JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Friday, June 17, 2011

BAB 4 ~ KAU TERCIPTA UNTUKKU



ALUNAN Surah Yassin bergema di seluruh bahagian rumah itu. Di suatu sudut kelihatan wajah hiba Insyirah. Aiman sedang memeluknya. Seakan memberi kekuatan pada adik kesayangannya itu. Air mata masih bercucuran di pipi Insyirah. Ibu kesayangannya telah kembali ke Rahmatullah. Dia pasrah dengan ketentuan Ilahi. Namun hatinya tetap rapuh bila mengenangkan betapa dia akan merindui ibunya itu. Basah lagi pipinya dengan air mata.


“Ira…sabar dik. Tak baik menangis macam ni. Kita kena redha dengan ketentuan Allah. Biar ibu tenang di sana dik. Sama-sama kita berdoa moga roh ibu ditempatkan di sisi orang beriman.” Aiman menyapu air mata di pipi Insyirah perlahan. Insyirah menggangguk sambil terus memeluk abangnya.

Irfan yang turut berada di situ turut merasa sayu. Irfan memahami kesedihan yang dirasai oleh Insyirah dan Abang Aiman. Dia sendiri telah kehilangan ibu bapa sejak usianya 15 tahun. Sudah mampu mengerti tentang erti kehidupan yang bakal dilaluinya sebagai yatim piatu. Sejak itu, dia dan Qaleesha dijaga oleh ibu saudara mereka, Mak Ngah Deejah bagai anak sendiri. Mak Ngah Deejah memberikan kasih sayang tidak berbelah bagi meskipun mempunyai anak sendiri.

Dahulu, Mak Ngah Deejah juga yang menanggung segala perbelanjaannya ketika menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi. Betapa dia dan Qaleesha tidak mampu untuk membalas segala pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Mak Ngah Deejah. Setelah tamat pengajian dan menceburi bidang perniagaan, Irfan meminta izin untuk berpindah. Ingin hidup berdikari. Pada awalnya Mak Ngah Deejah memang tidak bersetuju. Namun setelah dipujuk, mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat mencari seorang pembantu rumah. Meskipun demikian, kasih sayang dan perhatian Mak Ngah Deejah tetap sama buat mereka. Tidak pernah berubah.


TETAMU sudah beransur pulang selepas semuanya selesai. Insyirah menghantar Liyana ke muka pintu.

“Ira, kau kena kuat. Ini semua ketentuan Allah. Sebagai hamba kita kena redha.” Liyana memberi kata-kata semangat pada rakannya itu.

“Terima kasih Yana.” Kata Insyirah sambil memeluknya erat. Dia menghantar Liyana ke kereta dengan pandangan matanya.

Insyirah kembali menapak ke dalam rumah dan mula mengemaskan ruang tamu. Irfan datang menghampirinya.

“Ira.”

Insyirah mengangkat muka. Irfan memandang mata yang sedikit sembab itu. Ada kesayuan di situ.

“Ira banyakkan bersabar ya. Amalkan membaca Al Quran setiap kali lepas solat. Banyak sedekahkan Al Fatihah untuk arwah ibu. Ira akan rasa lebih tenang nanti.” Lembut suara Irfan di pendengarannya. Kata-kata itu begitu menyentuh hatinya. Insyirah cuba tersenyum. Meskipun agak hambar di pandangan mata lelaki itu.

“Terima kasih Irfan sebab bantu Along uruskan semuanya tadi…” Balas Insyirah perlahan tapi masih kedengaran di telinga Irfan.

“Kita kan dah macam satu keluarga. Tak ada apalah.” Ujar Irfan sambil merenung gadis itu. Insyirah menundukkan wajah.

Dia tidak lagi mengendahkan kehadiran Irfan di situ. Berdiam diri sambil sibuk melipat kemas tikar dan menyimpannya di suatu sudut. Pandangan mata Irfan menyoroti setiap tingkah gadis itu. Dia berharap Insyirah akan tabah menerima ketentuan Tuhan ini dan terus menjalani hidup dengan baik.



AIMAN terharu dengan kebaikan Irfan. Irfan sanggup menghulurkan bantuan ketika dia dan Ira berhadapan dengan situasi tidak terduga itu. Situasi sama pernah dilalui oleh Irfan dan Qaleesha dulu. Pada malam itulah baru dia mengetahui latar belakang keluarga Irfan.

“Along.” Panggil Irfan sambil menghulurkan tangan kanannya.

Aiman bangun sambil menyambut huluran tangan Irfan.

“Saya minta diri dulu ya. InsyaAllah, malam esok saya datang lagi.” Kata Irfan.

“Terima kasih banyak ya Irfan bantu Along tadi.”

“Tak ada apalah Along. Bantuan biasa saja. Kalau Along perlukan apa-apa lagi, jangan segan-segan beritahu saya ya. Mana saya boleh bantu, saya bantu.” Tambah Irfan lagi. Aiman mengangguk sambil memeluk Irfan.

