JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Friday, May 7, 2010

EPISOD LARA STACY



Oleh
MURSHID EUNOS
metahad@hmetro.com.my


TERDIAM seketika riak wajahnya saat disergah persoalan warna hidupnya sebelum bergelar bintang. Renung jauh juara Akademi Fantasia(AF)musim keenam ini sebelum menyusun bicara. Jelas, jiwanya terusik.

Enggan membuka semula episod laranya sebelum ini pada awal pertemuan, namun berteman karakter periang dan mudah mesranya, dia gagal menolak. Stacy mula menongkah cerita meskipun sesekali terbit air mata daranya.

Gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang bakal menginjak usia 20 tahun pada Ogos depan ini tidak berjaya seperti hari ini dalam sekelip mata.

Sebaliknya, jutaan dugaan datang menghimpit sehingga ia pernah membuatnya terduduk menangis. Ujian yg hadir dari pelbagai penjuru tidak sekali membuatnya cepat mengalah, sebaliknya itulah elemen menjadi pembakar semangat. Ternyata, ia mendewasakannya.

Percaya atau tidak, gadis lincah ini mula menjejakkan kaki ke alam pekerjaan seawal usia 15 tahun sebagai penyanyi di sebuah kelab.

Bukan berlandaskan minat semata-mata, sebaliknya kesempitan hidup memaksanya berbuat demikian bagi meringankan beban keluarga.

Bayangkan, saat remaja lain sibuk mentelaah buku dan bahan bacaan Stacy berdiri gagah di pentas nyanyian demi sesuap nasi. Namun untuk menyesal atau menyalahkan takdir ketika itu tidak sekali.

“Kesempitan ketika itu tidak mampu saya gambarkan. Keluarga kami besar dan terlalu banyak dugaan datang bertimpa tanpa amaran. Semua masih bersekolah dan keadaan ayah tidak sihat.

“Adik-beradik lain juga ada yg bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan masing-masing. Ibu pula ditamatkan perkhidmatannya kerana melewati 50 tahun. Siapa lagi yg perlu kami harapkan?

“Saya mengambil inisiatif sendiri untuk bekerja sebagai penyanyi di kelab milik bapa saudara dengan sokongan ibu dan ayah walaupun pada awalnya memang berat untuk mereka lepaskan.

“Setelah berbincang dan mengambil kira segala kebaikan dan keburukan, tiada jalan lain yg dapat meringankan masalah kami ketika itu selain saya melangkah untuk mula bekerja sendiri.


“Ibu dan ayah ada datang menemani saya di kelab jika ada kelapangan. Maklumlah, kelab tempat saya bekerja milik adik mereka juga. Rasa menyesal tidak pernah terlintas. Namun untuk saya salahkan keluarga kerana menggadaikan masa depan saya adalah tidak sekali kerana ia keputusan saya sendiri.

“Seorang daripada keluarga perlu berkorban dan sesuatu yg indah kerana saya adalah insan yg terpaksa mengorbankan masa depan untuk keluarga. Benar saya tertinggal berbanding teman lain, namun jauh dalam sudut hati saya, saya puas dan gembira kerana dapat menyumbang senyuman di wajah keluarga,”
katanya.

Penat bekerja belum sempat hilang, peluh yg mengalir setiap kali pulang ke rumah dari pentas rezekinya masih belum kering, ada pula yg sibuk menabur persepsi dan cacian. Banyak pihak yg memandang serong akan niatnya.

Segala penghinaan ditelan pahit dengan senyuman. Mahu atau tidak, hidup perlu diteruskan meskipun ada kalanya kutukan itu bagai membunuh dalam senyap baginya.

Siapa yg mampu menyahut ujian sehebat itu di usia remaja yg masih mentah? Lantaran itu, Stacy mengikut gerak hatinya untuk meninggalkan terus alam persekolahan kira-kira sebulan selepas mendaftar sebagai pelajar tingkatan lima di
Sekolah Menengah St Micheal, Penampang.

“Saya mengaku berdepan pelbagai masalah disiplin di sekolah kerana terlalu penat bekerja di sebelah malam. Ada kalanya saya terpaksa cuti dan ponteng sekolah kerana tidak larat dan mengantuk. Bayangkan, saya bekerja dari jam 10 malam hingga 2 pagi setiap hari kecuali Isnin. Namun saya tetap berusaha untuk memastikan pelajaran tidak tertinggal dengan cuba luangkan masa untuk membuat rujukan sendiri.

“Yang menyedihkan sehingga membuat saya hilang minat terhadap sekolah adalah layanan kebanyakan teman sebaya dan guru ketika itu. Tidak berniat untuk membuka pekung atau memburukkan sesiapa, namun sejarah dan kejadian yg berlaku tidak mungkin dilupakan.

“Saya pernah dihina teruk dengan guru di sekolah. Malah ada yg memanggil saya ‘perempuan kelab’ sehingga menyebabkan rakan menjauhkan diri. Pernah juga saya dikasari guru hanya kerana terlalu geram dengan pekerjaan sambilan saya ketika itu.

Mencuri pandangan ke tempat lain, Stacy mencari kekuatan untuk berkongsi cerita saatnya membuat keputusan berhenti daripada alam persekolahan.

“Siapa yg mahu berhenti sekolah atau menggelapkan sendiri masa depannya. Orang hanya tahu bercakap, namun mereka tidak dapat merasa apa yg saya dan keluarga lalui.

“Orang kampung juga tidak berhenti-henti bercerita mengenai keluarga kami. Mereka beranggapan saya terlalu gila mengejar glamour untuk menjadi penyanyi sehingga sanggup menggadaikan pelajaran. Namun saya perlu tulikan telinga dan ikut kata hati kerana hanya saya yg tahu niat ikhlas di hati.

“Macam mana untuk saya teruskan sekolah kerana duit untuk membayar yuran sekolah pun tiada ketika itu? Mahu atau tidak, saya perlu berkorban. Masa itu minat saya untuk teruskan pelajaran juga sudah pudar bila memikirkan senario teman sekolah dan kebanyakan guru yg sentiasa memandang serong.

“Akhirnya saya nekad, saya kuatkan semangat dan berjanji pada diri sendiri untuk menyambung semula pelajaran selepas punya keselesaan sendiri,”
katanya.

Tuhan sentiasa adil dan memahami setiap insan ciptaan-Nya. Terbukti, Stacy masih berdiri hari ini dengan nafas baru dan kehidupan yg jauh lebih selesa. Bukan saja untuk dirinya, malah janjinya untuk membahagiakan keluarga sebelum ini ditunaikan.

Tidak sesekali menyimpan dendam atau sifat amarah terhadap mereka yg sanggup melemparkan fitnah padanya, jauh untuknya membenci insan yg pernah meninggalkan parut di jiwanya. Stacy bangun dengan kekuatan tegar daripada semua dugaan yg menggoncang kesabaran itu.

“Jika senario itu tidak berlaku pada saya, pasti saya masih di tempat lama dan tidak punya kekuatan seperti hari ini. Sejujurnya, segala dugaan yg saya tempuh dulu adalah semangat untuk saya terus berdiri sehingga hari ini.

“Saya hanya tumpukan perhatian pada soal kerjaya saya kerana terlalu banyak dugaan yg saya tempuh untuk berada di tahap ini. Mustahil untuk saya persiakan peluang yg saya genggam,’
katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails