Oleh Mahathir Jamil
Foto Amin Farij Hasan
Kejutan kemenangan Ana Raffali pada Anugerah Juara Lagu ke- 25(AJL 25) turut berdetak kencang di hati jejaka kelahiran Akademi Fantasia 6, Riz. Selaku orang dalam industri,Riz mengakui sukar percaya apabila gadis yang sinonim dengan imej baju kurung dan kebaya itu berupaya menjulang trofi dalam majlis yang berprestij itu. Seperti kebanyakan pemerhati AJL, Riz mempunyai artis kegemarannya sendiri yang dirasakan lebih layak berbanding Ana.
Tidak cepat menghukum tanpa usul periksa , Mohd Idris Mohd Zaizizi atau Riz terpanggil untuk mendalami Tolong Ingatkanku Aku sehingga juri berpihak kepadanya.
“Sebelum lagu ini menang, saya tidak menghayati sepenuhnya dan melihatnya sebagai lagu yang biasa-biasa sahaja.
“Apabila saya menghayati betul-betul, jelas sekali lirik dan melodi lagu ini memang sangat berbeza dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
“Saya akui Ana memang berbakat besar dan mempunyai auranya tersendiri. Oleh itu saya melihat kemenangannya dan sememangnya tidak wajar dipertikaikan,” katanya akur.
ALBUM SOLO
Saya pilih tajuknya sebagai Bermula Semula. Ia album solo pertama saya yang diterbitkan lebih setahun lalu. Ia memuatkan lapan buah lagu yang dihasilkan bersama komposer Ajai. Sekarang saya sedang mencari lagu-lagu yang bersesuaian dan terbaik sebagai kesinambungan karier saya.
ARTIS BARU
Saya melihat kemunculan artis-artis muda berbakat sejak kebelakangan ini menunjukkan petanda positif dalam industri muzik tempatan. Semua artis tak kiralah baru atau lama kena bersaing secara sihat dan berusaha lebih keras untuk mencipta nama. Jika tiada persaingan, kita cuma boleh dianggap sebagai jaguh kampung.
LELAKI JAGA BADAN
Tak salah jaga badan. Saya sendiri aktif dengan aktiviti sukan terutamanya badminton, boling dan berjoging. Selain membantu mencergaskan badan, bersukan juga membantu saya meningkatkan prestasi sewaktu membuat persembahan.
NOSTALGIA AF6
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan semasa menjadi pelajar Akademi Fantasia musim keenam adalah berpeluang menimba pengalaman daripada tenaga pengajar yg profesional seperti Pengetua Ramli MS, Cikgu Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi. Peluang menimba ilmu daripada mereka adalah satu pengalaman berharga dan merupakan antara kenangan yg paling manis sepanjang hidup saya.
CINTA DAN JODOH
Buat masa sekarang saya masih solo dan belum mempunyai kekasih. Dulu saya menetapkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang pada umur 25 tahun, tapi nampaknya tidak menjadi sebab banyak lagi impian yg belum dicapai. Jadi, saya menetapkan untuk berkahwin pada awal 30-an. Ciri-ciri wanita impian antaranya, sedap mata memandang, memahami dan yg paling utama ialah ikhlas menerima saya dan setia dalam perhubungan.
No comments:
Post a Comment