Insyirah dan Qaleesha yang baru datang dari arah dapur menghampiri mereka di halaman rumah itu.

“Ira tak payah datang kerjalah dalam dua tiga hari ni. Ira perlukan ruang untuk bertenang. Saya faham.” Kata Irfan sebaik saja Insyirah menghampiri.

“Terima kasih Irfan.” Ujar Insyirah.

“Sama-sama.”

Sebelum beredar, Qaleesha bersalam dan mencium tangan Insyirah dan Aiman. Irfan pula hanya memerhati tindak-tanduk adiknya. Setelah bayang kereta Irfan hilang dari pandangan mata mereka, barulah Aiman dan Insyirah beriringan masuk ke dalam rumah.



SETELAH dua bulan kehilangan ibu tercinta, Insyirah semakin boleh menerima ketentuan Qada’ dan Qadar Tuhan itu. Irfan dan Along banyak memberikan kekuatan padanya untuk terus tabah menjalani hidup.

Usai pertemuannya dengan Liyana tadi, dia menghubungi abangnya itu untuk datang menjemputnya. Pada awalnya, memang Liyana berjanji menghantarnya pulang. Namun, tiba-tiba rakannya itu mendapat panggilan dari Setiausaha syarikatnya bekerja dan perlu menghadiri mesyuarat penting katanya. Berkali-kali dia memohon maaf pada Insyirah kerana terpaksa mungkir janji.

Sudah hampir sejam Insyirah menunggu Alongnya. Tapi bayang pun belum nampak lagi. Hari semakin lewat petang. Insyirah mulai risau. Mana Along ni? Dia mulai mundar-mandir di hadapan tempat duduk bus stop itu. Jarinya masih cuba menekan punat telefon bimbitnya. Didailnya lagi nombor abangnya.

“Along, kenapa tak sampai lagi ni? Dah lewat ni Along…” Kata Insyirah sebaik panggilan diangkat. Risau.

“Kereta ni buat hal pulak. Sabar ya dik. Kejap lagi Along sampai.” Bipppp……talian diputuskan. Adoi...kereta buruk tu selalu buat hal. Bentak hati Insyirah.

Tiba-tiba…..

“Cik adik buat apa kat sini sorang-sorang ni?.” Suara seorang lelaki dari belakang mengejutkan Insyirah. Sejak tadi dia memerhatikan gadis comel itu.

“Nak abang temankan ke?.”

Insyirah ketakutan. Lelaki itu semakin menghampirinya.

“To…tolong jangan ganggu saya. Saya nak balik!.” Terketar-ketar Insyirah bersuara. Pipinya sudah mula dilinangi air mata. Along! Cepatlah datang! Ira takut! Jerit hatinya. Dia ingin mengatur langkah berlalu dari situ.

“Marilah sayang…. abang hantar balik.” Lelaki itu semakin galak dan cuba memegang tangannya.

“Tolooooooooooong!!”

Insyirah cuba melarikan diri tapi dihalang oleh lelaki itu. Lelaki itu ketawa. Insyirah takut melihat wajah di hadapannya itu. Matanya dipejam rapat sambil memeluk erat beg yang disandangnya. Tangisannya mulai kedengaran. YA ALLAH, Kau lindungilah aku.

“Hey…apa yang kau buat ni hah?.” Suara sergahan seseorang membuatkan Insyirah terus membuka mata. Suara itu seperti dikenalinya. Dia berpaling. Sedikit terkejut.

Irfan? Ira? Pandangan mata mereka bersatu. Irfan tidak menyangka gadis yang menjerit tadi adalah Insyirah. Niatnya ingin membantu. Insyirah pula mengucap syukur sebaik saja terpandang wajah itu.

Dia terus meluru ke arah Irfan dan berlindung di belakangnya. Dalam ketakutan, tanpa sedar Insyirah memaut kuat lengan Irfan. Dia mula rasa sedikit selamat. Namun, air mata masih mengalir di pipi mulusnya itu. Irfan sedikit kaget dengan tindakan spontan Insyirah, tapi mengerti perasaan gadis itu saat itu. Dia cuma membiarkan.

“Lu jangan masuk campur, brader!.”

“Ini antara aku dengan minah ni. Yang lu menyibuk ni…apa hal?.” Lelaki itu mula bersuara.

“Memang aku kena masuk campur. Yang kau kacau ni, isteri aku!.” Bentak Irfan. Dia sudah bersedia jika lelaki itu cuba melawan. Walaupun dia sendiri akan mendapat susah nanti.

Insyirah terpana dengan kata-kata Irfan. Isteri? Berbunga-bunga hatinya tatkala itu. Kalaulah itu realiti, pastinya dia insan paling bahagia. Pada masa yang sama, dia mula bimbangkan keselamatan Irfan. Bimbang lelaki tadi akan bertindak liar. YA ALLAH, lindungilah dia.

Sebaik sahaja mendengar kata-kata Irfan, lelaki itu mula kelihatan teragak-agak.

