JOM CHAT


Nama watak dan perwatakan dalam novel-novel yang diletakkan di blog ini adalah rekaan dan imaginasi penulis semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.



Jika terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan sahaja.



Harap maklum.



Sunday, January 31, 2010

STACY MINTA MAAF@B POP(31 JANUARI 2010)



Oleh
Zubir Mohd Yunus
Foto Yahaya Hashim

Juara AF6 akui kesilapan dirinya kerana bersikap acuh tak acuh ketika disapa petugas penerbangan

MENGENALI juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Stacy, 19, dia dilabel sebagai artis remaja yang sentiasa murah dengan senyuman dan ceria melayan kerenah peminatnya. Kerjasama dengan pihak media massa pula sentiasa terpelihara dan berada pada tahap yang amat memuaskan. Tapi, semua itu adalah karektor Stacy yang sempat dilihat dengan mata pihak wartawan, namun bagaimana dirinya yang sebenar di belakang rakan media, hanya peminat berhak menghakimi.

Justeru, apabila ada laporan media yang mendakwa Stacy sombong dengan peminatnya baru-baru ini, ia amat mengejutkan! Menerusi sebuah ruangan pojok, Dengarnya... oleh Normah Becok menerusi Hip (Berita Harian) terbitan 20 Januari lalu, Stacy didakwa menampilkan sikap sombong dengan petugas syarikat penerbangan apabila senyuman dilemparkan kepadanya, tidak diendahkan.

Kejadian berlaku ketika Stacy menaiki pesawat dan apabila anak kapal penerbangan itu cuba senyum kepadanya, Stacy buat tidak tahu saja.

Tidak lama kemudian, apabila ada anak kapal bertanyakan apakah makanan diingininya, Stacy hanya menyuruh ibunya memberikan jawapan. Bukan saja dalam pesawat, kerenah kurang menyenangkan Stacy terbawa-bawa sehingga di lapangan terbang.

Ketika B*Pop mendapatkan penjelasan Stacy, dia akui bersedia memperbetulkan salah faham yang berlaku antara dirinya dengan kaki tangan syarikat penerbangan itu pada hari berkenaan.

“Selepas berakhirnya Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24), saya memang dah lama bercadang nak balik Sabah. Tiket pesawat awal-awal lagi sudah ditempah untuk penerbangan pagi 14 Januari. Namun, malam sebelum penerbangan itu, saya langsung tak sempat tidur kerana ada penggambaran untuk promosi TV AF8. Selesai kerja, saya terus ke lapangan terbang, nanti kalau saya tidur dua, tiga jam saja, mesti pening kepala selepas itu.

“Tapi, sebaik saja saya sampai di lapangan terbang, baru terasa mengantuk yang amat sangat! Muka saya pula sangat teruk, orang kata macam puaka (tergelak), sebab itu saya pakai cermin mata. Ketika di balai menunggu, saya masih berdaya layan peminat, tapi apabila berjalan menuju ke pesawat, mata susah nak celik, tapi paksa juga berjalan. Ketika itu baru jam 7.40 pagi.

“Sebaik tiba di pintu pesawat, memang ada anak kapal yang menanti, menyambut kedatangan penumpang. Saya sedar, dia memberikan ucapan selamat pagi kepada saya, tapi saya tak jawab apa-apa sekadar menganggukkan kepala saja. Mungkin dia terasa hati dengan sikap acuh tak acuh saya, tapi saya benar-benar tak bermaya ketika itu. Saya akui, itu memang kesilapan saya. Saya minta maaf kepada pihak yang tersinggung.

“Saya tak pernah berniat nak bangga diri atau sombong dengan peminat,”
kata Stacy yang berkali-kali memohon maaf kepada anak kapal berkenaan.

Sebaik saja duduk di kerusi pesawat, Stacy terus melelapkan mata, maka timbullah dakwaan dia tidak menjawab pertanyaan anak kapal yang bertanyakan apakah makanan diingininya, sebaliknya hanya meminta ibunya memberikan jawapan. Sekali lagi Stacy dilabel sombong!

“Saya sedang tidur, tak sedar apa yang berlaku di sekeliling saya. Cuma ibu ada bertanya, saya mahu makan apa. Dalam keadaan mata tertutup dan separuh sedar, saya hanya memberitahu ibu, makanan saya sama saja dengan dipesannya. Maknanya memang benar dakwaan mengatakan saya tak menjawab pertanyaan anak kapal, sebaliknya hanya memberitahu kepada ibu makanan yang saya mahu.

“Saya mengantuk, jadi ibu yang memesan makanan bagi pihak saya. Bukannya saya berniat bersikap sombong dengan anak kapal berkenaan. Tapi, sekali lagi saya minta maaf dengan pihak berkenaan yang mungkin tersinggung dengan sikap saya apabila melayan mereka kerana saya dalam keadaan ‘mamai’. Saya pula hanya sempat menjamah makanan apabila ibu dan abang, Chaq selesai makan. Itu pun makan, tidur, makan tidur,”
katanya lagi.

Bagi Stacy, mungkin anak kapal ingin bersembang dan bergambar dengannya, namun memandangkan dirinya bersikap acuh tak acuh kerana keadaan dirinya yang sangat tidak bermaya itu, maka ada antara mereka tersinggung dengan sikapnya. Justeru, situasi yang berlaku pada hari itu adalah di luar kawalannya dan dia langsung tidak berniat riak dengan peminat yang selama ini menjadi ‘tulang belakangnya’.

“Seingat saya ketika di dalam pesawat, tidak ada seorang pun termasuk anak kapal yang menyapa saya. Jadi, saya hanya tidur sepanjang penerbangan hinggalah tiba di Sabah. Begitu juga apabila tiba di lapangan terbang, saya terus menuju ke kenderaan yang sudah sedia menunggu. Jadi, dakwaan mengatakan sikap saya di dalam pesawat terbawa-bawa hingga di lapangan terbang, saya rasa itu hanya salah faham,” kata Stacy.

Perkembangan terbaru mengenai diri Stacy, dia akan melanjutkan pelajarannya di bidang muzik di Universiti Limkokwing, bermula Mac ini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails