja Meet Uncle Hussain.

“Jika sempat, saya ingin pasarkan album ini secepat mungkin. Perancangan album ini sudah dibuat awal tetapi saya tidak mahu menghasilkan album ini dengan tergesa.

“Single Kisah Dongeng sudah mula dimainkan di stesen radio dan respons peminat yang saya terima juga positif. Walaupun saya cuba tampil genre lain dalam album ini, jiwa saya memang lebih pada lagu rancak.

“Sepanjang tiga tahun menyanyi, saya bersyukur kerana karier seni masih stabil biarpun ramai bakat baru muncul. Saya percaya jika seseorang penyanyi itu mempunyai niat baik, peminat akan terus menyokong.

“Begitu juga, saya gembira apabila dilantik sebagai duta cinta Wall’s Cornetto bersama Akim kerana saya juga penggemar aiskrim. Selepas ini saya merancang mengadakan aktiviti bersama peminat seperti bermain boling, menonton wayang dan berkelah.

“Dalam pada itu, saya akan terbabit sebagai juri untuk uji bakat program My School Rock bersama koreografer, Linda Jasmine tidak lama lagi,” katanya.


Monday, May 9, 2011

STACY PENAT JAWAB CERITA GOSIP



Oleh WAHIDUZZAMAN @ mStar Online


Foto NORAFIFI EHSAN

WALAUPUN penyanyi muda Stracie Angie Anam atau Stacy pernah memberitahu bahawa dia tidak kisah untuk berkongsi cerita peribadi dengan peminat, jauh di lubuk hatinya tetap terpalit juga perasaan rimas dan letih apabila gosip hubungannya dengan penyanyi Akim terus diperkatakan.

Apabila juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini sengaja diusik persoalan yang sama, pantas Stacy membalas: “Kenapalah orang tidak berhenti-henti bertanyakan cerita ini. Adakah cerita begini memang menjadi kesukaan peminat kita?

“Bukanlah saya keberatan untuk berkongsi cerita tetapi kenapa perlu gosip begini terus diperkatakan? Kadang-kala saya pun letih juga ditanya benda yang sama berulang-kali.”

Bercerita lanjut, Stacy yang mengakui berkawan rapat dengan Akim berkata, sekalipun mereka intim hari ini itu tidak bermakna mereka bercinta.

Malah, kenyataan itu berulang kali ditegaskan oleh penyanyi lagu Jahat ini dalam temu ramah bersama OopStarz!, baru-baru ini.

“Memang kami rapat dan selalu keluar bersama tetapi tidak hanya berdua. Selalunya kami akan keluar beramai-ramai dengan ahli keluarga atau rakan-rakan rapat.

“Pada waktu ini, apa yang boleh saya jelaskan kami tidak bercinta tetapi esok lusa itu kita tidak tahu,” tuturnya.


 
Tahun bahagia

Sebelum menyimpulkan perbualan, Stacy sempat berkongsi kebahagiaan yang dirasainya pada tahun ini.

Jelas anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini, dia merasakan bahawa tahun 2011 begitu memberangsangkan dalam kerjaya seninya.

“Saya bersyukur sangat tahun ini sangat menggembirakan saya. Kerjaya berjalan dengan lancar, undangan nyanyian juga berterusan dan saya juga akan muncul dengan album kedua tidak lama lagi.

“Album itu dijangka keluar pada Jun depan. Saya harap album itu dapat dipasarkan secepat mungkin bagi memungkinkan ia dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun ini.

“Apa-apa pun, semuanya masih berada dalam peringkat produksi lagi. Harap-harap, dapatlah album itu menemui peminat secepat mungkin,” akhiri penyanyi yang bakal muncul dengan lagu Kisah Dongeng, tidak lama lagi.

Saturday, April 23, 2011

STACY TAK LARANG PEMINAT MAHU TAHU KISAH PERIBADI


Oleh WAHIDUZZAMAN



Stacy tidak kisah jika peminat mengambil tahu kisah peribadinya. - Foto NORAFIFI EHSAN


 
Penyanyi Stacy, 20, yang dikaitkan menjalin hubungan cinta secara rahsia dengan penyanyi Akim (AF7) mengakui tidak melarang peminat yang ingin mengambil tahu kisah peribadinya.

Kata Stacy: "Sejujurnya, saya suka dan amat menghargai keprihatinan peminat terhadap setiap perkara yang saya lakukan. Apabila orang ambil tahu, bermakna orang sayangkan kita.

"Bagi saya, lebih baik orang sentiasa ingin mengambil tahu tentang diri kita dan apa yang kita lakukan daripada orang tidak ambil peduli langsung."

Walaupun perkara itu mungkin mengundang kemarahan atau perasaan rimas bagi sesetengah artis, Stacy pula menganggap aspek itu perlu dikompromi apabila bergelar figura umum.

"Sebagai artis, kita adalah hak masyarakat. Sudah tentu, apa saja yang kita lakukan, dengan siapa kita berkawan dan ke mana saja kita pergi akan menarik perhatian ramai.

"Jadi, mengapa saya perlu berasa marah kalau peminat ingin tahu tentang saya? Selagi ia tidak melampau atau memberikan tekanan, saya tidak kisah untuk berkongsi kisah peribadi dengan orang ramai," katanya.

Keintiman Stacy dan Akim didakwa oleh banyak pihak sebagai pasangan bercinta.


Berkongsi tentang kerjaya nyanyian pula, Stacy yang baru dilantik sebagai duta aiskrim Wall’s Cornetto di samping Akim berkata, dia sedang sibuk mengumpulkan lagu-lagu untuk album keduanya.

