Oleh Rudy Imran Shamsudin
MANIS...Stacy berbaju kurung sewaktu menjayakan rakaman Konsert Raya 1 Malaysia @ Muzik FM.
RAMAI peminat mengakui mereka sedang bercinta apatah lagi lagu popular yang didendangkan bersama, Jahatnya Cinta, seakan mengiakan juara Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Stracie Angie Anam (Stacy), 21, dan tempat ketiga AF7, Afiq Hakim Ahmad, atau Akim, 20, sedang berbunga hatinya.
Dakwaan pasangan ini sedang hangat bercinta sehingga dipercayai peminat menyebabkan rezeki Akim dan Stacy juga semakin murah. Ramai mahu menumpang kehangatan kisah cinta pasangan ini dengan mengambil mereka sebagai jurucakap untuk kempen pengiklanan.
Single Jahatnya Cinta juga turut menerima tempiasnya apabila turut menjadi pilihan pendengar dan menjuarai carta lagu popular. Hakikatnya, cerita cinta antara Akim dan Stacy ini hanyalah sekadar gosip. Tiada pengesahan mengatakan bahawa mereka benar-benar mencintai antara satu sama lain.
Ditemui baru-baru ini sewaktu sesi rakaman Konsert Raya 1 Malaysia @ Muzik FM di Restoran Seri Melayu, Jalan Conley, Stacy dan Akim akhirnya mengakui bahawa hubungan akrab mereka selama ini langsung tidak membabitkan soal hati dan perasaan, apatah lagi sehingga bercinta.
Kata Stacy, memang dia menyayangi Akim, tetapi tidak lebih daripada rasa kasih seorang rakan kepada sahabatnya. Malah dia juga tidak mahu peminat kelak mendakwa dia mahupun Akim sengaja membohongi mereka dengan membiarkan orang luar beranggapan mereka benar-benar sedang bercinta.
“Saya tidak ramai rakan lelaki dan antara yang rapat sekarang adalah Akim. Kami memang selalu keluar bersama seperti menonton wayang, tetapi bukan berdua sebaliknya ditemani ahli keluarga lain. Disebabkan itu juga, ramai yang salah sangka dan mengatakan kami bercinta.
“Apabila ramai yang menganggap kami benar-benar sedang bercinta, saya bimbang hendak menafikan perkara itu. Saya takut peminat akan kata saya artis ‘poyo’ kerana cuba menafikan gosip cinta bersama Akim.
“Apatah lagi waktu sama banyak aktiviti membabitkan saya dan Akim sedang dijalankan waktu itu termasuk mempromosikan kempen iklan aiskrim dan lagu Jahatnya Cinta,” katanya.
Kata Stacy lagi, kerana kekangan masa, tuntutan kerja dan kehendak keluarga menyebabkan gadis berasal dari Penampang, Sabah ini tidak mahu memikirkan soal cinta. Walaupun dalam hatinya kuat mahu merasai perasaan indah itu seperti apa yang sedang dirasai rakan sebayanya.
“Saya hanya kawan dengan Akim dan tidak lebih daripada itu. Saya tidak mahu komen lebih lanjut mengenainya kerana bimbang akan menimbulkan isu kurang enak pada masa akan datang,” katanya lagi yang kini sedang popular dengan single terbaru berentak balada, Kisah Dongeng.
Kata Stacy lagi, antara sebab mengapa dia enggan bercerita lanjut mengenai hubungannya dengan Akim kerana harus patuh dengan permintaan keluarganya.
“Keluarga saya berpegang kuat kepada pegangan agama kami (Kristian) dan saya harus menghormati mereka. Bercerita mengenai hubungan saya dan Akim seperti kami benar-benar serius bercinta adalah tidak bagus. Saya perlu menjaga nama baik keluarga. Pada waktu sama, saya masih muda, baru berusia 21 tahun dan tidak berhak untuk membantah cakap keluarga.
“Kecuali sekiranya saya sudah cukup matang. Mengambil contoh sekiranya saya sudah berusia 25 tahun dan sudah boleh berdikari sepenuhnya, barulah saya boleh menyatakan kepada keluarga mengenai keputusan yang mahu saya ambil. Itupun saya harus memastikan keputusan itu dapat diterima keluarga dengan tangan terbuka,” katanya.
No comments:
Post a Comment