JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Saturday, January 8, 2011

HANYA MAHU FOKUS PERSEMBAHAN


 
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

STACY berharap peminat akan dapat menerima persembahannya untuk lagu Jahat pada malam esok.

 
MEMANG sudah menjadi rezeki gadis genit kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini apabila terus diberi peluang oleh pihak juri untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Mana tidaknya. AJL25 menyaksikan penyertaan Stacy buat tahun ketiga berturut-turut. Barangkali ia juga adalah rekod baru yang mungkin jarang sekali dicipta oleh penyanyi baru sepertinya.

Atau lebih tepat lagi, rekod bagi seorang juara Akademi Fantasia sepertinya untuk mara ke pentas penuh prestij seperti AJL.

Sekadar menyegarkan kembali ingatan pembaca, kali pertama Stacy menyertai AJL adalah pada tahun 2009 menerusi lagu Aku Stacy.

Tahun lalu, dia bertanding sekali lagi atas tiket lagu Pakai Buang dan kali ini dia kembali meneruskan legasi lagu-lagu rancak yang menjadi makanan rujinya selama ini menerusi lagu Jahat.

Biarpun AJL merupakan pengiktirafan untuk komposer dan penulis lirik, habuan untuk penyanyi yang membuat persembahan tidak pernah dilupakan dengan wujudnya kategori Persembahan dan Vokal Terbaik.

Dua tahun berturut-turut, Stacy telah mempamerkan kecemerlangannya menerusi persembahan yang cukup memukau dan bertenaga.

Tidak menafikan, ketika penyertaan kali pertama di AJL, Stacy pernah mensasarkan untuk merangkul gelaran Persembahan Terbaik.

Mungkin rezeki tidak berpihak kepadanya. Stacy tewas di tangan Faizal Tahir yang telah memikat juri menerusi persembahannya untuk lagu Sampai Syurga.

Tidak pernah kenal erti putus asa, Stacy memperbaiki kelemahannya dan terus menampilkan persembahan yang energetik tahun lalu.

Sekali lagi, Stacy terpaksa berputih mata dan membenarkan kemenangan berpihak kepada Aizat yang memenangi Persembahan Terbaik bagi lagu Kau Aku.

Adakah tahun ini Stacy akan berdepan dengan nasib yang sama? Atau mungkin pemilik nama penuh Stracie Angie Anam ini sudah mengatur strategi luar biasa bagi memastikan kemenangan akan berpihak kepadanya malam esok (9 Januari)?

Bertemu dengan juara AF6 dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, Stacy tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan sehingga membuatkan dirinya tertekan.

Bukan merajuk atau kecewa, tetapi setelah menyertai AJL untuk tahun ketiga dia kini hanya fokus kepada memberikan persembahan terbaik.

Katanya, untuk dua tahun berturut-turut, audiens dan peminat sudah melihatnya beraksi penuh lincah.

Tetapi kali ini, semuanya akan berubah apabila Stacy memberitahu, dia tekad untuk mengurangkan aksinya di atas pentas.

"Bukan bermakna saya tidak menari langsung tetapi gerak dan aksi saya kali ini dikurangkan. Tidak seperti dua tahun sudah yang mana saya menari menyeluruh dalam persembahan saya.

"Sengaja saya buat demikian kerana mahu menampilkan perubahan. Mahu tahu juga reaksi peminat apabila saya mengurangkan gerak tari saya di atas pentas nanti.

"Saya fikir adalah lebih baik untuk saya berasa selesa di atas pentas dengan persembahan saya daripada tertekan kerana asyik memikirkan tentang soal menang," kata Stacy sambil ketawa kecil.


Pada malam esok, persembahan Stacy akan diiringi oleh 10 orang penari termasuk abangnya, Chaq.

Kali ini, Stacy memberitahu, dia tidak mempunyai waktu yang cukup untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi AJL.

Semuanya kerana jadual kerjanya yang padat sehinggakan dia sendiri tidak mempunyai rehat yang cukup.

"Kalau dulu hampir setiap hari saya akan berlatih, kali ini semuanya berbeza apabila dalam seminggu saya hanya dapat berlatih untuk tiga hari sahaja.

"Bagi memastikan vokal saya juga berada dalam keadaan baik, saya sudah pun menjalani latihan bersama Cikgu Syafi.

"Kalau dari segi mental, saya memang sudah bersedia. Apa yang saya harapkan agar fizikal saya pada malam esok akan berada dalam keadaan yang baik untuk menghiburkan audiens," katanya dalam nada yang cukup optimis.

Ditanya tentang ramalan AJL25, Stacy tanpa berselindung menamakan tiga lagu iaitu Selamat Malam oleh Faizal Tahir, Drama King (Meet Uncle Hussain dan Black) serta Cinta Sempurna (Yuna) yang akan bersaing hebat merebut gelaran juara.

Tentang perkembangan seni terbarunya, Stacy memberitahu dia sudah pun merakamkan sebuah lagu ciptaan Audi Mok berjudul Kapsul.

Kata Stacy, lagu itu akan memberikan satu perasaan berbeza kepada peminatnya kerana ia merupakan sebuah lagu balada.

"Memang ramai yang bertanya kepada saya adakah saya tidak berminat untuk merakamkan lagu-lagu balada pula. Sejak dalam AF6 lagi, sebenarnya jiwa saya lebih terarah kepada lagu-lagu seperti itu.

"Namun, apabila lagu rancak dilihat serasi dan sebati dengan jiwa saya sehingga berjaya mencipta identiti saya, tidak salah untuk saya berpatah balik kepada akar umbi dan merakamkan lagu balada pula.

"Saya harus akui memang sukar kerana ia memerlukan penghayatan yang mendalam jika hendak dibandingkan dengan lagu rancak. Saya harap lagu itu nanti akan diterima baik oleh peminat," ujar Stacy yang menjangkakan lagu Kapsul akan mula dimainkan di radio selepas AJL25 nanti.

No comments:

Related Posts with Thumbnails