"Album kedua saya dijangka akan keluar pada sekitar bulan Jun depan. Sekarang ini, saya tengah sibuk mengumpulkan lagu-lagu untuk album itu.

"Dalam masa terdekat, saya akan keluarkan single daripada album itu iaitu Kisah Dongeng ciptaan Edry Abdul Halim. Kali ini, saya pilih lagu berentak balada pula sebagai pertaruhan," katanya.

Thursday, April 14, 2011

BELUM MASANYA


Oleh Muhamad Fairoz Azizan


(Petikan artikel daripada Berita Harian Online)



KALAH tidak bererti perlu berputus asa, malah menguatkan lagi semangat penyanyi kecil molek, Stacy untuk memajukan diri dan meningkatkan lagi mutu nyanyiannya. Daripada riak wajahnya, seolah-olah tidak ada rasa kecil hati walaupun tewas kepada Yuna sebagai Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) baru-baru ini. Namun itu bukanlah bermakna Stacy tidak popular. Malahan namanya boleh dikatakan tidak pernah tercicir sebagai finalis Penyanyi Wanita Popular sebanyak tiga kali berturut-turut, membuktikan popularitinya juga memang cukup kuat. Hanya rezeki atau nasib sahaja belum berpihak kepadanya untuk menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular.

Sebenarnya, semua itu memberi keyakinan dan keazaman kepada gadis berasal dari Kampung Tuavon, Penampang, Sabah ini untuk berusaha lebih gigih lagi pada masa depan memandangkan dirinya sudah menampakkan hasil apabila dipilih peminat untuk tercalon dalam senarai akhir ABPBH2010.

Malahan, Stacy juga melihat peluangnya untuk menang sentiasa terbuka luas dan hanya menunggu masa sesuai sahaja untuk peminat memilihnya sebagai penyanyi wanita popular pada ABPBH akan datang.

Dalam pada itu, Stacy juga tidak menjadikan Yuna sebagai pencabar, malah menganggap Yuna sebagai rakan perjuangan dan menghargai bakat yang ada pada penyanyi itu sehingga diangkat oleh peminatnya.

“Bagi saya itu rezeki dia (Yuna). Mungkin rezeki saya belum sampai, tetapi bersyukur kerana peminat sudah meletakkan saya di tahap ini sehingga tercalon dalam Top 5.

“Tiada apa yang nak dikesalkan dan saya masih bersemangat untuk meneruskan usaha saya dalam bidang ini dan saya tak rasa diri saya kalah kerana ini bukan pertandingan tetapi sebagai penghargaan peminat kepada kita,” katanya.

Meskipun tewas, gadis berumur 21 tahun ini percaya kepada takdir dan peluang yang masih belum memihak kepadanya tetapi berterima kasih kepada kelab peminat yang tidak putus-putus menyokongnya dari belakang.

Baginya, tiada apa yang dapat menggembirakannya melainkan diterima peminat bahkan berharap sokongan peminat mampu membawanya lebih jauh dan akan memajukan dirinya sehingga tercalon lagi sekali lagi di masa depan.

Jika tidak sekarang mungkin di masa depan bakatnya diangkat peminat, malah perasaan putus asa tiada dalam kamus hidupnya dan menganggap peluang yang ada perlu diterokai agar bakatnya sentiasa diterima semua pihak.

“Berada dalam senarai calon akhir ABPBH sudah cukup dianggap satu anugerah daripada peminat dan saya akan teruskan berusaha lagi supaya lebih diterima di masa depan sebab banyak lagi yang perlu saya belajar.

“Tengok saja Shaheizy Sam sudah berapa lama dia di dalam industri ini dan baru sekarang bakatnya di hargai. Begitu juga dengan saya, mungkin memerlukan masa agak lama untuk sampai ke tahap macam itu,” katanya.

Siapa yang tidak menyimpan impian untuk memegang anugerah Bintang Paling Popular tetapi bagi Stacy biar masa yang menentukannya. Meskipun tidak memenangi sebarang anugerah tetapi berpuas hati sebab diterima dalam industri ini.


Kisah Dongeng terbaru dari Stacy

LUPAKAN soal kalah atau menang dalam ABPBH2010 yang lalu kerana ketika ini Stacy sedang menghabiskan masa di studio rakaman untuk pembikinan album keduanya di bawah kendalian Yusry Abdul Halim.

Dijangka tampil dengan imej lebih funky, album terbaru Stacy itu dijangka berada di pasaran pada Jun atau Julai depan.

Buat masa ini, single terbaru yang juga keenam bagi dirinya berjudul Kisah Dongeng sudah hangat dimainkan di radio sejak 6 April lalu. Menyusul selepas kemunculan lagu berentak balada itu ialah klip videonya yang akan diterbitkan hujung bulan ini.

“Tahun ini rezeki saya murah dan sangat sibuk dengan album lagi serta sibuk dengan pembikinan muzik video yang diarahkan oleh Yusry Abdul Halim. Saya banyak belajar daripada orang yang lebih berpengalaman bagi album kedua ini supaya lebih dekat dengan peminat dan diterima semua orang,” katanya.

Lebih menarik lagi, album keduanya yang menerima sentuhan komposer Edry Abdul Halim ini mempunyai enam lagu yang turut mempunyai satu lagu duet bersama ratu rock negara, Ella dijangka akan menerima sambutan hangat peminat.

Bagi Stacy, tumpuannya kini lebih terarah kepada album keduanya bagi menghasilkan produk terbaik buat peminatnya.

Apapun dugaan yang mendatang, bagi Stacy dirinya kini boleh dianggap sudah berjaya mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan dengan penghasilan album keduanya dalam tempoh tiga tahun selepas keluar daripada program realiti televisyen.
Related Posts with Thumbnails