“Oh.. isteri lu ke brader? Sorry gua tak tahu. Lain kali jangan bagi dia keluar sorang-sorang. Isteri lu ni cun brader. Kalau bukan gua, mungkin orang lain pun akan kacau.” Lelaki itu mula berlalu pergi.

Syukur. Detik hati Irfan.

Sebaik lelaki itu berlalu, Irfan mengalihkan pandangan ke arah Insyirah.

“Ira tak apa-apa ke?.”

Ira menggelengkan kepala sambil mengesat sisa-sisa air mata di pipinya. Sekali lagi Irfan menjadi penyelamatnya. Dia sangat bersyukur dengan kebetulan itu. Sesungguhnya Tuhan masih menyayanginya.


TERKEJUT Aiman ketika dimaklumkan oleh Irfan tentang kejadian sebentar tadi. Dia berasa bersalah kerana tidak mampu melindungi adiknya ketika itu. Namun dia bersyukur tiada kejadian lebih buruk berlaku. Kemunculan Irfan pada saat-saat itu suatu suratan atau kebetulan? Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Akhirnya, Irfan dimintanya menghantar Insyirah pulang.

Irfan memandu dengan tenang. Kedengaran alunan lagu Baik Baik Sayang dari radio. Insyirah di sebelah hanya mendiamkan diri. Buat beberapa ketika masing-masing melayan perasaan sendiri. Irfan memberikan fokus pada pemanduannya.

“Irfan. Terima kasih sebab selamatkan saya. Saya tak tahu apa nasib saya kalau Irfan tak ada tadi...” Tiba-tiba Insyirah bersuara. Irfan menjeling gadis itu.

“Tak apa. Kebetulan saya ada dekat-dekat situ. Syukurlah semuanya selamat.” Jelas Irfan.

“Saya harap Ira tak salahkan Along. Semua yang berlaku ni pasti ada hikmahnya.” Sambungnya lagi.

Jujurnya, sebaik sahaja terpandang wajah ketakutan Insyirah tadi, ingin rasa dia memeluk gadis itu. Untuk melindungi dan memberinya kekuatan. Tidak mahu Insyirah disakiti walau sedikit pun. Saat itu juga, dia mula merasakan perasaan sayang yang semakin menebal dalam diri buat gadis itu.

Benar kata Irfan. Insyirah tidak akan sesekali menyalahkan diri sendiri atau orang lain. Semua ini adalah takdir. Kemunculan Irfan pada saat itu, juga adalah takdir Tuhan. Detak hatinya seakan menyatakan sesuatu. Namun dia masih tidak pasti akan perasaannya sendiri.


MAK MUNAH meletakkan secawan berisi kopi di atas meja di ruang tamu. Irfan sedang khusyuk mendengar berita menerusi Buletin TV3.

“Terima kasih Mak Munah.” Ucapnya sambil memandang Mak Munah.

“Sama-sama.”

Setelah Mak Munah berlalu ke dapur, Qaleesha yang baru turun dari biliknya terus menghenyakkan badannya ke sofa.

Irfan sedang menghirup kopi.

“Abang sukakan Kak Ira kan?” Soal Qaleesha tiba-tiba. Hampir tersembur air kopi dari mulut Irfan. Terkedu dengan soalan yang tidak diduga itu.

“Apa Esha cakapkan ni? Abang tak fahamlah.”

“Abang tak faham atau buat-buat tak faham?.” Duga Qaleesha.

“Jangan mengarut boleh tak Esha?.”

“Kalau tak faham, kenapa Esha tengok abang macam gelabah je?.”

“Esha tahu. Abang sukakan Kak Ira kan. Mengaku sajalah bang.”

“Mana ada.” Dalih Irfan lagi.

“Abang, kalau betul abang sukakan Kak Ira…berterus-terang sajalah bang. Esha rasa Kak Ira tu pun sukakan abang. Baik abang cepat sebelum orang lain kebas.”

Hah…Ira sukakan aku? Betul ke cakap Esha ni? Detik hati Irfan.

“Kak Ira sukakan abang? Mana adik tahu ni?.”

“Aikk…berminat nak tahu nampak?.” Usik adiknya. Nampaknya abangnya sudah mula masuk perangkap. Kantoi.

“Esha yang cakap tadikan. Abang tanyalah.” Cuba berdalih lagi.

“Abang terus-terang jelah dengan Kak Ira. Esha yakin abang tak bertepuk sebelah tangan.” Dia yakin kedua-duanya memang saling menyukai.

“Esha pun suka dan sayang sangat dengan Kak Ira tu. Esha suka kalau Kak Ira jadi kakak ipar Esha.”

Kakak ipar? Amboi…bukan main lagi perancangan Qaleesha. Irfan tersenyum mendengar kata-kata adik kesayangannya itu.

Ada benarnya juga. Tak salah untuk dia meluahkan rasa yang terbuku di hati. Tapi mampukah aku meluahkan isi hati pada perempuan?. Tak pernah aku buat ni. Adoi, macamana ni! Bisik hati Irfan.


No comments:

Related Posts with Thumbnails